title
int64
4
3.51k
body
stringlengths
18
82.3k
3,395
Mukaddimah Pada hari ini 4 April 2016, kami ditaklifkan iuntuk membentangkan dua kertas kerja berkenaan post mortem mayat dan juga mengambil cebisan organ manusia ketika post mortem untuk siasatan dan penyelididkan. Ia dibentangkan di dewan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Kepala Batas Pulau Pinang dalam konvensyen Fiqh Perubatan dan Perubatan Forensik anjuran Kementerian Kesihatan dan Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang. Oleh kerana terlalu banyak poersoalan maka kami merasakan amat penting untuk dijawab dengan lebih lengkap dalam Bayan Linnas pada kali ini.   Definisi Pembedahan Post mortem Bedah siasat atau dalam istilah Bahasa Inggeris disebut post mortem bermaksud suatu pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan ke atas mayat. Ianya melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenalpasti punca kematian dan ciri atau setakat mana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain. Dalam hal ini, sebahagian besar ahli perubtan memberi takrifan dengan setiap pembedahan yang dilakukan untuk menghasilkan maklumat dan dapatan berkaitan penyakit yang tidak mungkin terhasil dnegan cara yang lain. (Lihat Mausu’ah Tibbiyyah Hadithah, 5/983).   Jenis-jenis Post mortem Bedah siasat mayat terbahagi kepada 2 iaitu: Pertama: Kes Kematian Medico-legal/Post mortem Kes Polis (Bedah siasat yang diarahkan oleh pihak polis), contohnya : Semua kematian yang mendadak luar biasa, disyaki bukan kes-kes biasa, akibat perlakuan ganas seperti bunuh, dera atau seksa. Kematian mendadak biasa tetapi tidak diketahui sebab kematian dari segi perubatan. Kematian akibat kemalangan menggunakan kenderaan atau jentera. Kematian di tempat kerja; kemalangan penyakit dan keracunan ditempat kerja. Kematian akibat keracunan (e.g alcohol intoxication, coal gas, insecticides, barbiturates etc). Kematian akibat bunuh diri. Kematian akibat penggunaan gas-gas perubatan semasa pembedahan, prosedur penyiasatan perubatan, peralatan dan teknologi yang digunakan oleh hospital/klinik dan sebagainya. Kematian akibat kemalangan di rumah, hospital/institusi/tempat umum. Kematian yang dipercayai disebabkan oleh kecuaian pegawai perubatan atau kakitangan hospital/klinik seperti kecuaian menggunakan prosedur perubatan, peralatan, ubat, rawatan dan sebagainya. Kematian semasa tahanan polis, tahanan reman, banduan atau mana yang dibenarkan oleh Negara di kem-kem tahanan. Kematian di Institusi Mental, rumah sakit jiwa dan lain-lain. Kematian bayi baru lahir yang dijumpai. Kematian kanak-kanak akibat kelemasan (suffocation) Kematian berkaitan anak-anak angkat. Sebarang kematian akibat kebakaran dan letupan. Mati lemas. Sebarang kematian di luar kawasan kediaman seperti di tepi jalan, dalam sungai, perairan dan sebagainya, di mana kediaman si mati tidak diketahui. Kematian akibat dari bahan-bahan kimia dan radiasi perindustrian seperti toksid, asid, radioaktif dan sebagainya.   Kedua: Kes Kematian Klinikal/Post mortem clinical (Kes di mana doktor yang merawat perlu mendapatkan kebenaran waris yang terdekat dan waris berhak untuk tidak membenarkan bedah siasat mayat dilakukan atau membenarkan bedah siasat dilakukan pada bahagian tertentu sahaja), contohnya : Kematian akibat penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS), AIDS, Antharaks, Japanese Encephalitis (JE) dan seumpamanya. Kematian di wad yang diketahui sebabnya tetapi memerlukan maklumat lebih lanjut mengenai sebab kematian iaitu sejauh mana sesuatu organ itu rosak/dijangkiti. Kematian ibu semasa mengandung (maternal death).   Sebenarnya isu post mortem ini termasuk dalam fiqh al-Nawazil. Di mana Dr. Bakar Abu Zaid Rahimahullah menyatakan ia sebahagian dariapda permasalah moden dan baru. Guru kami Fadhilah Syeikh Dr. Muhammad Muhammad Mukhtar al-Syanqiti Rahimahullah berkata: “Aku tidak mendapati dan menemui sebarang nas di kalangan ulama fuqaha yang terdahulu berbicara berkenaan dengan keharusan post mortem sama dan untuk belajar atau lainnya. Iaitu ketidak harusan. (Lihat Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah, hlm. 112)   Hukum Post mortem Seperti yang diketahui Post mortem mutakhir ini menjadi sesuatu perkara yang penting. Ia dibahaskan oleh para ulama dan badan badan fatwa dunia. Kami dapati terdapat dua pandangan: Pertama: Hukumnya harus. Inilah pendapat banyak badan berautoriti dan juga para ulama. Antaranya: Haiah Kibar Ulama Saudi 1396H bersamaan 1976M. Majma’ Fiqh Islami di Makkah al-Mukarrah 1408H. Lajnah Ifta’ Jordan 1397H. Lajnah Ifta’ al-Azhar Mesir 1971. Antara tokoh ulama pula yang mengfatwakan harus post mortem adalah: Syeikh al-Azhar, Syeikh Yusuf al-Dajawi. Syeikh Hasanain Makhluf, Mufti Mesir. Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi. Syeikh Said Ramadhan al-Buti. Syeikh Dr Mahmud Nazim al-Nasimi. Syeikh Dr Mahmud Ali Sartawi. Lihat Majallah al-Azhar (6/472) 1354H   Dalil-dalil Keharusan Antara dalil mereka ialah: Pertama: Qias[1]. Mereka menggunakan tiga wajah Qias: Mereka qiaskan post mortem mayat untuk belajar sama seperti membedah perut wanita hamil yang mati untuk mengeluarkan janinnya yang diharap dapat hidup. Mereka Qiaskan post mortem mayat untuk belajar sama seperti memotong janin yang sudah meninggal untuk menyelamatkan ibu jika ghalib pada zhan ibu atau mati atau binasa dengan sebab janin tersebut. Mereka Qiaskan post mortem mayat untuk belajar sama seperti harus membelah perut seseorang yang mati untuk mengeluarkan harta yang dirampas yang telah ditelannya.   Kedua: Beberapa kaedah syariah atau qawaid fiqhiyyah, Antaranya: Kaedah: إذا تَعَارَضَتْ مَصْلَحَتَانِ قَدَمَ أَقْوَاهُمَا ، وَإِذَا تَعَارَضَتْ مَفْسَدَتَانِ ارْتَكَبَ أَخَفَّهُمَا تفاديا لأشدهما Maksudnya: “Apabila bertembung dua maslahah maka didahulukan yang paling kuat dan jika bertembung dua kerosakan hendaklah dipilihn yang paling ringan untuk menolak yang lebih besar.” Kaedah ini menunjukkan bertembung dua maslahah iaitu maslahah kepada si mati untuk dikebumikan dan disegerakan urusan jenazahnya dan maslahah pembelajaran dan pencarian maklumat. Maka ditarjihkan pencarian maklumat dalam post mortem sifatnya lebih besar dan umum maslahahnya.   Kaedah: مَالاَ يَتِمّ الوَاجِب إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِب Maksudnya: “Apa yang tidak sempurna sesuatu yang wajib kecuali dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib.” Kaedah ini menunjukkan keperluan mengkaji dan mempelajari ilmu perubatan berkaitan post mortem bagi mendapatkan sebuah kepastian maklumat. Justeru, pelakuan post mortem adalah dibenarkan dalam Islam.   Kedua: Hukumnya Haram dan tidak harus post mortem mayat kerana tujuan pembelajaran. Ini pendapat ramai tokoh ulama, Antaranya: Syeikh al-Azhar, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i. Syeikh al-Arabi Bu Iyad al-Tabkhi. Syeikh Muhammad Burhanuddin al-Sambuhli. Syeikh Muhammad Abdul Wahab al-Buhairi.   Dalil Ketidak Harusan Mereka berdalilkan kepada beberapa Nas: Firman Allah SWT: وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah al-Isra’: 70) Al-Maraghi berkata: “Ayat ini merupakan tuntutan supaya manusia bersyukur dan tidak syirik dengan Tuhan dengan sesuatu pun kerana Allah telah menundukkan bagi manusia segala yang ada di darat mahupun di laut. Kemuliaan di sini juga memberi makna keistimewaan yang khusus berbanding dengan makhluk yang lain. Ayat di atas menunjukkan kepada kemuliaan ke atas anak adam secara umum merangkumi kehidupan dan kematiannya. Adapun post mortem yang dilakukan ke atas manusia ialah merupakan suatu penghinaan kepadanya, iaitu seperti memotong bahagian-bahagian mayat, dan selainnya yang merupakan penghinaan ke atas mayat. Ini berlawanan dengan maksud kemuliaan ke atas anak adam dan kelebihan anak adam. Maka hukumnya tidak harus.   Dalil Sunnah, antaranya: Pertama: Nasihat Baginda SAW kepada panglima tentera sebelum dihantar berperang supaya bertaqwa kepada Allah. Sabda Nabi SAW: اغْزُوا بِسْمِ الله وفِي سَبيلِ الله قَاتلُوا مَنْ كَفَرَ بالله، اغْزُوا وَلا تَغُلّوا ولاَ تَغْدِرُوا ولاَ تَمثلُوا Maksudnya: “Berperanglah dengan nama Allah, pada jalan Allah, dan perangilah orang yang kafir dengan Allah, janganlah menipu, janganlah khianat (dalam ghanimah) dan janganlah kamu menyiat-nyiat (anggota tubuh).” Riwayat Muslim (3/130) Post mortem badan mayat secara zahir dan jelas termasuk di dalam tegahan umum hadis di atas dan juga terdapat hadis lain dalam isu tegahan Nabi melarang memotong badan mayat.   Kedua: Hadis Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bersabda: إِنَّ كَسْرَ عَظْمِ الْمُؤْمِنِ مَيْتًا مِثْلَ كَسْرِهِ حَيًّا Maksudnya: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang hidup.” Riwayat Ahmad (6/364) dan Abu Daud (544), al-Baihaqi (4/58), dan disahihkan oleh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil (3/212) dan (214) Hadis di atas menunjukkan akan pengharaman merosakkan tulang mayat orang orang yang beriman dan ketidak harusan post mortem termasuk di dalam hadis tersebut. Maka hukumnya tidak harus.   Dalil Qias, antaranya: Pertama: Bahawa terdapat hadis yang melarang duduk di atas kubur, kerana mayat di dalam kubur tersebut terhina dengan perbuatan tersebut. Sedangkan perbuatan tersebut tidakpun menyentuh mayat di dalam kubur. Oleh kerana itu, tidak harus memotong bahagian mayat atau menyelongkar di dalamnya, maka dalam lebib aula adalah post mortem lebih kuat larangan dan tegahannya. Kedua: Terdapat dalam kalangan ulama yang mengharamkan membedah tubuh mayat perempuan yang hamil untuk menyelamatkan janin yang diharap masih hidup, sedangkan ianya merupakan maslahah daruri. Maka oleh kerana itu ketidakharusan post mortem adalah lebih aula dan ahra.   Dalil dari kaedah al-Syar’iyyah Mereka berdalilkan beberapa dalil, antaranya:   Pertama: Kaedah الضَّرَرُ لَا يُزَالُ بِالضَّرَرِ Maksudnya: “Kemudaratan tidak dihilangkan dengan kemudaratan.” Kaedah ini menunjukkan bahawa mafsadah tidak boleh dihilangkan dengan mafsadah. Dan post mortem adalah cara menghilang mafsadah dengan mafsadah seumpamanya. Maka proses pembelajaran dengan dengan cara menghilangkan darar atau mafsadah seperti penyakit yang dikategorikan sebagai cara perubatan akan menatijahkan hasil mafsadah dan darar ke atas mayat yang di post mortemkan. Dan perkara ini termasuk dalam menghilangkan dara atau mafsadah dengan seumpamanya. Maka berdasarkan kaedah ini ianya tidak harus.   Kedua: Kaedah لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ Sebenarnaya kaedah ini berdasarkan kepada hadis Abu Sa’id al-Khudri. Sabda Nabi SAW: لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan.” Riwayatkan  oleh  Ibn  Majah (2341) dan al-Daruqutni  (4/228) serta  selainnya  dengan sanad  yang  bersambung,  juga  diriwayatkan  oleh  Imam  Malik  (2/746) dalam  Muwattho’ secara  mursal  dari  Amr  bin  Yahya  dari  bapanya  dari  Rasulullah  SAW, beliau  tidak menyebutkan  Abu  Sa’id.  Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan   Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa Al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar. Sebagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan kamu membahayakan iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksud saling merugikan iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan tidak untuk membela kebenaran.” Kaedah di atas menunjukkan keharaman kemudaratan ke atas selainnya. Maka post mortem padanya terdapat kemudaratan ke atas mayat. Maka hukumnya tidak harus.   Tarjih Ditarjihkan di sini bahawa harus post mortem mayat orang kafir dan tidak harus pada mayat orang Islam kecuali kerana kes jenayah dan mengenal pasti penyakit. Ini kerana beberapa alasan: Pertama: Pada asalnya tidak harus melakukan apa-apa proses pemotongan ke atas mayat orang Islam kecuali dalam hudud, kerana hudud merupakan perkara yang diizinkan syara’ adapun post mortem bukan daripada hudud. Maka wajib dikekalkan pada sifat asalnya iaitu dilarang memotong badan orang Islam. Kedua: Keberhajatan kepada post mortem mungkin dibolehkan pada orang kafir, akan tetapi tidak boleh kepada orang Islam. Ini kerana penghormatan dan kemuliaan jasad Muslim di sisi Allah ketika hidup mahupun mati. Ketiga: Dalil yang menunjukkan akan halangan adalah ditakhsiskan kepada muslim bukan orang kafir. Maka tidak mengapa dalam penghinaan kepada kafir. Ini berdasarkan firman Allah SWT: وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ Maksudnya: sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. (Surah al-Haj: 18)   Al-Khazin berkata dalam Tafsirnya: “Iaitu sesiapa yang dihinakan Allah maka tidak ada sesiapa yang dapat memuliakannya.” Maka tidak syak lagi bahawa orang-orang kafir mereka semua ialah manusia yang dihina di sisi Allah. Adapun hadis yang menegah dari memotong mayat. Perkara Ini telah thabit seperti di dalam kisah al-‘Uraniyyin dan al-Muharibin. Maka harus memotong untuk maslahah umum, seperti menghalang golongan yang zalim dari menyakiti orang ramai.  Dan demikian juga harus memotong mayat orang kafir untuk tujuan maslahah umum seperti dalam urusan perubatan seperti proses post mortem. Akan tetapi sebahagian ulama berpendapat bahawa tegahan yang tanzih (iaitu makruh tanzih). Adapun hadis yang melarang daripada duduk di atas kubur, hadis tersebut menunjukkan kepada penghinaan mayat yang muslim, inilah yang disepakati oleh ulama seperti yang telah diterangkan iaitu ditakhsiskan pengharaman ke atas Muslim. Adapun mayat orang kafir maka penghinaan ke atas mereka adalah disebut oleh Syara. Maka tidak mengapa untuk dilakukan. Keempat: Adapun pendalilan yang mengharuskan post mortem secara mutlak dengan mengqiaskan dalil mengeluarkan mayat dari kubur untuk mengambil kain kafan yang dirampas adalah tertolak. Istidlal dengan cara qias ini adalah qias ma’al fariq (qias yang amat jauh). Kelima: Adapun post mortem mayat muslim dengan mengubah melebihi daripada kewajipan yang berkaitan dengan mayat selepas wafat, seperti memandikan, mengkafankan, melakukan solat jenazah dan mengkebumikannya. Semua di atas adalah bercanggah dengan hadis yang thabit iaitu suruhan menyegerakan jenazah dalam perkara pemandian, kafan, solat jenazah dan pengkebumian. Ini kerana terdapat hadis sahih daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda: أَسْرِعُوْا بِالْجَنَازَةِ Maksudnya: “Hendaklah dipercepatkan (urusan) ke atas pengkebumian jenazah….” Riwayat al-Bukhari (1/228) dan Muslim (2/373)   Kami menutup tarjih ini dengan keputusan muzakarah fatwa kebangsaan: Keputusan fatwa]Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan; “Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”   Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan; “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan."   Berikut adalah garis panduan yang saya ringkaskan dari laman web e-fatwa untuk melakukan bedah siasat menurut Islam: Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat. Kebenaran Waris Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar). Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja. Menjaga aurat mayat. Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat. Mengambil langkah-langkah keselamatan. Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya. Tidak mengambil tisu atau organ mayat. Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat. Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa mendapat kefahaman Islam yang sebenarnya dan beroleh taufiq dan hidayat serta mardhatillah. Amin.     Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan   7 April 2016 bersamaan 29 Jamadilakhir 1437H     [1] Qias menurut bahasa Arab bererti menyamakan, membandingkan atau mengukur, seperti menyamakan si A dengan si B, kerana kedua orang itu mempunyai tinggi yang sama, bentuk tubuh yang sama, wajah yang sama dan sebagainya. Qias juga berarti mengukur, seperti mengukur tanah dengan meter atau alat pengukur yang lain. Demikian pula membandingkan sesuatu dengan yang lain dengan mencari persamaan-persamaannya. Menurut para ulama usul fiqh, ialah menetapkan hukum suatu kejadian atau peristiwa yang tidak ada dasar nasnya dengan cara membandingkannya kepada suatu kejadian atau peristiwa yang lain yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas kerana ada persamaan 'illat antara kedua kejadian atau peristiwa itu.
3,396
Soalan: Assalamualaikum. Saya keliru menentukan tempoh antara darah istihadah dan darah haid. Bagaimana pula untuk mengetahui kiraan haid seterusnya setelah keluar istihadah? Mohon pencerahan ustaz. Terima Kasih. Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW Sebagai mukadimah kami kemukakan  maksud haid dan istihadah menurut syarak untuk merungkaikan kekeliruan diantara darah haid dan darah istihadah: Haid dari segi istilah syarak ialah darah tabi’i yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya sihat dalam tempoh tertentu.[ al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:118 ] Sementara istihadah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai ( العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. [al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1:126] Seterusnya, ciri-ciri istihadah ialah: Keluar darah sebanyak 2 kali yang diselangi oleh tempoh suci yang kurang 15 hari Keluar darah selepas tempoh sebanyak-banyak haid 15 hari Keluar darah kurang daripada 24 jam Keluar darah sebelum umur 9 tahun Keluar darah selepas tempoh 60 hari nifas Daripada pengertian istihadah serta ciri-cirinya, dapat disimpulkan bahawa istihadah ialah darah yang keluar bukan waktu kebiasaan haid mahupun nifas atau dengan kata lain pada tempoh suci. Seterusnya, merujuk kepada persoalan kiraan haid seterusnya, kami akan menjelaskan kaedah kiraan tempoh suci. Hal ini bagi mengetahui hari-hari yang menjarakkan diantara satu haid dengan haid seterusnya. Berikut kaedah kiraan suci antara dua haid: Tempoh paling minimum suci ialah 15 hari أقل الطهر)). Ketentuan ini di ukur daripada tempoh tempoh sebanyak -banyak darah haid iaitu 15 hari ( أكثر الحيض). Ini berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafie. Tempoh suci kebiasaan majoriti wanita adalah 23 hari (الطهر غالب). Ketentuan tempoh suci kebiasaan berdasarkan haid yang yang kebiasaan datang selama 7 hari (غالب الحيض ) Tempoh maksimum suci tiada had kerana kadang-kadang ada wanita yang haidnya dalam sebulan hanya sehari semalam sahaja iaitu 24 jam dan ada juga sekali dalam enam bulan. [Rujuk  Izalatul Iltibas Syarah Tuhfah al-A`izza’ ].              Kiraan tempoh suci antara dua haid       Sebagai contoh: Wanita (A) mendapati darah haid keluar pada 1-12 ogos iaitu selama 12 hari. Kemudian selepas seminggu, darah keluar pada 19 ogos. Maka darah tersebut adalah darah istihadah. Hal ini kerana darah keluar pada waktu tempoh minimum suci 15 hari selepas haid. Maka, wajib menunaikan solat fardu dengan memakai tuala wanita selepas mencuci alat sulit, kemudian mengambil wudhuk pada setiap fardu tanpa perlu mandi wajib. Namun apabila sudah masuk 29 ogos iaitu sudah tamat waktu sekurang-kurang suci iaitu 15 hari selepas hari terakhir tempoh haid. Maka kitaran haid  sudah dianggap bermula semula sekiranya pada 29 ogos terdapat darah yang keluar. Oleh itu, darah tersebut adalah permulaan kiraaan haid baru. Berikut jadual kiraan bagi situasi wanita (A) tersebut: Haid pertama Minimum 15 hari suci Haid kedua 1-12 ogos 13-28 ogos 29 ogos Haid selama 12 hari Darah keluar pada 19 ogos adalah istihadah Bermula kiraan haid baru sekiranya keluar darah Bacaan lanjut berkaitan warna darah istihadah boleh baca pada ruangan al-Kafi #685 Darah Istihadah Mengikut Tamyiz Atau Adat? http://bit.ly/2PaOId6 Secara konklusinya, kaedah kiraan tempoh suci antara dua haid sangat penting bagi membezakan darah yang keluar dalam tempoh haid mahupun darah istihadah yang keluar pada tempoh suci. Tambahan pula, hukum wanita dalam istihadah (mustahadah) dianggap wanita suci dan boleh melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf dan membaca al-Quran. Akhir kata, semoga panduan kiraan tempoh tersebut dapat memberi manfaat kepada semua dan marilah berdoa agar  kita diberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Ameen
3,399
Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian? Apakah hukumnya? Terima kasih Datuk.   Ringkasan Jawapan Hukum mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian adalah sunat, begitu juga mengerjakannya secara berjemaah, namun mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdal. Huraian Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Pada setiap 1 Syawal, seluruh umat Islam akan berhimpun bagi meraikan hari yang berbahagia ini iaitu Hari Raya Aidilfitri. Mereka akan keluar menuju ke tempat solat atau kawasan lapang bagi menunaikan solat sunat hari raya secara berjemaah. Perkara ini ada dinukilkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ فَيَعِظُهُمْ، وَيُوصِيهِمْ، وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ Maksudnya: “Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang Baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian Baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu Baginda memberikan peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda ingin mengutuskan pasukan, maka Baginda akan mengutusnya, atau Baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka Baginda akan memerintahkannya.” Riwayat al-Bukhari (956) Oleh yang demikian, berdasarkan kepada hadis ini, perkara pertama yang dimulakan oleh Rasulullah SAW pada pagi hari raya sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha ialah solat, dan mengerjakannya adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut)[1]. Seterusnya, ia juga disyariatkan untuk dikerjakan secara berjemaah berdasarkan kepada sunnah Nabi SAW. Namun, berbalik kepada persoalan yang diutarakan, bagaimana sekiranya ia dilakukan secara berseorangan? Apakah hukumnya? Imam al-Syirbini ada menukilkan bahawa disunatkan juga untuk mengerjakannya secara bersendirian. Meskipun begitu, mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih baik dan lebih afdhal[2]. Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut hal yang sama dengan lafaz[3]: وتشرع صلاة العيد جماعة كما فعلها رسول الله صلى الله عليه وسلم، على كل رجل مكلف بصلاة الجماعة، وتشرع للمنفرد ندبًا، والجماعة أفضل Maksudnya: “Dan disyariatkan juga solat hari raya (agar dilaksanakan) secara berjemaah sebagaimana yang Rasulullah SAW lakukan, ke atas setiap lelaki yang dituntut untuk mengerjakan solat berjemaah, dan juga disyariatkan ke atas orang yang solat secara bersendirian dengan hukum sunat, namun mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal.” Adapun, bagi jemaah haji yang mengerjakan solat sunat hari raya Aidiladha di Mina, tidak disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan solat sunat hari raya tersebut secara berjemaah, sebaliknya disunatkan untuk dikerjakan secara bersendirian. Sekiranya, ia dilaksanakan secara berjemaah, ia telah menyalahi sunnah Nabi SAW. Hal ini kerana, Rasulullah SAW meninggalkannya atas sebab urusan manasik haji dan juga mengajar manusia tentang hukum-hakamnya, dan kesemua ini adalah lebih penting daripada perayaan[4]. Di samping itu, hikmahnya di sini adalah bagi meringankan para jemaah haji untuk menguruskan hal ehwal tahallul mereka dan bergerak menuju ke Mekah berbanding mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah dan juga mendengar khutbah[5]. Kesimpulannya, hukum mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian adalah sunat, begitu juga mengerjakannya secara berjemaah, namun mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal. Akhir kalam, kami berharap agar kita semua dapat bersama-sama hadir menyertai solat hari raya ini secara berjemaah, agar dapat meraih pahala sebanyak mungkin dan juga memupuk hubungan silaturahim sesama masyarakat. Wallahu A‘lam.   Rujukan: [1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 5/3. قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّهَا سُنَّةٌ مُتَأَكِّدَةٌ عِنْدَنَا وَبِهِ قَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَدَاوُد وَجَمَاهِيرُ الْعُلَمَاءِ [2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 1/587. (وَتُشْرَعُ جَمَاعَةً) لِفِعْلِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَهِيَ أَفْضَلُ فِي حَقِّ غَيْرِ الْحَاجِّ بِمِنًى مِنْ تَرْكِهَا بِالْإِجْمَاعِ. أَمَّا هُوَ فَلَا يُسَنُّ لَهُ صَلَاتُهَا جَمَاعَةً وَتُسَنُّ لَهُ مُنْفَرِدًا (وَ) تُشْرَعُ أَيْضًا (لِلْمُنْفَرِدِ وَالْعَبْدِ وَالْمَرْأَةِ وَالْمُسَافِرِ) وَالْخُنْثَى وَالصَّغِيرِ فَلَا تَتَوَقَّفُ عَلَى شُرُوطِ الْجُمُعَةِ مِنْ اعْتِبَارِ الْجَمَاعَةِ وَالْعَدَدِ وَغَيْرِهِمَا، وَيُسَنُّ الِاجْتِمَاعُ لَهَا فِي مَوْضِعٍ وَاحِدٍ، وَيُكْرَهُ تَعَدُّدُهُ بِلَا حَاجَةٍ وَلِلْإِمَامِ الْمَنْعُ مِنْهُ Lihat juga: Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 3/40. (وَتُشْرَعُ) أَيْ تُسَنُّ (جَمَاعَةً) وَهُوَ أَفْضَلُ إلَّا لِلْحَاجِّ بِمِنًى، فَإِنَّ الْأَفْضَلَ لَهُ صَلَاةُ عِيدِ النَّحْرِ فُرَادَى لِكَثْرَةِ مَا عَلَيْهِ مِنْ الْأَشْغَالِ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ، قَالَ فِي الْأَنْوَارِ وَيُكْرَهُ تَعَدُّدُ جَمَاعَتِهَا بِلَا حَاجَةٍ وَلِلْإِمَامِ الْمَنْعُ مِنْهُ. (وَ) تُسَنُّ (لِلْمُنْفَرِدِ) وَلَا خُطْبَةَ لَه [3] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 1/551. [4] Al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/26. * أَمَّا الْأَحْكَامُ فَهَلْ تُشْرَعُ صَلَاةُ الْعِيدِ لِلْعَبْدِ وَالْمُسَافِرِ وَالْمَرْأَةِ وَالْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ أَوْ فِي غَيْرِهِ فِيهِ طَرِيقَانِ (أَصَحُّهُمَا وَأَشْهُرُهُمَا) الْقَطْعُ بِأَنَّهَا تُشْرَعُ لَهُمْ وَدَلِيلُهُ مَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ وَأَجَابُوا عَنْ تَرْكِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم صلاة العيد بمنى بانه تركها لا شتغاله بِالْمَنَاسِكِ وَتَعْلِيمِ النَّاسِ أَحْكَامَهَا وَكَانَ ذَلِكَ أَهَمَّ مِنْ الْعِيدِ [5] Sulaiman bin Muhammad bin Umar al-Bujairami, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1415H), 2/219. بِمَكَّةَ لَمْ تُسَنَّ لَهُمْ الْجَمَاعَةُ أَيْضًا، فَإِنْ صَلَّوْهَا جَمَاعَةً كَانَ خِلَافَ السُّنَّةِ. وَحِكْمَتُهُ التَّخْفِيفُ عَلَيْهِمْ لِاشْتِغَالِهِمْ بِأَعْمَالِ التَّحَلُّلِ وَالتَّوَجُّهِ إلَى مَكَّةَ عَنْ إقَامَةِ الْجَمَاعَةِ وَالْخُطْبَةِ اهـ.
3,400
SOALAN 18 (22/06/2015 BERSAMAAN 05 RAMADAN 1436H) Apakah keadaan darah yang keluar daripada wanita yang hamil apabila digugurkan janin?   JAWAPAN Darah yang keluar daripada wanita yang hamil apabila digugurkan janin, ia terbahagi kepada dua keadaan. Jika janin sudah nyata seperti manusia, maka darah tersebut dianggap sebagai nifas. Justeru, wanita tersebut tidak boleh berpuasa dan solat. Sebaliknya, jika hanya seperti segumpal darah atau daging yang belum nyata sifat manusia, maka hukumnya bukan darah nifas dan hendaklah dia berpuasa. Lihat Fatawa Ramadan (1/358).
3,401
Soalan Assalamualaikum, apakah hukum dan status apabila lelaki berkhatan dengan tidak sempurna. Sebagai contoh masih ada lebihan kulit di bahagian zakar dan menutupi sebahagian kepala zakar. Ringkasan Jawapan Kaedah khatan yang betul dan mengikut syarak bagi seseorang lelaki muslim adalah dengan memotong kulit pada bahagian zakar yang menutupi hasyafah (kepala zakar) sehingga menampakkan keseluruhan hasyafah. Huraian Jawapan Khatan adalah suatu ibadah yang disyariatkan di dalam Islam. Khatan membawa maksud membuang foreskin atau kulup, iaitu kulit bahagian hadapan yang menutupi bahagian kepala zakar bagi lelaki. Ia juga dikenali sebagai sunat atau dalam bahasa inggeris circumcision.[1] Hukum khatan bagi lelaki adalah wajib mengikut pandangan muktamad dalam Mazhab Syafie. Ini telah dijelaskan di dalam Artikel Al-Kafi Li Al-Fatawi #419: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita .  Imam al-Ramli menyebut: (وَيَجِبُ) (خِتَانٌ) لِذَكَرٍ وَأُنْثَى Maksudnya: Dan wajib berkhatan bagi lelaki dan perempuan.[2] Antara dalil yang menyebut tentang  pensyariatan khatan ialah: Firman Allah SWT dalam al-Quran: ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ Al-Nahl, 16: 123 Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik. Selain itu, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ بَعْدَ ثَمَانِينَ سَنَةً، وَاخْتَتَنَ بِالْقَدُومِ Maksudnya: “Nabi Ibrahim AS berkhatan selepas berumur 80 tahun dengan menggunakan qadum (alat seperti beliung, kapak kecil).” Riwayat al-Tirmidzi (2799) Kemudian hadis yang disabdakan oleh baginda Nabi SAW: الْفِطْرَةُ خَمْسٌ - أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَار،ِ وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ Maksudnya: “Fitrah (sunnah) itu ada lima perkara: berkhatan,  mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.” Riwayat al-Bukhari (6227) Adapun perbincangan isu khatan berkaitan membuang kulit di bahagian zakar secara sempurna atau tidak sempurna telah dibahaskan para ulama. Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan bahawa: (وَ) فِي (الرَّجُلِ بِقَطْعِ) جَمِيعِ (مَا يُغَطِّي حَشَفَتَهُ)؛ حَتَّى تَنْكَشِفَ كُلُّهَا وَبِهِ يُعْلَمُ أَنَّ غُرْلَتَهُ لَوْ تَقَلَّصَتْ حَتَّى انْكَشَفَ جَمِيعُ الْحَشَفَةِ فَإِنْ أَمْكَنَ قَطْعُ شَيْءٍ مِمَّا يَجِبُ قَطْعُهُ فِي الْخِتَانِ مِنْهَا دُونَ غَيْرِهَا وَجَبَ وَلَا نَظَرَ لِذَلِكَ التَّقَلُّصِ؛ لِأَنَّهُ قَدْ يَزُولُ فَتُسْتَرُ الْحَشَفَةُ وَإِلَّا سَقَطَ الْوُجُوبُ كَمَا لَوْ وُلِدَ مَخْتُونًا. Maksudnya: Dan pada lelaki (yang berkhatan) dipotong kesemua (kulit) yang menutupi hasyafah (kepala zakar); sehingga terbuka keseluruhannya dan dengannya dapat difahami bahawa bahagian yang tidak dipotong itu, jika terlipat sehingga terbuka keseluruhan kepala zakar , maka boleh dipotong sebahagian daripada bahagian yang ditentukan untuk dipotong bagi khitan tanpa bahagian selainnya maka wajib (dipotong). Tidak diambil kira bahagian yang terlipat (sebagai khitan) kerana bahagian tersebut adakalanya boleh hilang sehingga boleh tertutup kepala zakar. Jika tidak (boleh hilang dan tertutup kepala zakar) maka gugurlah kewajipan khitan sepertimana jika dilahirkan dalam keadaan yang sudah berkhitan.[3] Oleh itu, khatan dengan cara yang betul dan sempurna adalah dengan memotong kulit pada bahagian zakar tersebut sehingga nampak keseluruhan kepala zakar.   Khatib al-Syirbini menyebut  bahawa tidak memadai dan tidak cukup hanya potong sebahagian kulit.[4] Adapun bagi isu kulit zakar yang terlipat sehingga boleh menampakkan keseluruhan hasyafah, maka wajib potong sebahagian daripada yang sepatutnya yang dianggap sebagai khatan untuk dipotong dengan tidak mengambil kira kulit itu terlipat. Hal ini kerana, kulit yang terlipat itu kadang-kadang boleh menutupi hasyafah dan jika tidak menutupinya maka gugur kewajipan khatan kerana dianggap seperti dilahirkan seperti orang yang sudah berkhatan. Kesimpulan Khatan merupakan suatu kewajipan untuk dilaksanakan oleh setiap orang islam. Hal ini kerana, hikmah pensyariatan khatan adalah untuk menjaga kesucian dan kebersihan secara luaran mahupun dalaman apabila memotong kulit zakar yang menutupi hasyafah.[5] Firman Allah SWT dalam al-Quran: إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ Al-Baqarah, 2: 222 Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. Oleh itu, kaedah khatan yang betul dan mengikut syarak bagi seorang lelaki muslim adalah dengan memotong kulit yang ada pada bahagian zakar sehingga menampakkan keseluruhan hasyafah. Wallahu’alam [1] Kementerian Kesihatan Malaysia, Garis Panduan Berkhatan teknik Dorsal Slit Penolong Pegawai Perubatan, Percetakan Mesbah Sdn Bhd:KKM, Hlm.1. [2] Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, Dar al-Fikr:Beirut, Jld.8, Hlm.35. [3] Ibnu Hajar al-Haitami, Kitab Tuhfah al-Muhtaj, Kitab al-Siyal, Jilid.9, Hlm.199 [4] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Kitab al-Siyal, Jld.5, Hlm.539 (وَ) خِتَانُ (الرَّجُلِ) (بِقَطْعِ مَا) أَيْ جِلْدَةٍ (تُغَطِّي حَشَفَتَهُ) حَتَّى تَظْهَرَ كُلُّهَا، فَلَا يَكْفِي قَطْعُ بَعْضِهَا [5] Mustafa al-Bugha, Kitab Fiqh al-Manhaji, Aqiqah, Jilid 3, Ms 63 والحكمة من مشروعية الختان إنما هي المبالغة في الطهارة، والنظافة، ولا شك أن إزالة القُلْفة أضمن لذلك، وأعون عليه .وفي نظافة الظاهر إشعار بالحقّ على نظافة الباطن.
3,402
Mukadimah Dalam seminggu dua ini, kita semua kembali dikejutkan dengan tragedi berdarah; etnik Rohingya dibantai dahsyat selepas beberapa siri kekejaman sebelum yang sukar untuk digambarkan. Hanya mereka yang merasainya sahaja tahu betapa pahitnya penderitaan dan trauma yang dihadapi. Isu penindasan kepada masyarakat Rohingya sebenarnya bukanlah isu baharu. Ia telah berlanjutan lebih 40 tahun dan melibatkan ribuan nyawa yang terkorban. Kami telah menyatakan pendirian tegas yang sejak 2 tahun yang lalu dalam Bayan Linnas Siri 79: Sabarlah Saudaraku Rohingya[1], Bayan Linns Khas : Rohingya: Bantulah Saudaramu Walaupun Hanya 10 Sen[2], dan al-Kafi lil al-Fatawi Siri Ke-89 : Menghantar Bantuan Zakat Ke Negara Bergolak[3]. Kami konsisten dengan pendirian kami bahawa etnik Rohingya ini adalah kelompok Muslim yang telah dizalimi dan menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka mengikut kemampuan kita, sekalipun sudah terdapat syubhat-syubhat yang menghina etnik ini dan memperlekehkan mereka dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal. Pada Bayan Linnas kali ini, kami sekali lagi ingin memberi penegasan akan perlunya masyarakat Rohingya dibantu dan diringankan bebannya. Justeru menamakan artikel ini dengan Bayan Linnas Siri Ke-113 : Abaikan Penghinaan, Teruskan Membantu Rohingya!   Kenyataan Akhbar Kami paparkan di sini beberapa keratan laporan akhbar sepanjang minggu lalu berkenaan isu Rohingya. Rohingya: Warga Indonesia protes di Kedutaan Myanmar Kutuk kekejaman terhadap Rohingya - TPM Umat Islam wajib bantu Rohingya Derita Rohingya tuntut ihsan dunia Tentera tembak Rohingya, penduduk rompak Rohingya: Malaysia boleh main peranan selaku negara ASEAN dihormati - Pas Sebenarnya cukup banyak laporan dan berita mengenai isu ini. Cuma cukuplah pautan-pautan di atas kami berikan untuk menunjukkan perkara ini sangat serius dan sudah mendapat perhatian masyarakat dunia sekian lama.   Kenyataan Pemimpin dan Tokoh Masyarakat YAB. Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia) “Malaysia tidak akan membiarkan kerajaan Bangladesh bersendirian dalam menangani isu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmar. Mengikut Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, mutakhir ini bilangannya (pelarian Rohingya) lebih kurang 350,000 orang yang sudah berpindah dan terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.Dan di Bangladesh dah ada 500,000 sedia ada orang Rohingya yang melarikan diri sebelum ini, jadi skala malapetaka ini amat besar. Kita tak boleh pandang ringan kerana laporan kita terima mereka sedang dizalimi tanpa belas kasihan dengan tindakan yang tidak ada unsur kemanusiaan sama sekali. Sebaliknya memang dilakukan dengan terancang supaya mereka ini didera dan dizalimi, dibunuh, dirogol dan segala angkara yang mengerikan.”[4] Beliau dilaporkan berkata demikian selepas merasmikan pelepasan  Misi Kemanusiaan - Negaraku Prihatin di Pangkalan Udara TUDM Subang, pada 9 September lepas.   YAB. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri Malaysia) “Kita mahu memberikan kesedaran. Kita mahu kuasa besar melakukan sesuatu untuk memastikan tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya dihentikan serta-merta. Kofi Annan (bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) pernah menyatakan keperluan supaya dihentikan tindakan ganas ke atas Rohingya kerana kononnya mereka ini pengganas. Tidak adil dianggap atau digambarkan pengganas. Mereka mahu pertahankan diri, mereka mahu membina hak mereka sendiri, hak sebagai orang yang dilahirkan di negara berkenaan. Mustahil menganggap kanak-kanak atau wanita yang tidak berdosa sebagai pengganas dan dibakar, dicampak dalam sungai dan dikerat dan dicampakkan mayat mereka!”[5]   Recep Tayyip Erdogan (Presiden Turki) “Rakhine bukanlah tempat yang asing bagi kami. Drama kemanusiaan yang berlaku di Rakhine telah berlangsung berdekad lama. Ramadhan lalu satu-satunya pertubuhan asing yang secara rasmi menyalurkan bantuan di Rakhine ialah TIKA (Agensi Kerjasama dan Penyelarasan Antarabangsa Turki). Selepas perbincangan mengenai perkembangan terbaharu, kami memastikan bahawa aktiviti kemanusian TIKA di rantau terbabit akan diteruskan. Dunia telah menyaksikan cukup dahsyat kesakitan dan penderitaan. Kami akan terus menjadi suara golongan Muslim Rakhine untuk menolong mereka.”[6]   Waleed Al-Khereiji (Duta Saudi di Turki)  “Kerajaan Saudi mengecam kerajaan Myanmar kerana menafikan hak kerakyatan kaum Rohingya semenjak tahun 1982 dengan menganggap mereka sebagai pendatang asing. Oleh disebabkan itu, masyarakat Rohingya telah disekat kebebasan untuk bergerak bebas dan disekat hak asasi manusia mereka, walaupun pada perkara paling asas, seperti makanan dan servis kesihatan. Kerajaan Saudi telah menderma $50 juta kepada komuniti Muslim ini melalui pusat pemulihan kesihatan dan pendidikan, dan telah mula menerima pelarian sejaj tahun 1948. Hari ini terdapat 300,000 orang Rohingya di Kerajaan Saudi.” “Kerajaan Saudi telah mengeluarkan banyak kenyataan yang mengutuk keganasan yang dilakukan ke atas etnik Rohingya, termasuklah rogol, bunuh, paksa halau, penindasan, dan kempen pembersihan etnik. Kerajaan Saudi telah menghubungi Setiausaha Agung PBB dan krisis Rohingya ini telah menjadi isu antarabangsa sehingga Myanmar mendapat kecaman antara bangsa daripada krisis Rohingya. Sebagai pemimpin dunia Islam, Kerajaan Saudi akan meneruskan usaha dan hubungan untuk mencari penyelesesaian.”[7]   Desmond Tutu (Bekas Paderi Gereja Anglican dan Aktivis Sosial) “Kemuculan anda (Suu Kyi) di khalayak ramai mengurangkan kebimbangan kami tentang keganasan yang dilakukan terhadap Rohingya. Tetapi apa yang dipanggil pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai tetap berterusan, malah baru-baru ini semakin memuncak.”[8]   Pope Francis (Pemimpin Agama Vatican City) “Mereka diseksa dan dibunuh semata-mata kerana mahu mempertahankan budaya serta agama mereka. Mereka bukan Kristian, tetapi mereka orang yang baik dan mereka juga adalah saudara kita. Mereka diusir dari Myanmar dan terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain disebabkan tiada pihak yang mahukan mereka.”[9]   Dalai Lama (Pemimpin agama Buddha) “Mereka (kerajaan Myanmar), seperti yang kamu lihat, sedang mengganggu sebahagian orang Islam. Mereka patut sedar, jika Buddha dalam situasi begitu pasti akan menolong Muslim yang kasihan. Jadi, saya berasa sangat sedih, sangat sedih.”[10]   Kenyataan Tokoh Ulama dan Institusi Islam Syeikh Prof. Dr. Ahmad Thayib (Syeikhul al-Azhar al-Syarif) “Dengan bekerjasama dengan Majlis Hukamak Muslimin, Al-Azhar telah berusaha untuk menyatukan pihak-pihak yang berkonflik dan merapatkan pandangan yang bertentangan di Rakhine. Program itu dilaksanakan oleh Al-Azhar pada awal tahun ini di Kaherah bersama beberapa orang pimpinan pemuda yang mewakili semua agama dan etnik di Myanmar. Mereka termasuklah para sama dan tokoh pelbagai agama. Ia bertindak sebagai langkah awal untuk menyelesaikan isu tersebut dengan jalan perdamaian. Namun beberapa pemimpin agama di Myanmar tidak mempedulikan sama sekali usaha ini. Mereka sengaja membiarka diri mereka bersekongkol dengan golongan ekstremis; pasukan bersenjata junta Myanmar yang melakukan pembunuhan dan pembersihan etnik Muslim  dengan cara yang sangat liar dan tidak berperikemanusiaan. Sikap ini ditolak oleh semua ajaran agama dan perkara ini akan menjadi catatan sejarah yang buruk bagi Myanmar yang tidak mungkin dihapus oleh waktu. Bergerak dari rasa tanggungjawab keagamaan dan kemanusiaan al-Azhar al-Syarif, serta komitmen terhadap misi antarabangsanya, Al-Azhar tidak mungkin hanya berpangku tangan terhadap aksi-aksi kekejaman ini. Al-Azhar akan memimpin gerakan kemanusiaan pada peringkat negara-negara Arab, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pembantaian yang ditanggung harganya oleh umat Islam di Myanmar. Al-Azhar menuntut kepada seluruh badan dan organisasi antarabangsa serta pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia di dunia agar mendirikan tanggungajawab mereka untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menyiasat jenayah yang sangat keji ini, mencari para pelakunya, kemudian dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk didakwa sebagai penjenayah perang atas kekejaman mereka. Semua pihak wajib benar-benar memperhatikan bahwa kejahatan semacam ini merupakan faktor terkuat untuk mendorong munculnya kejahatan keganasan yang menimpa seluruh umat manusia. Kami mengisytiharkan dari sini; dari Mesir, jantung negara-negara  Arab dan Islam, dan dari Al-Azhar, seruan kemanusiaan agar Liga Arab, Pertubuhan Persidangan Islam, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Majlis Keselamatan, agar segera mengambil tindakan. Sebelum itu, kami menyerukan kepada seluruh pembuat-pembuat polisi di negara-negara Arab dan Islam, agar mengerahkan segala upaya untuk memberikan tekanan politik dan ekonomi agar pemerintah Myanmar kembali ke jalan yang matang dan benar dan menghentikan projek diskriminasi etnik dan agama antara warganegara. Al-Azhar tidak lupa mengungkapkan rasa teramat kesal terhadap sikap tidak konsisten individu (Aung San Suu Kyi) yang memegang hadiah Nobel Perdamaian di sebelah tangannya, sebelah tangan lagi merestui terhadap semua jenayah yang berlaku; yang meletakkan perdamaian dalam angin lalu, sehingga menjadikannya hanya sekadar lafaz tanpa makna. Akhirnya, kami ingin mengatakan kepada saudara-saudara kami di Burma: Teruslah berjuang untuk menghadapi serangan ganas ini! Kami bersama kalian, dan kami tak akan mengecewakan kalian. Allah adalah Penolong kalian. Ketahuilah bahawa: إِنَّ اللَّهَ لَا يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِينَ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah Yunus: 81) وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبُونَ Maksudnya: “Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.” (Surah al-Syu`ara: 227)[11] Syeikh Dr. Ali al-Qurrah Daghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia) “Situasi yang berlaku di Arakan merupakan perkara yang memalukan ke atas seluruh dunia yang terdiri daripada badan kerajaan, institusi-institusi, ahli politik, para intelektual, para ulamak dan ahli sains, di mana ribuan umat Islam telah terbunuh dan menjadi pelarian. Namun tidak ada sesiapa yang menangis untuk mereka. Seruan ini diucapkan di tengah-tengah rasa kesedihan yang mendalam yang diperlukan dunia di atas apa yang sedang berlaku ke atas mereka yang tidak mempunyai sebarang dosa melainkan hanya kerana mereka berpegang dengan akidah Islam. Lalu, orang-orang Buddha yang fanatik ini melakukan pembunuhan serta penyembelihan yang telah membuatkan tubuh-tubuh kita bergoncang disebabkan mereka: saudara-saudara kita di dalam agama (Islam).” [12]   Syeikh Marwan Abu Ras (Presiden Kesatuan Ulama Palestin) “Apa yang berlaku di Burma merupakan jenayah terbesar di abad ini, dan kita para ulamak Palestin mengikuti dengan kemarahan apa yang sedang berlaku kepada saudara Muslim kita yang ditindas di Burma dan di atas kekejaman yang melampaui hak kemanusiaan. Kami dari tengah-tengah kepungan Gaza menganggap jenayah ini sebagai sebuah jenayah yang amat memalukan yang dilakukan oleh penjenayah munafik. Jenayah yang dilakukan oleh mereka yang melaungkan slogan mempertahankan hak asasi manusia. Telah mati hati kalian wahai pelindung hak dan kewajipan, dan telah kotor hati wahai pendokong kebebasan beragama.”[13]   Seruan Menghulurkan Bantuan Kami menyebut sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ   Maksudnya: “Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang Mukmin, maka Allah melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah senantiasa menolong seorang hamba selama hamba tersebut menolong saudaranya. Barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allâh akan mudahkan baginya jalan menuju Surga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allâh (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenteraman akan turun atas mereka, rahmat meliputi mereka, Malaikat mengelilingi mereka, dan Allâh menyanjung mereka di tengah para Malaikat yang berada di sisi-Nya. Barangsiapa yang diperlambat oleh amalnya (dalam meraih derajat yang tinggi-red), maka garis keturunannya tidak bisa mempercepatnya.” Riwayat Muslim (2699) Berkata al-Qadhi Iyyadh rahimahullah: “Pada hadis ini kelebihan menolong seorang Muslim akan Muslim yang lain pada setiap yang mendatangkan kebaikan, dan berlaku ma`ruf kepadanya, dan menutup keaibannya.” Rujuk Ikmal al-Mu`lim (8/24) Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Pada hadis ini kelebihan membantu orang Islam dan mengeluarkan mereka daripada kesempitan kepada kelapangan dan menutup ketergelincirannya dengan menggunakan hartanya, jawatannya, dan pertolongannya. Zahir hadis juga menunjukkan ini termasuklah menghilangkan kesusahan itu dengan isyarat, pandangan dan petunjuknya.” Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (16/175) Hadis ini jelas menunjukkan bahawa orang Islam itu bukan setakat bersaudara, tetapi mengukuhkan dan saling membantu antara satu dengan lain. Bantuan itu pula tidak terhad kepada doa semata-mata, tetapi dengan menggunakan sumber nikmat yang Allah kurniakan sebagai ujian kesyukuran bagi kita. Bagi mereka yang dikurniakan Allah harta yang banyak, maka dia menolong saudaranya yang dizalimi dengan hartanya. Manakala mereka yang memiliki jawatan dan kedudukan di mata manusia, dia menggunakan status tersebut untuk menolong saudaranya. Bagi mereka yang mempunyai kebijaksanaan pula, mereka boleh merancang aktiviti kemanusiaan, pendidikan dan pemberdayaan golongan yang tertindas. Begitulah Allah SWT mengaturkan rezeki dan kemampuan manusia supaya mereka bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya.   Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Pembantaian dan kekejaman terhadap Muslim Rohingya di Myanmar sebenarnya bukan pertama kalinya di tahun ini, namun ianya telah berlangsung terlalu lama. Demi menyelamatkan nyawa daripada tangan-tangan yang kejam, etnik Rohingya sanggup melarikan diri walaupun terpaksa meredah ombak lautan berminggu-minggu lamanya. Keadaan itu terpaksa dilalui rakyat dari wilayah Arakan, Myanmar kerana komuniti tersebut semakin terhimpit di bumi sendiri. Mendengar dan melihat sebahagian rakaman seksaan dan penderitaan tidak terperi yang dihadapi, begitu menyentap hati ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu dan jiwa yang memikulnya. Kami mengiringi doa untuk kalian dan bantuan seadanya. Ketabahan dan kesabaran yang terpahat dalam jiwa dan sanubarimu adalah ramuan terbaik dalam menghadapi liku-liku kehidupan yang mencabar ini. Hanya titisan air mata yang mengalir di pipi kami. Semoga Allah ampunkan kami, serta menghilangkan kabus dan gerhana kezaliman dalam hidup kamu. Sesungguhnya, kami merasa amat dukacita atas ujian yang menimpamu, saudaraku. Benarlah firman-Nya: وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ Maksudnya: "Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!" (Surah al-Buruj: 8) Sabda Nabi SAW: لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ Maksudnya: "Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”            Riwayat al-Bukhari (13) Mereka menginginkan keamanan, kedamaian dan ketenteraman. Itu juga yang kita inginkan dalam kehidupan kita di sini. Maka, itulah yang wajar kita sedari dan hayati bersama. Seorang Mukmin dengan Mukmin yang lainnya bagaikan satu jiwa, jika dia mencintai saudaranya maka seakan-akan dia mencintai dirinya sendiri. Antara jalan dan cara yang dapat kita hulurkan bantuan buat saudara Rohingya adalah: Masjid-masjid di seluruh Malaysia mengadakan Solat Hajat dan juga Qunut Nazilah Majlis Agama atau Baitul Mal dijadikan sebagai tempat pengumpulan dana dan pengagihan bantuan kepada masyarakat Muslim Rohingya. Begitu juga dengan NGO-NGO yang dipercayai. Menggesa pihak OIC untuk dalam mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu perlarian Rohingya yang tiada arah tuju sehingga berkampung di lautan samudera. Menggesa pihak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi tekanan dan mendesak kerajaan Myanmar. Menggerakkan kempen kesedaran di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain.   Semoga kabut penderitaan yang dialami oleh kaum Rohingya akan segera sirna dan memperolehi keamanan. Kami akhir Bayan Linnas kali ini dengan doa:   اللَّهُمَّ انصُرِ إِخْوَانَنَا المُجَاهِدِيْنَ المَظْلُوْمِيْنَ فِي رُوْهِنْغِيَا، اللَّهُمَّ انصُرْهُمْ نَصْرًا عَزِيْزًا وَدَمِّرْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنَ، اللَّهُمَّ شَتِّتْ شَمْلَهُمْ فَرِّقْ جَمْعَهُمْ  وَ اجْعَلْهُمْ فِيْ نُحُوْرِهِمْ، اللَّهُمَّ انصُرِ إِخْوَانَنَا المُجَاهِدِيْنَ المَظْلُوْمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ   Maksudnya: “Ya Allah! Kami bermohon akan Engkau berilah pertolongan kepada saudara mara kami yang sedang berjihad lagi dizalimi di Rohingya. Ya Allah! Engkau bantulah mereka dengan bantuan-Mu yang besar, dan hancurkanlah musuh-musuh-Mu, musuh-musuh agama. Ya Allah! Cerai-beraikanlah kumpulan mereka, dan pisahkanlah kesatuan mereka, dan jadikanlah mereka berperang sesame sendiri. Ya Allah bantulah saudara mara kami yang sedang berjihad lagi dizalimi di setiap tempat.”   Amin.   Akhukum fillah, SS. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, 12 September 2017M bersamaan 21 Zulhijjah 1438H.   Nota hujung: [1] http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/946-bayan-linnas-siri-79-sabarlah-saudaraku-rohingya [2] http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/616-rohingya-bantulah-saudaramu-walaupun-hanya-10-sen [3] http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/390-menghantar-bantuan-zakat-ke-negara-bergolak [4] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1389810 [5] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1389824 [6] https://www.dailysabah.com/diplomacy/2017/09/06/turkey-to-deliver-10000-tons-of-humanitarian-aid-to-rohingya-in-2nd-batch-erdogan-says [7] http://www.arabnews.com/node/1158161/saudi-arabia [8] Utusan Malaysia. 11 September 2017. “Aktivis Sosial gesa Suu Kyi hentikan pembunuhan di Rakhine.” [9] Utusan Malaysia. 11 September 2017. “Pope tersentuh, rayu doakan kesejahteraan etnik Rohingya.” [10] http://www.ndtv.com/india-news/lord-buddha-would-have-helped-rohingya-muslims-says-dalai-lama-1748490 [11] http://arabic.euronews.com/2017/09/08/al-azhar-rohingya [12] http://ulamasedunia.org/2017/09/08/kuis-seru-jadikan-jumaat-hari-solidariti-bersama-umat-islam-rohingya/ [13] http://ulamasedunia.org/2017/09/07/ikatan-ulamak-palestin-seru-dunia-bertindak-bela-umat-islam-rohingya/
3,405
SOALAN Apakah maksud Talbiah dan bilakah waktu yang disunatkan untuk memulakannya dan bilakah waktu untuk menghabiskannya ? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW. Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT. Lafaz talbiah adalah seperti berikut: لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.” Hal ini bersandarkan hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.” Riwayat Muslim (1184) Sunat membaca laungan talbiah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji. Dalam hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda: أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلاَلِ وَالتَّلْبِيَةِ Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah” Riwayat al-Tirmizi (829) Bacaan talbiah disunatkan bagi lelaki untuk menyaringkan dan meninggikan suara dan tidak pula disunatkan bagi wanita. Justeru, bacaan talbiah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh tanah haram Mekah dimana berkumpulnya semua jemaah haji. Firman Allah SWT: وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27) KESIMPULAN Talbiah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat (mustahab). Walaubagaimanapun, jika seseorang jemaah haji itu meninggalkan perbuatan talbiah, haji yang dilakukannya tetap sah namun mereka tidak mendapat pahala fadilat talbiah tersebut. Ini jelas berdasarkan hadith di bawah: Daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A, bahawa Nabi SAW telah ditanya: أَىُّ الْحَجِّ أَفْضَلُ قَالَ ‏ "‏ الْعَجُّ وَالثَّجُّ ‏"‏ Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban” Riwayat al-Tirmizi (827) Kami ingin mengambil peluang di sini untuk mengingatkan para jemaah haji bahawa ibadah haji yang dilakukan adalah satu peluang yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, gunakanlah kesempatan itu untuk memperbanyakkan lagi amalan-amalan yang mampu mendekatkan kita kepada haji yang mabrur. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.
3,406
Salah Faham Muncul kebelakangan ini golongan yang menyeru agar umat Islam kembali berpegang dengan pemikiran Mu’tazilah jika ingin lebih maju dan progresif. Pemikiran ini dikatakan mampu merungkaikan kejumudan berfikir umat Islam terutama dalam menerima cabaran-cabaran baharu dalam era masakini. Apakah kenyataan ini tepat?   Pencerahan Mu’tazilah merupakan kumpulan yang pernah wujud dalam sejarah Islam seawal kurun kedua hijrah. Para ulama berkhilaf bagaimana asal munculnya nama Mu’tazilah. Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan, antaranya seperti berikut: Ketika al-Hasan al-Basri[1] ditanya mengenai kedudukan pelaku dosa besar, adakah ia jatuh kufur? Sedang beliau berfikir untuk menjawabnya, Wasil bin ‘Ata’[2] tiba-tiba menjawab dengan mengatakan pelaku dosa besar itu tidak mukmin secara mutlak, tidak juga kafir secara mutlak. Tetapi ia berada antara dua kedudukan, bukan mukmin dan bukan kafir. Lalu Wasil telah mengasingkan dirinya pada salah satu tiang masjid sambil mempertahankan pendiriannya. Al-Hasan al-Basri kemudian mengatakan Wasil telah mengasingkan diri daripada kita (اعتزل واصل عنا). Turut bersetuju dengan pendapatnya adalah ‘Amru bin ‘Ubayd. Setelah itu pengikut Wasil dan ‘Ubayd dikenali sebagai Mu’tazilah. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/42; Syarh al-Usul al-Khamsah, 138) Istilah Mu’tazilah pada peringkat awal tidak merujuk kepada mana-mana doktrin. Ia tidak bersifat pujian ataupun celaan. Namun begitu, selepas golongan ini mula mengeluarkan pendapat-pendapat yang berlainan, penamaan ini menjadi lebih bermakna celaan. Lebih-lebih lagi apabila ia terbit daripada seorang imam seperti al-Hasan al-Basri yang memiliki kedudukan sangat tinggi, khususnya dalam kalangan murid-murid beliau dan umumnya dalam kalangan umat Islam. Di samping itu, perkataan seorang tokoh besar kebiasaannya akan menarik perhatian. (Lihat Tarikh al-Firaq al-Islamiyyah, 51)   Berdasarkan latar belakang ringkas yang dikemukakan di atas, ia menjelaskan kepada kita bahawa Mu’tazilah itu merupakan suatu aliran pemikiran yang terbentuk hasil daripada pegangan pengasasnya yang berbeza dengan majoriti umat Islam. Bagi memperincikan lagi pemikiran mereka, dikemukakan di sini beberapa perkara yang wajib diketahui meliputi objektif dan metodologi pemikiran mereka dalam beragama.   Terpengaruh dengan Falsafah Yunani Mu’tazilah adalah golongan yang terperangkap dengan pemikiran logik dan falsafah Yunani, falsafah India dan falsafah Parsi. Majoriti mereka memiliki dasar pemikiran keparsian. Kesudahannya, mereka cuba mengadaptasikan al-Quran dengan ajaran-ajaran falsafah tersebut. Di samping mereka juga tidak mempercayai hadis-hadis yang didakwa bertentangan dengan logika Paganisme Yunani. (Lihat al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri’ al-Islami, hlm. 7) Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, pelbagai faktor yang menyebabkan golongan Mu’tazilah terjerumus ke dalam pengaruh falsafah. Pertama, menerusi ilmu falsafah, mereka menemui keanjalan dalam penggunaan akal sehingga mampu untuk memperkukuhkan hujah-hujah mereka. Kedua, ketika golongan falsafah menggempur prinsip-prinsip pemikiran Islam, golongan Mu’tazilah menawarkan kepada mereka perdebatan. Akibatnya, Mu’tazilah terpaksa menggunakan sebahagian metodologi golongan falsafah dalam berdebat dan menyampaikan argumentasi. (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, 1/145)   Akal Sebagai Sumber Pengetahuan Mu’tazilah Secara ringkas, sumber pengetahuan yang dimaksudkan Mu’tazilah adalah proses bagaimana golongan ini mengutamakan akal berbanding nas-nas syarak. Dengan kata lain menjadikan akal sebagai pemutus dan tidak tunduk kepada hukum. Metodologi logik yang digagaskan oleh Mu’tazilah ini terdiri daripada dua objektif: Pertama: Bertujuan membersihkan akal fikiran daripada sebarang ikatan dan kebiasaan. Dalam konteks ini, memang metode ini berjaya menghapuskan cara berfikir taqlid buta. Kedua: Menjadikan akal sebagai pemutus segala perkara secara mutlak. Ini kerana, golongan Mu’tazilah amat percaya kepada akal, menempatkannya pada posisi yang amat tinggi sehingga akal menjadi hukum bagi memutuskan segala perkara. Ia ibarat cahaya yang menerangi setiap kegelapan. Lalu akal dipaterikan dengan iman sehingga menjadi rujukan dalam segala aspek kehidupan umum mahupun khusus. (Lihat al-Fikr al-Islami bayn al-Ams wa al-Yawm Mahjub bayn al-Milad, 114) Walhasil, golongan Mu’tazilah telah meletakkan akal jauh lebih tinggi daripada syariat yang diturunkan Allah SWT itu sendiri. Mereka menjadikan dalil logik lebih utama berbanding dalil syariat. Harus bagi mereka menolak dalil syariat jika didapati ia bertentangan dengan akal manusia meskipun itu merupakan hadith Nabi SAW yang sahih. Ayat-ayat al-Qur’an juga akan ditakwilkan sesuai dengan akal sekalipun ia merupakan nas yang jelas maknanya. Apa yang penting adalah nas-nas syarak tersebut diinterpretasikan relevan dengan prinsip-prinsip pemikiran mereka. (Lihat al-Tafsir wa al-Mufassirun, 1/372-373)   Memperleceh Para Sahabat R.Anhum Dalam tradisi Mu’tazilah, didapati mereka langsung tidak menghormati dan menghargai kedudukan para sahabat Rasulullah SAW. Tokoh-tokoh Mu’tazilah sering mengecam para sahabat, merendah-rendah bahkan menuduh mereka sebagai golongan yang bermuka-muka. Ibrahim al-Nazzam, salah seorang tokoh Mu’tazilah menuduh Abu Bakar al-Siddiq, ‘Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas’ud sebagai munafiq. Di samping amat memusuhi Abu Hurairah R.A sebagai seorang sahabat yang mulia dan banyak meriwayatkan hadith. (Lihat Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith, 17) Dengan sikap prejudis tersebut, Mu’tazilah mengambil kesempatan di atas peristiwa perang Jamal[3] dan Siffin[4] untuk menjatuhkan kehormatan para sahabat. Dua tokoh Mu’tazilah iaitu Wasil bin ‘Ata’ dan ‘Amru bin ‘Ubayd pernah mengatakan: “Salah satu daripada dua golongan yang berselisih dalam perang Jamal adalah fasiq, persaksian mereka tidak diterima.” (Lihat al-Farq bayn al-Firaq, 120) Sedangkan para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah bersepakat bahawa keseluruhan para sahabat adalah adil (kredibel). Sekalipun terjadi perselisihan dalam kalangan mereka yang membawa kepada peperangan, Ahli Sunnah tetap berkeyakinan bahawa ia berlaku atas dasar ijtihad, jika benar maka mendapat dua pahala, jika tersilap maka mendapat satu pahala. Abu Mansur al-Baghdadi ketika menjelaskan pendirian Mu’tazilah terhadap sahabat menyimpulkan: “Kalangan Mu’tazilah ada yang merasa ragu-ragu terhadap kredibiliti para sahabat semenjak terjadinya pertikaian di antara mereka seperti Wasil bin ‘Ata’. Ada juga yang berkeyakinan bahawa para sahabat itu adalah fasiq seperti ‘Amru bin ‘Ubayd. Ada juga yang mengecam pemuka para sahabat, menuduh mereka pendusta, jahil bahkan munafiq seperti al-Nazzam. Dengan demikian mereka terpaksa menolak pelbagai hadith yang diriwayatkan menerusi para sahabat tersebut. Bahkan al-Nazzam menolak ijma’ dan qiyas serta hadis-hadis mutawatir sebagai hujah.” (Lihat al-Farq bayn al-Firaq, 120) Sikap Mu’tazilah ini akhirnya membuka ruang kepada pihak yang berniat jahat terhadap Islam seperti golongan orientalis untuk menembusi kehormatan para sahabat, memfitnah mereka dan mempermainkan agama Allah SWT. Ia kemudiannya diikuti pula oleh beberapa penulis Islam seperti Ahmad Amin dan Mahmud Abu Rayyah yang terpengaruh dengan penulisan orientalis[5].   Prinsip keadilan menurut Mu’tazilah Salah satu prinsip pemikiran yang terpenting di sisi Mu’tazilah adalah mengenai konsep keadilan. Mereka percaya dengan keadilan-Nya, Allah SWT membiarkan manusia menciptakan amal perbuatan mereka sendiri, sama ada baik atau buruk. Dengan keyakinan tersebut, mereka menolak keberadaan taqdir. Kewujudan taqdir dikatakan akan mencampuri perbuatan seseorang hamba, maka ini sudah tentu akan bercanggah dengan keadilan Allah SWT. (Lihat Syarh al-Usul al-Khamsah, 345) Mu’tazilah mengatakan bahawa Allah SWT tidak menciptakan kecuali perkara yang baik sahaja. Dia tidak sekali-kali menciptakan perkara yang buruk dan Dia tidak akan mengabaikan apa yang wajib dilakukan oleh-Nya. (Lihat Syarh al-Usul al-Khamsah, 132) Ini bermakna, di sisi Mu’tazilah, Allah SWT tidak sekali-kali akan melakukan perkara yang buruk dan Dia juga tidak menghendakinya. (Lihat Syarh Usul al-Khamsah, 459-462) Antara implikasi prinsip keadilan ini, mereka berpendapat bahawa baik dan buruk sesuatu adalah ditentukan dan dinilai dengan akal. Maka apa sahaja yang diperintahkan oleh syarak mesti disebabkan kebaikan zat sesuatu perkara itu, demikian juga larangan syarak mesti disebabkan oleh keburukan zat sesuatu perkara itu. (Lihat Fajr al-Islam, 298) Secara tidak langsung, Mu’tazilah menerusi prinsip keadilan mereka, telah memberikan suatu fungsi yang amat tinggi kepada akal sehingga boleh menetapkan setiap apa yang ditentukan oleh Allah SWT wajib bertepatan dengan penilaian baik dan buruk pada akal.   Pelaku dosa besar Dalam membahaskan isu pelaku dosa besar, Mu’tazilah berpegang dengan prinsip manzilah bayn manzilatayn (posisi tengah antara iman dan kufur). Menurut Mu’tazilah, pelaku dosa besar tidak boleh dihukum beriman sebagaimana mereka juga tidak boleh dihukumkan kafir. Sebaliknya mereka itu digelar fasiq dan akan kelak akan kekal di dalam neraka walaupun mereka beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Mu’tazilah bersandarkan firman Allah SWT: وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” Surah al-Nisa’: 93 Namun begitu, Mu’tazilah berpendapat azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa besar di akhirat lebih ringan berbanding seksaan terhadap orang-orang kafir. (Lihat Manhaj al-Madrasah al-‘Aqliyyah fi al-Tafsir, 44-52)   Pendirian terhadap hadith Nabi SAW Hadith Nabi SAW adalah sumber ajaran Islam kedua selepas al-Qur’an. Hadith berfungsi sebagai pentafsir dan penjelas kepada al-Qur’an sebagai sumber pertama. Oleh sebab itu, para ulama sangat mengambil berat terhadap disiplin ilmu hadith bagi memastikan kesuciannya sentiasa terpelihara. Namun demikian, golongan Mu’tazilah tidak menerima hadith ahad sebagai hujah dalam penetapan hukum. Bagi mereka, hadith ahad tidak boleh memberikan ilmu yang pasti dan meyakinkan sementara justifikusi hukum berdasarkan logik itu lebih pasti dan boleh dijadikan hukum syariat. Dengan alasan tersebut, hukum logik harus didahulukan daripada hadith ahad secara mutlak, sama ada dalam persoalan aqidah mahupun ibadah. Bahkan mereka menolak semua hadith ahad secara total dengan alasan persoalan aqidah hendaklah tertegak dengan metodologi bersifat absolut dan pasti. Bukan berdasarkan metodologi yang bersifat spekulatif seperti hadith ahad. Ini kerana, hadith ahad bagi mereka langsung tidak layak dikategorikan sebagai sunnah kecuali jika ia relevan dengan akal logik. Justeru, hadith ahad tidak boleh disebut, “Rasulullah SAW bersabda..” tetapi disebut, “Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW”. (Lihat Fadhl al-I’tizal, 185-186) Implikasinya daripada pendirian tersebut, Mu’tazilah menolak banyak persoalan aqidah yang pasti daripada Rasulullah SAW seperti seksa kubur, telaga (al-haudh) Rasulullah SAW, titian sirath , timbangan amalan (al-mizan), syafaat dan isu melihat Allah di akhirat. Mereka juga menolak hukum-hakam syariat yang sah dengan alasan bertentangan dengan logik atau kontradiktif dengan al-Qur’an dan hadith-hadith lain. Ibn Qutaibah dalam Ta’wil Mukhtalaf al-Hadtih mengemukakan beberapa contoh mengenai penyimpangan Mu’tazilah dalam berinteraksi dengan hadith-hadith Rasulullah SAW. Antaranya, al-Nazzam mengatakan kemungkinan terjadi pendustaan dalam hadith mutawatir. Hujah logik menurutnya cukup kuat untuk menafikan kredibiliti hadith mutawatir. Al-Nazzam lalu menolak pelbagai riwayat tentang mukjizat Nabi SAW seperti terbelahnya bulan, batu-batu kerikil yang bertasbih di tangan baginda, yang akhirnya penolakan itu menjadi hujah untuk menolak kenabian baginda. (Lihat al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri’ al-Islami, hlm. 138) Al-Baghdadi mengatakan, akidah al-Nazzam telah dirasuki oleh kerosakan akibat berinteraksi dengan puak zindiq dan filosof serta yang lain. Bahkan al-Nazzam akhirnya menolak penghujahan ijma’ dan qiyas dalam pelbagai persoalan amali syariat. (Lihat al-Farq bayn al-Firaq, hlm. 127-143) Al-Baghdadi juga menukilkan ungkapan Abu al-Huzail al-‘Allaf yang mengatakan, “Sesungguhnya hujah melalui jalur hadith yang tidak dapat ditangkap oleh panca indera seperti tanda-tanda kekuasaan Allah pada para nabi atau dalam wujud lain, tidak mungkin ditetapkan oleh kurang daripada dua puluh orang, salah satunya atau lebih adalah ahli syurga.” Ertinya, dia beranggapan bahawa riwayat kurang daripada empat orang tidak boleh mengeluarkan sebarang hukum. (Lihat al-Farq bayn al-Firaq, 127-143)   Kesimpulan Berdasarkan pembentangan ringkas mengenai latar belakang dan pemikiran Mu’tazilah di atas, dapat difahami bahawa Mu’tazilah merupakan suatu pemikiran yang terpengaruh dengan tradisi luar daripada Islam. Golongan ini jelas mendewakan akal dan mengutamakannya berbanding nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Pemikiran sebegini secara langsung dan tidak langsung bersesuaian dengan seruan sesetengah kelompok Islam modernis-progresif masa kini yang kononnya mahu mereformasikan ajaran Islam yang didakwa jumud.   Golongan ini berusaha sehabis mungkin menceduk dan menggali metodologi puak Mu’tazilah untuk diaplikasikan dalam masyarakat Islam pada hari ini. Mereka cuba melakukan modernisasi terhadap syariat Islam sesuai dengan metodologi golongan modernis Barat. Dengan kata lain, modernisme dalam agama adalah suatu bentuk pemikiran yang ditegakkan bersandarkan keyakinan bahawa kemajuan akademik dan wawasan moden mengharuskan reinterpretasi terhadap pelbagai doktrin agama tradisional berasaskan sistematika ajaran falsafah Barat yang diagung-agungkan. (Lihat Mafhum Tajdid al-Din, 96-97) Justeru, dakwaan bahawa umat Islam perlu kembali mengamalkan fahaman Mu’tazilah demi mengangkat agama ini daripada kejumudan dan kemunduran adalah tertolak sama sekali. Sejarah Islam telah membuktikan, tanpa berpegang dengan fahaman Mu’tazilah, umat Islam telah berjaya berada di kemuncak ketamadunan seperti yang ditunjukkan pada era Andalusia. Akhirnya, semoga Allah SWT memimpin kita semua agar dikurniakan kefahaman Islam yang benar dan dilindungi daripada aliran yang menyeleweng demi keselamatan di dunia dan di akhirat. Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah: اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.               Nota Hujung: [1] Beliau dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Beliau pernah menyusu dengan Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW. Hasan al-Basri juga pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasulullah SAW sehingga beliau muncul sebagai ulama terkemuka dalam peradaban Islam. Hasan al-Basri telah meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada hari Jumaat 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), pada umur 89 tahun. Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Hasan_al-Basri ) [2] Wasil ibn Ata (80 Hijrah – 131 Hijrah) dilahirkan pada tahun 80 Hijrah di Madinah. Beliau pada mulanya belajar di bawah Abu Hashim Abd Allah b. Muhammad ibn al-Hanafiyyah, anak kepada khalifah keempat Saidina Ali ibn Abi Talib. Beliau kemudian berhijrah ke Basrah di Iraq untuk belajar dengan Hasan al-Basri (seorang Tabi‘in). Di Basrah beliau mengembangkan aliran yang membawa kepada mazhab Muktazilah. Beliau meninggal dunia pada tahun 131 Hijrah. Beliau berkahwin dengan salah seorang adik-beradik perempuan Amr ibn Ubayd. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Wasil_ibn_Ata ) [3] Perang Jamal atau Perang Unta berlaku pada 11 Jamadilakhir 36H yang mengambil masa tidak sampai sehari. Kemenangan berpihak kepada Khalifah Ali. Peperangan tersebut berlaku apabila Ali menggantikan semua pegawai kerajaan yang merupakan keluarga Uthman bin Affan iaitu Bani Umaiyyah kepada mereka yang cekap dan adil. Ali yang dikenal dengan keadilannya juga mencabut undang-undang yang diskriminatif dan memutuskan untuk membatalkan segala konsesi yang sebelumnya diberikan kepada orang-orang Muhajirin dan menyamaratakan hak umat atas kekayaan Baitul Mal. Disamping itu, pihak keluarga Bani Umaiyyah menggunakan alasan kemangkatan Khalifah Uthman sebagai alasan untuk menentang pemerintahan Ali. Hal tersebut mendapat tentangan dari orang yang selama bertahun-tahun menikmati keistimewaan yang dibuat oleh khalifah sebelumnya. Ketidakpuasan itu kian meningkat sampai akhirnya mendorong sekelompok orang untuk menyusun kekuatan untuk melawan beliau. Talhah, Zubair dan Aisyah berhasil mengumpulkan pasukan yang cukup besar di Basrah untuk bertempur melawan khalifah Ali bin Abi Talib. Mendengar adanya pemberontakan itu, Ali turut mengerahkan pasukannya. Kedua pasukan saling berhadapan. Ali terus berusaha memujuk Talhah dan Zubair agar membatalkan rencana berperang. Beliau mengingatkan keduanya akan hari-hari ketika bersama Rasulullah SAW dan berperang melawan pasukan kafir. Walaupun ada riwayat yang menyebutkan bahawa pujukan Ali itu tidak berhasil menyedarkan kedua sahabat Nabi itu, tetapi sebahagian sejarawan menceritakan bahawa ketika Talhah dan Zubair mendengar teguran Ali, mereka bergegas meninggalkan medan perang. Perang tidak dapat dihindarkan. Ribuan nyawa melayang, hanya kerana ketidakpuasan hati sebahagian orang terhadap keadilan yang ditegakkan oleh Ali. Perang Jamal atau Perang Unta berakhir setelah unta yang dinaiki oleh Saidatina Aisyah tertusuk tombak dan jatuh. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Jamal ) [4] Perang Siffin (37 Hijrah) berlaku semasa zaman fitnah besar atau perang saudara pertama orang Islam. Pertempuran ini berlaku di antara Muawiyah bin Abu Sufyan dan Saidina Ali bin Abi Talib di tebing Sungai Furat yang kini terletak di Syria (Syam). Berikutan pembunuhan Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali menjadi khalifah. Muawiyah, seorang gabenor Syria, merupakan saudara kepada Saidina Uthman dan mahukan pembunuh Uthman diadili. Dia menganggap Ali tidak bersungguh-sungguh mahu menghukum pembunuh Uthman lalu memberontak ke atas Ali. Akibatnya terjadi pertempuran di Siffin. Pertempuran ini tidak berkesudahan dan kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding. Pertempuran dan perundingan melemahkan kedudukan Ali dan pada masa yang sama tidak menyelesaikan konflik yang melanda empayar Islam. Kepada penganut Syiah, Ali ibn Abi Talib merupakan Imam yang pertama. Kepada Sunni, Ali merupakan Khalifah al-Rasyidin yang keempat dan Muawiyah sebagai khalifah pertama Dinasti Umayyah. Peristiwa yang berlaku semasa perang sehingga kini menjadi kontroversi di antara kedua-dua Sunni dan Syiah yang juga memisahkan kedua-dua fahaman ini. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Siffin ) [5] Menurut mantan Menteri Wakaf Mesir, Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq, orientalis boleh dibahagi kepada golongan seperti berikut: Pertama, yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang agama mereka. Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja. Kedua, orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya. Ketiga, orientalis yang mengkaji Islam secara objektif. Mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran. Namun, sebahagian besar mereka adalah dalam kumpulan pertama dan kedua. Mereka dilihat sangat aktif memain peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jikapun tidak meninggalkannya terus. Pelbagai keraguan dan syak wasangka ditimbulkan khususnya tentang asas dan sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan sunah. Antara orientalis yang objektif dan termasuk dalam golongan ketiga tadi ialah Edward William Lane yang menghasilkan kamus Arabic-English Lexicon. Kamus ini diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam nahu Arab dan dirujuk oleh pakar nahu Arab sendiri.
3,410
Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah Imam Ahmad murid kepada Imam al-Syafie dan Imam al-Syafie banyak memujinya? Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Imam Ahmad merupakan seorang faqih, muhaddis dan pengasas kepada Mazhab Hanbali. Nama penuhnya Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Hayyain bin Abdullah bin Anas bin Auf bin Qasit bin Syaiban. Menurut riwayat yang masyhur, beliau dilahirkan di Kota Baghdad pada bulan Rabi’ul Awwal tahun 164 H. (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/4 dan Siyar A’lam al-Nubala, 11/179) Beliau merupakan tokoh ulama hadis yang terkemuka sama ada pada zamannya atau selepasnya. Musnad Ahmad Ibn Hanbal  merupakan kitabnya yang paling agung. Imam al-Zahabi menjelaskan berkenaan kitab al-Musnad sepertimana kenyataan Ibn al-Sammak: “Hanbal telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ahmad bin Hanbal mengumpulkan kami, iaitu aku, Soleh dan Abdullah. Beliau membacakan kitab al-Musnad kepada kami dan tidak ada yang mendengarkannya selain kami. Beliau berkata, Kitab ini (al-Musnad), aku telah mengumpulkannya dan menyemaknya lebih dari 750,000 hadis Rasullah SAW yang terdapat perbezaan di kalangan umat Islam dalam menghukuminya, maka kamu kembalilah kepadanya jika kamu temukan di dalamnya. Jika tidak kamu temukan (jawapan atas suatu persoalan), maka hadis tersebut tidak dapat dijadikan hujah.”(Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 11/329) Menjawab persoalan di atas, memang benar Imam Ahmad adalah murid kepada Imam al-Syafie ketika Imam al-Syafie menetap di Iraq. Beliau merupakan salah seorang yang mendokong pandangan Imam al-Syafie melalui kitab Imam al-Syafie, al-Hujjah. Mazhab al-Syafie ketika di Iraq dikenali sebagai qaul qadim atau lama. Antara pujian Imam al-Syafie kepada Imam Ahmad adalah: Kata Imam al-Syafie: أَحْمد إِمَام فِي ثَمَان خِصَال إِمَام فِي الحَدِيث إِمَام فِي الْفِقْه إِمَام فِي الْقُرْآن إِمَام فِي اللُّغَة إِمَام فِي السّنة إِمَام فِي الزّهْد إِمَام فِي الْوَرع إِمَام فِي الْفقر Maksudnya: “Ahmad adalah Imam dalam lapan perkara: Beliau imam dalam hadis, fekah, al-Quran, lughah (bahasa arab), al-Sunnah, al-Zuhd, al-Warak, serta kefakiran.”[1] Kata Imam al-Syafie lagi: خرجت من بَغْدَاد وَمَا خلفت بهَا أورع وَلَا أتقى وَلَا أفقه وَلَا أعلم من أَحْمد ابْن حَنْبَل Maksudnya: “Aku keluar dari Baghdad, dan tidak aku tinggalkan padanya seorang pun yang lebih warak, paling bertakwa, paling faqih, dan paling berilmu daripada  Ahmad bin Hanbal.”[2] Imam al-Syafie turut berkata kepada Ahmad: أَنْتُم أعلم منا بِالْحَدِيثِ فَإِذا كَانَ الحَدِيث كوفيا أَو شاميا فأعلموني حَتَّى أذهب إِلَيْهِ Maksudnya: “Kamu lebih ‘alim tentang hadis berbanding kami. Sekiranya hadis itu berada di Kufah atau Syam maka beritahulah kepada aku sehingga aku pergi menuju kepadanya.”[3] Kata beliau lagi: كل مَا فِي كتبي حَدثنِي الثِّقَة فَهُوَ أَحْمد بن حَنْبَل Maksudnya: “Kesemua yang terdapat di dalam kitab-kitabku: “Telah menceritakan kepadaku seorang yang tsiqah (dipercayai)” maka dia adalah Ahmad bin Hanbal. Dan kesemua yang terdapat di dalam kitabku:  “Dan ini adalah apa yang dithabitkannya” atau “ia tidak dithabitkan oleh ahli ilmu” maka maksudnya adalah Ahmad ibn Hanbal.”[4] Semoga Allah merahmati kedua-dua tokoh imam ini serta memberikan kepada kita petunjuk dan hidayah untuk mengikut Nabi Muhammad SAW, para sahabat, solehin, siddiqin dan tokoh-tokoh ulama’ yang menjadi bintang kepada ummah. Amin.   Nota Hujung: [1] Lihat Tabaqat al-Hanabilah (1/10), Muqaddimah al-Mughni (1/9) dan al-Maqsad al-Arsyad oleh Ibn Muflih (1/65). [2] Lihat Tarikh Dimashq oleh Ibn Asakir (5/272), Tabaqat al-Hanabilah (1/40), Tarikh Baghdad (6/99) dan Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi (1/143). [3] Lihat al-‘Ilal wa Ma’rifah al-Rijal (no. 1055), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (99/170) dan al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (11/213). [4] Lihat Hilyah al-Auliya’, Abu Nu’aim al-Asbahani (4/125) dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimashq (5/297).
3,411
Soalan: Apakah makna hadith ini? تَسَمَّوْا بِاسْمِي وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي Maksudnya: “Berilah nama dengan namaku dan janganlah kamu memberikan kunyah (كُنْيَةْ) sepertimana kunyahku.”   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Di dalam artikel kami yang lepas, kami nyatakan bahawa hukum menggunakan kunyah merupakan salah satu daripada sunnah Nabi SAW. Akan tetapi, sunnah ini kurang diamalkan di dalam masyarakat kita pada hari ini, tidak seperti di negara-negara Arab. Kunyah atau nama panggilan ialah nama panggilan bagi seseorang yang dimulakan dengan perkataan “Abu” bagi lelaki atau “Ummu” bagi wanita. Berdasarkan kepada soalan di atas, hadith tersebut merupakan hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam sahihnya pada bab dosa orang berdusta di atas nama Nabi SAW iaitu hadith yang ke-110 dan juga pada bab nama panggilan atau kunyah Nabi SAW iaitu hadith yang ke-3538. Di samping itu juga, hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya pada bab larangan menggunakan nama panggilan Abu al-Qasim iaitu hadith yang ke-2133. Imam Ibn Hajar al-Asqalani ada menukilkan kata-kata Imam al-Nawawi bahawa para ulama berselisih pandangan pada penggunaan nama panggilan Abu al-Qasim kepada tiga pandangan: Melarang secara mutlak sama ada namanya Muhammad ataupun tidak. Hal ini thabit daripada Imam al-Syafie. Membenarkan secara mutlak dan larangan tersebut hanya berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Melarang bagi seseorang yang bernama Muhammad dan dibenarkan bagi seseorang yang namanya bukan Muhammad. Hal ini sebagai yang dipegang oleh al-Rafi’ie dan seakan-akan pandangan ini adalah lebih tepat kerana manusia masih melakukannya pada setiap masa tanpa ingkar. Kata Imam al-Nawawi lagi, pandangan yang ketiga bercanggah dengan zahir hadith. Adapun, perbuatan manusia itu menjadi penguat bagi pandangan yang kedua seakan-akan sandaran mereka adalah berdasarkan apa yang berlaku di dalam hadith Anas:   كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي السُّوقِ، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا أَبَا القَاسِمِ، فَالْتَفَتَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنَّمَا دَعَوْتُ هَذَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَمُّوا بِاسْمِي وَلاَ تَكَنَّوْا بِكُنْيَتِي Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke pasar, maka telah berkata seorang lelaki: “Wahai Abu al-Qasim”, lalu Baginda SAW berpaling kepadanya. Lelaki tersebut berkata: “Aku memaksudkan orang ini (bukan kamu iaitu Rasulullah SAW).” Bilamana begitu, Rasulullah SAW bersabda: “Berilah nama dengan namaku dan janganlah kamu memberikan kunyah (كُنْيَةْ) sepertimana kunyahku.” [Riwayat al-Bukhari (2120)]   Dengan itu, difahami daripada ucapan Nabi SAW bahawa larangan itu hanya khusus pada zaman Baginda SAW masih hidup dan sebab (penghalang) itu telah hilang dengan kewafatan Nabi SAW. [Lihat: Fath al-Bari, 10/572]  Dar al-Ifta’ Jordan ada mengeluarkan pandangan bahawa tidak menjadi masalah seseorang itu menamakan anaknya dengan nama Qasim atau al-Qasim kerana tiada dalil yang melarangnya. Akan tetapi, mazhab kami (mazhab al-Syafie) mengharamkan penggunaan nama panggilan atau kunyah dengan Abu al-Qasim dan ini merupakan pandangan yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie. Justeru, dia perlu memilih nama panggilan yang lain bagi dirinya atau memilih nama anak yang lain dan tidak semestinya anak yang sulong. Walaupun begitu, kami cenderung kepada pandangan jumhur salaf, fuqaha’ dan ulama yang membenarkan penggunaan nama panggilan “Abu al-Qasim” kerana sebab pengharaman telah tiada iaitu kewafatan Nabi SAW dan pengharaman itu hanya berlaku ketika Rasulullah SAW masih hidup. Ini juga merupakan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya. [Lihat: Mughni al-Muhtaj, 1/101]   Penutup Kesimpulannya, hadith berkaitan larangan menggunakan nama panggilan atau kunyah adalah sahih (muttafaqun ‘alaih) kerana ia telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Di samping itu, dibolehkan untuk menggunakan nama panggilan atau kunyah dengan “Abu al-Qasim” berdasarkan kepada apa yang telah kami jelaskan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama ini untuk kita amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Amin.   Wallahua’lam
3,413
SOALAN Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan pembahagian pusaka. Saya ada dengar yang perempuan boleh menghabiskan harta pusaka tanpa ada waris lelaki, bukankah ada harta ke baitulmal kalau hanya tinggal waris-waris perempuan iaitu isteri, anak perempuan dan kakak? RINGKASAN JAWAPAN Waris perempuan boleh mewarisi secara asabah dengan dua cara iaitu: Asabah bil ghairi – bersama saudara (adik beradik) lelaki sedarjat dengannya. Asabah ma’al ghairi – khusus untuk saudara (adik beradik) perempuan seibu sebapa atau saudara (adik beradik) perempuan sebapa dengan kehadiran anak perempuan atau cucu perempuan. Oleh itu, apabila tiada waris lelaki yang layak atau terhalang daripada menerima asabah, maka berdasarkan soalan, kakak (saudara perempuan seibu sebapa) akan menerima asabah dan mengambil baki setelah dibahagikan harta pusaka kepada waris fardu iaitu isteri dan anak perempuan. HURAIAN JAWAPAN Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Pembahagian harta pusaka orang Islam dibahagikan secara faraid setelah diselesaikan segala pengurusan jenazah, hutang dan wasiatnya berdasarkan firman Allah SWT: مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِى بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ۗ Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” Surah al-Nisa’ (11) Ahli waris yang layak menerima harta pusaka akan mewarisi sama ada secara fardu atau asabah. Fardu ialah kadar bahagian daripada harta pusaka yang telah ditetapkan oleh syarak kepada waris. Antara waris fardu yang mempunyai bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak mengikut keadaan-keadaannya ialah: Bapa Ibu Pasangan iaitu suami atau isteri Anak perempuan dan cucu perempuan daripada anak lelaki Datuk sebelah bapa Nenek sebelah ibu dan nenek sebelah bapa Saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu Saudara lelaki seibu Manakala cara pewarisan kedua ialah asabah yang umumnya bermaksud ahli keluarga lelaki. Dari sudut istilah faraid pula, asabah ialah waris yang mewarisi sama ada mengambil semua bahagian atau baki setelah dibahagikan kepada bahagian waris fardu. Dalam beberapa keadaan, mewarisi secara asabah tidak mendapat apa-apa harta sekiranya tiada baki selepas pembahagian kepada waris fardu[1]. Sekiranya terdapat ramai waris lelaki yang layak menerima asabah, maka akan diutamakan waris asabah yang paling dekat dengan si mati. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: ‌أَلْحِقُوا ‌الْفَرَائِضَ ‌بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak di kalangan ahli waris sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamu yang lebih berhak.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim Secara umumnya, waris lelaki akan mewarisi harta pusaka secara asabah dinamakan asabah bi al-nafsi kecuali suami dan saudara lelaki seibu kerana mereka ialah waris fardu yang masing-masing mempunyai bahagian tertentu. Antara waris yang mendapat bahagian faraid secara asabah bi al-nafsi adalah menurut turutan berikut: Anak lelaki dan cucu lelaki serta keturunannya ke bawah Bapa dan datuk (sebelah bapa) Saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa dan keturunan lelaki mereka Bapa saudara seibu sebapa (sebelah bapa), bapa saudara sebapa (sebelah bapa) dan keturunan lelaki mereka Oleh yang demikian, dapat diketahui bahawa terdapat dalam golongan waris lelaki yang akan mendapat harta pusaka secara asabah selain fardu seperti bapa dan datuk.[2] Namun begitu, waris perempuan yang merupakan waris fardu juga akan mewarisi secara asabah dalam dua keadaan berikut: Asabah bi al-Ghairi Waris perempuan akan mewarisi secara asabah bersama saudara (adik beradik) lelaki yang sedarjat dengannya seperti anak perempuan dan anak lelaki, cucu perempuan dan cucu lelaki, saudara perempuan seibu sebapa dan saudara lelaki seibu sebapa serta saudara perempuan sebapa dan saudara lelaki sebapa [3]. Dalam keadaan ini, golongan tersebut akan berkongsi bahagian dengan kadar bahagian lelaki bersamaan dua kadar bahagian perempuan berdasarkan firman Allah SWT: لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ ٱلْأُنثَيَيْنِ Maksudnya: “Bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.” Surah al-Nisa’ (11) Asabah ma’a al-Ghairi: Saudara perempuan seibu sebapa atau saudara perempuan sebapa akan mewarisi secara asabah apabila bersama anak perempuan, cucu perempuan atau kedua-duanya sekali[4]. Perkara ini berdasarkan hadis Ibn Mas’ud RA apabila ditanya berkenaan pewarisan anak perempuan, cucu perempuan dan saudara perempuan: أَقْضِي فِيهَا بِمَا قَضَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ‌لِلْابْنَةِ ‌النِّصْفُ، وَلِابْنَةِ ابْنٍ السُّدُسُ تَكْمِلَةَ الثُّلُثَيْنِ، وَمَا بَقِيَ فَلِلْأُخْتِ Maksudnya: “Hukum yang saya putuskan dalam keadaan ini sama seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW iaitu satu perdua adalah untuk anak perempuan dan satu per enam untuk anak perempuan daripada anak lelaki kerana kedua-dua bahagian itu menjadikan dua pertiga bahagian; dan selebihnya untuk saudara perempuan.” Riwayat a-Bukhari Oleh itu, sekiranya terdapat ahli keluarga meninggal dunia dan hanya mempunyai waris perempuan sahaja seperti isteri, anak perempuan dan kakak (saudara perempuan seibu sebapa), maka kakak akan mendapat pewarisan secara asabah dan mengambil baki selepas diberikan bahagian isteri iaitu satu per lapan dan bahagian anak perempuan satu per dua. Perkara ini berlaku sekiranya tiada waris lelaki lain yang mewarisi secara asabah semasa kematian berlaku iaitu bapa, datuk, anak lelaki dan adik beradik lelaki seibu sebapa. Wallahu a’lam. Rujukan: [1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji. (1992). Al-Fiqh al-Manhaji. Damsyik: Dar al-Qalam. Jilid 5, Hlmn, 82-98 والفرض اصطلاحاً هو النصيب المقدر شرعاً للوارث إن العصبة، هم قرابة الرجل الذكور، سموا بذلك لإحاطتهم به، وقوته بهم إن العصبة شرعاً: هو من يستحق كل المال إذا انفراد، ويأخذ ما أبقاه أصحاب الفروض بعد أخذهم فروضهم، وإذا لم يبق شئ بعد أصحاب الفروض سقط ولم يستحق شيئاً [2] Ibid. Hlmn. 98-99 العصبة بالنسب هم كل الذكور، الذين مر ذكرهم في بحث (الوارثون من الرجال)، ولا يستثنى منهم إلا الزوج، والأخ من الأم، فإنهما من أصحاب الفروض فقط، ولا يكونان عصبة. فالأب، والجد، والابن، وابن الابن، والأخ الشقيق، ومن الأب، وابن الأخ الشقيق، ومن الأب، والعم الشقيق، ومن الأب، وابن العم الشقيق، ومن الأب، فهؤلاء كلهم عصبات، يرث كل واحد منهم بالتعصيب، وإن كان بعضهم يأخذ بالفرض أحياناً، كالأب والجدّ. [3] Ibid. Hlmn. 101 والعصبة بالغير محصورة في أصحاب الثلثين والنصف مع إخوتهن. وهن: البنات مع الابن، بنات الابن مع ابن الابن، الأخوات الشقيقات مع الأخ الشقيق، الأخوات لأب مع الأخ لأب. [4] Muhammad bin Ahmad al-Ramli. (1984). Nihayah al-Muhtaj. Beirut: Dar al-Fikr. Jilid 6 Hlmn 22. (وَالْأَخَوَاتُ) أَوْ الْأُخْتُ (لِأَبَوَيْنِ أَوْ لِأَبٍ مَعَ) الْبِنْتِ أَوْ (الْبَنَاتِ أَوْ) مَعَ بِنْتِ الِابْنِ أَوْ (بَنَاتِ الِابْنِ عَصَبَةٌ كَالْإِخْوَةِ) إجْمَاعًا
3,414
SOALAN Saya bercerai dengan isteri pertama dan berkahwin dengan isteri kedua, setelah itu saya ditimpa sakit iaitu strok, isteri kedua saya tidak mampu untuk menjaga, kemudian anak-anak saya dari isteri pertama buat keputusan untuk menjaga saya di rumah mereka iaitu bersama satu rumah dengan bekas isteri. Apakah hukum saya berada di rumah bekas isteri dalam masa yang sama saya sedang sakit dan anak-anak hendak jaga saya.?   RINGKASAN JAWAPAN Tidak harus bagi suami tinggal bersama -sama dengan bekas isterinya di dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya kerana dikhuatiri akan menjurus kepada fitnah dan maksiat. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama bekas isteri berkenaan atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai, maka suami diharuskan masuk rumah tersebut dan duduk tinggal di situ.   HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.   Dilarang bagi pasangan suami isteri yang sudah tamat iddahnya untuk berada dalam satu rumah kerana hukum bekas suami ketika ini samalah seperti lelaki ajnabi (orang asing) yang lain, iaitu Haram masuk ke dalam rumah dalam keadaan tidak ada mahram atau wanita yang dipercayai di dalamnya. Keadaan ini boleh menyebabkan terjebak kepada perbuatan khalwat. Dalam meneliti isu ini, kami bawakan sebuah kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr R.anhuma:   أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ‏"‏ لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ   Maksudnya: “Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti ‘Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut, dan beliau tidak menyukai perkara itu. lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata: “Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu.” Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: “Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya”. Riwayat Muslim (2173)   Melihat pada situasi ini anak-anak dan bekas isteri sudah mengizinkan bapa atau bekas suami tinggal bersama mereka. Perkara yang menjadi larangan dari sudut syarak adalah apabila mereka berada dalam keadaan berdua-duaan. Kerana Nabi SAW bersabda: لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ Maksudnya: “Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan”. Riwayat al-Tirmizi (1171)   Oleh hal yang demikian, tidak ada halangan dari sudut hukum syarak untuk suami tinggal di dalam satu rumah dengan bekas isterinya selagi mana terdapat mahramnya seperti anak-anak mereka, bahkan ia termasuk amalan yang terpuji dan juga dikira sebagai memuliakan ayah kandung mereka. Selain itu perkara ini juga memupuk semangat berbudi di antara bekas pasangan suami isteri yang mana perkara ini sangat-sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT: وَلَا تَنسَوُاْ ٱلۡفَضۡلَ بَيۡنَكُمۡۚ Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri”. Surah al-Baqarah (237)   Namun, dalam konteks bermuamalat wajib bagi kedua-dua bekas pasangan ini menepati batasan yang di tetapkan oleh syarak sebagai status ajnabi iaitu hubungan yang bukan lagi suami isteri. Selain itu, wajib juga bagi bekas isteri itu menjaga aurat dan etika pakaian menurut syariat di hadapan bekas suaminya. Dilarang berbual panjang dalam tempat yang lama melainkan atas dasar keperluan. Selain itu, dilarang berkhalwat berdua-duaan di antara mereka. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi SAW bersabda: ‌لَا ‌يَخْلُوَنَّ ‌رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ Maksudnya:”Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan jika terdapat bersamanya mahram”. Riwayat al-Bukhari (5233)   Sehubungan itu, Syeikh Bujairimi menjelaskan tentang maksud khalwat yang diharamkan oleh syarak ialah: وَضَابِطُ الْخَلْوَةِ ‌اجْتِمَاعٌ ‌لَا ‌تُؤْمَنُ ‌مَعَهُ الرِّيبَةُ عَادَةً بِخِلَافِ مَا لَوْ قُطِعَ بِانْتِفَائِهَا عَادَةً Maksudnya: “Khalwat adalah suatu himpunan yang boleh membawa kepada fitnah secara kebiasaannya. Manakala, jika diyakini tidak akan berlaku fitnah secara kebiasaan, maka ia tidak dianggap berkhalwat”. (Rujuk: Hasyiah al-Bujairimi ala Syarah al-Manhaj, 3/328)   Selain itu juga, termasuk dilarang berada dalam keadaan khalwat atau berdua-duaan ketika bersama dengan ipar. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW: ‌إِيَّاكُمْ ‌وَالدُّخُولَ ‌عَلَى ‌النِّسَاءِ فَقَالَ: رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَرَأَيْتَ الْحَمْوَ؟ قَالَ: الْحَمْوُ الْمَوْتُ Maksudnya: “Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita. Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: ‘Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?’. Sabda baginda: ‘Ipar itu maut’(sesuatu yang merbahaya) “. Riwayat Muslim (2172)   Hadis di atas menunjukkan pengharaman berdua-duaan atau khalwat antara wanita dan lelaki yang tiada pertalian mahram. Ini kerana ipar di sisi isteri bukan dikira sebagai mahram bahkan hukumnya sama seperti lelaki atau perempuan ajnabi. Hadis ini juga menjelaskan bahawa pengharaman ini bertujuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti zina.   Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang mesti dipatuhi sekiranya terdapat mahram bagi salah seorang daripada mereka sama ada bekas suami, isteri atau wanita ajnabi yang boleh dipercayai di dalam rumah tersebut. Maka suami diharuskan masuk atau tinggal di rumah itu. Begitu juga, diharuskan sekiranya rumah itu besar dan mempunyai bilik yang berasingan, tempat masak, tempat rehat secara berasingan dan tiada laluan yang boleh menemukan mereka di dalam rumah disebabkan halangan dinding atau pintu yang berkunci. Maka harus mereka tinggal di rumah itu. (Rujuk: Raudah al-Talibin wa Umdatah al-Muftin, 8/418; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/266-268)   Justeru, sekiranya rumah berkenaan tidak menepati syarat-syarat yang disebutkan di atas maka tidak harus seorang lelaki masuk atau tinggal di rumah bekas isterinya melainkan ditemani mahram yang bersama di dalam rumah. Oleh itu, apabila suami hendak tinggal bersama dengan bekas isterinya atau masuk ke tempat bekas isteri yang boleh membawa kepada khalwat atau berdua-duaan, maka isteri itu hendaklah mencegahnya mengikut kemampuan. (Rujuk: Raudah al-Talibin wa Umdatah al-Muftin, 8/418)   KESIMPULAN Kesimpulannya, Islam mewajibkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa. Lebih-lebih lagi ibubapa dalam keadaan sakit yang memerlukan sokongan dan penjagaan dari anak-anak mereka. Oleh yang demikian, tidak menjadi kesalahan seorang lelaki tinggal serumah bersama bekas isterinya sekiranya menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh iaitu wujudnya mahram atau wanita ajnabi yang dipercayai dalam rumah itu. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmatnya. Wallahua’lam.
3,415
Soalan Assalamualaikum, boleh tolong semakkan hadith ini sama ada sahih atau palsu? Rasulullah SAW bersabda: "Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya adalah lebih baik daripada isteri itu mengerjakan haji dan umrah". HR Anas bin Malik Jazakallah. Ringkasan Jawapan Hadis yang menyebutkan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah tidak dijumpai teks asalnya dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Namun, terdapat banyak hadis lain yang menceritakan keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Huraian Jawapan Terdapat banyak keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. Riwayat Ibn Hibban (4163) Bahkan, isteri yang solehah dapat menggembirakan suaminya kerana jika si suami melihatnya maka akan menyenangkan hatinya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu hadis, Nabi SAW bersabda: أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” Riwayat Abu Daud (1664) Begitu juga Nabi SAW menyebut berkenaan empat perkara yang menjadi kebahagiaan seseorang lelaki, iaitu: اَلْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ Maksudnya: “Wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas/lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa.” Riwayat Ibn Hibban (4031) Selain itu, Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا Maksudnya: Seorang isteri adalah pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan akan dipertanggungjawabkan atas urusan rumah tangganya. Riwayat al-Bukhari (893) Namun, hadis yang menyebutkan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah tidak dijumpai teks asalnya dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Kesimpulan Terdapat banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak dijumpai teks hadis yang menceritakan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah sebagaimana yang tersebar dalam kalangan masyarakat. Wallahua’lam.
3,416
Soalan: Apakah terdapat doa lain yang diajar oleh Nabi SAW ketika terlupa membaca doa makan?   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita agar setiap perkara yang kita lakukan akan diberkati oleh Allah SWT. Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud berkaitan doa makan yang perlu dibaca bagi orang yang lupa membacanya pada awalnya. Daripada Aisyah R.anha berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:   إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin makan maka sebutlah nama Allah Taala. Sekiranya dia lupa menyebut nama Allah Taala pada awalnya (sebelum daripada makan) maka bacalah: Dengan nama Allah aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” [Riwayat Abu Daud (3767)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini adalah sahih li ghairihi ketika mengtakhrijkan hadith-hadith di dalam Sunan Abu Daud]   Tambahan pula, di dalam Sahih Ibn Hibban ada dinukilkan satu riwayat yang lain daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   من نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اللَّهَ فِي أَوَّلِ طَعَامِهِ, فَلْيَقُلْ حِينَ يَذْكُرُ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وآخره Maksudnya: “Barangsiapa yang terlupa menyebut nama Allah pada awalnya (sebelum  makan), maka bacalah ketika dia ingat (bahawa dia belum menyebut nama Allah): Dengan nama Allah aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” [Riwayat Ibn Hibban (5213)]   Imam al-Munawi mengatakan walaupun hadith ini menyebut tentang perbuatan makan tetapi ia juga termasuk dengan perbuatan minum. Tambahan pula, doa ini juga boleh dibaca selepas selesai daripada makan atau minum. [Lihat: Faidh al-Qadir, 1/296] Melihat kepada hadith di atas, hadith di atas adalah sahih dengan syawahid (sokongan) yang ada padanya. Selain itu, para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain (seperti makan dan minum) yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. [Lihat: al-Majmu’, 1/73]   Penutup Kesimpulannya, berdoalah kita kepada Allah SWT dalam setaip pekerjaan yang kita lakukan agar apa yang kita lakukan itu akan diberkati oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. Amin.   Wallahua’lam
3,417
Soalan Assalamualaikum, saya nak kepastian tentang kenyataan yang menyebut bahawa bulan Ramadan merupakan bulan membaca al-Quran, maka wanita yang kedatangan haid pun boleh membaca al-Quran. Mohon pencerahan Pejabat Mufti Wilayah. Terima kasih. Ringkasan Jawapan Wanita haid dilarang dan haram membaca al-Quran walaupun dalam bulan Ramadan bagi menjaga dan memuliakan al-Quran itu sendiri, demikian juga membaca nas al-Quran yang terdapat dalam buku-buku agama dengan melafazkannya. Namun wanita haid dibenarkan membaca al-Quran di dalam hati tanpa melafazkannya dengan mulut. Walau bagaimanapun, wanita haid dibenarkan  membaca potongan ayat al-Quran dengan niat zikir seperti membaca al-Ma’thurat, hizib dan seumpamanya. Begitu juga, wanita haid yang berkeperluan mengulang hafalannya agar tidak lupa disebabkan waktu haid yang panjang dengan syarat niat berzikir berdasarkan pandangan sebahagian ulama mutakhir ulama mutakhir Syafi’iyyah. Meskipun wanita haid terhalang daripada membaca al-Quran, namun mereka masih lagi boleh melaksanakan ibadah-ibadah lain yang bersesuaian sepanjang bulan Ramadan bagi meraih ganjaran pahala yang berganda daripada-Nya. Antara amalan yang disyorkan bagi wanita haid dan nifas seperti memperbanyakkan doa, berzikir, sedekah memberi makan kepada orang berpuasa serta beriktikaf di ruang solat rumahnya. Huraian Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Bulan Ramadan merupakan bulan yang diturunkan al-Quran dan dianjurkan untuk memperbanyakkan amal ibadah, bahkan Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang  berganda. Peluang ini perlu direbut oleh umat Islam termasuklah wanita haid. Walaupun golongan wanita yang mengalami haid dan nifas dilarang untuk menunaikan ibadah puasa mahupun membaca al-Quran, namun terdapat pelbagai ibadah lain yang boleh mereka lakukan seperti zikir, doa, sedekah dan sebagainya. Kenyataan yang tular baru-baru ini berkenaan dengan membenarkan wanita haid membaca al-Quran dalam bulan Ramadan kerana bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran adalah bercanggah dengan pandangan jumhur fuqaha yang mengharamkannya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar R.A berkata, sabda Nabi SAW: لَا يَقْرَأُ الْجُنُبُ وَلَا الْحَائِضُ شَيْئًا مِنْ القرآن Maksudnya: Tidak dibenarkan seseorang yang berjunub dan haid membaca sesuatu daripada al-Quran Riwayat Ibn Majah (639) Menurut jumhur fuqaha dari mazhab Hanafi, al-Syafi’i dan Hanbali, haram wanita haid membaca al-Quran berdasarkan hadis dari Nabi SAW[1] seperti yang dinyatakan di atas. Menurut Ibn Qassim al-Ghazzi perkara yang diharamkan ke atas Wanita haid ada lapan perkara antaranya adalah membaca al-Quran. Lafaznya seperti berikut: ويحرم على الحيض ثمانية أشياء أحدها: (الصلاة)، فرضا أو نفلا؛ وكذا سجدة التلاوة والشكر. (و) الثاني (الصوم)، فرضا أو نفلا؛ (و) الثالث (قراءة القرآن). Maksudnya: Haram ke atas wanita haid lapan perkara: Pertama, solat fardu atau sunat, begitu juga sujud tilawah dan syukur. Kedua: Puasa fardu atau sunat. Ketiga membaca al-Quran.[2] Bagi pandangan yang mengharuskannya, antara sebab-sebab wanita haid boleh membaca al-Quran adalah kerana takut terlupa hafalannya disebabkan waktu haid yang panjang. Selain itu, faktor seorang guru yang mengajar al-Quran dibenarkan membacanya ketika haid, ini kerana dikhuatiri akan terjejas pekerjaannya. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam karyanya: اخْتَلَفُوا فِي عِلَّتِهِ عَلَى وَجْهَيْنِ أَحَدُهُمَا أَنَّهَا تَخَافُ النِّسْيَانَ لِطُولِ الزَّمَانِ بِخِلَافِ الْجُنُبِ وَالثَّانِي أَنَّهَا قَدْ تَكُونُ مُعَلَّمَةً فَيُؤَدِّي إلَى انْقِطَاعِ حِرْفَتِهَا Maksudnya: Perbezaan pada illah (sebab) menurut pandangan yang mengharuskan wanita haid membaca al-Quran ada dua pendapat, pertama: Disebabkan kerana takut lupa hafalannya kerana tempoh yang panjang, beza dengan sebab berjunub. Kedua: Disebabkan dia seorang guru al-Quran sekiranya tidak membaca al-Quran akan mengganggu proses mengajarnya.[3] Sementara itu, sebahagian ulama mutakhir Syafi’iyyah berpendapat harus membaca seluruh al-Quran  dengan niat zikir bukan tilawah (qiraah)[4], namun ini bukan pandangan yang muktamad di dalam mazhab. Menurut Dr. Muhammad Zuhaili, haram wanita yang haid itu membaca al-Quran berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.Anhuma. Namun, harus sekiranya membaca al-Quran dengan niat zikir seperti mana harus membaca al-Quran di dalam hati tanpa melafazkannya dengan mulut serta harus juga mereka melihat ayat al-Quran. Sebahagian ulama kontemporari mengeluarkan fatwa harus membaca al-Quran kerana darurat untuk mengajar dan belajar di sekolah dan universiti.[5] Jelas sebagaimana yang disebutkan di atas jumhur ulama termasuk mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa wanita haid haram membaca al-Quran, larangan ini juga tertakluk ketika dalam bulan Ramadan. Pun begitu, meskipun wanita haid terhalang membaca al-Quran, namun mereka masih lagi boleh melaksanakan ibadah-ibadah lain yang bersesuaian sepanjang bulan Ramadan bagi meraih ganjaran pahala. Antara amalan yang disyorkan seperti berikut: Memperbanyakkan doa dan zikir walaupun zikir dari petikan al-Quran namun hendaklah diniatkan semata-mata untuk berzikir atau doa seperti membaca Ma’thurat, hizib dan seumpamanya[6]. Dibenarkan bagi wanita haid yang menghafal al-Quran dan ingin mengulang hafalannya agar tidak lupa dengan bertaqlid kepada pandangan sebahagian ulama mutakhir Syafi’iyyah yang mengharuskan bacaan seluruh al-Quran dengan niat zikir bukan tilawah[7]. Memperbanyak sedekah seperti memberi makan untuk berbuka puasa yang mana ganjaran pahalanya diumpamakan seperti orang yang berpuasa[8]. Para wanita haid juga boleh beriktikaf di ruang solat rumahnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan pandangan mazhab Maliki[9] dan Hanafi[10]. Wallahu’alam   Rujukan: [1] Wizarah al-Auqaf al-Kuwaitiyyah, al-Mausua’h al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dar al-Salasil, 1427-1404) Jld. 18 Hlm. 321 فَذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ - الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ - إِلَى حُرْمَةِ قِرَاءَتِهَا لِلْقُرْآنِ لِقَوْل النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ تَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ [2] Muhammad bin Qassim syamsuddin al-Ghazzi, Fath al-Qarib al-Mujib. (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1425) Hlm. 63 [3] Ibid. 2/356 [4] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) Jld. 1 Hlm. 217 أَمَّا إذَا قَرَأَ شَيْئًا مِنْهُ لَا عَلَى قَصْدِ الْقُرْآنِ فَيَجُوزُ، وَلَوْ عَبَّرَ الْمُصَنِّفُ بِهَا هُنَا كَانَ أَوْلَى لِيَشْمَلَ مَا قَدَّرْتُهُ، بَلْ أَفْتَى شَيْخِي بِأَنَّهُ لَوْ قَرَأَ الْقُرْآنَ جَمِيعَهُ لَا بِقَصْدِ الْقُرْآنِ جَازَ. [5] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. (Damsyik: Dar al-Qalam 2011) Jld. 1 Hlm. 117 يحرم علي الحائض قراءة القران، لما رواه ابن عمر رضي الله عنهما: أن رسول الله صلي الله عليه وسلم قال: " لا يقرأ الجنب ولا الحائض شيئا من القران" أما ان قالت ذلك على سبيل الذكر فيجوز، كما يجوز لها أن يمر القران على قلبها بدون قراءة، ويجوز لها النظر فيه، وأفتى المعاصرون بجواز قراءتها لضرورة التعلم والتعليم في المدارس والجامعات. [6]  Sa'id Ba'isyan al-Hadhrami, Syarh al-Muqadimmah al-Hadhramiyyah. (Beirut: Dar al-Minhaj, 2004) Hlm. 130 فإن لم تقصد القراءة: بأن قصدت الذكر أو المواعظ أو القصص أو التحصن ولم تقصد معها القراءة لم يحرم، [7] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) Jld. 1 Hlm. 217 أَمَّا إذَا قَرَأَ شَيْئًا مِنْهُ لَا عَلَى قَصْدِ الْقُرْآنِ فَيَجُوزُ، وَلَوْ عَبَّرَ الْمُصَنِّفُ بِهَا هُنَا كَانَ أَوْلَى لِيَشْمَلَ مَا قَدَّرْتُهُ، بَلْ أَفْتَى شَيْخِي بِأَنَّهُ لَوْ قَرَأَ الْقُرْآنَ جَمِيعَهُ لَا بِقَصْدِ الْقُرْآنِ جَازَ. مغنى المحتاج [8] Hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” (Riwayat Al-Tirmidzi) [9] Muhammad bin Abdul Baqi Al-Zarkani, Syarh Al-Zarkani ‘Ala Muwatta’ Imam al-Malik. (Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniah, 2003) Jld. 2 Hlm. 306 وَقَوْلٍ لِلْمَالِكِيَّةِ: يَجُوزُ لِلرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ لِأَنَّ التَّطَوُّعَ فِي الْبُيُوتِ أَفْضَلُ. [10] Abu Ma’ali Burhanuddin, Al-Muhit al-Burhani al Fiqh al-Nu’mani Fiqh Imam Abi Hanifah. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyya) Jld. 2 Hlm. 405 والأفضل في حق المرأة الاعتكاف في مسجد بيتها يريد به الموضع المعد للصلاة، ولو خرجت واعتكفت في مسجد الجماعة جاز اعتكافها.
3,418
SOALAN 62 (23 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 10/07/2015) Apakah hukum zakat fitrah ke atas banduan?   JAWAPAN Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa 2003 berkenaan Zakat Fitrah ke atas Orang Tahanan dan Banduan Islam di Istitusi penjara: Hukumnya wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu: Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari. Memeluk islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
3,419
Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan tentang perkara yang terjadi di media sosial sekarang ini. Sekarang ini dalam media sosial tidak kira Facebook atau Instagram ada orang yang buat perkhidmatan sihir. Macam-macam yang ditawarkan. Minyak pengasih, sihir pemisah dan lain-lain lagi. Apakah hukumnya ustaz? Bantu saya yang jahil ini Ringkasan jawapan : Menjawab persoalan yang dikemukakan, haram mengiklankan dan melakukan tawaran perkhidmatan sihir di media sosial. Ia adalah perbuatan mempromosikan perkara yang haram dan berdosa. Bahkan sihir adalah antara dosa besar seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Begitu juga, haram hukumnya mendapatkan perkhidmatan sihir di media sosial. Orang yang melakukan perbuatan tersebut wajib untuk bertaubat dan tidak melakukannya lagi pada masa hadapan. Semoga Allah memberikan petunjuk dan membimbing kita semua. Wallahu’alam. Huraian jawapan : Sihir adalah salah satu perkara yang dianggap sebagai dosa besar. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: ‌اجْتَنِبُوا ‌السَّبْعَ ‌المُوبِقَاتِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ Maksudnya : “Jauhi tujuh dosa besar. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apakah tujuh dosa besar tersebut? Nabi SAW menjawab : Menyekutukan Allah, sihir, membunuh nyawa yang mana ianya diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak (yang dibenarkan dalam syarak), makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dan lari ketika berperang dengan musuh, dan menuduh wanita beriman yang suci dengan tuduhan zina.”[1] Perkara ini dijelaskan lagi oleh Sheikh Badruddin al-‘Aini. Beliau menyebut : وَالَّذِي نَص عَلَيْهِ الْعلمَاء وَالْفُقَهَاء أَن تعلم السحر وتعليمه من الْكَبَائِر “Para ulama dan fuqaha menetapkan bahawa mempelajari dan mengajarkan sihir antara dosa besar.”[2] Bahkan Nabi SAW memberikan peringatan kepada orang yang mendapatkan khidmat tukang sihir sepertimana sabda baginda Nabi SAW : ‌مَنْ ‌أَتَى ‌عَرَّافًا ‌فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً Maksudnya : “Sesiapa yang pergi bertemu tukang tilik, lalu dia bertanya kepadanya tentang sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.”[3] Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang mendapatkan khidmat tukang sihir menyebabkan ibadatnya tidak diterima oleh Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Beliau menyatakan bahawa tiada pahala yang akan diperolehi walaupun solat tersebut sah mengikut rukun dan syarat-syaratnya[4]. Dalam riwayat yang lain menyebut : ‌مَنْ ‌أَتَى ‌كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Maksudnya : Sesiapa yang pergi bertemu dukun, lalu dia mempercayai apa yang diperkatakan oleh dukun tersebut, dia telah mengingkari apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.”[5] Sheikh Zakariya al-Ansari menjelaskan : وَيَحْرُمُ فِعْلُهُ بِالْإِجْمَاعِ (وَيَكْفُرُ مُعْتَقِدُ إبَاحَتِهِ فَإِنْ تَعَمَّدَهُ) تَعْلِيمًا أَوْ تَعَلُّمًا أَوْ فِعْلًا وَفِي نُسْخَةٍ فَإِنْ تَعَلَّمَهُ (أَثِمَ) فَكُلٌّ مِنْهُمَا حَرَامٌ لِخَوْفِ الِافْتِتَانِ وَالْإِضْرَارِ بِالنَّاسِ “Haram mengamalkan sihir menurut ijmak para ulama. Orang yang meyakini keharusannya adalah kufur. Jika dia sengaja mengajar, belajar dan mengamalkan sihir, maka dia berdosa. Setiap satu dari perkara tersebut adalah haram kerana ditakuti boleh menyebabkan fitnah dan boleh memudaratkan orang ramai.”[6] Jika seseorang ingin menjauhkan diri dari bahaya atau ingin menolak keburukan, haram untuk menggunakan khidmat sihir. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh al-Syarwani, beliau menyebut : وَأَنَّهُ لَا يَجُوزُ دَفْعُهُ بِالسِّحْرِ لِأَنَّ ‌السِّحْرَ حَرَامٌ لِذَاتِهِ “Tidak boleh menolak keburukan (atau kemudaratan) dengan sihir kerana sihir itu sendiri adalah perkara yang haram”[7] Justeru, berdasarkan penjelasan di atas, haram mengiklankan dan melakukan tawaran perkhidmatan sihir di media sosial. Ia adalah perbuatan mempromosikan perkara yang haram dan berdosa. Bahkan sihir adalah antara dosa besar seperti yang dinyatakan oleh Nabi SAW. Begitu juga, haram hukumnya mendapatkan perkhidmatan sihir di media sosial. Orang yang melakukan perbuatan tersebut wajib untuk bertaubat dan tidak melakukannya lagi pada masa hadapan. NOTA HUJUNG:  [1] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad Bin Ismail, Sahih al-Bukhari (2001), Dar Tuq al-Najah, Beirut, j.4 h.10 no 2766 [2] Badruddin al-‘Aini, Mahmud Bin Ahmad, Umdah al-Qari fi Syarh Sahih al-Bukhari (t.t), Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut, j.14 h.61. [3] Abu al-Hasan, Muslim Bin Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut, j.4 h.1751 no 2230 [4] Abu Zakariya al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Syarh Sahih Muslim (1972), Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, Beirut, j. 14 h.227. Beliau menyatakan : وَأَمَّا عَدَمُ قَبُولِ صلاته فمعناه أنه لاثواب لَهُ فِيهَا وَإِنْ كَانَتْ مُجْزِئَةً فِي سُقُوطِ الفرض عنه [5] Abu Daud, Sulaiman Bin al-Asy’ath, al-Sunan (2009), Dar al-Risalah al-‘Alamiyah, Beirut, j.6 h.48 no 3904. [6] Al-Ansari, Zakariya Bin Muhammad, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib (t.t), Dar al-Kitab al-Islamiy, Beirut, j.4 h.82. [7] Al-Syirwani, Abdul Hamid ; Ibn al-Qasim al-Abbadi ; Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad, Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj (1983), Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, Mesir, j.9 h.62.
3,424
Mukadimah Baru-baru ini, kami mendengar berita tentang isu kapten kapal terbang yang dikritik kerana menyarankan para penumpang agar berdoa apabila berlaku situasi getir. Ramai pihak yang memberi pandangan, sama ada menolak atau pun menyokong, dengan pelbagai idea dan justifikasi, pro atau kontra, berdasarkan niat dan maksud masing-masing. Justeru kami tajukkan rencana ini dengan tajuk, “Bayan Linnas Siri ke-99 : Kapal Terbang dan Doa”. Semoga memberi pencerahan dan manfaat untuk semua.   Peranan Doa Dalam Islam Kami nyatakan, bahawa doa adalah senjata bagi orang beriman. Sifatnya juga adalah satu bentuk ibadat, sehingga Allah SWT sendiri menyarankan dan memerintahkan kita untuk berdoa kepada-Nya dalam kehidupan kita. Justeru, konsep berdoa adalah amat penting untuk bersama kita hayati, amalkan dan munajatkan kepada-Nya. Firman Allah SWT: إِنَّ الَّذِينَ عِندَ رَبِّكَ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِ وَيُسَبِّحُونَهُ وَلَهُ يَسْجُدُونَ Maksudnya: Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud. (Surah al-A`raf. 7:206) Ayat ini secara asasnya merujuk kepada para malaikat, sepertimana yang disebut oleh ahli tafsir silam dan kotemporari. Namun, Imam Ibnu Kathir rahimahullah (w.774H) ketika mentafsirkan ayat ini, beliau berkata: “Allah menyebut kesemua sifat mereka yakni malaikat untuk dijadikan ikutan dek kerana banyaknya ketaatan dan ibadat (yang dilakukan) oleh mereka.” Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (3/539). Antara sikap menjauhi takbur dan membesarkan diri ialah dengan sentiasa meminta dan berdoa kepada Allah SWT dan mengaku kelemahan diri dalam mengawal urusan.   Doa Ketika Bermusafir Islam mengajar umatnya untuk berdoa terutamanya ketika musafir, sama ada bagi perjalanan yang jauh atau yang dekat. Begitu juga ditekankan untuk berdoa ketika menaiki kenderaan. Doa ini dinaskan oleh Allah Taala sendiri di dalam al-Quran dengan firman-Nya: وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12)  لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13) وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (14)   Maksudnya: Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:" Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" (Surah al-Zukhruf, 43:12-14) Imam al-Alusi rahimahullah (w.1342H) Berkata : “Maksudnya ialah bahawa sesungguhnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menentukan arah tuju haiwan tungangan mahupun alam semesta hanya Allah sahajalah yang mampu untuk berbuat demikian” Rujuk Tafsir Ruhul Ma’ani (14/106) Imam Ibnu Kathir berkata : “Iaitu ia bermakna kekuatan,kalau tidak kerana bantuan daripada Allah SWT kepada kita,tidaklah mampu kita melakukan apa-apa”. Berkata Ibnu Abbas Qatadah dan Assadi dan juga Ibnu Zaid bahawa yang dimaksudkan dengan “مقرينين” adalah yang mampu atau boleh dikawal.  Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (4/106)   Berkata Imam Fakrurazi rahimahullah (w.606H) di dalam tafsirnya: “Tiada kekuatan bagi kami mahupun upaya untuk diikat haiwan tungangan mahupun alam semesta juga tidak mampu bagi kami untuk menetapkan kedua-dua nya (supaya tidak lari). Maha Suci Allah yang telah memberi bantuan kepada kami dengan ilmu-Nya dan kebijaksanaan-Nya serta kesempurnaan kudrat-Nya”. Rujuk Tafsir al-Kabir (14/199) Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah-lah yang memudahkan perjalanan kita tatkala kita bergantung harap kepada-Nya. Begitu juga ini menunjukkan Allah-lah berikan kemudahan untuk mengendalikan kenderaan sekalipun seseorang itu memang terlatih untuk mengendalikan satu-satu kenderaan, kebergantungan kepada Allah SWT amat perlu kerana hakikatnya Dialah yang menguasai setiap sesuatu.  Hal ini diperkuatkan dengan hadis Nabi SAW yang menyebut suatu amalan apabila keluar daripada rumah. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Seorang lelaki (termasuk perempuan) apabila dia keluar daripada rumahnya, lalu dia berkata بِاسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ Maksudnya: “Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada-Nya, dan tiada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah.” Maka akan dikatakan kepadanya (yakni para malaikat akan mendoakannya): “Sesungguhnya kamu akan diberi hidayah, dicukupkan (keperluan) dan dipelihara (dalam musafir agar selamat sampai dan selamat kembali)." Lalu syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripadanya, sedang syaitan yang lain berkata: “Mana mungkin engkau boleh menghadapi seorang lelaki yang sudah dipandu dengan hidayah, dicukupkan dan dipelihara!” Hadis riwayat Abu Daud (5095) Tiga perkara ini yakni hidayah, kecukupan dan perlindungan adalah amat penting bagi seorang musafir agar selamat sampai ke destinasi yang dituju, dan kembali kepada ahli keluarga yang tersayang. Begitu juga dalam riwayat lain yang masyhur bahawa Ibn Umar R.Anhuma menyebut Rasulullah SAW berdoa jika ingin bermusafir, Baginda akan duduk tetap di atas binatang tunggangannya lalu apabila tunggangannya mula bergerak, Baginda membaca: اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ Maksudnya: “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" Ya Allah! Kami mohon daripada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan dikira sebagai amalan yang Engkau redha. Ya Allah kami mohon agar musafir ini menjadi ringan atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika musafir! Penjaga bagi ahli keluarga yang ditinggalkan! Ya Allah! Kami mohon agar engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga.” Hadis riwayat Muslim (1342), Ahmad (6311), Abu Daud (2599) dan lain-lain. Imam al-Baidhawi rahimahullah (w.685) mensyarahkan hadis ini: “al-wa`tha’ bererti kepayan dan kesusahan… manakala al-kaabah bermaksud keadaan yang buruk dan suatu bentuk kesedihan. Dikehendaki daripada hadis ini doa memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan, dan daripada kepulangan yang teruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan, kematianm dll).” Rujuk Tuhfah al-Abrar (2/95)   Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Berdasarkan nas-nas yang cukup banyak, tidak semua sempat kami hidangkan di sini, jelas menunjukkan bahawa adalah teramat penting bagi kita untuk meletakkan pengharapan kita kepada-Nya sahaja. Itulah Allah yang bersifat Maha Kuasa dan Maha Penyayang. Sebaiknya amalan berdoa sebelum dan ketika musafir kita promosikan dengan sebanyak mungkin agar manfaatnya dapat diperolehi segenap pihak.  Cadangan Justeru kami sejujurnya mencadangkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), Air Asia, Malindo dan Firefly untuk memulakan perjalanan musafir dengan doa yang dianjurkan. Ini akan membawa keberkatan dalam perjalanan dan InsyaAllah keselamatan serta keamanan kerana difahami bahawa sememangnya musafir itu sebahagian daripada azab dan masyaqqah (penderitaan atau kepayahan) yang perlu ditempuh oleh orang yang berkelana.  Semoga dengan pencerahan ini memberikan kebaikan kepada kita semua dalam mendekatkan diri kepada-Nya dan memperoleh keberkatan untuk kita layari hidup ini sehingga kita bertemu dengan-Nya. Amin. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada semua dan semoga perjalanan menuju ke destinasi, semuanya disulami dengan doa dan selamat sampai. Amiin.   Akhukum fillah, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan 30 Jun 2017 bersamaan 6 Syawal 1438H
3,425
Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah memberikan nama kepada Allah SWT – yang tidak terdapat dalam al-Quran dan al-Hadis – jika dirasakan sesuai dengan sifat keagungan-Nya?   Jawapan Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT: وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Surah al-A’raf (180) Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.” Riwayat al-Bukhari (2736) dan Muslim (2677) Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat 180 surah al-A’raf di atas menyebut: Perlu diketahui bahawa Asma' al-Husna itu tidak terbatas pada bilangan 99. Ini sepertimana yang disebut dalam hadis riwayat Imam Ahmad. Begitu yang sepertimana diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim bin Hibban al-Busti dalam Sahihnya. Imam Abu Bakar Ibn al-'Arabi, salah seorang Imam Mazhab Maliki dalam kitabnya ‘Aridhah al-Ahwazi bi Syarh Sahih al-Tirmizi menyebut bahawa ada di antara mereka yang mengumpulkan asma 'Allah (nama-nama Allah) dari al-Quran dan al-Sunnah sebanyak seribu nama. Wallahu a'lam. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 4/65) Dalam menjawab persoalan di atas, kita tidak boleh memberi nama kepada Allah dengan nama tertentu sekalipun nama itu benar dengan sifat keagungan-Nya. Ibn Hazm menjelaskan: “Tidak boleh memberikan nama bagi Allah kecuali dengan nama yang Allah SWT telah sebutkan dan khabarkan di dalam al-Quran serta melalui lisan Rasul-Nya atau berdasarkan ijma’ ulama’, tanpa menambahnya meskipun makna dari nama-nama tersebut benar dan sesuai dengan sifat Allah SWT.” (Lihat al-Fisal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, 2/108) Nama-nama Allah SWT hanya boleh diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya. Ia adalah bersifat tauqifiyyah. Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya nama-nama Allah itu bersifat tauqifiyyah, iaitu tidak boleh ditetapkan kecuali berdasarkan dalil-dalil sahih.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 7/188) Nama-nama tersebut juga tidak boleh ditetapkan dengan cara qiyas. Abu Mansur al-Baghdadi dalam kitabnya tafsir al-Asma’ wa al-Sifat menyebut: “Tidak ada ruang bagi qiyas pada nama-nama Allah. Ini kerana nama-nama Allah itu diambil daripada syarak dan al-tauqif.” Justeru, hendaklah kita ketahui bahawa nama-nama Allah tersebut bukanlah perkara yang boleh difikir-fikirkan. Sebaliknya, ia mesti terbina di atas dalil al-Quran dan al-Sunnah. Syeikh Dr. Sa’id bin Ali al-Qahtani pula di dalam Syarh Asma’ Allah al-Husna menjelaskan: Nama-nama Allah SWT merupakan urusan tauqifiyyah. Tiada ruang untuk akal padanya. Disebabkan itu, wajib untuk tawaqquf pada apa yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Tidak boleh ditambah atau dikurangkan. Ini kerana akal tidak mungkin mampu menentukan apakah nama-nama yang layak untuk Allah. Maka wajib mengikut dalil dalam hal ini berdasarkan firman Allah SWT: وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” Surah al-Isra’ (36) Firman Allah SWT lagi: قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّـهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّـهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. Surah al-A’raf (33) Kata Syeikh Dr. Said al-Qahtani lagi: Menamakan Allah dengan apa yang Dia tidak namakan pada diri-Nya dan mengingkari nama yang Dia berikan pada diri-Nya merupakan satu jenayah pada hak-Nya. Justeru, wajib beradab dalam hal ini dan memadai dengan apa yang disebut dalam dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah. (Lihat Syarh Asma’ Allah al-Husna, hlm. 10)   Kesimpulan Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, jelas bahawa tidak boleh memberi nama kepada Allah dengan nama tertentu sekalipun nama itu benar dengan sifat keagungan-Nya. Hal ini kerana nama-nama tersebut adalah bersifat tauqifiyyah, iaitu hanya boleh diketahui melalui apa yang dikhabarkan oleh-Nya sendiri di dalam al-Quran atau melalui lisan Rasul-Nya. Oleh itu, sewajarnya kita berpada dengan mengambil dari apa yang telah disebutkan di dalam al-Quran dan al-Hadis sahaja dengan tidak menambah dan mengurangkannya kerana akal fikiran tidak mampu untuk mencapai apa yang berhak bagi Allah SWT dari nama-nama-Nya. Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin.
3,428
Soalan: Apakah benar selawat yang kita baca akan dibentangkan kepada Rasulullah SAW pada setiap hari Jumaat?   Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW:   Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]   Berdasarkan soalan di atas, terdapat satu riwayat di dalam al-Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi bahawa akan dibentangkan setiap selawat daripada umat Nabi Muhammad SAW kepada Baginda SAW pada setiap hari Jumaat:   Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]   Berikut adalah teks hadith yang menceritakan berkaitan selawat yang dibaca akan dibentangkan kepada Nabi SAW pada setiap hari Jumaat. Adapun berkaitan penilaian riwayat atau hadith ini, para ulama berbeza pandangan. Di sini kami nukilkan beberapa penilaian para ulama berkaitan hadith ini:   Imam al-Baihaqi mengatakan hadith ini diriwayatkan dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza daripada Anas bin Malik RA. Akan tetapi, kesemuanya membawa kepada galakan (memberi semangat) untuk berselawat ke atas Nabi SAW malam Jumaat dan hari Jumaat. Tambahan pula, sebahagian sanadnya adalah dhaif dan apa yang telah kami sebutkan telah cukup. [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 3/353] Imam al-Sakhawi menilai sanad hadith ini adalah hasan walaupun jumhur ulama menyatakan bahawa Makhul tidak pernah bertemu Abu Umamah RA. [Lihat: al-Qaul al-Badi’, 233] Imam al-Suyuthi menilai sanad hadith daripada riwayat yang dinukilkan oleh al-Baihaqi adalah hasan. [Lihat: al-Khasais al-Kubra, 2/457] Imam al-‘Ajlouni menghukum sanad hadith ini adalah jayyid (baik). [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 1/190] Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50] Syeikh al-Albani menghukum hadith ini adalah dhaif. [Lihat: Dhaif al-Jami’, 1115]   Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada hadith ini adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh para ulama di atas. Selain itu, Imam al-Syaukani hadith ini menjadi dalil bahawa setiap selawat yang dibaca oleh hamba-hamba Allah akan dibentang di hadapan Nabi SAW pada setiap hari Jumaat. [Lihat: Tuhfah al-Zakirin, 50]   Penutup Kesimpulannya, hadith di atas adalah hasan dan ia merupakan dalil yang jelas bahawa setiap selawat yang dibaca oleh umat Nabi Muhammad SAW akan dibentang di hadapan Baginda SAW pada setiap hari Jumaat. Justeru, marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran:   إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا al-Ahzab: 56 Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”   Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511] Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan pencinta Nabi SAW serta menghimpunkan kita bersama Nabi SAW di dalam Syurga kelak. Amin.   Wallahua’lam
3,432
Soalan: Assalamualaikum SS Mufti. Baru-baru ini banyak kes bunuh diri yang direkodkan terutamanya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan. Semakin ramai insan yang tertekan dengan hidup hingga membuat keputusan untuk membunuh diri. Sebahagian mereka merakam detik akhir hayat mereka. Sebahagiannya dirakam melalui CCTV. Kemudian, rakaman tersebut menjadi tular di media sosial. Mohon SS Mufti ulas sedikit berkenan ini. Terima kasih. Ringkasan Jawapan: Hukum menyebarkan rakaman video atau gambar si mati adalah haram dan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga. Ia juga boleh menyumbang kepada copycat suicide (sila rujuk huraian jawapan). Penyebaran video sebegini adalah ancaman kepada kesihatan mental dan risiko nyawa orang lain. Perbuatan yang mengancam keselamatan diri dan insan lain adalah diharamkan dalam Islam. Oleh itu, kita mesti memelihara lidah dan tangan daripada menyakiti serta menjadi ancaman kepada orang lain. Ini adalah akhlak yang perlu dipegang oleh seorang Muslim. Kita juga perlu lebih cakna mengenai kesihatan mental dengan menambah pengetahuan terhadap bunuh diri serta isu-isu kesihatan mental yang lain. Semoga Allah memelihara kita dan semua ahli keluarga daripada tragedi menyedihkan sebegini. Huraian Jawapan: Waalaikumussalam wrm. wbt., Terlebih dahulu, kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi yang menyedihkan ini. Kematian insan tersayang dengan cara sebegini pasti akan menimbulkan trauma dan kesedihan yang lama kepada keluarga dan rakan terdekat. Sekiranya perlu, carilah pertolongan pakar untuk menguruskan trauma tersebut. Berbalik kepada soalan, hukum menyebarkan rakaman video atau gambar si mati adalah haram dan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga. Ia telah dibincangkan di artikel-artikel seperti berikut: IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-519: HUKUM MENYEBARKAN GAMBAR MAYAT ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 540: HUKUM MERAKAM VIDEO ORANG YANG MENINGGAL DUNIA? Tambahan pula, penyebaran gambar dan rakaman video perbuatan membunuh diri adalah sangat merbahaya kerana ia boleh memberi idea kepada orang yang menonton untuk melakukan perkara yang sama. Ia sangat berisiko jika ditonton oleh individu yang cenderung membunuh diri atau individu di bawah umur. Perkara ini disebut sebagai ‘Copycat Suicide’. Menurut American Psychological Association, perbuatan membunuh diri adalah “contagious (mudah berjangkit)”. Hal ini kerana, ia mampu mempengaruhi individu lain untuk melakukan perkara yang sama seperti mereka yang ditimpa penyakit kecelaruan mental dan individu bawah umur. [1] Disebabkan itu, pelaporan media mengenai hal ini mestilah mengikut garis panduan seperti yang digariskan oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) [2]: Perlu menggunakan peluang ini untuk mendidik masyarakat mengenai bunuh diri. Menghindari penggunaan bahasa yang akan mensensasikan, menormalisasi atau menunjukkan bahawa bunuh diri adalah penyelesaian masalah. Menghindari pendedahan secara terperinci mengenai kaedah yang digunakan. Menghindari pendedahan secara spesifik tempat perbuatan ini dilakukan. Mengambil kira individu lain yang cenderung untuk membunuh diri. Memberi informasi tentang talian bantuan sokongan yang boleh didapatkan. Membunuh diri atau orang lain adalah suatu perbuatan yang diharamkan oleh Islam kerana urusan mencabut nyawa seseorang adalah hak Allah SWT dan ia merupakan tindakan yang memudaratkan diri sendiri. Kadangkala, ia juga melibatkan insan lain. Menurut sebuah hadis, Baginda SAW menjelaskan tentang akibat dan siksaan atas mereka yang membunuh diri dengan sengaja. Baginda SAW bersabda: منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” Riwayat Muslim (109), Sunan al-Tirmizi (2044) Menyebarkan gambar atau rakaman video perbuatan membunuh diri pula memiliki impak yang sangat besar. Ia nampak kecil, tapi mampu memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Maka, menyebarkan gambar dan video sebegini dengan sengaja adalah diharamkan. Pengharaman adalah berdasarkan pengharaman terhadap aktiviti-aktiviti yang merbahaya. Antaranya adalah yang disebutkan dalam al-Quran: وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Surah al-Baqarah (195) Penyebaran video sebegini adalah ancaman kepada kesihatan mental dan risiko nyawa orang lain. Baginda Nabi SAW juga berpesan mengenai sifat seorang Muslim yang sebenar iaitu tidak menyakiti Muslim lain dengan kata-kata atau perbuatan. المسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ Maksudnya: “(Sifat) seorang Muslim adalah apabila Muslim lain selamat daripada lidah dan tangannya” Riwayat al-Bukhari (6484), Riwayat Muslim (42), Musnad Ahmad (6515) Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh yang berikut: ما أدى إلى الحرام فهو حرام Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada perkara haram, maka ia haram.” Melalui dalil-dalil ini, jelas kepada kita bahawa penyebaran video sebegini secara sengaja adalah diharamkan kerana ia mampu mempengaruhi tindakan copycat suicide yang diharamkan secara jelas dalam Islam. Kesimpulan: Kita mesti memelihara lidah dan tangan kita daripada menyakiti serta menjadi ancaman kepada orang lain. Ini adalah akhlak yang perlu dipegang oleh seorang Muslim seperti yang diajar oleh Islam. Kita juga perlu lebih cakna mengenai kesihatan mental dan menambah pengetahuan terhadap bunuh diri dan isu-isu kesihatan mental yang lain. Dalam situasi kecemasan, Befrienders Kuala Lumpur juga boleh dihubungi melalui talian +603-76272929 atau e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. Semoga Allah memelihara kita dan semua ahli keluarga daripada tragedi menyedihkan sebegini. Wallahu a’lam. [1] American Psychological Association, Help the media prevent copycat suicides, diakses pada 1 Julai 2021 melalui pautan https://www.apa.org/monitor/oct03/media [2] World Health Organization 2008, Preventing Suicide: A Resourceful for Media Professionals, International Association for Suicide Prevention, Switzerland: WHO Press.
3,433
Soalan: Assalamualaikum Dato’ Seri Dr. Zulkifli. Saya pelajar postgraduate di sebuah universiti. Saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri Dr, mengenai bersuci daripada najis berat. Sekarang saya di fasa labwork. Dalam kajian saya, labwork ada melibatkan penggunaan enzim babi. Buat masa sekarang saya dapati amat sukar untuk saya menyesuaikan diri, kerana memikirkan saya perlu menyertu segala peralatan yang digunakan setiap hari. Dan peralatan yang digunakan dalam kuantiti agak banyak dan ada juga mesin yang tidak sesuai untuk saya sertu. Mohon penjelasan dan pencerahan daripada Dato’ Seri Dr., berkenaan bagaimana cara kerja terbaik untuk menjaga kebersihan diri, pakaian dan alatan makmal yang dikongsi bersama-sama pelajar lain serta labwork dapat dijalankan dengan baik tanpa ragu-ragu.   Jawapan: Waalaikumussalam wbt, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.   Mukadimah Firman Allah Taala: إِنَّما حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَما أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ باغٍ وَلا عادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 173) Imam Fakhruddin al-Razi menghuraikan maksud pengharaman khinzir itu: “Firman-Nya “daging khinzir” bererti khinzir dengan setiap bahagian-bahagiannya, tetapi dikhaskan pada “daging” itu kerana tujuan (larangan) itu adalah untuk dimakan.”  Rujuk Mafatih al-Ghaib (5/192) Berkata Imam al-Baidhawi dalam tafsirnya (1/119): “Dan daging khinzir, sesungguhnya hanyalah dikhususkan sebutan “daging” itu kerana itulah kebanyakan yang dimakan orang daripada haiwan itu. Jadi, sebenarnya seluruh bahagian haiwan itu hukumnya mengikut hukum khinzir (yakni haram).”   Khinzir Adalah Najis Berat Sebagaimana maklum, pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie bahawa najis mughallazah hanya boleh disucikan dengan tasbi` iaitu basuhan air mutlak sebanyak tujuh kali, dan tatrib, yakni salah satu daripada basuhan tadi dicampur dengan tanah. Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/585). Khinzir merupakan najis berat apabila kita diqiaskan dengan anjing yang juga merupakan najis berat. Ini kerana keadaan khinzir adalah lebih buruk sifat kefasikannya berbanding anjing. Maka cara penyucian najis mughallazah, sepertimana yang difahami daripada hadis Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah. Riwayat Muslim (279) Inilah yang disebut dalam Bahasa Malaysia sebagai teknik sertu.   Keharusan Bertaqlid Dengan Pendapat Lain Apabila Berlaku Masyaqqah Dalam konteks semasa, saudara/i yang bertanya mendakwa bahawa jika aktiviti sertu dilakukan berkali-kali atas alatan atau perkakas makmal yang digunakan untuk enzim khinzir itu, akan menyebabkan barang-barang berkenaan rosak serta mendatangkan kepayahan kepada penyelidik. Sekiranya benar aduan itu, maka di sini kami mendapati ada rukhsah diberikan oleh Syarak di mana seseorang itu boleh mengikut pendapat lain yang membenarkannya, dengan syarat-syarat tertentu. Hal ini disebut oleh al-Habib Syeikh Abdurrahman bin Muhammad Ba`lawi dalam kitab fatwanya, Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 19) menyebut: “Diharuskan bagi seseorang yang beriltizam dengan mazhab al-Syafie untuk bertaqlid dengan mazhab lain, atau pendapat yang marjuh (lawan bagi rajih) dalam mazhab al-Syafie kerana alasan darurat, yakni kerana akan berlaku kesukaran yang tidak tertanggung oleh adat. Adapun jika tiada darurat itu, maka haram bertaklid  dengan mazhab lain, melainkan jika seorang muqallid itu seorang yang berkeahlian untuk mentarjih pendapat dan dia melihat dalil yang lebih rajih berbanding dalil imam mazhabnya.” Jika apa yang disebutkan oleh saudara/i yang bertanya itu benar, yakni jika menggunakan air atau tanah akan merosakkan peralatan makmal, maka tsabitlah di situ berlaku kerosakan terhadap harta sedangkan tujuan Hukum Syarak bukanlah untuk merosakkan harta, sebaliknya memeliharanya. Ini disebut sebagai Hifz al-Mal. Daripada al-Mughirah bin Syu`bah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِضَاعَةَ المَالِ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan kalian untuk membuang-buang harta.” Riwayat al-Bukhari (2408) Begitu juga, Syarak tidak bertujuan untuk membebankan seseorang mukallaf dengan suatu hukum yang menyusahkan hidupnya lagi merugikan dirinya. Firman Allah SWT: مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).” (Surah al-Ma`idah: 6) Menjalankan kajian makmal dan eksperimen sains untuk pendidikan adalah keperluan zaman kini kerana daripadanya boleh muncul banyak penemuan dan inovasi baharu yang boleh memberi manfaat kehidupan manusia serta menghilangkan kesukaran mereka. Justeru, merosakkan alatan-alatan kajian dengan penggunaan air atau tanah akan menyebabtkan keperluan ini terganggu dan akan menyusahkan kehidupan dan membantutkan kemajuan umat Islam. Hal ini sesuai dengan kaedah fiqh yang disebut oleh Syeikh Abu Zaid dan dipersetujui oleh Syeikh al-Qaffal dalam kes solat dengan kasut yang dijahit dengan bulu khinzir: الْأَمْرُ إذَا ضَاقَ اتَّسَعَ Maksudnya: “Suatu perkara apabila menjadi sempit, maka diluaskan.” Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (1/511)   Kesimpulan Hukum Berdasarkan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa perkara ini boleh mendapat rukhsah atau keringanan dalam Syarak. Namun, hendaklah aturannya dinyatakan mengikut pertimbangan maslahah-mudarat supaya tidak termasuk dalam perbuatan bermain-main dalam urusan agama dan talfiq yang mengambil mudah urusan agama. Kami nyatakan aturan hukumnya seperti berikut: Harus memegang najis kerana hajat. Dalam mazhab al-Syafie, melumurkan badan atau memegang najis tanpa hajat adalah haram. Namun apabila terdapat hajat seperti istinjak, menghilangkan najis, termasuklah membuat kajian bagi pendapat kami, maka hukumnya adalah harus. Rujuk Tuhfatul Muhtaj (1/161). Namun hendaklah anggota badan yang terkena najis itu dibasuh secara tasbi` dan tatrib. Begitu juga alatan yang terkena najis itu. Jika tidak berlaku tasbi’ dan tatrib, maka alatan tersebut akan menjadi mutanajjis selama-lamanya, tidak boleh dibawa sembahyang dan boleh memindahkan kenajisannya jika disentuh oleh suatu yang basah seperti tangan dan seumpamanya. Inilah pendapat yang lebih berhati-hati.  Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/585) Jika perkakas makmal akan rosak apabila disertu dengan air tanah, maka boleh bertaqlid dengan ikhtiyar (pendapat pilihan) Imam al-Nawawi. Beliau, sebagaimana kedudukan beliau adalah mujtahid tarjih dalam mazhab al-Syafie, telah memilih pendapat para ulama bahawa khinzir bukanlah najis mughallazah seumpama anjing kerana bagi beliau kaedah qias berkenaan tidak begitu kuat. Justeru, najis khinzir dan alatan-alatan yang mutanajjis akibat khinzir, cukup dibasuh dengan sekali basuhan secara wajib, atau tiga kali secara sunat, sehingga hilang bau, warna dan rasa, tanpa melakukan tasbi` dan tatrib. Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/586) Jika alatan akan rosak apabila menggunakan air dan tanah, maka boleh bertaqlid dengan Mazhab Hanafi yang juga menerima pembersihan melalui kaedah gosok, garuan, sapuan, menjadi kering dengan sendiri dan fizikal najis berubah menjadi bahan lain. Oleh kerana itu, najis pada khuf dan kasut yang bernajis boleh disucikan dengan digosok pada tanah sehingga hilang jirim najis, air mani (kerana najis di sisi mereka) yang digaru apabila kering, barang yang berkilat seumpama pedang dan cermin apabila disapu dengan kain, dan tanah yang bernajis apabila kering dengan sendiri dan apabila arak bertukar menjadi bahan lain seumpama cuka. Ini dengan syarat hilang sifat-sifat najis itu. Jika berbekas kesan sahaja, maka dimaafkan. Lihat Hasyiah Ibn Abidin (1/309-314) Selain itu, jika diambil rukhsah dengan bertaklid dengan pendapat yang marjuh dan mazhab lain, hendaklah dibuat secara berhati-hati dengan mengikut aturan dan hanya untuk kes tertentu sahaja. Tidak boleh dilaksanakan secara meluas hingga mendatangkan fitnah dalam masyarakat yang bermazhab Syafie. Ini bagi menjaga kerukunan masyarakat Islam dan mengajar disiplin dalam mengamalkan Hukum Syarak. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh: مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورَةِ يُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا Maksudnya: “Apa yang diharuskan kerana darurat, maka hendaklah dibenarkan sekadar tuntutan darurat itu sahaja.” Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 84) oleh Imam al-Suyuti Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada penanya. Wallahua’lam.
3,435
Soalan: Benarkah selawat lebih tinggi daripada zikir?   Ringkasan Jawapan: Selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir. Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta Allah SWT.   Huraian Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Selawat dan zikir keduanya merupakan tuntutan di dalam syarak kerana terdapat banyak dalil yang menyeru manusia agar sentiasa melaziminya. Sebelum kami menjawa berkaitan isu ini, suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu maksud selawat dan zikir agar kita dapat memahaminya dengan baik. Selawat adalah perkataan jama’ bagi solat (الصلاة‎) yang bermaksud doa atau pujian. Tambahan pula, makna selawat Allah SWT, selawat para malaikat dan juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain. Selawat Allah ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Manakala selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW. Zikir dari sudut bahasa bermaksud mengingati. Manakala dari sudut istilah pula, zikir merupakan sesuatu perkara yang dilakukan dengan tujuan mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.   Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan dengan begitu jelas berkaitan tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir. Antaranya:   Firman Allah SWT: إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا al-Ahzab: 56 Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”   Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511)] Adapun ayat al-Quran berkaitan tuntuan berzikir adalah:   Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا al-Ahzab: 41 Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”   Firman Allah SWT: وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا al-Insan: 25 Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”   Terdapat banyak lagi ayat al-Quran berkaitan seruan agar kita sentiasa berzikir dengan mengingati Allah SWT. Di samping itu, di dalam hadith juga ada dinyatakan kelebihan atau tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir, antaranya:   Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat.” [Riwayat al-Baihaqi (5995)][Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan]   Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]   Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti: Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda: مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.” [Riwayat al-Bukhari (6407)]   Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda: أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ " قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.” [Riwayat Ahmad (27102)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]   Berdasarkan kepada soalan di atas, kami berpandangan keduanya iaitu selawat dan zikir adalah disyariatkan oleh Allah SWT berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadith Nabi SAW yang jelas dan di sana tidak ada dinyatakan dari sudut keutamaan di antara keduanya. Untuk itu, meninggalkan salah satu daripadanya adalah satu perbuatan yang sia-sia yang menyebabkan hilangnya kelebihan yang akan kita perolehi apabila melakukannya. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa melazimi keduanya pada setiap hari dengan memperbanyakkan selawat dan juga zikir kepada Allah kerana itu adalah yang terbaik agar kita mendapat kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW apabila melakukannya.   Penutup Kesimpulannya, selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir. Oleh sebab itu, Allah SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia iaitu selawat merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta Allah SWT sebagaimana yang terdapat di dalam firman-Nya: Firman Allah SWT: قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ali-Imran: 31 Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”   Di sana juga terdapat banyak kelebihan bagi orang yang melakukannya. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW dan berzikir kepada-Nya. Amin.   Wallahua’lam
3,436
Soalan Salam pejabat mufti, bolehkah saya tahu berkenaan darjat hadis berikut? Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku 1000x sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan kepadanya dengan syurga”. Mohon penjelasan terima kasih ya. Ringkasan Jawapan Hadis yang menyebutkan tentang “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan dengan syurga” adalah hadis munkar (daif berat). Namun, amalan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW adalah digalakkan dalam Islam, terutamanya pada hari jumaat. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW: إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ Maksudnya: Sesungguhnya antara hari yang paling baik ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku. Riwayat Abu Daud Huraian Jawapan Setelah melakukan carian, hadis ini dijumpai dalam karya Kanz al-‘Ummal dengan lafaz berikut: من صلى علي في يوم ألف مرة لم يمت حتى يبشر بالجنة Maksudnya: Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan dengan syurga.[1] Selain itu, hadis ini juga dijumpai dalam karya al-Sakhawi iaitu al-Qaul al-Badiʻ.[2] Al-Sakhawi menyebutkan bahawa hadis ini merupakan hadis yang munkar. Beliau berkata sedemkian ketika membahaskan berkenaan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW, kata beliau: قلت وقد رواه غير الحكم وأخرجه أبو الشيخ من طريق حاتم بن ميمون عن ثابت ولفظه لم يمت حتى يبشر بالجنة وبالجملة فهو حديث منكر كما قاله شيخنا. Maksudnya: Aku berkata terdapat selain al-Hakam telah meriwayatkan hadis ini iaitu Abu al-Syeikh meriwayatkan daripada jalur Hatim bin Maimun, daripada Thabit dan lafaznya “tidak akan mati sehingga dia dikhabarkan dengan syurga”. Keseluruhan hadis ini merupakan hadis munkar sebagaimana yang disebutkan oleh guru kami (Ibn Hajar al-‘Asqalani).[3] Dalam sanad di atas, Hatim bin Maimun merupakan seorang perawi yang munkar. Al-Mizzi menukilkan ucapan Imam al-Bukhari dalam karyanya Tahzib al-Kamal, kata beliau: قال البخاري: روى منكرا Maksudnya: al-Bukhari berkata: Dia(Hatim bin Maimun) meriwayatkan hadis yang munkar.[4] Terdapat juga hadis lain yang menyebutkan berkenaan kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW sebanyak seribu kali sehari, namun dengan sedikit perbezaan lafaz. Hadis tersebut ialah hadis Anas bin Malik RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: من صلى علي في يوم ألف مرة لم يمت حتى يرى مقعده في الجنة Maksudnya: Sesiapa yang berselawat seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya di dalam syurga. Menurut al-Sakhawi, hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Syahin dalam karyanya al-Targhib wa al-Tarhib dan lain-lain, Ibn Syakwal dengan jalurnya dan Ibn Samʻun dalam al-Amali dan al-Dailami dengan jalur daripada Abu al-Syeikh al-Hafiz. Al-Diya’ meriwayatkan hadis ini dalam al-Mukhtarah dan dia berkata: aku tidak tahu hadis ini melainkan dengan jalur al-Hakam bin ‘Atiyyah. Dalam hal ini, al-Sakhwi menyebutkan bahawa al-Daraqutni memberikan komentar bahawa hadis daripada Thabit adalah hadis yang tidak ada sokongan daripada hadis lain. Ahmad mengatakan la baksa bihi(periwayatannya boleh diterima), namun Abu Daud al-Tayalisi meriwayatkan hadis daripadanya hadis-hadis yang munkar. Kemudian, Yahya bin Maʻin menyebutkan Thabit al-Bunani adalah perawi yang thiqah.[5] Manakala dalam tempat yang lain pula disebutkan dengan lafaz tambahan “hari jumaat”, namun al-Sakhawi menyebutkan bahawa sanad daripada Ibn Syahin adalah daif(lemah). Lafaznya seperti berikut: من صلى علي في يوم الجمعة ألف مرة لم يمت حتى يرى مقعده في الجنة أخرجه ابن شاهين بسند ضعيف Maksudnya: Sesiapa yang berselawat pada hari jumaat seribu kali dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya dalam syurga. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Syahin dengan sanad yang daif(lemah).[6] Kesimpulannya, hadis yang menyebutkan “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak seribu kali sehari, dia tidak akan mati sehingga dikhabarkan dengan syurga” adalah hadis munkar. Namun, amalan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda SAW adalah digalakkan dalam Islam, terutamanya pada hari jumaat. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW: إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ Maksudnya: Sesungguhnya antara hari yang paling baik ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.[7] Riwayat Abu Daud [1] Al-Muttaqi al-Hindi. (1981). Kanz al-‘Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Afʻal. ed. Bakri Hayyani & Safwah al-Saqa. t.tp.: Mu’assasah al-Risalah. no. hadis 2233. 1: 505. [2] Abu al-Khair Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi. (t.t.). Al-Qaul al-Badiʻ fi al-Solah ‘ala al-Habib al-Syafiʻ. t.tp: Dar al-Rayyan li al-Turas. 132. [3] Ibid. [4] Al-Mizzi. (1980). Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-RIjal. ed. Basyyar ‘Awwad Maʻruf. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 5: 196. [5] Abu al-Khair Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi. (t.t.). Al-Qaul al-Badiʻ fi al-Solah ‘ala al-Habib al-Syafiʻ. 132. رواه ابن شاهين في تغريبه وغيره وابن بشكوال من طريقه وابن سمعون في أماليه وهو عند الديلمي من طريق أبي الشيخ الحافظ وأخرجه الضياء في المختارة وقال لا أعرفه إلا من حديث الحكم بن عطية، قال الدارقطني حدث عن ثابت أحاديث لا يتابع عليها وقال أحمد لا بأس به إلا أن أبا داود الطيالسي روى عنه أحاديث منكرة قال وروي عن يحيى بن معين أنه قال هو ثقة. [6] Ibid., 197. [7] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath al-Sijistani. (t.t.). Sunan Abi Daud. ed. Muhammad Mahy al-Din ‘Abd al-Hamid. no. hadis 1531. 2: 88.
3,437
Soalan Assalamualaikum SS Mufti, bolehkah terangkan kepada saya berkenaan amalan memasak bubur Asyura pada hari Asyura? Sebab saya dengar ada ustaz yang sebut amalan tersebut tidak ada sumber yang sahih. Terima kasih. Ringkasan Jawapan Mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di Malaysia. Ada yang mendakwa bahawa amalan ini disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman, namun kisah ini tidak terdapat nas yang sahih yang dinyatakan dalam al-Quran atau hadis Baginda Nabi SAW dan ia merupakan kisah yang diceritakan oleh ulama sirah. Namun, bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya mengambil iktibar dan pedoman dengan dengan kisah ini, kerana ia merupakan riwayat sirah. Secara asasnya, ulama memberi kelonggaran dalam penerimaan dan penilaian riwayat ini, selagi mana tidak menyentuh soal akidah dan hukum hakam sehingga perlu dinilai dengan satu piawaian yang ketat. Malah adat yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia tidaklah bertentangan dengan syarak, bahkan ia merupakan perkara yang terpuji kerana tujuan majlis pada hari tersebut disertakan dengan memasak bubur secara beramai-ramai dapat mengeratkan tautan silaturrahim di samping dapat membudayakan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat. Huraian Jawapan Hari Asyura atau hari kesepuluh bulan Muharam merupakan tarikh penting dan bersejarah kepada umat Islam. Malah pada hari tersebut juga disunatkan bagi umat Islam berpuasa bagi menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT. Pada hari Asyura juga terdapat pelbagai peristiwa besar yang berlaku di masa lampau seperti peristiwa penciptaan langit dan bumi, bulan dan bintang, begitu juga diciptakan pada hari Asyura al-Arasy dan al-Kursi serta syurga.[1] Kebiasaan adat masyarakat Melayu akan mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat. Amalan memberi makan pada hari Asyura ini menjadi satu tradisi yang sangat dituntut dan dianjurkan di dalam Islam. Amalan tradisi memasak bubur Asyura pada hari kesepuluh Muharam dalam kalangan masyarakat melayu boleh disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman. Oleh kerana mereka dalam keadaan yang sangat lapar, Baginda Nuh AS memerintah pengikutnya supaya menghimpunkan segala makanan yang tersisa untuk dimasak dan dijadikan makanan. Setelah selesai menghimpun dan memasaknya, lalu mereka makan sehinggalah kekenyangan. Kisah ini dinukilkan Syeikh Nawawi al-Bantani dalam kitabnya: وَحكي أَن نوحًا عَلَيْهِ الصَّلَاة وَالسَّلَام لما اسْتَقَرَّتْ بِهِ السَّفِينَة يَوْم عَاشُورَاء قَالَ لمن مَعَه اجْمَعُوا مَا بَقِي مَعكُمْ من الزَّاد فجَاء هَذَا بكف من الباقلاء وَهُوَ الفول وَهَذَا بكف من العدس وَهَذَا بأرز وَهَذَا بشعير وَهَذَا بحنطة فَقَالَ اطبخوه جَمِيعًا فقد هنئتم بالسلامة Maksudnya: Diceritakan bahawa Nabi Nuh AS ketika kapalnya berlabuh setelah menghadapi badai pada hari Asyura, lalu Baginda memerintahkan kepada pengikutnya, “Himpunkanlah sesiapa di antara kalian yang memiliki lebihan makan”, kemudian mereka datang membawanya, “Ini segenggam daripada kacang al-Baqila’, iaitu kacang ful dan ini segenggam daripada kacang al-Adas dan ini beras dan ini tepung dan dan Hintha”. Lalu Baginda bersabda, “Masaklah kesemuanya, sesungguhnya kalian sudah mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan”.[2] Berdasarkan kisah ini, maka manusia mengambil bijirin sebagai salah satu sumber makanan untuk dimasak. Bahkan ia merupakan masakan pertama yang dimasak di atas muka bumi setelah kejadian taufan yang melanda muka bumi sehingga ia diambil dan dijadikan sebagai tradisi yang dilakukan pada hari asyura sehingga ke hari ini. Namun begitu, kisah ini tidak dapat dipastikan daripada sumber sirah yang muktabar dan sumber asalnya. Perkara ini hanya adat sesetengah masyarakat Islam seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani, kata beliau: فَمن ذَلِك اتخذ الْمُسلمُونَ طَعَام الْحُبُوب وَكَانَ ذَلِك أول طَعَام طبخ على وَجه الأَرْض بعد الطوفان وَاتخذ ذَلِك عَادَة فِي يَوْم عَاشُورَاء Maksudnya: Berdasarkan peristiwa ini, maka kaum muslimin mengambil bijirin sebagai makanan. Peristiwa ini juga menggambarkan bahawa masakan yang pertama dimasak di atas muka bumi ini selepas dilanda taufan. Oleh itu ia diambil sebagai adat pada setiap hari Asyura. [3] Selain itu, Syeikh Jamal menukilkan kisah nazam yang disusun oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hasyiahnya. [4] Lafaznya seperti berikut: فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ سَبْعٌ تُهْتَرَسْ ... أَرْزٌ وَبُرٌّ ثُمَّ مَاشٍ وَعَدَسْ وَحِمَّصٌ وَلُوبْيَا وَالْفُولُ ... هَذَا هُوَ الصَّحِيحُ وَالْمَنْقُولُ Sikap menolak dan mengancam sesuatu amalan yang dilakukan dalam majoriti masyarakat hanya kerana tidak bersumberkan daripada hadis sahih perlu dihindari. Ini kerana bimbang sikap seperti ini dapat menimbulkan kekeliruan dan memecah belahkan masyarakat yang harmoni. Justeru, perlu diingat bahawa sesuatu amalan walaupun terkadang tidak mempunyai sandaran daripada hadis Nabi SAW atau tidak mempunyai nas yang jelas selagi mana amalan tersebut tidak bercanggah dengan syarak, maka di sinilah terpakainya kaedah fiqh: الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[5] Ini menunjukkan bahawa hukum menyambut hari asyura dengan memasak bubur adalah  harus kerana berdasarkan asas yang baik. Benar hadis merupakan sumber dalil dalam panduan terhadap pengamalan masyarakat Islam tetapi hadis bukanlah satu-satunya dalil bahkan dalil lebih daripada itu. Lebih-lebih lagi amalan memasak bubur pada hari Asyura bukanlah sesuatu yang menyalahi hukum syarak. Bahkan amalan tersebut merupakan perkara yang terpuji di samping bergotong-royong memasak bubur Asyura, tradisi ini juga dapat mengeratkan lagi tautan silaturrahim dan dapat membudayakan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat setempat khususnya. Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn ʻAbd al-Barr dalam al-Istizkar bahawa dia mendengar gurunya Abu Umar Ahmad bin Abdullah[6] berkata: كَانَ أَبُو إِبْرَاهِيمَ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ شَيْخُنَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ كُلَّمَا خَفَضَ وَرَفَعَ عَلَى حَدِيثِ بن عُمَرَ فِي الْمُوَطَّأِ وَكَانَ أَفْضَلَ مَنْ رَأَيْتُ وَأَفْقَهَهُمْ وَأَصَحَّهُمْ عِلْمًا فَقُلْتُ لِأَبِي عُمَرَ لِمَ لَا تَرْفَعُ فَنَقْتَدِي بِكَ قَالَ لَا أُخَالِفُ رواية بن الْقَاسِمِ لِأَنَّ الْجَمَاعَةَ عِنْدَنَا الْيَوْمَ عَلَيْهَا وَمُخَالَفَةُ الْجَمَاعَةِ فِيمَا أُبِيحَ لَنَا لَيْسَتْ مِنْ شِيَمِ الْأَئِمَّةِ Maksudnya: Bahawa guru kami Abu Ibrahim Ishaq bin Ibrahim, dia mengangkat kedua tangannya setiap kali turun dan bangun (takbir intiqal dalam solat) berdasarkan hadis Ibn Umar RA dalam al-Muwatta’. Dia merupakan orang yang paling utama, paling faqih dan sahih amalannya yang pernah aku temui. Lalu aku bertanya kepada Abu Umar: Kenapa engkau tidak mengangkat supaya aku dapat mengikuti cara engkau. Lalu Abu Umar berkata aku tidak mahu menyelisihi riwayat Ibn al-Qasim kerana majoriti dalam kalangan kita pada hari ini berpegang dengannya (riwayat Ibn al-Qasim). Menyelisihi majoriti dalam perkara yang diharuskan kepada kita bukanlah kebiasaan/sikap orang-orang alim.[7] Berdasarkan kisah yang disebutkan Ibn ʻAbd al-Barr di atas, dapat difahami bahawa para imam terdahulu apabila mereka mendapati sesuatu amalan yang telah lama diamalkan dalam masyarakat dan amalan tersebut tidak bercanggah dengan syarak maka mereka akan membiarkan masyarakat terus mengamalkannya. Walaupun terkadang mereka mempunyai amalan lain yang mempunyai sandaran dalil yang lebih kuat, tetapi mereka tidak mudah menolak serta mengancam sesuatu amalan yang telah lama dilakukan dalam kalangan masyarakat. Inilah contoh teladan yang perlu diikuti masyarakat Islam pada hari ini. Nescaya nilai perbezaan sesama masyarakat Islam dapat diharmonikan sebaiknya. Namun, dalam masa yang sama amalan-amalan sunat yang dianjurkan oleh Baginda SAW tidak ditinggalkan, antaranya puasa pada hari Asyura yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, ketika Baginda SAW ditanya berkenaan puasa pada hari Asyura, lalu Baginda menjawab: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ Maksudnya: Dihapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.[8] Riwayat Muslim Hal yang sama diriwayatkan oleh Qatadah RA. Beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.[9] Riwayat Ibn Majah Selain itu, para ulama juga telah menggalakkan pelbagai amalan lain pada hari asyura seperti melakukan solat sunat tasbih, berpuasa, bersedekah, mengunjungi orang alim dan lain-lain.  Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani di dalam karyanya: وَنقل عَن بعض الأفاضل أَن الْأَعْمَال فِي يَوْم عَاشُورَاء اثْنَا عشر عملا الصَّلَاة وَالْأولَى أَن تكون صَلَاة التَّسْبِيح وَالصَّوْم وَالصَّدَقَة والتوسعة على الْعِيَال والاغتسال وزيارة الْعَالم الصَّالح وعيادة الْمَرِيض وَمسح رَأس الْيَتِيم والاكتحال وتقليم الْأَظْفَار وَقِرَاءَة سُورَة الْإِخْلَاص ألف مرّة وصلَة الرَّحِم Maksudnya: Dinukilkan bahawa sebahagian daripada amalan-amalan yang terbaik yang dilakukan pada hari Asyura terdapat dua belas amalan iaitu, solat dan yang paling utama adalah solat tasbih, puasa, sedekah, memperbanyakkan pemberian (seperti nafkah) kepada keluarga, mengunjungi orang alim dan soleh, menziarahi orang sakit, mengusap kepala anak yatim, bercelak, memotong kuku, membaca surah al-Ikhlas sebanyak seribu kali dan mengeratkan silaturrahim.[10] Wallahu’alam.     Rujukan: [1]     Rujuk, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj, Sulaiman bin Umar bin Mansur al-‘Ujaili al-Azhari, Dar al-Fikr, t.t, 2/347 (إنَّ اللَّهَ تَعَالَى خَلَقَ السَّمَوَاتِ، وَالْأَرْضَ، وَالشَّمْسَ، وَالْقَمَرَ، وَالنُّجُومَ وَالْعَرْشَ وَالْكُرْسِيَّ، وَالْجَنَّةَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ). [2]     Rujuk, Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin, Muhammad bin Umar Nawawi al-Bantani, Dar Fikr, t.t, 196. [3]     Ibid [4]     Rujuk, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj, Sulaiman bin Umar bin Mansur al-‘Ujaili al-Azhari, Dar al-Fikr, t.t, 2/348 [5]     Jalal al-Din al-Suyuti, al-Asybah wa al-Naza’ir, Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1990, 60. [6]     Menurut Muhammad Awwamah, nama guru Ibn ‘Abd al-Barr yang lebih sahih adalah Abu Umar Abd al-Malik bin Hasyim. Rujuk Muhammad Awwamah, Adab al-Ikhtilaf fi Masa’il al-ʻIlm wa al-Din, al-Riyad: Dar al-Minhaj, 2013, hlm.45. [7]     Ibn ‘Abd al-Barr, al-Istizkar, ed. Salim Muhammad ‘Ata dan Muhammad Ali Mu’awwad, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2000, 1/409. [8]     Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, t.t, hadis no. 1162, 2/819. [9]     Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, ed. Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, Dar Ihya’ al-Kutub al-ʻArabiyyah, hadis no 1738, 1/553. [10]   Rujuk, Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin, Muhammad bin Umar Nawawi al-Bantani, Dar Fikr, t.t, 196.
3,438
Soalan Assalamualaikum, saya nak jual kereta pada seorang pembeli non muslim. Ada sedikit kerosakan dalaman pada kereta itu, adakah boleh saya senyapkan sahaja tentang kerosakan itu? Jawapan Ringkas Haram hukumnya bagi seorang penjual muslim menyembunyikan kecacatan barang ketika jual beli sekalipun pelanggan tersebut adalah orang bukan Islam. Ini adalah kerana akhlak yang diajarkan Islam bersifat menyeluruh dan seorang penjual muslim mesti mempraktikkannya dalam semua keadaan baik ketika bersama muslim mahupun ketika bersama orang bukan muslim. Huraian Jawapan Seorang penjual wajib memberitahu kecacatan yang ada pada barangannya sekiranya dia ingin menjual barang tersebut. Ini adalah kerana perbuatan menyembunyikan kecacatan produk dengan sengaja adalah satu perbuatan yang dilarang dalam jual beli bahkan akan menghilangkan keberkatan jual beli. Perbuatan sedemikian adalah sama seperti memakan harta orang lain dengan cara yang batil. Allah SWT berfirman: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. Surah An-Nisa’ (29) Di samping itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa kejujuran akan menyebabkan suatu jual beli mendapat keberkatan. Menyembunyikan kecacatan pada produk dan menipu akan menghilangkan keberkatan tersebut. Rasulullah SAW bersabda: الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا Maksudnya: Penjual dan pembeli berhak untuk khiyar (menyimpan atau memulangkan produk) selagi mereka tidak berpisah dari majlis jual beli. Sekiranya kedua-dua pihak bersikap jujur dan menyatakan kecacatan produk itu, maka jual beli mereka itu akan diberkati. Namun, sekiranya mereka menyembunyikan kecacatan dan menipu maka hilanglah keberkatan atas transaksi jual beli mereka itu. Riwayat al-Bukhari (2079) Selain itu, terdapat sebuah riwayat lain yang turut melarang seseorang untuk menyembunyikan dengan sengaja kecacatan yang ada pada produk. Sekiranya produk tersebut ingin dijual juga, maka kecacatan tersebut perlu dinyatakan. Rasulullah SAW bersabda: ‌الْمُسْلِمُ ‌أَخُو ‌الْمُسْلِمِ، وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ بَاعَ مِنْ أَخِيهِ بَيْعًا فِيهِ عَيْبٌ إِلَّا بَيَّنَهُ لَهُ Maksudnya: Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, seorang muslim dilarang untuk menjual sesuatu barang yang ada kecacatan padanya kepada saudaranya kecuali dia menyatakan tentang kecacatan itu. Riwayat Ibn Majah (2246) Berdasarkan hadis-hadis di atas para ulama menyatakan bahawa haram bagi seorang penjual melakukan tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan yang ada pada produknya. Sekiranya dia ingin menjualnya juga maka dia perlu memberitahu kepada pembeli tentang kecacatan itu. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 109[1] & 116[2]/12) Tambahan lagi, pengharaman perbuatan ini bukan sahaja tertakluk antara penjual dan pembeli muslim bahkan termasuk juga antara penjual muslim dengan pembeli bukan muslim. Ini bermaksud, sekalipun pembeli itu adalah orang bukan Islam, seorang penjual perlu menyatakan kecacatan pada produknya sekiranya dia ingin menjual produk tersebut. Sesungguhnya akhlak yang diajar Islam adalah akhlak yang universal dan menyeluruh, maka seseorang mesti mempraktikkan akhlak yang baik sama sesama muslim atau bukan muslim. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 116/12[3]; al-Fiqh al-Manhaji 26/6[4]) Kesimpulan Haram hukumnya bagi seorang penjual muslim menyembunyikan kecacatan barang ketika jual beli sekalipun pelanggan tersebut adalah orang bukan Islam. Ini adalah kerana akhlak yang diajarkan Islam bersifat menyeluruh dan seorang penjual muslim mesti mempraktikkannya dalam semua keadaan baik ketika bersama muslim mahupun ketika bersama orang bukan muslim. Wallahualam.   Rujukan: [1] وَمَنْ مَلَكَ عَيْنًا وَعَلِمَ بِهَا عَيْبًا لَمْ يَجُزْ أن يبيعها حتى يبين عيبها لما رَوَى عُقْبَةُ بْنُ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ " صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ‌المسلم ‌أخو ‌المسلم فلا يحل لمسلم باع من أخيه بيعا يعلم فيه عيبا [2] فَالتَّدْلِيسُ حَرَامٌ بِالْقَصْدِ فِي نَفْسِهِ وَالْبَيْعُ لَيْسَ حراما لذاته ولكن حرام لغيره وهو كتمان العيب [3] وَإِطْلَاقُ الْمُصَنِّفِ رَحِمَهُ اللَّهُ وَالْأَصْحَابِ وَالشَّافِعِيِّ ‌حُرْمَةَ ‌التَّدْلِيسِ ‌وَوُجُوبَ ‌الْبَيَانِ ‌يَتَنَاوَلُ مَا إذَا كَانَ الْمُشْتَرِي مُسْلِمًا أَوْ كَافِرًا [4] ويلحق غير المسلم به استدلالاً بعموم الحديث الذي قبله، ولأن الأخلاق في الإسلام أخلاق ذاتية إنسانية، يجب التخلق بها مع المسلم وغيره
3,439
Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, baru-baru ini tular berkenaan kewujudan sesetengah pihak yang menjual duit syiling khas yang boleh digunakan di dobi, funfair dan tempat-tempat lain dengan harga yang begitu murah. Akan tetapi, jualan sebegini bakal mendatangkan kerugian kepada para pengusaha kedai dobi dan funfair oleh kerana kebiasaannya untuk satu syiling itu, harga yang diletakkan adalah RM1, tetapi ia boleh didapati di pasaran dengan harga serendah RM 0.28. Persoalan saya, bolehkah perbuatan sebegini dilakukan? Adakah ia termasuk dalam satu bentuk sabotaj dan penganiayaan? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.  Ringkasan Jawapan Hukum berjual beli syiling khas atau token khas sebegini di laman perniagaan Shopee atau sebarang aplikasi lain dengan tujuan ingin menggunakan khidmat dobi atau sesetengah perkhidmatan dengan harga yang lebih rendah berbanding kebiasaan, maka hukumnya adalah haram. Ini kerana, ia dikira sebagai suatu bentuk penipuan, penganiayaan dan kezaliman terhadap para pengusaha kedai atau pusat perkhidmatan tersebut. Huraian Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Allah SWT berfirman: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” Surah al-Nisa’ (29) Pada dasarnya, Allah SWT meletakkan hukum harus  ke atas segala bentuk jual beli selagi mana ia dilakukan dengan cara yang benar dan menurut syariat yakni bukan dengan cara menipu, merampas, mencuri atau sebagainya. Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa Allah SWT melarang kita memakan harta dengan cara yang batil[1]. Dobi layan diri merupakan sebuah perniagaan di mana pemilik tidak perlu berada di premis perniagaan untuk menjalankan proses perniagaan. Namun, terdapat juga kedai dobi layan diri yang menyediakan pekerja atau penjaga kedai untuk membantu pelanggan sekiranya mereka memerlukan bantuan semasa proses cucian dan pengeringan. Pelanggan hanya perlu menggunakan sistem token atau syiling khas untuk memulakan basuhan ataupun pengeringan. Kebiasaannya, masa yang diambil ialah lebih kurang 30 minit untuk cucian dan 30 minit untuk pengeringan. Pelanggan perlu menggunakan mesin penukaran wang untuk menukarkan wang kertas kepada syiling khas atau token. Operasi dobi yang menggunakan syiling terdiri daripada tiga perkara asas iaitu penjagaan, penyelenggaraan dan pengurusan kutipan bayaran[2]. Secara kebiasaannya juga, token atau syiling khas dobi ini ditukar dengan nilai bersamaan RM1 bagi satu syiling. Meskipun begitu, tular baru-baru ini di laman sosial berkenaan kewujudan sesetengah pihak yang didakwa menjual token atau syiling khas berkenaan dengan harga serendah 28 sen sekeping menerusi laman Shopee. Token khas ini dijual dalam pelbagai bentuk dan bentuk seiring dengan jenis mesin dobi layan diri yang tersedia dalam negara. Selain daripada jualan token khas untuk dobi, token atau duit syiling ini juga ada yang boleh digunakan untuk mesin air, pusat hiburan kanak-kanak dan sebagainya. Rentetan daripada itu, penjualan token dobi harga yang lebih rendah di laman Shopee berbanding jika ia dibeli secara langsung di dobi ini secara tidak langsung bakal memberi kerugian buat pemilik dobi layan diri sekiranya diguna secara meluas oleh pengguna tidak bertanggungjawab. Perbuatan ini dianggap sebagai suatu bentuk penganiayaan, penipuan dan kezaliman terhadap pengusaha kedai. Ini kerana secara realitinya pengguna akan menggunakan token yang dibeli melalui laman Shopee itu di pusat dobi sedangkan pemilik dobi tersebut tidak memperoleh sebarang keuntungan malah mendatangkan kerugian pula. Agama Islam jelas melarang kita daripada perbuatan sedemikian. Rasulullah SAW bersabda: وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukanlah daripada kalangan kami.” Riwayat Muslim (101) Rasulullah SAW bersabda lagi: إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607) Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur maka dia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Begitu juga sesungguhnya pendustaan akan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Sesungguhnya jika seseorang itu selalu berdusta maka akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta.” Imam al-Nawawi menukilkan kalam para ulama yang menyatakan bahawa hadis ini merupakan suatu tuntutan dan kewajipan ke atas setiap insan agar bersifat dengan sifat benar dan melaziminya serta larangan daripada berdusta dan juga bersikap mudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika seseorang itu terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, maka lama kelamaan terbiasalah dia[3]. Pun begitu, perkara ini masih lagi dalam kerangka harus selagi mana ia bukan bertujuan untuk menipu atau menganiaya pihak pengusaha. Sekiranya tujuan pembelian token tersebut sekadar niat untuk simpanan, maka hukumnya adalah harus. Dan sekiranya sebaliknya, maka ia adalah haram. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqh yang umum iaitu: الأمور بمقاصدها Maksudnya: Setiap perkara bergantung kepada niatnya Kesimpulannya, mereka yang berjual beli syiling khas atau token khas sebegini di laman perniagaan Shopee atau sebarang aplikasi lain dengan tujuan ingin menggunakan khidmat dobi atau sesetengah perkhidmatan dengan harga yang lebih rendah berbanding kebiasaan, maka hukumnya adalah haram. Hal ini kerana, perbuatan ini dikira sebagai suatu bentuk penipuan, penganiayaan dan kezaliman terhadap para pengusaha kedai atau pusat perkhidmatan tersebut. Wallahu A‘lam. Rujukan: [1] Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni & Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H/1964M), 5/152. الرَّابِعَةُ- اعْلَمْ أَنَّ كُلَّ مُعَاوَضَةٍ تِجَارَةٌ عَلَى أَيِّ وَجْهٍ كَانَ الْعِوَضُ، إِلَّا أَنَّ قَوْلَهُ (بِالْباطِلِ) أَخْرَجَ مِنْهَا كُلَّ عِوَضٍ لَا يَجُوزُ شَرْعًا مِنْ رِبًا أَوْ جَهَالَةٍ أَوْ تَقْدِيرِ عِوَضٍ فَاسِدٍ كَالْخَمْرِ وَالْخِنْزِيرِ وَغَيْرِ ذَلِكَ [2] Siti Nuraini Abu Bakar, Perniagaan Dobi: Potensi Perniagaan kepada Koperasi, Dimensi KOOP, (t.tp: Institut Koperasi Malaysia, Bil.53, 2017), 62-65. [3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 16/160. قَالَ الْعُلَمَاءُ هَذَا فِيهِ حَثٌّ عَلَى تَحَرِّي الصِّدْقِ وَهُوَ قَصْدُهُ وَالِاعْتِنَاءِ بِهِ وَعَلَى التَّحْذِيرِ مِنَ الْكَذِبِ وَالتَّسَاهُلِ فِيهِ فَإِنَّهُ إِذَا تَسَاهَلَ فِيهِ كَثُرَ مِنْهُ فَعُرِفَ بِهِ
3,440
Soalan: Assalamualaikum W.B.T. Saya ada soalan mengenai riba. Ada seseorang yang saya kenali mempunyai beberapa sumber rezeki, tetapi salah satunya ialah daripada hasil riba. Orang tersebut amat pemurah dan suka memberi bantuan berupa barang dan makanan kepada orang miskin. Soalan saya apakah hukum menerima dan menggunakan pemberian barang atau makanan daripada orang tersebut? Jawapan: Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Hadith daripada Abu Abdullah al-Nu'man bin Basyir R.A. bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: إن الحلال بيّن وإن الحرام بيّن، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه، ألا وإن لكل ملك حمى ألا وإن حمى الله محارمه. ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله. وإذا فسدت فسد الجسد كله: ألا وهي القلب» Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjatuh di dalam (melakukan) perkara syubhah, sama seperti ia terjatuh di dalam (melakukan) perkara yang haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.” Riwayat al-Bukhari (3842) Boleh rujuk artikel kami yang lain berkaitan mengambil manfaat daripada harta haram atau syubhah: AL-KAFI #1001: Menggunakan Wang Haram Untuk Membaikpulih Surau https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2945-al-kafi-1001-menggunakan-wang-haram-untuk-membaikpulih-surau Pada asalnya harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh Syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak adalah tidak boleh digunakan. Jika hasil pendapatan tersebut semata-mata daripada sumber rezeki yang haram, maka jadilah harta tersebut haram, manakala jika ia bercampur antara sumber rezeki halal dan haram, maka jadilah harta itu harta syubhah. (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie,3/67) oleh Muhammad al-Zuhaili. Berbalik kepada persoalan di atas, isu yang ditimbulkan ialah mengambil sedekah daripada harta yang haram atau syubhah. Justeru, hukum menerima sedekah atau hadiah daripada harta haram atau syubhah adalah diharuskan di sisi syarak. Ini adalah pandangan daripada salah satu riwayat Ibnu Sirin seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali dan pandangan daripada Ibn Taimiyah (Rujuk: Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, hlm 201-202 dan Tafsir Ayat Ushkilat ‘ala Kathirin Min al-Ulama, hlm 596). Perkara dasar yang amat penting untuk kita fahami dalam urusan muamalat ialah kita perlu jelas tentang harta atau barang yang kita terima atas dasar apa. Seandainya seseorang itu menerima wang daripada hasil jualan arak atau atas kemenangan judi atau atas transaksi riba yang dia sendiri lakukan maka hukumnya adalah haram. Tetapi seandainya seseorang itu menerima wang atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia tidak terlibat dengan kegiatan haram maka ia pada asalnya adalah halal. Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T: وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”  Surah Al-An’am:164 Imam Ibnu Kathir mentafsirkan ayat ini : "bahawa setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT". (Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, 3/383-384). Berdasarkan dalil di atas, seseorang tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain. Dalam konteks bermuamalat dengan harta yang haram, dosa si pelaku perbuatan haram adalah ditanggung olehnya sahaja dan tidak ditanggung oleh pihak lain yang bermuamalat dengannya. Ibnu Mas’ud ketika ditanya tentang hukum menerima jemputan dan hadiah daripada jiran yang merupakan pengamal riba, mereka membenarkan untuk menerima jemputan tersebut dengan alasan dosa akan ditanggung oleh pelaku riba. Ibn Mas`ud ketika ditanya; وجاء رجل إلى ابن مسعود فقال: "إن لي جاراً يأكل الربا وإنه لا يزال يدعوني"، فقال: "مهنؤه لك وإثمه عليه Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Ibn Mas`ud dan bertanya kepadanya: “Sesungguhnya aku berjiran dengan seorang pengamal riba dan dia selalu menjemputku untuk menjamu hidangannya”. Lalu Ibn Mas`ud menjawab: “Hidangan itu harus untuk kamu dan dosanya ditanggung oleh dia (jiran tersebut)”. (Rujuk: Musannaf Abdul Razzaq, No 14675, 8/150). Kaedah Fiqhiyyah ada menyebutkan: تبدل سبب الملك قائم مقام تبدل الذات Maksudnya: “Perpindahan yang disebabkan oleh pemilikan akan mengakibatkan perubahan pada ain” (Rujuk: Durar al Hukkam Syarh Majallah al-Ahkam, 1/98). Menurut kaedah asal, perubahan hukum berlaku disebabkan oleh perubahan pemilikan iaitu telah bepindah hak milik sekalipun ainnya tidak berubah. Contohnya dalam kes jamuan Barirah bekas hamba ‘Aisyah yang menghidangkan daging kepada Rasulullah. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi S.A.W, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab: “Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” [Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1786)]. Maksudnya, daging itu disedekahkan kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkannya kepada Nabi S.A.W. Jika ia sedekah kepada Nabi S.A.W, maka baginda tidak boleh makan. Walaupun pada asalnya sedekah, tetapi baginda menerima daripada Barirah atas dasar hadiah, maka ianya halal untuk baginda. Dalam hal ini, kaedah di atas membawa maksud bahawa, sekalipun ain (harta) itu sama, tetapi ia tetap berubah menjadi halal disebabkan oleh pertukaran tangan. Maka dihujahkan bahawa walaupun harta diperolehi secara haram oleh seorang pekerja tetapi harta tersebut menjadi halal sekiranya diserahkan kepada seseorang yang lain melalui transaksi atau akad samada sedekah atau jual beli dan sebagainya. Berkata Dr Yusuf Al-Qardhawi : "Sebenarnya harta tersebut adalah keji (haram) jika dinisbahkan kepada orang yang mendapatkannya dengan cara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk faqir miskin dan badan-badan kebajikan. Justeru penyelesaiannya harta tersebut hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang yang terputus perjalanan, institusi kebajikan Islam, dakwah dan kemasyarakatan.  Ini kerana, harta tersebut tidak haram dari segi zatnya (haram lizatihi) akan tetapi ianya haram kerana sebab yang tertentu (haram lighairihi)". (Rujuk: Al-Fatawa al-Mu’asarah, 2/411). Imam Al-Ghazali menyatakan di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin ketika menjawab pendapat yang mengatakan: "kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita”. Memang benar sebegitu, namun dalam isu harta yang haram dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara’ yang menghalalkannya dan ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan". Imam An-Nawawi menyatakan didalam kitab Al-Majmu’ dengan menukilkan kata-kata Imam Al-Ghazali: "Sekiranya harta haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram keatas mereka, bahkan ianya halal lagi baik untuk mereka". (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 9/381). Kesimpulan Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan isu ini kepada beberapa perkara: Orang yang menggunakan harta daripada sumber rezeki yang haram seperti penjualan arak, judi, riba atau pelacuran yang dia terlibat dengannya maka hukumnya adalah haram. Menginfakkan harta daripada sumber rezeki yang haram menjadi kewajipan pemilik harta tersebut untuk memisahkan dirinya daripada harta tersebut dan bukannya bertujuan untuk meraih pahala daripada serahan itu. Tetapi dengan syarat hendaklah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi. (Rujuk: Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar, 2/65). Orang yang menerima harta yang haram atau syubhah atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia tidak terlibat dengan urusan kegiatan haram, maka mereka halal menerimanya dan tidak perlu mengembalikannya. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti riba, perjudian dan arak kerana hal tersebut menunjukkan sikap redha kepada maksiat. Wallahu A’lam.
3,441
Soalan Salam Mufti, saya nak tanya satu soalan yang merisaukan diri saya sejak dua hari ni. Masa tu saya bangun,saya baru lepas bergaduh dengan ibu saya selepas itu saya pergi mandi. Time tengah shower tu, fikiran saya bercelaru sehingga saya mempersoalkan kewujudan Allah SWT, dan saya juga terungkapkan ayat yang "I am Atheist" berkali-kali. Adakah itu dikira saya telah kufur dari agama? Harap Tuan Mufti dapat Menjawab soalan saya, saya risau sangat ni    Jawapan Perlu diketahui bahawa asal dalam perkara aqidah adalah wajib beriman secara muktamad. Dalam beraqidah tidak boleh wujud sedikit pun perasaaan syak, waham dan zan. Syak boleh dikatakan keraguan yang bersifat pertengahan antara percaya dan tidak percaya. Waham pula langsung tidak mencapai tahap separuh kepercayaan manakala zan pula adalah kepercayaan yang hampir-hampir mencapai tahap yakin tetapi masih tidak sepenuhnya muktamad. Kesemua bentuk keraguan ini tidak diterima dalam soal keimanan dan ia boleh merosakkan aqidah seseorang. Walau bagaimanapun, hati seseorang tidak mampu untuk mengelak daripada lintasan-lintasan dan bisikan-bisikan syaitan yang mugkin bertentangan dengan iman. Kadang-kadang ia timbul secara tidak disangka-sangka dan bukan sengajakan. Misalnya seorang saintis yang banyak mengkaji tentang asal usul kejadian, kadang-kadang terlintas di dalam hatinya, siapa pula yang menciptakan pencipta kejadian ini? Dalam hal ini, jika waswas itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda: إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan)". Riwayat al-Bukhari (2528) Imam Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, 273) Dalam situasi yang dihadapi oleh penyoal, ia terlafaz kalimah kufur (I’m Atheist) tersebut dalam keadaan fikirannya sedang terganggu dan bercampur waswas. Maka ia termasuk dalam kategori tersilap, tersalah atau tidak disengajakan kerana hati tidak tetap (istiqrar) dengan maksud kekufuran. Ia bersandarkan firman Allah SWT: وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا  Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah al-Ahzab (5) Juga sebagaimana sabda Rasulullah SAW: إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.” Riwayat Ibn Majah (2043) Walau bagaimanapun, kami tetap menasihatkan orang yang mengalami situasi sebegini agar memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadahnya. Ia bertepatan dengan hadis yang sentiasa memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW: جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.” Riwayat Imam Ahmad (8710) Akhirnya, dikongsikan di sini beberapa tips penting dalam mengatasi waswas dalam aqidah. Pertama: Bertenang dan tidak menggelabah. Ini kerana kebimbangan dan kekhuatiran kita terhadap perasaan waswas yang timbul menunjukkan kita masih memiliki iman yang mantap. Di dalam hadis sahih dari Abu Hurairah r.a berkata: جَاءَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلُوهُ: إِنَّا نَجِدُ فِي أَنْفُسِنَا مَا يَتَعَاظَمُ أَحَدُنَا أَنْ يَتَكَلَّمَ بِهِ، قَالَ: «وَقَدْ وَجَدْتُمُوهُ؟» قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: «ذَاكَ صَرِيحُ الْإِيمَانِ» Maksudnya: "Sekumpulan manusia di kalangan para sahabat datang bertemu Nabi SAW, lalu mereka bertanya: Sesungguhnya kami telah mendapati dalam hati kami lintasan-lintasan hati yang kami anggap ia suatu kesalahan besar jika diucapkan dengan lidah. Nabi SAW bertanya: Kamu sudah terkena lintasan-lintasan itu? Mereka menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Demikian itu iman yang jelas". Riwayat Muslim (209) Kedua: Memperkukuhkan iman dengan mengulang syahadah. Dalam hadith Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: لَا يَزَالُ النَّاسُ يَتَسَاءَلُونَ حَتَّى يُقَالَ: هَذَا خَلَقَ اللهُ الْخَلْقَ، فَمَنْ خَلَقَ اللهَ؟ فَمَنْ وَجَدَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا، فَلْيَقُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ Maksudnya: "Manusia akan terus bertanya sehinggalah dikatakan: Ini diciptakan Allah, maka siapa yang mencipta Allah? Barangsiapa yang mendapati sesuatu dari (soalan) itu, maka katakanlah: Aku beriman kepada Allah". Riwayat Muslim (212) Ketiga: Memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada gangguan syaitan dan iblis yang menghasut, sekurang-kurangnya dalam mengucapkan ta'awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم). Dalam lafaz hadith Abu Hurairah yang lain menyebut bahawa syaitan datang kepada seseorang lalu mempertikaikan siapa yang menciptakan Tuhanmu, maka apabila sampai ke soalan tersebut, mohonlah perlindungan dengan Allah dan hentikan (melayani persoalan itu). Riwayat Muslim (214) Keempat: Segera berhenti daripada berfikir-fikir tentang perkara yang diwaswaskan itu sebaliknya menyibukkan diri dengan beramal soleh sambil menghayati firman Allah SWT: لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ  Maksudnya: "Dia (Allah) tidak disoal tentang apa yang Dia lakukan, tetapi merekalah (manusia) yang disoal (dihitung segala amalan di akhirat kelak)". Surah al-Anbiya' (23) Kelima: Melakukan amalan zikir dan doa agar sentiasa ditetapkan hati dalam keimanan dan ketaatan. Antaranya doa Rasulullah SAW: (اللهم يا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي على دِينِكَ) bermaksud: "Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu". Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak (1926) Keenam: Bertalaqqi ilmu aqidah dengan mencari guru yang berkeahlian bagi memantapkan lagi keimanan terutamanya ketika berhadapan dengan keraguan-keraguan yang sengaja ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam. Ketujuh: Sentiasa melazimi dan bergaul dengan para alim ulama dan golongan solehin. Wallahu a'lam.
3,443
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Muqaddimah Para ulama memberikan pelbagai definisi terhadap istihsan, dan antara takrif yang terpilih ialah takrif yang diberikan oleh Imam Abu Ishaq al-Syatibi iaitu: beramal dengan maslahah juz’iyyah yang bercanggah dengan dalil umum, dan ia juga bermaksud mendahulukan istidlal dengan maslahah mursalah ke atas qiyas. Ulama yang menggunakan istihsan pula tidak berpandukan semata-mata kepada perasaan dan kehendaknya sahaja, tapi dia mesti mengambil Maqasid Syariah dalam perkara tersebut. (Rujuk Al-Muwafaqat 4/195) Majoriti para ulama menggunapakai al-istihsan dan menganggapnya sebagai satu dalil daripada dalil-dalil hukum. Manakala sebahagian fuqaha lain pula mengingkarinya seperti golongan al-Syafi’eyyah. Sehingga dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa beliau berkata: Istihsan adalah berseronok-seronok dan berkata mengikut hawa nafsu. Kata beliau lagi: Sesiapa yang melakukan istihsan sesungguhnya dia telah membuat syariat. (Rujuk al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi 4/209).   Mengapa Imam al-Syafi’e menolak istihsan? Imam al-Syafi’e menyebut bahawa istihsan merupakan satu bentuk talazzuz (bersenang-senang); jika istihsan dibenarkan kepada seseorang dalam urusan agama, nescaya ia akan diharuskan untuk setiap yang berakal di luar bidang ilmu, dan diharuskan pula untuk mensyariatkan perkara agama dalam setiap bab, dan setiap orang akhirnya akan mensyariatkan agama untuk diri mereka sendiri. (Rujuk al-Risalah hlm. 507) Maka difahami daripada kata-kata Imam al-Syafi’e ini, istihsan yang beliau tolak ialah istihsan berdasarkan akal semata-mata dan hawa nafsu dan yang tidak mempunyai sandaran dalil syarak. Menurut Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, istihsan jenis ini telah disepakati pengharamannya oleh seluruh ulama, dan ini seperti yang istihsan dalam hukum syarak yang dilakukan oleh orang awam yang tidak mempunyai ilmu. (Rujuk Raudhah al-Nazir 1/475) Kata Ibn al-Sam’ani, jika yang dimaksudkan dengan istihsan itu ialah pandangan yang menganggap suatu perkara sebagai baik tanpa dalil, maka ia adalah batil, dan tiada seorangpun ulama yang menerima istihsan seperti itu. Adapun istihsan dalam erti kata menggunakan dalil yang lebih kuat dalam satu hukum, maka tiada seorang ulama pun yang mengingkarinya. (Rujuk Irsyad al-Fuhul 2/262) Penerimaan Imam al-Syafi’e terhadap istihsan juga terzahir melalui kitab beliau sendiri iaitu al-Umm, di mana beliau berpandangan perbuatan sesetengah hakim yang mensyaratkan sumpah sambil memegang al-Qur’an merupakan perkara yang baik (hasan). Ini menjadi bukti Imam al-Syafi’e sendiri beramal dengan istihsan dalam ijtihad beliau. (Rujuk Al-Umm 6/278) Pengingkaran Imam al-Syafi’e terhadap istihsan ialah dalam erti kata istihsan berdasarkan akal dan pandangan semata-mata tanpa sandaran dalil. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik yang banyak mengistinbatkan hukum menggunakan istihsan tidak pernah memahami istihsan dalam konteks ini, dan istihsan menurut mereka berdua ialah istihsan yang mempunyai sandaran dalil. (Rujuk Usul al-Fiqh al-Islamiy 2/750) Menurut Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, istihsan yang ditolak oleh Imam Syafi’e ialah pandangan yang tidak mampunyai sandaran daripada al-Quran, al-Sunnah, ijma’ atau qiyas, dan penolakan ini adalah merupakan salah satu bentuk hifz al-din (memelihara agama). Adapun istihsan dalam erti kata hukum pengecualian daripada qiyas kulliy, ia diterima pakai oleh Imam al-Syafi’e dan diambil kira sebagai dalil dalam banyak permasalahan fiqh. (Rujuk Maqasid al-Syari’ah ‘inda al-Imam al-Syafi’e hlm. 470)   Kesimpulan Tuntasnya, Imam al Syafi’e sebenarnya menerima istihsan dalam erti kata pengecualian terhadap dalil umum berdasarkan maslahah juz’iy sebagai salah satu dalil syarak yang mu’tabar, dan istihsan dalam maksud ini diterima oleh jumhur ulama. Adapun kata-kata beliau yang menolak istihsan, ia merujuk kepada istihsan yang semata-mata pandangan berdasarkan akal atau nafsu yang tidak mempunyai sandaran dalil, dan istihsan jenis ini ditolak secara ijma’ oleh para ulama. Wallahu a’lam.
3,444
OBJEKTIF Memberikan penjelasan dan kefahaman mengenai fatwa dan hukum syarak kepada masyarakat; Mengawal pengajaran dan pembelajaran agama Islam mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan; Memberi perkhidmatan dan panduan kepada umat Islam dalam pelaksanaan ibadat; dan Menghidupkan budaya ilmu dan kefahaman Islam serta menyebarluaskan melalui media cetak dan elektronik. Menyampaikan kefahaman yang jelas berkaitan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan memulihkan kefahaman yang menyimpang daripadanya. FUNGSI Membantu dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan hukum syarak. Mengkaji dan mengeluarkan fatwa terhadap isu yang memerlukan penjelasan hukum syarak. Mengeluarkan tauliah mengajar agama Islam di Wilayah Persekutuan. Memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan dalam hal-hal berkaitan akidah, syariah dan akhlak. Menjalankan penyelidikan dalam pembangunan fatwa. Memberi panduan dan perkhidmatan dalam hal ehwal falak merangkumi penetapan arah kiblat, takwim, waktu solat dan cerapan. Membangun, mengurus dan memajukan sistem penyampaian maklumat berkaitan hukum syarak secara berkesan kepada masyarakat.
3,446
Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ingin bertanyakan tentang suatu situasi yang berlaku di kebanyakan Masjid semasa bulan Ramadhan yang mana semasa berbuka puasa disediakan juadah ringan terlebih dahulu seperti segelas air dan buah kurma untuk berbuka. Kemudiannya mereka terus bersiap untuk solat maghrib berjamaah dan setelah itu barulah makan juadah berat. Soalan saya, adakah perkara ini lebih afdhal atau bolehkah kita makan berat dahulu semasa berbuka kemudian baru mendirikan solat ? Jawapan: Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ Maksudnya: Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka. Riwayat Al-Bukhari (1957) Hadis di atas ini menunjukkan bahawa antara amalan sunnah adalah menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja telah dipastikan bahawa matahari telah terbenam. Terdapat sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa beliau menyatakan: ‘’Rasulullah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab kemudian baginda mendirikan solat’’. Manakala berkenaan dengan isu mendirikan solat dalam keadaan makanan telah terhidang, terdapat beberapa riwayat yang menyebut berkaitan hal ini. Antaranya adalah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Atiq R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:  لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ Maksudnya: Tidak sempurna solat dengan keberadaan makanan (yang telah terhidang) dan begitu juga tidak sempurna solat bagi mereka yang menahan air kecil dan air besar. Riwayat Muslim (560) Berdasarkan hadis di atas, kalimah لاَ di situ adalah La Al-Naafiyah yang dalam konteks ini menafikan kesempurnaan solat. Implikasi hukumnya adalah makruh solat dalam keadaan makanan telah dihidangkan dan begitulah juga makruh solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan air besar. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: ‘’Hadis-hadis sebegini menunjukkan kepada kemakruhan solat dengan adanya makanan disediakan bagi mereka yang ingin makan. Ini disebabkan akan hilangnya kesempurnaan khusyuk serta hadirnya perkara-perkara yang menyibukkan hati’’. Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:  إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ عَلَى الطَّعَامِ فَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ، وَإِنْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ Maksudnya: Apabila salah seorang kamu berada di hadapan hidangan makan maka janganlah dia bersegera sehinggalah dia menyelesaikan hajatnya dari makanan tersebut, meskipun solat telah didirikan. Riwayat Al-Bukhari (674) Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:  إِذَا قُدِّمَ الْعَشَاءُ فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ الْمَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ Maksudnya: Apabila makan malam telah disediakan maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat maghrib. Maka janganlah kamu tergopoh gapah dengan makan malam kamu. Riwayat Al-Bukhari (672) Imam Al-Bukhari menukilkan sebuah kata-kata dari Abu al-Darda’ yang mana beliau berkata: ‘’Antara feqh (kefahaman beragama) seseorang itu adalah dia mendahulukan hajat (keperluannya dengan makanan) kemudian barulah dia pergi ke arah solatnya dalam keadaan jantung hatinya kosong (tenang dari gangguan)’’. Demikian juga Imam Abu Daud meriwayatkan dengan katanya: وكان ابن عمر يوضع له الطعام ، وتقام الصلاة فلا يأتيها حتى يفرغ ، وإنه يسمع قراءة الإمام Maksudnya: Adalah Ibn Umar dihidangkan kepadanya makanan, lalu didirikan solat dan beliau tidak mendatanginya (solat) sehinggalah beliau selesai makan. Dan sesungguhnya beliau mendengar bacaan imam. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Nafi’ beliau berkata: وكان ابن عمر إذا حضر عشاؤه وسمع الإقامة وقراءة الإمام لم يقم حتى يفرغ Maksudnya: Adalah Ibn Umar apabila telah terhidang makan malam dan beliau mendengar iqamah serta mendengar bacaan imam, beliau tidak bangun (untuk menunaikan solat) sehinggalah selesai makan. Demikian juga terdapat sebuah riwayat yang menceritakan berkenaan dengan Abu Hurairah dan juga Ibn Abbas R.Anhuma bahawa ketika keduanya sedang memakan hidangan lalu muazzin hendak iqamat bagi mendirikan solat, maka Ibn Abbas berkata kepadanya: لا تعجل لئلا نقوم وفي أنفسنا منه شيء Maksudnya: Jangan kamu bersegera (untuk iqamat) supaya kita tidak berdiri dalam keadaan dalam diri kita ada memikirkan sedikit tentang makanan tersebut. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/188) Kesimpulan Sebagai penutup, setelah kami menekuni beberapa nas dan hujahan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa sekiranya juadah berbuka puasa telah dihidangkan, hendaklah seseorang itu menyelesaikan makan berbuka terlebih dahulu dan kemudian barulah menunaikan solat maghrib. Hal ini adalah supaya jiwanya akan lebih tenang dan tidak terganggu untuk mendirikan solat maghrib. Justeru, mengambil kira kepada suasana di masjid-masjid pada hari ini yang berbuka puasa dengan juadah ringan terlebih dahulu, kami nyatakan bahawa ianya tidak bercanggah dengan syariat bahkan lebih afdhal kerana mengambil sunnah berbuka puasa segera dan dapat juga menunaikan solat secara berjamaah dalam tempoh yang awal. Ini bertepatan dengan kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar: لأنه يكون قد أخذ من الطعام ما دفع شغل البال به Maksudnya: Ini kerana dia telah mengambil dari makanan dengan kadar yang dapat menghalang sibuknya fikiran dirinya dengan makanan tersebut. Kami juga menambah bahawa dalam berbuka puasa hendaklah seseorang itu tidak makan secara berlebihan. Ini kerana, keadaan perut yang amat penuh akan melemahkan badan seseorang untuk beribadah lebih lebih lagi untuk mendirikan solat maghrib, isyak dan juga solat tarawih. Bersederhanalah dalam makan dengan mengikut kadar yang perlu bagi membantu mencapai kekuatan untuk beribadah dan bukannya makan hingga menyebabkan bertambah malas dan culas dalam beribadah. Akhir kalam, kami berdoa agar penjelasan ini dapat memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
3,447
Soalan: Assalamualaikum wrm. wbt., Semoga Ustaz sihat dan sentiasa di rahmati Allah SWT. Kawan baik saya minta saya tanya Ustaz mengenai permainan Pinata yang bakal diadakan di majlis sambutan hari lahir cucunya. Dari carian google yang saya perolehi, asal usul permainan Pinata ini ada di China. Melalui Marco Polo ia di bawa ke Itali, Sepanyol dan kemudian di Mexico. Permainan ini kemudian berkembang sehingga menjadi satu alat bagi orang Katolik. Nampaknya game ini diadakan oleh org Islam kita. Adakah game Pinata ini haram untuk diadakan atau boleh dimain oleh orang Islam kita?   Jawapan: Waalaikumussalam wrm. wbt. Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.   Ringkasan Jawapan: Hukum permainan memukul pinata adalah diharuskan dengan syarat tiada niat untuk meniru ajaran bukan islam dan hanya untuk permainan sahaja.   Huraian Jawapan: Kami mulakan dengan menukilkan kaedah berikut. Kaedah tersebut ialah: الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” Al-Jurjani berkata: "Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat.” Lihat al-Ta'rifat (hlm. 59). Abu al-Baqa' al-Kafawi berkata: "Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan.” Lihat al-Kulliyyat (hlm. 290) Menurut definisi yang ditulis dalam Wikipedia, pinata ialah: “A piñata (/pɪnˈjɑːtə/, Spanish pronunciation: [piˈɲata] is a container often made of papier-mâché, pottery, or cloth; it is decorated, and filled with small toys or candy, or both, and then broken as part of a ceremony or celebration. Piñatas are commonly associated with Mexico. The idea of breaking a container filled with treats came to Europe in the 14th century, where the name, from the Italian pignatta, was introduced. The Spanish brought the European tradition to Mexico, although there were similar traditions in Mesoamerica, such as the Aztecs' honoring the birthday of the god Huītzilōpōchtli in mid December. According to local records, the Mexican piñata tradition began in the town of Acolman, just north of Mexico City, where piñatas were introduced for catechism purposes as well as to co-opt the Huitzilopochtli ceremony. Today, the piñata is still part of Mexican culture, the cultures of other countries in Latin America, as well as the United States, but it has mostly lost its religious character.”[1] Definisi ini menunjukkan bahawa pinata adalah bekas yang mengandungi makanan seperti gula-gula yang disediakan sempena majlis sambutan seperti hari lahir yang akan dipecahkan untuk mendapatkan makanan yang berada di dalamnya. Asal usulnya dikaitkan dengan upacara keagamaan di Mexico tetapi peredaran zaman menyebabkan permainan ini sudah hampir hilang nilai keagamaannya. Dalam artikel-artikel kami sebelum ini, kami telah membahaskan hukum tasyabbuh atau penyerupaan di sisi Islam. Terdapat tasyabbuh yang dimakruhkan dan diharamkan. Ada juga perkara yang pada asalnya adalah tasyabbuh dengan syiar agama lain tetapi hilangkan keserupaan itu dan berubah menjadi harus. Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka.” Riwayat Abu Daud (4031) Berkata Syeikh al-Azhim al-Abadi Rahimahullah dalam `Aun al-Ma`bud (11/51): “Berkata al-Munawi dan al-`Alqami: yakni berhias pada luarannya dengan perhiasan mereka, berkelakuan seperti kelakuan dan petunjuk mereka pada pakaian dan sebahagian perbuatan mereka. Intaha. Berkata al-Qari’,“yakni barangsiapa yang menyerupai dirinya dengan orang kafir, contohnya pada pemakaian, dan selainnya, atau dengan orang yang fasiq, atau orang jahat, atau dengan ahli tasawuf dan orang-orang soleh lagi baik, (maka dia daripada kalangan mereka) ertinya pada dosa dan kebaikan.” Berkata al-`Alqami, “yakni barangsiapa yang menyerupai orang-orang soleh akan dimuliakan seperti mana mulianya mereka, dan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq, maka dia tidak akan dimuliakan. Barangsiapa yang meletakkan ke atas dirinya dengan alamat-alamat orang yang budiman maka dia akan dimuliakan sekalipun pada dirinya tidak tahqiq sifat budiman itu.” Berkata Imam Ibn Salah Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.” Jika penyerupaan itu sedikit, dan boleh ditakwilkan, maka penyerupaan itu berhukum makruh. Contohnya seperti: Melakukan qaza`(memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain). Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (10/101). Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab(8/427). Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. Rujuk al-Iqna`(1/245). Manakala jika penyerupaan itu ketara maka itu adalah penyerupaan yang diharamkan. Contohnya, berkata Imam Syihabuddin Ibn Ruslan Ketika menghuraikan hadis Abu Daud di atas: “bahawa tidak diharuskan pada zaman kita untuk memakai serban berwarna kuning dan biru bagi orang Islam.” Ini kerana orang Kristian pada zaman beliau memakai pakaian berfesyen tersebut ketika meraikan perayaan mereka. Rujuk Syarh Sunan Abi Daud 16/208). Ada keadaan di mana perkara yang asalnya memiliki penyerupaan dengan agama lain, tetapi telah berubah tasawwurnya sehingga hilang nilai-nilai agama lain maka hukumnya tidaklah haram dan tidaklah makruh. Contohnya: Hukum memakai tudung tailasan bagi lelaki. Imam al-Bujairimi menukilkan dalam Tuhfah al-Habib (4/366) perkataan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (10/275) : “Dan disebabkan pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan.” Rujuk jua Qawa`id al-Ahkam (2/205) oleh Imam Izz bin Abd al-Salam. Hukum melaksanakan Atirah yakni sembelihan haiwan khusus pada bulan Rejab. Sabit nas daripada Imam al-Syafie bahawa hukumnya tidak disunatkan dan tidak dimakruhkan sekalipun sejarahnya ialah penyembelihan haiwan untuk berhala. Namun apabila sembelihan itu mengikut Hukum Syarak, bukan untuk berhala dan disedekahkan kepada orang fakir miskin, maka amalan itu diharuskan bahkan memperolehi pahala berbuat baik kepada manusia dan sedekah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (8/445). Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum permainan memukul pinata adalah diharuskan dengan syarat tiada niat untuk meniru ajaran bukan islam dan hanya untuk permainan sahaja. Ini kerana permainan ini tidak lagi eksklusif sebagai ritual agama tertentu dan matlamatnya bukan tujuan yang diharamkan. Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak penanya.   Nota hujung: [1] https://en.wikipedia.org/wiki/Pi%C3%B1ata
3,448
Mukadimah Tanpa disedari panggilan haji telah tiba lagi. Begitulah masa, betapa pantasnya ia berlalu. Oleh kerana keberangkatan jemaah haji Malaysia akan bermula pada awal bulan Ogos. Kami di sini mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada dhuyuf al-Rahman (tetamu-tetamu Al-Rahman) yang dapat dan diberi peluang menjejakkan kaki ke Kota Mekah yang penuh berkat dan Madinah Rasul yang damai dengan fadhilatnya. Sehubungan dengan itu, Bayan Linnas kali ini akan mengupas isu ini dalam bentuk nasihat kepada dhuyuf al-Rahman agar memperolehi haji yang mabrur dan kami namakan ia Panggilan Haji, Kurniakan Haji Mabrur! untuk sama-sama dihayati.   Erti Haji Seperti yang dimaklumi, haji merupakan satu rukun Islam yang puncak. Ini sebagai interpretasi sifat kehambaan yang mutlak kepada-Nya. Seorang hamba yang datang nun jauh dari segenap pelusuk bumi, mengumpul sejumlah harta hingga bertahun semata-mata kerana haji, sudah cukup menitiskan air mata tatkala melangkah kaki untuk ke Mekah. Haji sebagai mini kehidupan manusia atau ‘khulasah al-hayat’. Inilah istimewanya haji.   Mukadimah Haji Saudaraku dhuyuf al-Rahman, Mukadimah haji amat perlu kita fahami dahulu sebelum berangkat ke tanah suci. Imam al-Nawawi telah menyebut dengan panjang lebar dalam kitabnya – al-Idhah fi Manasik al-Hajj-. Antara nasihat dan peringatan kepada bakal haji, dhuyuf al-Rahman, ialah:      1. Taubat Sebelum melangkah kaki ke Mekah, mohonlah taubat kepada-Nya, istighfar, dan mohon maaf kepada semuanya. Biarlah hati kita datang ke Kota Mekah dengan sifar dosa dan jernih serta tulus hati.      2. Belajarlah Manasik Haji Ini amat penting agar ibadat haji yang kita lakukan ‘عَلَى بَصِيرَة’ dengan penuh yakin dan ilmu. Banyak sekali ibadah dilakukan tetapi akhirnya sia-sia. Ini kerana dilakukan dalam keadaan jahil dan taqlid buta tanpa asas ilmu yang sebenar. Cukuplah gesaan Nabi SAW dalam hadis yang sahih: خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ Maksudnya: Ambillah ibadat hajimu daripadaku. Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasaie      3. Bertanyalah Kepada Yang Tahu Ini kerana banyak kali kita berasa kita tiada ilmu ketika berada dalam situasi tertentu. Alhamdulillah, Tabung Haji dan pakej haji telah menyediakan guru yang bertauliah. Justeru, inilah peluang untuk bertanya kepada mereka. Elakkan bertanya kepada ‘guru-guru sesama sendiri’ kerana dibimbangi bercanggah dengan jawapan yang sebenarnya. Ini mengakibatkan kesusahan kepada kita.        4. Bertolak Ansur Dan Saling Memaafkan Sama ada sesama rakan taulan atau keluarga seperti suami isteri, ibu bapa, anak-anak, semuanya berpotensi dengan risiko pergaduhan. Inilah ujian terbesar dalam melaksanakan haji secara berjemaah atau keluarga.        5. Elakkan Banyak Berdebat Dan Bercakap Ini kerana boleh melukakan perasaan, berlaku ghibah, kata nista dan sifat-sifat yang mazmumah. Sepatutnya kita isi dengan ibadat.        6. Benyakkan Baca Al-Qran, Zikir, Solat Dan Tawaf Dalam erti kata yang lain, gunakan pelaung dan masa ketika berada di Kota Mekah dan Madinah dengan acara ibadat. Inilah kekuatan sebenar haji.        7. Sentiasalah Berniat Yang Baik Dan Perbaiki Hati Inilah peluang untuk menjadi seterbaik mungkin selepas selesai haji. Ini kerana latihan pembersihan hati atau ‘تَصْفِيَةُ القُلُوب’ akan menatijahkan ‘akhlak yang unggul’ selaras dengan kehendak Nabi SAW untuk menyempurkanakan ‘مَكَارِمُ الأَخْلَاق’.   Memahami Falsafah Haji Tajuk ini amat panjang, luas dan banyak teapi kami akan nytakan sebahagian sahaja agar ia lebih berkesan pada jiwa dan hati kita. Antaranya :-      1. Ihram Satu gambaran kehambaan kita yang menuju kepada-Nya. Itulah pakai kematian degan putih melambangkan kesucian.        2. Tawaf Dengan mengelilingi Kaabah, doa munajat dipanjatkan kepada-Nya di samping zikrullah dengan sebanyak-banyaknya. Hal ini menunjukkan kekerdilan hamba kepada Tuhan.        3. Saie Ia merupakan satu intrepetasi untuk berusaha tanpa putus asa dalam melayari bahtera kehidupan. Cerakah dua bukit Safa dan Marwah didaki dengan bersungguh untuk melaksanakan sebuah misi arahan-Nya. Begitu juga nostalgia Hajar dengan anaknya begitu kuat memaknakan kehidupan seseorang mukmin yang bertawakkal kepada-Nya.        4. Wuquf di Arafah Mejadikan seseorang benar-benar tunduk kepada-Nya. Tangan yang kosong dengan seasana yang hening, itulah waktu munajat jamaie terbesar di dunia. Sejuta hamparan doa dan permohonan ditujukan kepada-Nya. Gambaran hamba nun jauh merantau tawaqquf dan wuquf di Arafah sangat indah dan menginsafkan. Linangan air mata mencurah-curah dan meleleh ke pipi-pipi hamba-hamba-Nya.        5. Bercukur atau bergunting Seperti yang diketahui rambut merupakan mahkota seseorang tetapi dek kepatuhan kepada-Nya, ia dipotong atau dicukur. Begitu juga mengingatkan kita asal usul yang tiada rambut atau dicukur, maka satu semangat kelahiran baru selepas haji dijelmakan dalam diri ini. Benarlah sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah dan Abdul Rahman bin Sakhr RA: مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْهُ أُمُّه Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji,kemudian tidak melakukan rafath[1] dan fasiq, nescaya keluar dosanya[2] seperti baru dilahirkan oleh ibunya.” Riwayat al-Bukhari (1819)   Ulama berkata: Rafath ialah nama bagi setiap perkara yang lagha, kata-kata yang keji, perlakuan maksiat dan juga gurau-senda yang melampau tanpa wujud perasaan malau di dalam jiwa. Fasiq pula ialah keluar daripada kepatuhan kepada Allah SWT. Thabit dalam sahihnya daripada Abu Hurairah. Itulah sebahagian falsafah manasik haji yang ingin kami kemukakan.   Haji Mabrur Satu istilah Rasulullah SAW tentang haji, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: العُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجَّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةَ Maksudnya: “Umrah kepada umrah yang seterusnya dapat mengkifaratkan dosa antara keduanya dan haji mabrur[3] tiada balasan kecuali syurga.” Riwayat al-Bukhari (1773) & Muslim (1349)        Pendapat yang asah (yang paling sahih) menyatakan bahawa yang mabrur ialah yang tidak dicemari dengan dosa.[4] Dikatakan juga sebagai maqbul (diterima). Daripada tanda penerimaan bahawa seseorang itu pulang di mana keadaannya dan sikapnya lebih baik daripada sebelumnya. Beliau juga tidak mengulangi maksiat.            Al-Imam al-Syaukani Rahimahullah (wafat 1255H) di dalam bukunya Nail al-Awtor menjelaskan bahawa: Ibn Khalawaih salah seorang pakar bahasa Arab berasal dari Yaman (wafat 370H) berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT). Ulama’ lain berpendapat bahawa ia adalah haji yang (pelaksanaannya) tidak dinodai oleh dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh al-Imam al-Nawawi seorang faqih bermazhab Syafi’e dan pakar hadith. Menurut al-Qurtubi, seorang pakar tafsir dan hukum (wafat 671H), pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para pakar tentang haji mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut. Al-Hasan al-Basri memberi jawapan maksud haji mabrur ialah apabila seseorang itu pulang ke tanah wafatnya dengan perasaan zuhud pada dunia dan inginkan akhirat.   Al-Imam Ahmad dan al-Hakim meriwayatkan daripada sahabat Nabi SAW, Jabir bin Abdullah RA, bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah haji mabrur itu?”. Bagind SAW menjawab: “Memberi makan dan memberi salam.” Tetapi hadith ini dilemahkan oleh pengarang kitab al-Fath. Seandainya sahih maka pasti itulah makna haji mabrur. Justeru, janganlah kita mengotori dosa-dosa yang telah dibersihkan sebaliknya hendklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada prestasi yang tertinggi yang pernah kita lakukan semasa acara manasik haji sebagai mukhayyam tarbawi. Berdasarkan hadis di atas, haji mabrur akan tercapai insya Allah apabila pra-syarat haji dipenuhi, antaranya: Ikhlas semata-mata kerana Allah. Mengikut segala adab, syarat, rukun dengan sempurna. Rezeki yang dibawa dan digunakan adalah hala semuanya tanpa ada unsure haram ataupun syubhah. Berdoa dan mohon kepada-Nya dengan sepenuh hati. Bermuamalah dengan semua pihak dengan akhlak yang tinggi dan terpuji. Mengelakkan daripada berlakunya fasiq, berdebat dan perkara yang dilarang. Bacalah buku seperti Al-Idhah Fi Manasik Al-Hajj yang menyebitkan pesanan dalam mukaddimah haji.   Ajen Perubah Dengan sejumlah 4 hingga 6 juta Jemaah haji saban tahun datang dengan janji dan azam mengislahkan diri di samping jambatan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia dikukuhkan lagi. Ini sudah pasti memberi banyak impak kepada negara, bangsa dan juga masyarakat yang mereka diami. Fokus kita kepada masyarakat Malaysia yang jumlah mereka lebih kurang 28 ribu setahun menunaikan ibadat haji. Bayangkan jika: Dakwah: Mereka semua dapat melaksanakan dakwah kepada keluarga masing-masing di mana setiap orang membawa tiga orang kepada ajaran Islam sudah pasti jumlah mereka hampir keseratus ribu yang taat dan patuh kepada suruhan Ilahi. Masjid: Jika ketika di tanah suci para jemaah boleh utnuk konsisten solat berjemaah di Masjid al-Haram dan juga Masjid al-Nabawi lima waktu sehari maka diharapkan momentum itu juga akan berterusan selepas menunaikan haji bahkan alangkah baiknya jika mereka juga mampu untuk mengajak rakan-rakan yang lain untuk sama-sama mengimarahkan rumah Allah SWT setibanya di tanah air. Sedekah, Infaq & Waqaf: Jika ketika menunaikan haji sudah terbiasa dengan sedekah, infaq dan juga wakaf, alangkah baiknya jika amal soleh itu diteruskan apabila pulang ke tanah air. Sudah pasti ianya mampu menjana ekonomi umat Islam secara tidak langsung dengan sedekah, infaq dan juga wakaf. Membina Keluarga Bahagia: Konsep baiti jannati (rumahku syurgaku), jika dipasak dalam setiap ahli jemaah haji sudah pasti setiap tahun paling kurang kita dapat melahirkan hampir 30 ribu keluarga bahagia.   Penutup Saudaraku dhuyuf al-Rahman, ibadat haji merupakan anugerah agung Allah kepada kita yang dapat menapak kakinya ke Tanah Haram, bumi bertuah Makkah dan Madinah. Dengan sempurnanya ibadat haji, sebuah perasaan tenang, lega dan bahagia jelas terpancar pada hati dhuyuf al-Rahman. Itulah nikmat agung yang diperolehi oleh hamba Allah yang menunaikan haji. Justeru, dengan ‘semangat haji’ itu hendaklah kita pertahankan: Hati kita dengan sebaik mungkin daripada riya’, ujub, takabbur, dan lain-lain. Awasilah kita daripada sifat-sifat yang mazmumah. Perbuatan kita agar sentiasa diredhai Allah. Menjadi pendakwah kepada umat Islam dengan menjadi agen perubah masyarakat kea rah yang lebih baik. Sebelum mengakhiri Bayan Linnas kali ini, suka kami nyatakan bahawa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui laman sesawangnya www.muftiwp.gov.my  akan cuba menjawab pelbagai persoalan semasa dalam masyarakat dan untuk lebih memudahkan lagi, telah kami bahagikannya kepada beberapa bentuk perkhidmatan, antaranya: Bayan Linnas Irsyad al-Fatwa Irsyad al-Hadith Irsyad Usul al-Fiqh Al-Kafi li al-Fatawi Pada saat yang sama juga bersempena dengan musim haji pada kali kami kemukakan Irsyad al-Fatwa Khas Haji & Korban untuk memberi pengetahuan dan juga maklumat seupaya mungkin agar manasik haji yang dilakukan dhuyuf al-Rahman benar-benar mendapat kemabruannya. Semoga Allah kurniakan kepada dhuyuf al-Rahman dengan haji yang mabrur. Kami akhiri dengan doa: اَللّٰهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah hajiku ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”   Sekian, wassalam.   Akhukum fillah,   S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan   3 Ogos 2016 bersamaan 29 Syawal 1437H               [1] Ibn Hajar berkata: Rafath adalah jimak. Sedangkan al-Azhari berkata: Rafath ialah nama bagi keinginan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan. [2] Iaitu dosa-dosa kecil sahaja. Ada pendapat mengatakan bahawa ianya termasuk dosa besar dan segala dosa kecil iaitu yang membabitkan kezaliman kepada hamba-hamba Allah SWT. Inilah pendapat al-Qurtubi ‘Iyadh. Tetapi al-Tabari berkata: Ia ditanggung kepada kezaliman di mana orang tersebut bertaubat dan lemah daripada menunaikannya kembali (minta maaf dan membayar ganti rugi). Ini juga pendapat Ibn Nujaim. [3] Haji mabrur telah ditakrifkan oleh ramai ulama seperti yang dinukilkan dalam Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani sebagaimana berikut: Ibn Khalawaih berkata: “Haji mabrur ialah haji makbul yang diterima oleh Allah SWT.” Al-Qurtubi berkata: “Semua pendapat hampir sama iaitu haji yang memenuhi semua hukum yang dilaksanakan dengan sempurnanya.” [4] Dosa di sini sekalipun dosa kecil jika dia bertaubat pasti diampunkan.
3,449
Soalan: Apakah hukum puasa seseorang yang ingin menderma darah ataupun mengambil ujian darah?   Jawapan: Isu mengenai menderma darah serta mengambil ujian darah tidak dibincangkan secara khusus di dalam kitab-kitab fiqh klasik. Ianya mula dibincangkan oleh para fuqaha’ mu’asirin dan perbincangan asas terhadap permasalahan ini bertitik-tolak dari hukum berbekam ketika berpuasa. Disebabkan oleh itu, perlulah untuk kita mengetahui dahulu hukum berkenaan dengan berbekam ketika berpuasa kerana dengannya menjadi asal kepada qiyas bagi hukum menderma darah dan mengambil ujian darah. Bagi permasalahan berbekam ketika puasa, terdapat dua pandangan yang masyhur:   PERTAMA: MEMBATALKAN PUASA Ulama’ terdahulu yang mengatakan terbatalnya puasa dengan berbekam adalah seperti al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Sirin, al-Imam Ato’, al-Imam al-Auza’ie, al-Imam Ishak, al-Imam Ibn al-Munzir, al-Imam Ibn Khuzaimah dan ini juga adalah ikhtiar pendapat Ibn Taimiyyah Rahimahumullah. Manakala dari kalangan sahabat pula adalah seperti Saidina Ali, Abu Hurairah dan ‘Aisyah R.Anhum.[1]   Ulama’ dari kalangan salaf dan khalaf yang mengatakan terbatalnya puasa dengan sebab berbekam menggunakan dalil dari sebuah hadith Nabi ﷺ : أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ Maksudnya: “Terbatal (puasa) orang yang membekam dan yang di bekam”.   Riwayat Abu Daud (2369), Al-Tirmizi (774) & Ibn Majah (1679)   Dikalangan ulama’ kontemporari pula, Syeikh Ibn Baaz, Syeikh Ibn ‘Uthaymeen, Syeikh Soleh al-Munajjid dan juga Syeikh Soleh Fauzan. Berdasarkan pendapat yang terbatalnya puasa dengan berbekam maka ianya diqiyaskan dengan keadaan seseorang yang mendermakan darah dan disebabkan oleh itu, mereka yang menderma darah, maka terbatallah puasanya.     KEDUA: TIDAK MEMBATALKAN PUASA Ianya adalah pendapat jumhur[2] iaitu pendapat al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi’ie dan selainnya. Manakala dari kalangan sahabat yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa adalah Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas bin Malik, Abu Sa’id al-Khudri dan sekumpulan dari kalangan salaf yang lain.[3] Dalil yang digunakan bagi mengatakan berbekam tidak membatalkan puasa adalah daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana mengatakan: احْتَجَمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ صَائِمٌ‏ Maksudnya: Rasulullah ﷺ telah berbekam dan Baginda sedang berpuasa. Riwayat Al-Bukhari (1939), Abu Daud (2372) & Al-Tirmizi (776)   Oleh itu, dengan melihat bahawa hukum berbekam tidak membatalkan puasa, maka ianya diqiyaskan dengan hukum menderma darah yang mana ianya juga tidak membatalkan puasa.     PERBAHASAN DALIL Zahir perbahasan melihat bahawa terdapat dua hadith sahih yang saling bercanggah. Sebuah hadith mengatakan batalnya puasa kerana berbekam dan sebuah hadith lagi sebaliknya. Bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak terbatalnya puasa dengan berbekam, mereka mengatakan bahawa hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) adalah termansukh[4]. Ianya termansukh dengan hadith Abi Sa’id al-Khudri RA: أرخص النبي - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - في الحجامة للصائم Maksudnya: Nabi ﷺ memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam. Riwayat Al-Nasa’ie di dalam al-Kubra  (3224), Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya (1967)   Ibn Hazm Rahimahullah menyebutkan bahawa: “Sanad-sanadnya sahih, dan wajib berpegang dengannya kerana datangnya rukhsah setelah adanya ‘azimah dan ianya menunjukkan kepada mansukhnya hukum terbatal puasa kerana berbekam bagi yang membekam dan yang di bekam”. Ini juga adalah pendapat al-Imam al-Syafi’e, al-Baihaqi dan juga Ibn ‘Abd al-Bar yang mana mengatakan hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) telah termansukh.[5]   Difahami juga melalui hadith (( أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ )) ini, sebahagiannya dengan takwilan yang mana tegahan berbekam ketika berpuasa itu adalah ditakuti melemahkan badan seterusnya menyebabkan seseorang itu berbuka puasa kerana banyaknya darah yang keluar. Ini seperti mana riwayat Anas bin Malik RA yang ditanyakan tentang berbekam: أَكُنْتُمْ تَكْرَهُونَ الْحِجَامَةَ لِلصَّائِمِ قَالَ لاَ‏.‏ إِلاَّ مِنْ أَجْلِ الضَّعْفِ Maksudnya: “Adakah kamu membenci berbekam bagi orang yang berpuasa?” Berkata Anas bin Malik RA: “Tidak, kecuali jika ia melemahkan (tubuh badan)”. Riwayat Al-Bukhari (1940)   KESIMPULAN   Melihat kepada perbahasan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mana mengatakan bahawa berbekam itu tidak membatalkan puasa. Berdasarkan pendapat di atas juga kami mengatakan bahawa hukum menderma darah ketika berpuasa adalah harus dan juga tidak membatalkan puasa secara umumnya. Sekiranya dengan menderma darah boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka pada keadaan itu makruh Ini juga adalah keputusan yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta Jordan[6] yang mana mengatakan ianya tidak membatalkan puasa kerana menderma darah bukanlah dengan erti memasukkan sesuatu bahkan ianya mengeluarkan sesuatu. Ianya zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang menyebutkan: “Adalah yang membatalkan puasa itu sesuatu yang masuk ke dalam dan bukannya sesuatu yang keluar”. Adapun mengambil ujian darah, maka ianya juga diharuskan dan tidak membatalkan puasa. Jika dinisbahkan ujian darah dengan menderma darah, maka kita dapati bahawa jumlah darah yang keluar dengan menderma darah lebih banyak kuantitinya daripada darah yang diambil untuk tujuan ujian. Wallahu a’lam.   Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan   15 Jun 2016 bersamaan 10 Ramadhan 1437H   [1] Lihat al-Insaf (3/302), al-Furu’ (3/48) & Majmu’ al-Fatawa (25/255). [2] Lihat al-Fatawa al-HIndiyyah (1/199), Tabyiin al-Haqaiq (1/329), Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid (1/281) & al-Majmu’ (6/349). [3] Lihat al-Mabsut (3/56), al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm. 105), al-Majmu’ (6/349) & Fath al-Bari (4/209). [4] Telah terangkat hukumnya dan digantikan dengan hukum yang baru berdasarkan nas yang terkemudian daripadanya. [5] Lihat Fath al-Bari (4/178). [6] http://aliftaa.jo/ShowContent.aspx?Id=103
3,450
Mukadimah Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan. Sehari dua ini, banyak persoalan yang sampai ke meja kami berkaitan isu mengucapkan Merry Christmas kepada penganut Kristian. Sebenarnya, isu ini telah kami ulas dengan panjang lebar pada 19 Disember 2016. Isu ini sering menimbulkan polemik dan salahfaham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri. Kami menerima beberapa persoalan berkaitan ini daripada mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan bukan Muslim baik secara kekeluargaan, kerjaya, mahupun kerana tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama seperti sebahagian masyarakat Malaysia di Sabah dan Sarawak, mahupun Semenanjung. Apabila isu ini masih berulang lagi saban tahun, kami terpanggil untuk menekuni semula isu ini dan membuat sedikit kajian ilmiah dalam kerangka fiqh kontemporari yang diistinbatkan daripada teks-teks agama, maslahah, sirah umat Islam, dan fiqh realiti. Justeru, Tahqiq Masail pada kali ini kami namakan dengan Hukum Seseorang Muslim Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian. Semoga dengan penjelasan ini dapat menutup pintu-pintu perselisihan kerana pada hakikatnya, isu ini adalah isu ijtihadi dan tidak mutlak keharaman dan keharusannya. Ianya bergantung kepada keadaan dan situasi semasa seseorang.   Islam Agama Rahmat Sesungguhnya Rasulullah SAW itu sendiri datang untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah SWT: وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’: 107) Dr. ‘Aidh al-Qarni dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya: Baginda SAW merupakan seorang manusia utusan Allah SWT. Baginda SAW datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman. Baginda SAW datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain. Baginda SAW membina satu tamadun baru di antara sekalian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya. Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelusuk bumi. Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan dengan dalil yang umum dan jelas: وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا Maksudnya: “…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.” (Surah al-Baqarah: 83) Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/174) Firman Allah SWT: إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan…” (Surah al-Nahl: 90) Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Ihsan mempunyai pengertian yang amat luas. Setiap perbuatan yang baik adalah ihsan belaka. Perintah berbuat ihsan dalam ayat itu merangkumi segala perbuatan dan muamalah. Ia merangkumi segala ruang kehidupan yang berkaitan dengan hubungan-hubungan seorang hamba dengan Allah, hubungan dengan keluarganya, hubungan dengan masyarakatnya dan hubungan dengan seluruh manusia yang lain. (Rujuk Fi Zilal al-Qur’an, 10/102) Definisi Merry Christmas Merry menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively” (ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik - myrige - iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan).[1] Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating Christ's birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada 25 Disember di Gereja Roman Katolik).[2] Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik - Crīstes yang merujuk kepada Jesus Chris[3] dan mæsse iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya gereja Roman Katolik.[4] Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah dalam keamanan (The Mass is ended. Go in peace).”[5] Oleh itu, Crīstesmæsse dapat difahami sebagai Christ's Mass iaitu sambutan kelahiran Jesus Christ, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan tentang tarikh kelahiran Jesus Christ. Sambutan ini ditonjolkan dengan menzahirkan kegembiraan dan majlis keraian bagi kelahiran Jesus bagi menggantikan tradisi Roman Saturnalia dan perayaan-perayaan pagan yang lain sebelumnya. Sambutan ini mula berubah bentuk di England pada abad ke-19 melalui kemasukan budaya German (pokok Krismas) oleh Prince Consort dan pengaruh Charles Dickens menerusi novella beliau yang terkenal, A Christmas Carol.[6] Lihat juga kupasan yang lebih terperinci dalam Religious Celebration: An Encyclopedia Of Holidays, Festivals, Solemn Observances, And Spiritual Commemorations, 1/211.   Populasi Penganut Kristian di Malaysia Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penganut Kristian di Malaysia adalah ketiga terbesar di Malaysia iaitu mencapai 9.2% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.[7] Ia meliputi beberapa aliran dalam Kristian di Malaysia sama ada yang ramai pengikut atau amat sedikit iaitu Roman Catholic, Protestant, Anglican, Baptist, gereja-gereja tanpa aliran khusus, gereja-gereja Karismatik, Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Brethren.[8] Melihat kepada hal ini, keberadaan dan hak mereka untuk hidup bersama-sama sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu diraikan dengan sewajarnya.  Fiqh Kewujudan Bersama (al-Ta’ayush/Co-Existence) Kami mulakan dengan firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah al-Hujurat: 13) Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Rujuk Al-Kasysyaf, 4/374) Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara. Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara” walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka: وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.” Surah al-A’raf (73) قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ Maksudnya: Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).” Surah al-Syu’ara (36) وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…” Surah Hud (50) وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا Maksudnya: “Dan kepada penduduk Madyan, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Surah Hud (84) Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas: لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”       Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1113) Diriwayatkan bahawa seorang Majusi berkata kepada Ibn Abbas: Assalamualaikum. Maka jawab Ibn Abbas: Wa’alaikummussalam warahmatullah. Lantas sahabatnya bertanya kepadanya: “Adakah kamu kata kepadanya warahmatullah?” Maka jawab Ibn Abbas: “Tidakkah dalam rahmat Allah lah dia dapat hidup?” Dr Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar dengan menyatakan: “Ini jelas menunjukkan kepada kita, jika kita mahu menyeru mereka kepada Islam, mendekatkan mereka kepada Islam dan kita mengasihi mereka kepada orang-orang Islam, maka tidak akan tercapai hasrat tersebut dengan menjauhkan jurang antara mereka dengan kita.” (Lihat Fatawa Mu’asirah, 3/672) Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa.   Hukum Mengucapkan Tahniah Atas Sambutan Krismas Para ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan, Hari Krismas. Ini kerana, sebahagian ulama’ yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi mengiktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka. Manakala, bagi ulama’ yang membenarkannya pula melihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan, atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, tanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain. Kami nyatakan di bawah, pandangan kedua-dua golongan tersebut. Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah Secara umumnya, jumhur ulama’ keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka. Mazhab Syafie: Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum ta'zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji", sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai " Haji ". " (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244) Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam al-Ramli dalam Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, 4/255 dan al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526. Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21). Begitu juga penegasan Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria al-Ansari (Asna al-Mathalib, 4/162), Ibn Hajar al-Haitami (Tuhfah al-Muhtaj, 9/181) dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206. Mazhab Hanafi: Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/555). Mazhab Maliki: Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka. (Lihat al-Madkhal, 2/46-48). Mazhab Hanbali: Imam al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131) Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa tidak halal bagi umat Islam untuk menyerupai mereka (orang-orang bukan Islam) pada sesuatu pun dari perkara-perkara yang terkait secara khusus dengan perayaan mereka. Tidak menyerupai dari sudut makanan, pakaian, mandian, menyalakan api, serta tidak pula menyerupai mereka pada perkara yang membatalkan adat dari sudut kehidupan atau ibadah, atau selainnya. Demikian juga tidak halal melakukan perkahwinan, pemberian hadiah, dan menjual perkara-perkara yang digunakan untuk membantu hal tersebut. Begitu juga tidak membiasakan kanak-kanak dan seumpamanya untuk bermain permainan yang terdapat di dalam perayaan tersebut, serta tidak menzahirkan perhiasan. Secara keseluruhan, tidak boleh bagi mereka (umat Islam) untuk mengkhususkan perayaan-perayaan orang bukan Islam dengan perbuatan yang merupakan syiar agama mereka. Bahkan hari perayaan mereka di sisi umat Islam adalah sama seperti hari-hari lain yang tidak dikhususkan oleh orang-orang Islam. Adapun sekiranya umat Islam melakukannya kerana ditimpa satu keperluan, maka sebahagian ulama salaf dan khalaf telah memakruhkan hal tersebut. Adapun mengkhususkannya dengan perkara yang telah disebutkan sebelum ini maka tidak ada sebarang perbezaan pandangan di sisi para ulama. Bahkan ada sekumpulan ulama yang berpendapat kepada kekufuran mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti ini. Ini kerana terdapat pada perbuatan tersebut mengagungkan syiar-syiar yang kufur. Berkata sebahagian ulama: Sesiapa yang menyembelih nathihah (haiwan) pada hari perayaan mereka seakan-akan dia menyembelih seekor khinzir. Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash telah berkata: Sesiapa yang mencontohi negara-negara ‘ajam dan melakukan Nairuz dan mahrajan (perayaan) mereka serta menyerupai perbuatan mereka sehinggalah dia meninggal dunia dalam keadaan tersebut, maka dia akan dibangkitkan bersama-sama mereka pada Hari Kiamat. Amirul Mu’minin Umar bin al-Khattab, para sahabat, dan keseluruhan para pemimpin umat Islam telah mensyaratkan supaya mereka tidak menzahirkan perayaan-perayaan mereka di negara umat Islam. Bahkan merek (orang bukan Islam) hanyalah melakukannya (perayaan tersebut) di rumah-rumah mereka secara sembunyi. Beberapa orang dari kalangan ulama salaf dalam menafsirkan firman Allah S.W.T : وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ Maksudnya: Dan golongan yang tidak menyaksikan perkara dusta. Mereka berkata: (Iaitu tidak menyaksikan) perayaan-perayaan kufur. Sekiranya ia merupakan suatu penyaksian dari kita tanpa sebarang perbuatan, maka bagaimakah pula dengan perbuatan-perbuatan yang menjadi khususiat (ciri keistimewaan) mereka ? Begitu juga telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W di dalam Al-Musnad dan juga Al-Sunan baginda bersabda: ‏ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Maksudnya: Sesiapa yang bertasyabbuh dengan sesuatu kaum maka dia sebahagian dari mereka. Dalam lafaz yang lain Nabi S.A.W bersabda: لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا Maksudnya: Bukan dari kalangan kami mereka yang menyerupai selain kami. Ia merupakan hadis yang Jayyid. Sekiranya ini merupakan kesan perbuatan menyerupai mereka (orang bukan Islam), sekalipun ia merupakan perbuatan adat, bagaimanakah dengan menyerupai mereka pada perkara yang lebih daripada itu. Jumhur para ulama telah memakruhkan - sama ada makruh tahrim atau makruh tanzih - perbuatan memakan sembelihan orang bukan Islam untuk perayaan mereka serta korban mereka. Kerana termasuknya ia ke dalam perkara yang disembelih kerana selain Allah. Demikian juga mereka (para ulama) melarang dari perbuatan membantu mereka (orang bukan Islam) dalam perayaan mereka seperti memberi hadiah atau berjual beli. Kata mereka: Sesungguhnya tidak halal bagi umat Islam untuk menjual sesuatupun perkara untuk keperluan perayaan mereka kepada orang-orang Nasrani. Tidak (dijual) daging, darah, pakaian, serta tidak memberi pinjam haiwan tunggangan, dan tidak membantu sedikitpun untuk perayaan mereka. Ini kerana, yang demikian itu merupakan perbuatan mengagungkan kesyirikan mereka serta membantu kekufuran mereka. Para pemerintah juga hendaklah melarang umat Islam dari melakukan perkara tersebut. Ini kerana Allah S.W.T berfirman: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ Maksudnya: Dan saling membantulah ke atas perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan saling membantu atas perkara dosa dan permusuhan. Kemudian umat Islam tidak halal baginya untuk membantu mereka di atas perbuatan minum arak serta memerahnya, atau seumpamanya. Bagaimanakah pula ke atas perbuatan yang merupakan syiar-syiar kufur ? Sekiranya membantu sahajapun tidak dihalalkan buat dirinya, bagaimanakah dengan dia sendiri yang melakukannya ? (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 2/487-489) Kesepakatan ini juga dinyatakan oleh Ibn al-Qayyim. Katanya: “…dan adapun memberi tahniah kepada syiar-syiar bukan Islam yang khusus dengannya maka adalah haram dengan disepakati para ulama’ seperti memberi tahniah pada perayaan-perayaan mereka dan puasa mereka seperti dikata: ” ‘Eid Mubarak” (Selamat Hari Raya”) atau “Tahniah dengan perayaan ini” dan seumpamanya. Dan hukum ini (haram) jika selamat pengucapnya daripada kufur maka ia adalah haram seumpama memberi tahniah kepada kafir atas sujudnya pada salib bahkan itu lebih besar dosanya di sisi Allah daripada memberi tahniah kepada peminum arak dan pembunuh dan penzina dan seumpamanya.” (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/441) Ulama Kontemporari Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah bin Baz Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin Syeikh Soleh al-Munajjid Syeikh Muhammad al-Hasan al-Dedew Dalil Pengharaman: Secara asasnya, mereka berdalilkan dengan: Firman Allah SWT: وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا Maksudnya: dan (hamba-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan. Surah al-Furqan (72) Abu al-‘Aliyah, Tawus, Ibn Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain berkata: “makna al-Zur ialah ‘Perayaan-perayaan Musyrikin”. Ulama’ lain menyatakan ia adalah majlis yang terdapat padanya nyanyian dan muzik. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3/309) Rasulullah SAW bersabda: ‏ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka. Riwayat Abu Daud (4031) dan al-Tabarani (8327) Syeikh Nasiruddin menyebutkan: “Agama Islam telah pun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidak harus meniru atau mencontohi orang-orang bukan Muslim seluruhnya sama ada dari segi peribadatan, perayaan dan perhiasan yang khusus yang tertentu hanya kepada kalangan mereka sahaja. Rasulullah SAW bersabda: لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا، لاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ وَلاَ بِالنَّصَارَى، فَإِنَّ تَسْلِيمَ اليَهُودِ الإِشَارَةُ بِالأَصَابِعِ، وَتَسْلِيمَ النَّصَارَى الإِشَارَةُ بِالأَكُفِّ Maksudnya: "Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami. Janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.” Riwayat al-Tirmizi (2695) Bagi para ulama’ yang mengharamkannya, perbuatan mengucapkan tahniah itu adalah bercanggah dengan firman Allah SWT: إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلام Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” Surah Ali ‘Imran (19) Abu Hayyan berkata: Maksud agama adalah ikutan dan syariat di mana maknanya agama yang diterima yang memberi manfaat dan yang diiqrarkan di sisi Allah adalah Islam. Ini kerana Islam agama dengan penuh keadilan dan agama tauhid. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 3/171) Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah Antara mereka yang mengharuskannya ialah: Ulama Silam Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah zimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350) Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama’ al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka. Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.” (Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 6/289) Menurut Imam al-Mardawi, salah satu qaul mazhab Imam Ahmad mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam. Manakala menurut Imam Abu Daud, harus sekiranya kita ingin mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235). Menurut Imam al-Bulqini, jika seseorang itu mengucapkan dengan niat mengagungkan agama mereka, maka dia telah kafir. Adapun jika sekadar menyatakan dengan lisan tanpa niat yang demikian, maka dia tidak jatuh kafir. (Rujuk Fatawa al-Bulqini, hal. 986) Ulama Kontemporari Syeikh Muhammad Rashid Redha Syeikh Dr. Ahmad al-Syarbasi Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa Syeikh Dr.. Ahmad al-Thayyib Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi Syeikh Abdullah bin Bayyah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi Syeikh Syauqi Ibrahim Abdul Karim 'Allam Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Dasuqi Syeikh Dr. Ali Jum’ah Syeikh Prof Dr Muhammad bin Ibrahim al-Hifnawi Syeikh Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni Syeikh Abdul Sattar Fathullah Said Syeikh Dr. Musthafa Abu Sulaiman al-Nadwi Syeikh Ikrima Sabri Syeikh Hamza Yusuf Dr Mohamed Fatris Bakaram Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah tiada ijmak yang jelas mengharamkan perkara ini. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana: Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah kepada mereka. Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara khusus daripada salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’in juga imam-imam mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempenan perayaan mereka. Apabila tidak ada dalil yang jelas daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan tahniah sebagai ijma’, masih boleh diperbahaskan akan ketepatannya. Syeikh Muhammad Rasyid Redha menulis bahawa maslahah rakyat sesebuah negara tertakluk kepada hubungan sesama mereka. Akhlak yang buruk jka disandarkan kepada agama merupakan sebesar-besar fitnah dan tohmahan terhadap agama. Maka hendaklah kaum Muslimin menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka dengan akhlak yang baik. (Rujuk Majallah al-Manar, 7/24) Daripada fatwa ini kita fahami, jika beliau mengharuskan menziarahi mereka sewaktu perayaan mereka, maka sekadar mengucapkan tahniah pastinya lebih ringan hukumnya. Syeikh Musthafa Zarqa’ mengharuskannya atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia, dan Islam tidak pernah melarang hal ini. (Rujuk Fatawa Musthafa al-Zarqa’, hal. 357) Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurut beliau, Nabi SAW sendiri sentiasa melazimi perbuatan baik dan akhlak mulia bersama non-Muslim, dan ini termasuk di bawah perintah ayat kelapan surah al-Mumtahanah. أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِم Maksudnya: “...hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (non-Muslim).” Surah al-Mumtahanah (8) Dalam komentar beliau terhadap fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim pula, beliau menyatakan persetujuan bahawa Muslim tidak boleh sama-sama merayakan perayaan non-Muslim, tapi ini berbeza dengan sekadar mengucapkan tahniah sempena hari kegembiraan mereka. Sesungguhnya Ibn Taimiyyah berfatwa untuk zaman beliau yang mempunyai konteks yang tersendiri. Bahkan jika beliau hidup pada zaman ini dan melihat konteks hubungan manusiawi pada zaman sekarang yang amat rapat, nescaya beliau akan mengubah fatwa beliau, atau berlembut sedikit daripada pendirian tegas beliau dalam isu ini. Bahkan perayaan Krismas juga telah berubah menjadi satu perayaan bersifat adat. Pun begitu keharusannya adalah dengan syarat tidak ada sebarang bentuk pengagungan syiar agama lain seperti salib atau meredhainya. Ianya diucapkan semata-mata menyantuni mereka sahaja. (Lihat Fiqh Mu’asirah, 1/669-673)            Menurut Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi, harus untuk mengucapkan tahniah kepada ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) atas kegembiraan mereka dan ucapan takziah atas kedukaan mereka, bahkan disunatkan demikian itu sebagaimana dinaskan oleh para fuqaha’. Dan harus masuk ke tempat ibadat mereka atas tujuan tertentu dengan syarat tidak menyertai aktiviti keagamaan mereka. Syeikh Ali Jumu’ah pula mengharuskannya atas dasar berbuat baik kepada jiran, dan ini menepati saranan Nabi SAW: مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ Maksudnya: Jibril AS tidak henti-henti berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran, hingga aku menyangka dia akan memberi hak kepada jiran sebagai ahli waris. Riawayat al-Bukhari (6015) dan Muslim (2625) Tambah beliau lagi, ucapan tahniah ini juga hendaklah disertai dengan penghormatan kepada Nabi Isa AS sebagai seorang Nabi, dan hendaklah juga dijelaskan kepada mereka pegangan kita ini yang tidak menganggap Baginda sebagai anak Tuhan seperti yang diyakini oleh orang Kristian. [10] Menurut Syeikh Abdullah bin Bayyah, adalah diharuskan untuk kita mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka sama ada melalui lisan ataupun bertulis, selagimana tidak mengandungi syiar-syiar keagamaan mereka yang bercanggah dengan Islam seperti salib. Ucapan tahniah sempena perayaan ini tidak menunjukkan sebarang pengakuan atau keredhaan ke atas kebenaran agama mereka, bahkan ia hanya satu bentuk mujamalah (perkataan yang baik dan penuh hormat) sesama manusia. Hal ini lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai hubungan kekerabatan, persahabatan dan kemasyarakatan dengan mereka. Namun, beliau tetap menegaskan akan keharaman orang Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini. (Rujuk Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, hal. 430-435) Selain itu, Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni juga menyatakan bahawa dakwaan berlakunya ijmak atas haramnya mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan juga merupakan satu dakwaan yang ganjil, memandangkan tiada satupun dalil khusus daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang menyatakan hal demikian. Beliau juga menyatakan bahawa ucapan tahniah yang diucapkan bukanlah ditujukan kepada ritual-ritual keagamaan dan i’tiqad orang Kristian, tapi tahniah ke atas kegembiraan sempena hari perayaan mereka.[11] Secara umumnya, dalil-dalil mereka ialah: Firman Allah SWT: لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Surah al-Mumtahanah (8) Al-Maraghi berkata: “Allah SWT tidak melarang kamu daripada melakukan perbuatan baik kepada bukan Muslim yang tidak memerangi kamu atas dasar agama, tidak mengusir kamu dari kampung halaman dan tidak membantu orang lain untuk mengusir kamu.”  (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 14/6969) Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjadi dalil bahawa harus memulakan salam kepada non-Muslim kerana ia termasuk di bawah perbuatan baik, dan ini juga pandangan Imam al-Nawawi. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 11/103 dan Syarh Sahih Muslim, 14/145) Firman Allah SWT: وَإِذَا حُيِّيْتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا Maksudnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. Surah al-Nisa’ (86) Imam al-Fakhr al-Razi berkata: “Ketahuilah lafaz tahiyyah (تَحِيَّةٍ) sebagai mana yang kami nyatakan merupakan kiasan kepada perbuatan memuliakan sesuatu. Justeru semua bentuk jenis perbuatan memuliakan boleh dimasukkan di bawah lafaz berkenaan.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 5/221) Apabila ada rakan-rakan bukan Muslim mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kita, maka kita membalasnya dengan ucapan tahniah yang sama. Tujuannya jelas, iaitu memuliakan beliau sebagai seorang saudara, sebagai penghargaan atas ucapan beliau dan tidak bermaksud menerima dan mengagungkan agamanya. Perihal pengagungan agama itu sudah masuk kepada perbahasan yang lain daripada perkara ini. Daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma, katanya: قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي فِي مُدَّةِ قُرَيْشٍ مُشْرِكَةً، وَهِيَ رَاغِبَةٌ - يَعْنِي مُحْتَاجَةٌ -، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ عَلَيَّ وَهِيَ مُشْرِكَةٌ رَاغِبَةٌ أَفَأَصِلُهَا؟ قَالَ: صِلِي أُمَّكِ . Maksudnya: “Telah datang ibuku untuk menziarahiku pada masa perjanjian dalam keadaan musyrik dan dia begitu berhajat untuk bertemuku, lantas aku bertanya Rasulullah SAW seraya berkata; “Sesungguhnya ibuku datang mengziarahiku sedangkan dia musyrik tetapi berkeinginan menemuiku, adakah aku menyambungnya? Sabda Rasulullah SAW: “Sambungkanlah silaturrahim dengan ibumu.” Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim (1003) Daripada Anas bin Malik RA berkata: كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ". فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ . Maksudnya: "Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: "Masuklah Islam". Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: "Taatilah Abu al-Qasim SAW". Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.” Riwayat al-Bukhari (1356) Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya: اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ Maksudnya: Bertaqwalah kepada Allah SWT dimana jua kamu berada, dan balaslah kejahatan dengan kebaikan untuk menghapuskan kejahatan itu. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia. Riwayat Tirmizi (1987) Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, Nabi SAW tidak berkata “berakhlaklah dengan Muslim dengan akhlak yang mulia” tapi dengan seluruh manusia. Namun beliau mensyaratkan agar ucapan tahniah itu tidak mengandungi pengakuan terhadap kebenaran agama mereka atau meredhai kekufuran mereka, dan tidak menyanggahi prinsip-prinsip Islam. (Rujuk Fiqh Mu’asirah, 3/668) Tarjih Selepas melihat dua pandangan dan juga situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang khusus. Adakah ucapan tersebut dikiranya penyerupaan (tasyabbuh) dengan mereka yang mengucapkannya sesama mereka? Kami katakan tidak, kerana ucapan tahniah dan selamat itu bukanlah suatu yang eksklusif, sebaliknya adalah suatu ucapan adat, seperti Selamat Pagi dan Selamat Menyambut Kelahiran. Sekiranya seorang Kristian mengucapkan kepada kita Selamat Menyambut Maulidurrasul, adakah ia bermaksud, daripada semua sudut, bererti dia mengiktiraf aqidah orang Islam? Pastinya tidak. Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).[12] Hal ini adalah sebagaimana komentar Ibn 'Abidin terhadap Durr al-Mukhtar pada perbahasan hukum membaca mushaf dalam solat yang dikatakan menyerupai ahli kitab, katanya: قَالَ هِشَامٌ: رَأَيْت عَلَى أَبِي يُوسُفَ نَعْلَيْنِ مَخْصُوفِينَ بِمَسَامِيرَ، فَقُلْت: أَتَرَى بِهَذَا الْحَدِيدِ بَأْسًا؟ قَالَ لَا قُلْت: سُفْيَانُ وَثَوْرُ بْنُ يَزِيدَ كَرِهَا ذَلِكَ لِأَنَّ فِيهِ تَشَبُّهًا بِالرُّهْبَانِ؛ فَقَالَ «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَهَا شَعْرٌ» وَإِنَّهَا مِنْ لِبَاسِ الرُّهْبَانِ. فَقَدْ أَشَارَ إلَى أَنَّ صُورَةَ الْمُشَابَهَةِ فِيمَا تَعَلَّقَ بِهِ صَلَاحُ الْعِبَادِ لَا يَضُرُّ... وَفِيهِ إشَارَةٌ أَيْضًا إلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِالتَّشَبُّهِ أَصْلُ الْفِعْلِ: أَيْ صُورَةُ الْمُشَابَهَةِ بِلَا قَصْدٍ. Maksudnya: “Hisham berkata: Aku melihat Abu Yusuf (memakai) sepasang sandal yang dijahit dengan paku-paku. dan berkata: 'Adakah kamu merasa susah memakai ini? Dia menjawab, 'Tidak'. Aku berkata, 'Sufyan dan Thaur bin Yazid tidak suka kepada sandal ini kerana ia menyerupai rahib. Beliau menyatakan, 'Nabi SAW memakai sandal yang mempunyai bulu di atasnya.' (Ibn 'Abidin menyatakan) Sesungguhnya ia (sandal itu) adalah daripada pakaian rahib. Maka ini menunjukkan bahawa apa-apa persamaan / penyerupaan yang berkaitan dengan kebaikan manusia adalah tidak bermasalah ... dan ini juga menunjukkan mengenai asal perbuatan meniru itu - ia adalah bentuk persamaan tanpa niat.” (Rujuk Radd al-Muhtar 'ala al-Durr al-Mukhtar, 1/622) Oleh sebab itu, penyerupaan, kadang-kadang bermaksud haram dan kadang-kadang bermaksud makruh. Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.” Jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu bersifat makruh. Contohnya seperti: Melakukan qaza` (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain). Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (10/101). Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (8/427). Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. Rujuk al-Iqna` (1/245). Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian itu tidak lagi melambang kaum yang bukan Islam dan fasiq. Sebaliknya, ia berubah menjadi adat suatu kawasan atau negara. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus. Berkata Imam al-Bujairimi (w.1221H) Rahimahullahdalam Tuhfah al-Habib (4/366) dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tiyalisah : “Dan disebabkan pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.” Daripada sudut sejarah, pemakaian tiyalisah, atau kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi dan Nasrani. Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya. Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus. Kami juga melihat bahawa perlunya untuk memahami hukum fiqhi dan fatwa. Ini kerana, hukum fiqhi ada yang bersifat thabit dan tidak thabit. Berlainan pula dengan fatwa yang boleh menerima perubahan berdasarkan kemaslahatan zaman. Oleh kerana itulah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Ini yang menyebabkan aku menyalahi pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkenaan pengharaman ucapan tahniah kepada orang Kristian. Selain itu, apa yang wajar diberi perhatian adalah isi kandungan ucapan berkenaan yang menzahirkan sifat toleransi dan muhibbah, bukannya zahir ucapannya semata-mata. Ini berdasarkan kaedah (العبرة بالمسميات لا بالاسماء). Kami melihat, perbezaan pandangan yang timbul adalah pada memahami definisi yang tepat bagi perkataan “tahniah” dan “selamat” yang menyebabkan hukumnya terbahagi kepada dua seperti di atas. Bagi menjelaskan hal ini, kita perlu melihat definisi “tahniah” dalam konteks bahasa dan pemahaman yang sebenar. Dalam Bahasa Melayu, “tahniah” bermaksud: “ucapan yang ditujukan kepada seseorang untuk menyatakan rasa gembira kerana kejayaannya dll; ucapan selamat”.[13] Maka, tahniah juga tidak semestinya menzahirkan rasa redha dan pengagungan kepada sesuatu hal. Bahkan pada 22 Disember 2007, seramai 138 cendekiawan Islam telah menandatangani satu surat terbuka sempena sambutan Hari Krismas kepada pimpinan gereja sedunia termasuklah Pope Benedict XVI. Antara mesej surat tersebut ialah mengucapkan Merry Christmas kepada masyarakat Kristian yang menyambutnya, serta menzahirkan penghargaan atas respon positif kepada pimpinan agama Kristian terhadap usaha dialog antara agama yang dimulakan oleh pimpinan kaum Muslimin. Antara ulama yang menandatangani surat terbuka ini termasuklah Syeikh ‘Ali Jum’ah, Syeikh Hamza Yusuf dan Syeikh Ikrima Sabri (Mufti al-Quds).[14]   Keputusan Institusi Fatwa Bagi menyokong keharusan yang kami tarjihkan, kami kemukakan di sini sebahagian pendapat Institusi Fatwa: Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan. Dar al-Ifta’ juga menjelaskan bahawa ucapan Merry Christmas ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, kerana larangan tasyabbuh itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam. [15] Majlis Fatwa Eropah. Mereka juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat, dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam, dan ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).[16]   Garis Panduan Umum Kami kemukakan di sini Garis Panduan Umum yang perlu difahami: Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam. Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan. Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain. Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38. Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim di sini [http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2653-al-kafi-838-hukum-menghadiahkan-arak-kepada-non-muslim]. Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat. Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri. Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata: لا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم Maksudnya: Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.                                                                         Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan (9/234) dan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (1609) Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram. (Rujuk al-Adab al-Syar’iyyah, 3/432) Kenyataan Mufti Wilayah Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan. Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.” Kami menguatkan hujah ini melalui kenyataan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fil Islam antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip yang menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT: لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ Maksudnya: Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Surah al-Mumtahanah (8-9) Ayat yang pertama di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya. Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka. Perkataan “al-birr” iaitu “baik” merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi “keadilan”. Kalimah al-bir tersebut pernah digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain). Kami menyatakan di sini bahawa ayat itu menggalakkan apa yang kami nyatakan kerana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berlaku adil. Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang terdapat di dalam ayat ini, kerana ianya berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi berlaku sehingga ke hari ini. Sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik. Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.” Sudah sampai masanya bagi para ulama’ menginterpretasikan apa yang didapati daripada teks-teks klasik ulama’ silam supaya meraikan kerangka cabaran masa kini tanpa meninggalkan batasan syarak. Tidak cukup hanya sekadar menukilkan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam (fiqh al-awraq), bahkan para ulama’ perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi’ ('membaca' realiti semasa). Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana. Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat). Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah. Akhukum Fillah, Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri 24 Disember 2018  _______________________________________________ [1] https://en.oxforddictionaries.com/definition/merry [2] https://en.oxforddictionaries.com/definition/christmas [3] https://en.oxforddictionaries.com/definition/christ [4] https://en.oxforddictionaries.com/definition/mass [5] Reverend John Trigilio Jr. & Reverend Kenneth Brighenti. The Catholicism Answer Book: The 300 Most Frequently Asked Questions , m.146. [6] The Oxford Dictionary of the Christian Church (ed. E.A. Livingstone). m. 335-336. [7]Rujuk http://www.statistics.gov.my/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=117&bul_id=MDMxdHZjWTk1SjFzTzNkRXYzcVZjdz09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09   [8] http://www.operationworld.org/country/malc/owtext.html [9] Rujuk laman web Nasim al-Syam, fatwa 2280, bertarikh 22 April 2010. https://www.naseemalsham.com/ar/Pages.php?page=readFatwa&pg_id=2280 [10] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=5H-ZNCAIDZQ [11] http://www.dr-alawni.com/articles.php?show=187 [12] Rujuk penjelasan beliau dalam video pada pautan: https://www.youtube.com/watch?reload=9&v=3TTwX9kcaCU [13] http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=tahniah [14] Rujuk https://archive.islamonline.net/?p=791 , https://www.ft.com/content/ce7eb5c4-b004-11dc-b874-0000779fd2ac dan https://www.acommonword.com/muslim-scholars-wish-merry-christmas/ [15] http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa&ID=13237 [16] http://www.e-cfr.org/fatwa/3ما-حكم-تهنئة-غير-المسلمين-بأعيادهم؟-/
3,451
Soalan Assalammualaikum, Saya tidak memahami kaedah minimum haid selama 24 jam. Bolehkah terangkan cara penentuan 24 jam haid. Mohon pencerahan.  Ringkasan Jawapan: Tempoh minimum haid ialah 24 jam yang terbahagi kepada dua: Tempoh 24 jam darah yang keluar   bersambung sehari semalam  (أقل فقط)  Tempoh 24 jam darah keluar  bercerai yang digabungkan dengan hari-hari lain  selama 15 hari (أقل مع غيره). Huraian Jawapan: Haid dari sudut bahasa ialah mengalir. Sementara pada sudut istilah ialah darah tabi‘i (semulajadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya keadaan sihat dalam tempoh tertentu [1]. Tempoh masa haid berdasarkan hasil kajian dan pemerhatian (istiqra’) oleh Imam Syafi‘i. Had masa  yang paling minimum berdasarkan istiqra’ tersebut ialah  24 jam. Minimum haid terbahagi kepada 2 bentuk iaitu : Kadar masa selama 24 jam keluar bersambung sehari semalam (أقل فقط)  Kadar masa selama 24 jam hasil gabungan darah yang keluar terputus-putus atau bercerai dalam tempoh  kebiasaan,  atau maksimum 15 hari haid.  (أَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَر)  [2] Darah yang tidak mencukupi 24 jam setelah digabungkan dalam tempoh 15 hari dikenali darah rosak (fasad) seperti dihukumkan  darah istihadah.[3] Oleh itu, darah yang tidak mencapai kadar sekurang- kurang miminum haid (24 jam) tidak boleh dihukumkan haid. Jadual berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam yang terbahagi kepada 2 bentuk iaitu darah yang bersambung dan darah yang bercerai. Jadual 1.1 Tempoh minima haid 24 jam sehari semalam  yang bersambung   Tarikh Masa Keluar Darah Hukum 1 MEI   2 MEI 12 PM Hingga 12 PM Keluar darah sehari semalam berterusan dan bersambung Darah yang keluar adalah darah haid kerana mencukupi 24 jam selama sehari semalam (فقط أقل) Jadual 1.2 Tempoh minima haid 24 jam darah keluar bercerai yang digabungkan dengan hari-hari lain dalam tempoh kebiasaan, atau maksimum 15   PENUTUP  Berdasarkan hasil kajian dan pemerhatian ( istiqra’ ) oleh Imam Syafi‘i, tempoh minimum haid adalah 24 jam sama ada dalam bentuk darah yang keluar bersambung sehari semalam (أقل فقط) atau darah keluar  bercerai yang digabungkan dengan hari-hari lain (أقل مع غيره). Kiraan tempoh haid pada setiap jam sangat penting untuk menentukan darah yang keluar itu mencukupi 24 jam untuk dihukumkan sebagai darah haid. Hal ini kerana ia melibatkan perlaksanaan ibadah seperti solat, puasa, iktikaf dan membaca al-Quran. Wallahu A'lam   Rujukan:  [1]Al-Khatib As-Syirbini, Syamsuddin. Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj ( Dar al-Kutub Ilmiyah. 1994)  1/277 وَهُوَ لُغَةً: السَّيَلَانُ وَشَرْعًا دَمُ جِبِلَّةٍ أَيْ تَقْتَضِيهِ الطِّبَاعُ السَّلِيمَةُ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ بَعْدَ بُلُوغِهَا عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ فِي أَوْقَاتٍ مَعْلُومَةٍ [2] Al-Bujairimi. Sulaiman Bin Muhammad. Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala-al-Khatib ‘ala Syarh al-Minhaj(1994) 1/132  وَأَقَلُّهُ) زَمَنًا (يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ) أَيْ قَدْرُهُمَا مُتَّصِلًا وَهُوَ أَرْبَعٌ وَعِشْرُونَ سَاعَةً (وَأَكْثَرُهُ) زَمَنًا (خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا بِلَيَالِيِهَا) وَإِنْ لَمْ تَتَّصِلْ وَغَالِبُهُ سِتَّةٌ أَوْ سَبْعَةٌ كُلُّ ذَلِكَ بِالِاسْتِقْرَاءِ مِنْ الْإِمَامِ الشَّافِعِيِّ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ. الْأَقَلُّ فَقَطْ إلَّا إذَا رَأَتْ أَرْبَعًا وَعِشْرِينَ سَاعَةً عَلَى الِاتِّصَالِ، ؛ لِأَنَّ الْأَقَلَّ لَهُ صُورَتَانِ أَقَلُّ فَقَطْ وَأَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ إمَّا مَعَ الْغَالِبِ أَوْ مَعَ الْأَكْثَرِ اهـ ح ل (قَوْلُهُ: وَإِنْ لَمْ يَتَّصِلْ) أَيْ وَكَانَ قَدْرُ مَجْمُوعِهِ يَوْمًا وَلَيْلَةً. فِي حُصُولِ أَقَلِّ الْحَيْضِ ح ل؛ لِأَنَّ الْأَقَلَّ لَهُ صُورَتَانِ أَقَلُّ فَقَطْ وَأَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَرِ [3] al-Bakri al-Dimyati. Abu Bakar Uthman. I’anah al-Thalibin ‘ala Halli al-Faz  Fath al-Mu’in, (Dar al-Fikr. 1997)  1/88. يوم وليلة أي قدرهما مع اتصال الحيض، وهو أربع وعشرون ساعة. خمسة عشر يوما أي بلياليها، وإن لم يتصل، لكن بشرط أن تكون أوقات الدماء مجموعها أربع وعشرون ساعة فإن لم يبلغ مجموعها ما ذكر كأن دم فساد،
3,452
Soalan : Assalamualaikum AF ustaz. Saya minta maaf jika saya bertanya. Saya ingin tahu. Bukankah Allah sebut bahawa rahmat Allah itu luas, namun mengapa dalam Al-Quran  sebut orang yang tidak beriman akan diazab pada hari akhirat kelak?. Bukankah itu tidak menunjukkan bahawa Allah bersifat rahmat?. Mohon pencerahan dan penjelasan ustaz. Ringkasan jawapan : Walaikumussalam.Ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya. InI kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT. Menjadi kewajipan kita untuk terus menerus menyampaikan risalah Islam. Semoga Allah menggolongkan kita dalam kalangan orang yang mendapat rahmat Allah bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat jua. Wallahu’alam. Huraian jawapan : Sememangnya rahmat Allah itu luas. Ini dapat dilihat menerusi firman Allah ﷻ : وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ Maksudnya : “…Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu… ”[1] Para ahli tafsir mempunyai pandangan yang berbeza mengenai tafsiran ayat tersebut. Imam Al-Tabari menukilkan beberapa pandangan ahli tafsir berkenaan firman Allah ‘Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu’. Antara tafsiran yang disebutkan oleh beliau : فقال بعضهم: مخرجه عامٌّ، ومعناه خاص، والمراد به: ورحمتي وَسِعت المؤمنين بي من أمة محمّدٍ صلى الله عليه وسلم. واستشهد بالذي بعده من الكلام، وهو قوله: "فسأكتبها للذين يتقون"، الآية. “Sebahagian ahli tafsir menyebut : Lafaznya umum namun maknanya khusus. Yang dimaksudkan dengan rahmat itu (yang disebutkan oleh Allah dalam ayat tersebut) adalah ‘Rahmat-Ku begitu luas bagi orang yang yang beriman dengan Aku dari kalangan umat Muhammad ﷺ. Ianya berdalilkan ayat selepasnya iaitu ‘maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa’. [2] Pandangan ini adalah antara pandangan Ibn Abbas. Daripada Sa’id Bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau membaca ayat ‘Dan rahmat-Ku meliputi setiap sesuatu. Maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa’. Lalu beliau berkata : جعلها الله لهذه الأمة. “ Allah menjadikan rahmat tersebut untuk umat ini.” Imam Al-Tabari juga menukilkan pandangan lain berkenaan tafsiran ayat tersebut. Beliau menyatakan : وقال آخرون: بل ذلك على العموم في الدنيا، وعلى الخصوص في الآخرة “Ahli Tafsir yang lain berkata bahkan ayat tersebut ditujukan umum ketika di dunia dan khususnya ketika di akhirat.”[3] Ini berdasarkan pandangan Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah. Mereka berkata : وسعت في الدنيا البَرَّ والفاجر، وهي يوم القيامة للذين اتَّقوا خاصَّةً. “ Rahmat Allah luas ketika di dunia yang meliputi orang yang baik dan berdosa. Pada hari Kiamat, rahmat Allah adalah khusus untuk orang yang bertakwa.” Tafsiran ini memberikan makna bahawa ketika di dunia rahmat Allah itu umum  untuk semua makhluk-Nya termasuklah orang bukan Islam. Ini terzahir dalam segenap sudut kehidupan mereka. Jika tidak kerana rahmat Allah, sudah pasti mereka tidak akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Di samping itu, tanda rahmat Allah SWT terlihat dalam sikap kasih saying antara makhluknya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi ﷺ. Baginda bersabda : ‌جَعَلَ ‌اللهُ ‌الرَّحْمَةَ ‌مِائَةَ ‌جُزْءٍ، فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ وَأَنْزَلَ فِي الْأَرْضِ جُزْءًا وَاحِدًا، فَمِنْ ذَلِكَ الْجُزْءِ تَتَرَاحَمُ الْخَلَائِقُ، حَتَّى تَرْفَعَ الدَّابَّةُ حَافِرَهَا عَنْ وَلَدِهَا، خَشْيَةَ أَنْ تُصِيبَهُ Maksudnya : “Allah menjadikan rahmat sebanyak serratus bahagian. Dia menyimpan 99 bahagian dan menurunkan satu bahagian ke dunia. Di antara bahagian tersebut adalah sifat saling mengasihi antara makhluk sehingga seekor binatang akan mengangkat tapak kakinya daripada anaknya takut-takut akan terpijak anaknya.”[4]  Di antara tanda lain rahmat Allah ketika di dunia adalah membuka seluas-luasnya pintu taubat. Allah ﷻ berfirman : قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[5] Bahkan ada doa yang dirakamkan oleh Allah SWT : رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ Maksudnya : “…Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.”[6] Ini tanda rahmat Allah yang paling besar ketika di dunia di samping memberikan kemudahan kepada makhluk-Nya untuk menjalani kehidupan seharian. Namun, ketika di akhirat, rahmat Allah hanya untuk orang yang beriman.Imam Fakhruddin Al-Razi berkata : ‌وَرَحْمَتِي ‌وَسِعَتْ ‌كُلَّ ‌شَيْءٍ هُوَ أَنَّ رَحْمَتَهُ فِي الدُّنْيَا عَمَّتِ الْكُلَّ، وَأَمَّا فِي الْآخِرَةِ فَهِيَ مُخْتَصَّةٌ بِالْمُؤْمِنِينَ “Dan rahmat-Ku meliputi setiap sesuatu bermakna rahmat Allah meliputi semua makhluk secara umum ketika di dunia. Adapun di akhirat ianya dikhususkan untuk orang yang beriman.”[7] Pengkhususan sifat rahmat Allah untuk orang yang beriman ketika akhirat terlihat menerusi firman Allah selepas daripada ayat tersebut : الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ Maksudnya : "Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”[8] Adapun orang yang tidak beriman diazab ketika di akhirat, ini bukan bermakna bahawa Allah tidak bersifat dengan sifat Rahmat akan tetapi itu menunjukkan bahawa Allah ﷻ bersifat dengan sifat adil. Allah ﷻ menjelaskan : أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ نَجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ Maksudnya : “Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.”[9] Firman Allah lagi : أَفَنَجْعَلُ الْمُسْلِمِينَ كَالْمُجْرِمِينَ ﴿٣٥﴾ مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ Maksudnya : “Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar). Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?”[10] Ibn Kathir berkata : لَا يَسْتَوِي الْمُؤْمِنُونَ وَالْكَافِرُونَ “Tidak sama orang yang beriman dengan yang tidak beriman.”[11] Hal ini juga dapat dilihat dan diperhatikan secara logik melalui apa yang berlaku di dunia. Seorang hakim apabila menjatuhkan hukuman kepada pesalah atau penjenayah, ini bermakna ianya adalah satu rahmat kepada mangsa. Iaitu dengan keadilan yang ditegakkan oleh hakim. Jika hakim tersebut tidak menjatuhkan hukuman kepada seseorang yang terbukti bersalah, ini sudah pasti dilihat sebagai satu kezaliman kepada mangsa. Justeru, hukuman yang dikenakan itu bukan bermakna hakim tidak bersikap belas kasihan namun ia adalah satu keadilan yang dikenakan di atas ketidakpatuhan seseorang itu terhadap undang-undang yang telah digariskan. Kesimpulannya, ketika di dunia sifat rahmat Allah meliputi kesemua makhluknya termasuklah orang bukan Islam. Mereka mempunyai peluang yang sangat besar untuk mendapat rahmat Allah di hari akhirat kelak dengan syarat mesti beriman kepada Allah dan segala apa yang diturunkan melalui Rasul-Nya. InI kerana ketika di akhirat, rahmat Allah hanya khusus untuk orang yang beriman. Azab Allah ﷻ yang dikenakan ke atas orang yang tidak beriman pada hari akhirat kelak tidak bertentangan dengan sifat rahmat Allah bahkan ia menunjukkan sifat adil Allah SWT. Wallahu’alam.   Nota hujung : [1] Surah Al-‘Araf : 156 [2] Abu Ja’far Al-Tabari, Muhammad Bin Jarir, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran, Dar Al-Tarbiyah Wa Al-Turath, j.13 h.156. [3] Abu Ja’afar Al-Tabari, , Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran, j.13 h.159 [4] Riwayat Al-Bukhari no 6000 & Muslim no 2752 [5] Surah Al-Zumar : 53 [6] Surah Ghafir : 7 [7] Fakhruddin Al-Razi, Muhammad Bin Umar, Mafatih Al-Ghaib, Dar Ihya’ Al-Turath Al-‘Arabiy, Beirut, j.15 h.379. [8] Surah Al-‘Araf : 157 [9] Surah Al-Jathiah : 21 [10] Surah Al-Qalam : 35-36 [11] Abu Al-Fida’ Ibn Kathir, Ismail Bin Umar, Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Dar Tayyibah, j.7 h.267
3,454
Mukadimah Alhamdulillah, segala puji kami panjatkan kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga, para sahabatnya dan yang mengikut jejak langkah hingga ke hari akhirat. Bulan Ogos ini, bagi kita rakyat Malaysia akan teringat detik 31 Ogos dengan gambar al-Marhum Tunku Abdul Rahman yang melaungkan ‘Merdeka’ menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan. Ketika berlangsungnya peristiwa keramat tersebut, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dikibarkan dengan gah dan izzah. Inilah merdeka yang didambakan oleh rakyat Malaysia selepas dijajah hampir setengah ribu tahun bermula dengan Portugis 1511 dan berakhir dengan Inggeris 31 Ogos 1957. Terkadang-kadang kita terlupa peranan bendera Malaysia yang sudah pasti sebahagian dari kalangan kita tidak merasa apa-apa simbol tersebut. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini akan mengupas berkenaan dengan bendera Malaysia dan tanggungjawab kita terhadapnya. Makanya kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Bendera Malaysia: Hormatilah. Semoga kasih kita kepada negara kita dan juga kefahaman berkenaan dengan bendera Malaysia dapat diserlahkan. Amin.   Takrif Bendera Menurut Kamus Dewan, bendera bermaksud sepotong kain segi empat atau segi tiga dengan gambar atau warna tertentu yang digunakan sebagai lambang atau sebagai tanda atau panji-panji. Bendera Kebangsaan ialah bendera yang digunakan sebagai tanda sesebuah negara. (Lihat Dewan Bahasa dan Pustaka)   Sejarah Bendera Malaysia Penciptaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diilhamkan melalui satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaaan pada Mei 1948. Seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan. Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Encik Mohamed Bin Hamzah[1] telah mendapat majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Walau bagaimana pun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih diganti dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja. Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Majlis pengibaran itu dihadiri oleh Sultan Selangor dan Menteri Besar bagi Negeri Perak, Terengganu, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh Sir Henry Gurney[2] iaitu Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu. Jalur Gemilang[3] ialah bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih yang sama lebar bermula dengan jalur merah di bahagian atas dan berakhir dengan jalur putih di bahagian bawah. Jalur Bendera Malaysia melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju dan arah yang sama diikuti oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara. Jalur Gemilang ini mewakili keanggotaan 13 buah negeri manakala 1 jalur mewakili Kerajaan Persekutuan. Gemilang pula bermaksud bercahaya terang benderang dan cemerlang. Ia juga melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu serta boleh menaikkan imej negara di dalam dan di luar negara. (Lihat Bendera Kita Jalur Gemilang oleh Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, hlm. 3-5)   Tafsiran dan Makna Bendera Malaysia Setiap lambang dan warna yang terdapat pada Bendera Malaysia mewakili maksud-maksud tertentu. Bahagian yang berwarna biru tua di sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu dan berusaha dalam memajukan pembangunan ekonomi berasaskan sains serta teknologi moden. Warna kuning pada lambang anak bulan dan bintang pecah 14 bermaksud kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara. Lambang anak bulan membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara sementara bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan. Merah melambangkan keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Warna putih pula melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab dan berkeperibadian Malaysia. (Lihat Bendera Kita Jalur Gemilang, hlm. 8-9)   Maksud Bendera dalam Islam Bendera mempunyai pelbagai nama. Jika kita melihat dalam bahasa Arab dan sejarah Islam ada beberapa nama yang masyhur sebagai istilah yang menunjukkan makna bendera, antaranya al-Liwa’ (اللِّوَاءُ), ar-Rayah (الرَّايَةُ), al-‘Alam (الْعَلَمُ) dan al-‘Uqab (العُقَاب). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: al-Liwa’ (اللِّوَاءُ), al-Rayah (الرَّايَةُ) dan al-‘Alam (الْعَلَمُ) adalah satu perkara dengan sebutan berbeza. Beliau berkata: “Al-Liwa’ dengan huruf lam yang dibaca kasrah dan waw panjang adalah ar-Rayah (bendera) dan disebut juga dengan al-‘Alam.” (Lihat Fath al-Bari, 6/126) Ia menjadi simbol dan memberi makna sesebuah negara, negeri, blok, pasukan, jabatan atau lain-lain. Ia sentiasa dikibarkan bagi menunjukkan kedaulatan dan penguasaan negara tersebut pada satu-satu tempat. Antara hadis dan athar yang menggambarkan tentang bendera dan panji pasukan perang semasa zaman Nabi SAW ialah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: كَانَ لِوَاءُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْيَضَ ، وَرَايَتُهُ سَوْدَاءَ Maksudnya: “Bendera (Liwa) Rasulullah SAW berwarna putih, dan panjinya (Rayah) berwarna hitam.” Riwayat Al-Hakim dalam al-Mustadrak (2506) dan al-Baihaqi dalam Dala'il al-Nubuwwah (4/376) Begitu juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: كَانَتْ رَايَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَوْدَاءَ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ، مَكْتُوبٌ عَلَيْهِ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ Maksudnya: “Panji (rayah) Rasulullah SAW berwarna hitam, dan benderanya (liwa’) berwarna putih, tertulis padanya: “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ”. Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Ausat (219) Ketika peristiwa penaklukan kota Mekah, dicatatkan bahawa Rasulullah SAW memasuki kota Mekah dengan membawa bendera (al-liwa’) berwarna putih. Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ دَخَلَ مَكَّةَ ، يَوْمَ الْفَتْحِ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW memasuki kota Mekah ketika Peristiwa Pembukaan dengan benderanya (liwa’) berwarna putih.” Ibn Majah (2817), Abu Daud (2594), al-Tirmizi (1679) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13441) Syeikh Abdul Hayyi al-Kattani menjelaskan rahsia bahawa jika suatu kaum berhimpun di bawah satu panji/bendera, itu bererti panji/bendera itu menjadi tanda kesatuan pendapat mereka (ijtima’i kalimatihim) dan persatuan hati mereka (ittihadi qulubihim). Dengan demikian mereka bagaikan satu tubuh. (Lihat al-Taratib al-Idariyyah oleh Abd al-Hayyi al-Kattani, 1/266) Panji pasukan pada zaman Nabi SAW sangat diutamakan serta tidak dibuat sewenang-wenangnya. Ibn Battal ketika menjelaskan tentang al-Rayah sebagai berikut: “Dalam hadis tersebut (hadis pemberian bendera oleh Rasul pada pemimpin perang), diketahui bahwa al-Rayah tidak wajib dibawa kecuali oleh orang yang diberi kuasa oleh Imam (Pemimpin Negara) dan tak mempunyai autoriti apa pun bagi orang yang mengambilnya kecuali dengan adanya mandat kekuasaan.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/ 141) Begitu juga sepertimana dijelaskan oleh Ibn al-Athir dengan katanya: “Tidaklah boleh memegang al-Liwa’ kecuali pemimpin pasukan tentera.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 4/279).   Mengapakah Negara Kita Mempunyai Bendera Kebangsaan? Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan seperti berikut dengan sedikit tafsiran. Antaranya untuk: membangkitkan semangat patriotik menimbulkan rasa bangga terhadap negara tanda ketaatan dan negara lambang kemegahan penduduk lambang rasmi negara identiti sesebuah negara lambang kedaulatan negara[4] Kesemua alasan di atas, apabila kita melihat acara rasmi negara masing-masing, begitu juga acara sukan seperti Sukan Olimpik, Bola Sepak Piala Dunia dan lain-lain akan dijulang bendera pemenang serta dinyanyikan lagu kebangsaan masing-masing. Bahkan sebelum perlawanan diarak bendera negara masing-masing dan dinyanyikan lagu kebangsaan negara mereka. Ada yang menitiskan air mata sebagai petanda cintakan kepada negara mereka. Hal ini akan dirasai oleh seseorang rakyat yang mempunyai semangat patriotik kepada negaranya. Ini sudah berlaku kepada rakyat Malaysia yang mewakili negara dengan bangganya menjulang jalur gemilang serta menyanyikan lagu kebangsaan. Kita boleh rujuk dalam arkib.   Tanggungjawab Kita Terhadap Bendera Kami nyatakan di sini antara tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh rakyat sesebuah negara terhadap Bendera Kebangsaan masing-masing: Mempertahankannya dari dijatuhkan atau dihina. Sejarah peperangan dalam Islam jelas menunjukkan Rasulullah SAW mengurniakan bendera kepada panglima atau ketua pasukan. Mereka menganggap amanah yang cukup besar yang wajib dipertahankan dan tidak boleh dijatuhkan sementelahan lagi dari pihak musuh atau dihina. Peperangan Mu’tah[5] menunjukkan bagaimana Ja’far bin Abi Talib R.A menjaga dan mempertahankan bendera sekalipun kedua-dua belah tangannya ditetak, tetapi tetap mempertahankan bendera dengan tunggul tangan yang berbaki. Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menyebut: Setelah Zaid bin Harithah menemui syahid, panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib. Beliau juga tidak kurang hebatnya dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya. Kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya. Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid. Ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang tentera Rom sehingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang membolehkan beliau terbang di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang dia mahu. Kerana itu beliau dikenali sebagai Ja’far al-Tayyar dan Jaafar Zu al-Janahain (yang mempunyai dua sayap). Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi' bahawa Ibn Umar R.Anhuma telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, pada tubuhnya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya. Di dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: Aku bersama mereka di dalam peperangan berkenaan. Kami mencari Jaafar dan kami dapati beliau di antara yang terbunuh syahid. Kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh liang tikaman dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi'. Dan kami telah mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya. Ketika Jaafar gugur syahid selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam lantas disambar oleh Abdullah bin Rawahah. Kemudian beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 275-276) Jangan memijak bendera. Ini kerana memijak bendera sendiri seolah-olah tidak menghormati negara kita sendiri. Saya teringat kisah perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia. Sebagai petanda setiap pemimpin dari sudut susunan kedudukan yang ditetapkan, maka dilihat di bawah kakinya bendera masing-masing. Tiba-tiba Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan[6] telah mengambil bendera negaranya Turki dan menyimpan dalam sakunya. Peristiwa ini memaknakan betapa sensitifnya seseorang yang memahami tentang bendera masing-masing. Memacakkan bendera pada tempat yang tinggi. Pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah berjaya selepas hampir 54 hari dikepung. Akhirnya panglima tentera Turki, Hasan Ulubatli[7] telah memacak bendera di tembok tertinggi kerajaan Konstantinopel sekaligus memarakkan lagi semangat tentera Uthmaniyah dalam mentahqiqkan hadis Nabi SAW yang berbunyi: لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا ، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ Maksudnya: “Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu.” Riwayat Ahmad (18957) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300) Jangan sekali-kali memasang bendera secara terbalik. Ini akan memberi banyak maksud serta persepsi yang tidak baik sama ada ketidakcaknaan dan keprihatinan kedudukan bendera itu sendiri. Pada Jumaat yang lepas, 23 Ogos 2019, sebelum mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk solat Jumaat di Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Taman Melati, saya sempat bersama rakan menjamu selera di salah sebuah restoran Arab di sekitar tersebut. Saya melihat beberapa pekerja Arab sedang memasang bendera Malaysia. Bendera yang pertama dipasang dengan benar dan betul. Kemudian, mereka mahu memasang satu lagi bendera. Pada awalnya, mereka cuba silangkan, tetapi kemudian mereka membetulkan semula berdasarkan kepada kedudukan bendera pertama. Maka terdetik pada hati saya, walaupun mereka tidak memahami maksud yang mendalam berkenaan dengan makna dan tafsiran bendera Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya mereka mengambil kecaknaan dalam pemasangan bendera Malaysia. Menggantikan bendera yang lusuh dengan yang baru. Ini kerana ia merupakan lambang sesebuah negara yang perlu dihormati. Makanya bendera yang lusuh, carik, rosak dan koyak akan menunjukkan rakyat yang kurang prihatin terhadap lambang negara iaitu bendera yang sebenarnya bukti kasih dan cinta kita kepada negara.   Cadangan Kami Kami kemukakan di sini beberapa cadangan: Wujudkan hari Bendera Malaysia. Ini sebagai tajdid, sokongan dan dokongan serta kasihkan negara. Mulakan Berita Perdana jam 8 malam dengan kibaran bendera Malaysia serta lagu Kebangsaan kerana ia adalah waktu puncak bagi penonton. Kibarkan Jalur Gemilang pada bangunan kerajaan, swasta dan syarikat. Popularkan lagu Bendera Malaysia. Setakat dapatan kami, telah terdapat sekurang-kurangnya dua buah lagu iaitu Jalur Gemilang[8] dan Benderaku[9]. Masukkan silibus dalam subjek Sivik pada peringkat Sekolah Rendah dan sejak Tadika lagi akan semangat patriotik serta menghormati bendera Malaysia dan lagu Negaraku.   Penutup Kami nukilkan di sini kata-kata pujangga, antaranya: Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.” R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.” (Lihat Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 4) Berdasarkan kepada situasi semasa dan juga keperluan memberi kefahaman kepada masyarakat dan rakyat berkenaan dengan peri pentingnya menghormati Bendera Kebangsaan, maka kami cadangkan agar kerajaan menggubal suatu akta berkenaan penggunaan bendera Malaysia atau logo rasmi Malaysia bagi memastikan rakyat menghormati dan mencintai bendera yang menjadi kebanggaan negara. Hal seperti ini sudah berlaku di negara lain seperti Amerika Syarikat, India dan Singapura yang mempunyai Akta Bendera yang tersendiri. Masyarakat hendaklah diberi kefahaman yang jelas dan mereka perlu mengubah sikap serta mentaliti berkenaan dengan Bendera Kebangsaan yang juga dikenali sebagai Jalur Gemilang menjadi lambang identiti negara tempat tumpah darah kita. Adalah tidak wajar untuk mengambil mudah dan enteng perihal menjaga martabat identiti negara seperti Bendera Kebangsaan dan juga lagu Kebangsaan. Semoga negara kita Malaysia sentiasa aman dan masyarakatnya berpadu erat dalam membangun ke arah kegemilangan. Marilah sama-sama kita kibarkan jalur gemilang sempena sambutan Hari Merdeka pada tahun ini dengan lebih gah dan izzah. Akhir kalam, kami berdoa dan munajat: Akhukum fillah, SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 25 Ogos 2019 bersamaan 25 Muharram 1441 Hijri   Nota Hujung: [1] Mohamed bin Hamzah (5 Mac 1918 - 19 Februari 1993) merupakan pencipta Jalur Gemilang, bendera Malaysia. Beliau berasal dari Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Mohamed_bin_Hamzah) [2] Henry Gurney dilahirkan pada 27 Jun 1898 di Cornwall, United Kingdom. Dia adalah anak lelaki GGH Gurney dan Florence Gurney. Dia belajar di Kolej Winchester Universiti College, Oxford. Berkahwin dengan Lady Isabel Lowther Weir pada 1924 dan mendapat dua anak lelaki, Michael dan Peter. Beliau telah melancarkan Rancangan Briggs dengan tujuan untuk memutuskan hubungan komunis dengan penduduk setempat. Beliau telah melancarkan kempen ‘Bulan Penduduk Tanah Melayu Menentang Komunis’. Beliau juga telah menubuhkan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum untuk mengeratkan perpaduan rakyat menentang komunis. Beliau telah menggalakkan penubuhan penubuhan parti politik Cina yang tidak berhaluan ke Negara China. Namanya kini terpahat di salah sebuah sekolah di Telok Mas, Melaka. Pada 6 Oktober 1951, dia ditembak mati di Bukit Fraser dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat di sana. Dia ditembak mati oleh sekumpulan gerila pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Henry_Gurney) [3] Tanggal 30 Ogos 1997, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasmi menamakan bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang. [4] Lihat Q&A Jata Negara dan Bendera Malaysia. [5] Perang Mu'tah (Bahasa Arab: معركة مؤتة , غزوة مؤتة‎) berlaku pada bulan Jamadi al-Awwal tahun ke lapan Hijrah bersamaan tahun 629M ketika di akhir kehidupan Nabi Muhammad SAW. Ketika ini baginda menghantar tentera seramai 3,000 orang untuk menghadapi tentera Rom Byzantine seramai 100,000 orang tentera. Tujuan baginda menghantar tentera Islam kerana sebagai tindak balas atas pembunuhan seorang utusan baginda ke wilayah kerajaan Ghassan ketika baginda ingin menyebarkan Islam ke wilayah jajahan Rom. Ketika ini, baginda melantik tiga orang panglima Islam dengan Zaid ibn Harithah dilantik sebagai ketua panglima, Ja'afar ibn Abi Thalib sebagai ketua panglima sekiranya Zaid terkorban dan Abdullah ibn Rawahah sebagai pengganti Ja'afar sekiranya Ja'afar terkorban. Pertempuran berlaku di Karak di mana pada hari ini terletak di dalam negara Jordan. Di dalam peperangan ini, ketiga-tiga ketua panglima yang dilantik oleh Nabi terkorban. Apabila kesemua panglima terkorban, Thabit ibn Arqam mengendalikan tentera Islam buat seketika, namun beliau tidak berkehendak untuk memimpin tentera Islam ketika itu. Setelah beberapa ketika, Thabit mencadangkan Khalid bin al-Walid dilantik sebagai ketua panglima tentera Islam. Perlantikan ini dipersetujui oleh kesemua tentera Islam. Selepas perlantikannya, Khalid bertindak dengan menyelamatkan tentera Islam daripada diasak hebat oleh tentera Rom. Dengan strategi pertukaran yang dibuat dan susunan tentera secara memanjang ke belakang beserta taktik untuk melakukan keriuhan di barisan belakang, taktik ini berjaya mengelirukan barisan hadapan tentera Byzantine. Hasilnya. Khalid berjaya mengundurkan tentera Islam sedikit demi sedikit tanpa dikejar oleh tentera musuh. Selepas ini, Khalid bertindak cemerlang dalam memimpin tentera Islam dalam usaha untuk menyebarkan Islam di Parsi dan di dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine. [6] Perhimpunan tersebut adalah bersama pemimpin negara G-20 di St. Petersburg, Russia pada 6 September, 2013. [7] Beliau lahir pada 831 Hijrah bersamaan 1428 Masihi di Ulubatli (ألوباتلي) di Karacabey yang merupakan sebuah daerah di Wilayah Bursa, Turki. [8] Lirik lagu Jalur Gemilang: Merah mu bara semangat waja Putih mu bersih budi pekerti Kuning berdaulat payung negara Biru perpaduan kami semua Puncak dunia telah kau tawan lautan luas telah kau redah Membawa semangat jiwa merdeka Semarak jaya kami warganya Empat belas melintang jalurnya Semua negeri dalam Malaysia Satu suara satu semangat Itu sumpah warga berdaulat Jalur Gemilang... di bawah naunganmu Jalur Gemilang... kami semua bersatu Perpaduan ketaatan Amalan murni rakyat Malaysia Jalur Gemilang... megah kami terasa Jalur Gemilang... kibarkanlah wawasan Merah putih biru kuning Jalur semangat kami semua Berkibarlah Berkibarlah Berkibarlah Jalur Gemilang!   Pencipta: Pak Ngah Penulis Lirik: Siso Kopratasa   [9] Lirik Lagu Benderaku: Bendera ku yang gagah perkasa Merah putih kuning biru warnanya Berkibar megah penuh bercahaya Pusaka kita rakyat Malaysia Bendera Malaysia oh bendera ku Ku pertahankan sepenuh raga ku Dikaulah lambang negara berpadu Di bawah naungan Duli Tuanku Berkibar terus oh bendera ku Kau kan ku junjung sepanjang waktu Harumlah nama negara yang tercinta Pada mu tempat taat dan setia Bendera Malaysia bendera kita Kemegahan rakyat kita semua Berkibar berkibar di ruang angkasa Dirgahayu bendera tercinta.   Ciptaan dan Seni Kata: Tony Fonseka
3,456
Soalan : Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Saya seorang pelajar tahfiz dan sepanjang musim pkp ini saya akan mengimamkan keluarga saya menunaikan solat terawih sepanjang bulan Ramadan. Saya ingin membahagikan bacaan saya dalam setiap rakaat dengan membaca lebih kurang satu muka surat kerana ingin mengkhatamkannya di akhir solat terawih di hujung Ramadan nanti. Tetapi bapa saya bertanya adakah perbuatan tersebut adalah sunnah dan dibolehkan? Justeru soalan saya, apakah hukum kita membahagikan ayat-ayat al-Quran yang akan dibaca di dalam solat terawih dengan harapan dapat mengkhatamkan al-Quran pada hujung bulan Ramadan nanti? Mohon pencerahan mengenai perkara ini. Jawapan : Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Kami mulakan dengan firman Allah SWT : شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ Maksudnya : “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah : 185) Bulan Ramadan adalah bulan yang mana Allah mulai menurunkan al-quran pada malam Lailatul Qadar, sebagai petunjuk dan hidayah bagi seluruh manusia menuju kepada kebenaran. Di dalamnya terdapat bukti-bukti yang sangat jelas ke atas petunjuk Allah dan pembeza antara kebenaran dengan kebatilan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 28) Pada bulan yang mulia ini juga, Malaikat Jibril telah diutus kepada Nabi SAW bagi mengulangi bacaan al-Quran bersamanya. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa : كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ Maksudnya : “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah terutama pada bulan Ramadan ketika malaikat Jibril A.S menemuinya, dan Jibril A.S mendatanginya setiap malam di bulan Ramadan, lalu saling bertadarus al-Quran. Sungguh Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin.” Riwayat al-Bukhari (3220) Hadis ini menunjukkan bahawa baginda SAW akan bertadarus  al-Quran bersama Jibril A.S sepanjang bulan Ramadhan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Jibril akan menemui baginda dan bertadarus bersamanya sekali dalam setahun, tetapi pada tahun wafatnya baginda , Jibril A.S telah menemuinya dan bertadarus bersamanya sebanyak dua kali. Riwayat al-Bukhari (4998) Mengkhatamkan al-Quran di dalam solat terawih Mengenai perkara ini, Syeikh Ahmad al-Barlisi ada menukilkan daripada Imam al-Isnawi bahawa : التَّرَاوِيحُ سُنَّةٌ بِالْإِجْمَاعِ، وَأَفْتَى ابْنُ الصَّلَاحِ وَابْنُ عَبْدِ السَّلَامِ بِأَنَّ خَتْمَ الْقُرْآنِ فِي مَجْمُوعِهَا أَفْضَلُ مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْإِخْلَاصِ ثَلَاثًا فِي كُلِّ رَكْعَةٍ Maksudnya : “Solat terawih adalah sunat secara Ijma’ ulama. Dan Ibn al-Solah dan Ibn Abd al-Salam telah berfatwa bahawa mengkhatamkan al-Quran di dalam keseluruhan solat terawih adalah lebih baik  daripada hanya membaca surah al-Ikhlas tiga kali di dalam setiap rakaat.” (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Amirah, 1/248) Imam Abu Hanifah menyebutkan bahawa : السُّنَّةُ الْخَتْمُ مَرَّةً، فَلا يَتْرُكُ الإِمَامُ الْخَتْمَ لِكَسَلِ الْقَوْمِ، بَلْ يَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ عَشَرَ آيَاتٍ أَوْ نَحْوَهَا، فَيَحْصُلُ بِذَلِكَ الْخَتْمُ لأِنَّ عَدَدَ رَكَعَاتِ التَّرَاوِيحِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ سِتُّمِائَةِ رَكْعَةٍ، أَوْ خَمْسُمِائَةٍ وَثَمَانُونَ، وَآيُ الْقُرْآنِ الْكَرِيمِ سِتُّ آلاَفٍ وَشَيْءٌ. Maksudnya : “Sunnahnya mengkhatamkan al-Quran sekali (dalam bulan Ramadan). Oleh itu, janganlah Imam meninggalkan amalan mengkhatamkan al-Quran ini disebabkan oleh malasnya orang ramai (jemaah solat). Bahkan, sepatutnya dia membaca di dalam setiap rakaat itu sebanyak sepuluh ayat atau seumpamanya, maka dia akan berjaya mengkhatamkan al-Quran dengan perbuatannya itu kerana bilangan rakaat solat terawih sepanjang bulan Ramadan ialah sebanyak 600 rakaat atau 580 rakaat dan bilangan ayat al-Quran pula ialah enam ribu lebih ayat.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/147-148) Selain itu, terdapat pendapat mengatakan bahawa seorang imam hendaklah membaca sebanyak 20 hingga 30 ayat bagi setiap rakaat. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Umar R.A bahawa beliau telah memanggil tiga orang imam dan mengarahkan orang yang pertama membaca sebanyak 30 ayat bagi setiap rakaat, manakala orang yang kedua membaca sebanyak 25 ayat bagi setiap rakaat dan orang yang ketiga pula membaca sebanyak 20 ayat bagi setiap rakaat. Kemudian Imam al-Kasani mengulas perkara ini dengan mengatakan bahawa : وَمَا قَالَهُ أَبُو حَنِيفَةَ سُنَّةٌ إذْ السُّنَّةُ أَنْ يُخْتَمَ الْقُرْآنُ مَرَّةً فِي التَّرَاوِيحِ... وَمَا أَمَرَ بِهِ عُمَرُ فَهُوَ مِنْ بَابِ الْفَضِيلَةِ وَهُوَ أَنْ يُخْتَمَ الْقُرْآنُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا وَهَذَا فِي زَمَانِهِم. وَأَمَّا فِي زَمَانِنَا فَالْأَفْضَلُ أَنْ يَقْرَأَ الْإِمَامُ عَلَى حَسَبِ حَالِ الْقَوْمِ مِنْ الرَّغْبَةِ وَالْكَسَلِ فَيَقْرَأُ قَدْرَ مَا لَا يُوجِبُ تَنْفِيرَ الْقَوْمِ عَنْ الْجَمَاعَةِ؛ لِأَنَّ تَكْثِيرَ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ تَطْوِيلِ الْقِرَاءَةِ Maksudnya : “Apa yang dikatakan oleh Abu Hanifah sebagai sunnah ialah sunnah mengkhatamkan al-Quran sebanyak sekali dalam solat-solat terawih (di dalam bulan Ramadan)… Manakala apa yang diarahkan (dibuat) oleh Umar R.A adalah termasuk dalam fadhilah (sunat) iaitu mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali atau tiga kali. Dan ini adalah pada zamannya. Adapun pada zaman kita sekarang, adalah lebih baik seorang imam itu membaca (ayat-ayat al-Quran) mengikut keadaan manusia (yang menjadi makmumnya) dari segi kesungguhan dan kemalasannya. Oleh itu, seorang imam itu membaca mengikut kadar yang tidak menyebabkan mereka lari daripada jemaah solat kerana meramaikan jemaah solat adalah lebih baik berbanding memanjangkan bacaan.” (Lihat Badai’ al-Sanai’, 1/289) Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa membaca sebahagian ayat (daripada surah yang panjang) adalah lebih baik di dalam solat terawih sekiranya mahu mengkhatamkan al-Quran, sekiranya tidak,  maka membaca surah yang sempurna (lengkap) adalah lebih baik sebagaimana yang telah difatwakan oleh Ibn al-Solah. Imam Abd al-Hamid al-Syarwani mengulas kenyataan ini di dalam hasyiahnya dengan menyatakan bahawa : يُؤْخَذُ مِنْ ذَلِكَ أَنَّ مَحَلَّ كَوْنِ الْبَعْضِ أَفْضَلَ إذَا أَرَادَ الصَّلَاةَ بِجَمِيعِ الْقُرْآنِ فِي التَّرَاوِيحِ فَإِنْ لَمْ يُرِدْ ذَلِكَ فَالسُّورَةُ أَفْضَلُ Maksudnya : “Diambil (difahami) daripada perkara itu, bahawa membaca sebahagian (surah panjang) adalah lebih baik sekiranya mahu mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih dan sekiranya tidak mahu demikian, maka membaca surah (secara sempurna) adalah lebih baik.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi, 2/52) Kesimpulannya Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami menyimpulkan bahawa membahagi-bahagikan ayat-ayat al-Quran di dalam solat terawih dengan tujuan mengkhatamkannya di akhir Ramadan adalah merupakan suatu sunnah dan sangat digalakan. Lebih-lebih lagi sekiranya solat terawih itu didirikan secara berjemaah, maka ia adalah merupakan salah satu cara supaya orang ramai atau ahli keluarga dapat mengambil manfaat dengan keseluruhan bacaan al-Quran tersebut. Walau bagaimanapun, perlu diambil kira juga keadaan makmum yang mengikuti imam ketika solat terawih. Hal ini kerana keadaan setiap orang itu tidak sama, bahkan berbeza-beza. Termasuklah sesama ahli keluarga sendiri. Oleh itu, menjadi kewajipan seorang imam itu meraikan semua peringkat dan keadaan manusia yang berbeza-beza itu serta memberi semangat kepada mereka untuk sama-sama menunaikan solat terawih secara berjemaah sehingga selesai bersama imam. Mudah-mudahan mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya : مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ Maksudnya : “Sesiapa yang mendirikan solat (terawih) bersama imam sehingga selesai, dituliskan ganjaran untuknya qiyam (beribadah) sepanjang malam.” Riwayat Ibn Majah (1327) Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.
3,457
SOALAN “Saya ada beberapa soalan, kita umat Islam di Malaysia, ikut jumhur ulama atau Mazhab Syafie? Bila masa yang kita boleh ikut jumhur ulama? Adakah bila berlaku perkara khilaf? Terima kasih atas pencerahan. Jazakumullahu khairan kathira”.   RINGKASAN JAWAPAN Masyarakat awam perlu beramal mengikut mazhab Imam al-Syafi’i sepertimana yang ditetapkan oleh Ulil Amri diikuti dengan pandangan-pandangan mazhab selain mazhab Syafi’i termasuk pandangan yang mengikut hemat mufti dalam mengeluarkan fatwa bersandarkan kepada kefahamannya terhadap nas-nas mazhab tertakluk di bawah Akta yang ditetapkan oleh pihak berautoriti. Sementara itu, ilmuwan yang telah menguasai pelbagai disiplin ilmu dalam mengistinbat dan mengeluarkan sesuatu hukum, maka boleh untuk mengambil pandangan secara peribadi untuk pengamalan diri sendiri berdasarkan hasil kajian dan penelitiannya terhadap nas-nas dalam mazhab yang ada tanpa melibatkan masyarakat awam.   HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Rujukan yang utama bagi sesuatu hukum syariah ialah al-Quran dan sunnah dan menyusul selepas itu ijmak dan qias. Namun begitu, kefahaman terhadap nas-nas adalah berbeza antara mujtahid sehingga memberikan natijah hukum yang berbeza-beza mengikut mazhab fiqh. Menurut Imam Ahmad bin Muhammad al-Hanafi al-Hamawi tentang pengertian mazhab: وأما اصطلاحا: ما اختص به المجتهد من الأحكام الفرعية الإجتهادية المستفادة من الأدلة الظنية Bermaksud: Manakala Mazhab menurut istilah: bermaksud Hukum-hukum syarie yang bersifat far’i[1] dan ijtihadi[2] yang dihasilkan dari dalil-dalil yang bersifat zhanni oleh seorang mujtahid secara khusus. (Rujuk: Ghamz ‘Uyun al-Basha’ir fi Syarh al-Asybah wa an-Nazha’ir, 1/37) Terdapat empat mazhab yang utama iaitu mazhab Imam Abu Hanifah an-Nu’man, mazhab Imam Malik, mazhab Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i dan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Sekiranya majoriti mazhab sepakat dalam sesuatu hukum permasalahan maka ini dipanggil Jumhur Fuqaha. Jumhur Fuqaha menurut Bahasa: Kebanyakan atau sebahagian manusia[3] . Memandangkan terdapat pelbagai pendapat dan pandangan mengikut mazhab dan aliran dalam Islam, maka timbul persoalan dari masyarakat mengenai pengamalan antara pandangan yang ada antara pendapat Jumhur Fuqaha dan pendapat dalam mazhab-mazhab yang tertentu. Masyarakat dalam sesebuah negara mempunyai tahap pengetahuan ilmu agama yang berbeza begitu juga di Malaysia. Oleh itu, mereka yang tiada pengetahuan mengenai dalil dan hukum syarak dikategorikan sebagai masyarakat awam.[4] Manakala, ahli ilmu yang telah menguasai pelbagai disiplin ilmu dalam mengistinbat dan mengeluarkan sesuatu hukum dikenali sebagai mujtahid[5]. Bagi masyarakat awam, mereka perlu merujuk dan mengikut (taqlid) kepada pihak berautoriti dalam bidang agama yang menerangkan hukum syarie atau Mufti bagi sesuatu kawasan. Syeikh Zakaria al-Ansori menyatakan:  (ويلزم غير المجتهد) المطلق عاميا كان أو غيره أى يلزمه (في غير العقائد) التقليد للمجتهد في الأصح Bermaksud: Selain golongan mujtahid sama ada masyarakat awam atau selainnya perlu mengikut (taklid) pandangan mujtahid dalam mengetahui sesuatu hukum kecuali dalam perkara usul (akidah) menurut pendapat yang paling sahih. (Rujuk: Ghayah al-Usul Syarh Lubbi al-Usul, m/s 322) Oleh itu, masyarakat awam perlu mengikut pandangan mujtahid dan tidak boleh menetapkan hukum mengikut hemat sendiri. Bahkan mereka perlu berpegang kepada pandangan sesuatu mazhab mengikut kebiasaan sesebuah kawasan. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikhul Islam Zakariya al-Ansori: والأصح أنه يلزم المقلد التزام بمذهب معين من مذاهب المجتهدين Bermaksud: Pandangan yang lebih tepat ialah orang yang bertaklid (masyarakat awam) perlu mengikut mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab para Mujtahid. (Rujuk: Ghayah al-Usul Syarh Lubbi al-Usul, m/s 326) Justeru itu, masyarakat awam perlu beriltizam dengan suatu mazhab mujtahid. Hal ini bukanlah merupakan perkara yang luar biasa kerana terdapat negara-negara Islam lain yang turut melazimi sesuatu mazhab dalam penentuan hukum fiqh seperti di Maghribi yang beramal dengan mazhab Maliki, India yang beramal dengan mazhab Hanafi, Arab Saudi yang beramal dengan mazhab Hanbali begitu juga Malaysia yang beramal dengan mazhab Syafi’i secara lazimnya. Malaysia mempunyai undang-undang yang digubal mengenai pengamalan pandangan fiqh bagi masyarakat awam adalah mengikut pegangan mufti terhadap mazhab Syafi’i di kebanyakan negeri secara lazimnya. Hal ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT: فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Bermaksud: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui" Surah An-Nahl (43) Berdasarkan ayat di atas, Imam Baidawi menyebut akan makna ayat di atas ialah kewajipan merujuk kepada para ulama’ dalam perkara yang tidak diketahui. (Rujuk: Tafsir Al-Baidawi Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Takwil, m/s 693) Maka, masyarakat awam di Malaysia perlu merujuk dan mengikut Pejabat Mufti atau Jabatan Agama Negeri untuk mengetahui sebarang hukum hakam fiqh. Hal ini kerana, urusan agama di Malaysia termasuklah pengamalan ritual agama tertakluk dibawah undang undang Islam negeri masing masing. Oleh yang demikian, orang Islam yang bermastautin di sesuatu negeri hendaklah mematuhi dan berpegang dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti negeri tersebut.[6] Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) antara kamu” Surah An-Nisa (59) Berdasarkan ayat ini Imam Baidhawi menerangkan maksud ulil amri itu ialah para pemimpin Muslimin pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya termasuklah para khalifah, para qadhi, dan ketua-ketua tentera. Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati mereka setelah Allah SWT memerintahkan mereka agar berlaku adil dalam urusan adalah sebagai peringatan bahawa wajib mentaati mereka selagi mana mereka berada dalam kebenaran.  (Rujuk: Tafsir Al-Baidawi Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Takwil, m/s 282-283) Maka dapat difahami bahawa rakyat wajib mentaati kepada pemerintah Ulil Amri. Hal ini termasuklah bidang kuasa seorang mufti yang diberi mandat daripada pemerintah untuk mengeluarkan sesuatu hukum mengikut kaedah yang ditetapkan. Sebagaimana pengamalan di Wilayah Persekutuan, seorang mufti yang ingin mengeluarkan apa-apa fatwa atau memperakukan apa-apa pendapat, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.[7] Namun begitu, jika mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad mazhab Syafi’i akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah mengikut qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.[8] Begitu juga, sekiranya mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.[9] Oleh yang demikian, secara lazimnya pandangan yang diamalkan oleh adat kebiasaan masyarakat di Malaysia mempraktikkan amalan yang berpegang kepada mazhab al-Syafi’i yang sudah sebati pandangannya dalam permasalahan fiqh umumnya di Nusantara dan sekitarnya termasuk negara Malaysia. Namun sekiranya seseorang mufti tidak mendapati pendapat yang sesuai dengan kepentingan masyarakat awam, maka ketika ini seorang mufti boleh beramal dengan pendapat jumhur atau mazhab lain yang bersesuaian. Hal ini menunjukkan keluasan ilmu fiqh dan keterbukaan ahli ilmu dalam menetapkan sesuatu hukum.   KESIMPULAN Maka berdasarkan penerangan dan penghujahan di atas, kita dapat disimpulkan bahawa masyarakat awam perlu beramal mengikut mazhab Imam al-Syafi’i sepertimana yang ditetapkan oleh Ulil Amri diikuti dengan pandangan-pandangan mazhab selain mazhab Syafi’i termasuk pandangan yang mengikut hemat mufti dalam mengeluarkan fatwa bersandarkan kepada kefahamannya terhadap nas-nas mazhab tertakluk di bawah Akta yang ditetapkan oleh pihak berautoriti. Sementara itu, ilmuwan yang telah menguasai pelbagai disiplin ilmu dalam mengistinbat dan mengeluarkan sesuatu hukum, maka boleh untuk mengambil pandangan secara peribadi untuk pengamalan diri sendiri berdasarkan hasil kajian dan penelitiannya terhadap nas-nas dalam mazhab yang ada tanpa melibatkan masyarakat awam. [1] Cabang-cabang permasalahan fiqh. [2] Permasalahan fiqh yang memerlukan kesungguhan Mujtahid dalam mengeluarkan hukumnya. [3] Mu’jam al-Arabi al-Asasi, M/S 265. [4]Bughyah al-Mushtaq Fi Syarh al-Luma’ Li Abi Ishak, M/S 358. [5] Syarh al-Waraqat fi Ilmi al-Usul, M/S 131.  [6] Akta 505, Seksyen 34(3). [7] Akta 505, Seksyen 39(1). [8] Akta 505, Seksyen 39(2). [9] Akta 505, Seksyen 39(3).
3,458
Soalan : Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu pertanyaan. Saya telah sampai di Mekah pada November 2018 bagi menunaikan umrah. Walau bagaimanapun, saya kedatangan haid di KLIA semasa ingin berlepas. Semasa kapal terbang hampir sampai di Miqat Qarnul Manazil, saya terus niat bersyarat untuk mengerjakan umrah. Adakah tindakan saya itu betul, kerana mengikut kiraan saya, haid saya akan berhenti sebelum saya meninggalkan Mekah. Oleh itu, sempatlah saya untuk selesaikan rukun-rukun umrah yang bertangguh. Mohon pencerahan Datuk Mufti. Jawapan : Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Kami mulakan dengan firman Allah SWT : فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ Maksudnya : Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. (Surah al-Baqarah : 196) Ayat tersebut turun di Hudaibiyah ketika orang Musyrikin menghalang Nabi SAW dan para sahabatnya yang menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah. Lalu Baginda pun menyembelih binatang dam dan bercukur. Sabda Nabi SAW kepada sahabat : “Bangunlah dan lakukanlah penyembelihan, kemudian bercukurlah.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175) Berniat ihram ketika dalam haid Haid atau nifas atau berada dalam junub tidak menghalang seseorang itu untuk berniat ihram sama ada bagi haji atau umrah. (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji , Umrah dan Ziarah, Terbitan Tabung Haji, hlm. 43) Selain daripada itu, tidak disyaratkan bagi seseorang yang sedang berihram untuk sentiasa berada dalam keadaan suci melainkan bagi dua perkara, iaitu ketika solat dan tawaf. Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW : لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بغيرِ طُهُورٍ Maksudnya : “Tidak diterima solat seseorang itu sekiranya dia dalam keadaan tidak suci (daripada hadas).” Riwayat Muslim (224) Manakala mengenai tawaf, Syeikh Daud al-Fatani menyebutkan bahawa antara syarat sah tawaf ialah suci daripada hadas kecil dan besar dan daripada najis yang tidak dimaafkan. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/282-283) Begitu juga, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyatakan bahawa bagi syarat sah tawah hendaklah mempunyai semua syarat, sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/140-141) Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW : الطَّوَافُ صَلاَةٌ إِلاَّ أَنَّ اللهَ تَعَالَى أَحَلَّ فِيْهِ الكَلاَمَ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فَلاَ يَتَكَلَّمَ إِلاَّ بِخَيْرٍ Maksudnya : “Tawaf adalah sebagaimana solat kecuali Allah SWT membenarkan perbuatan berkata-kata ketika tawaf. Sesiapa bercakap, hendaklah bercakap dengan perkara yang baik-baik.” Riwayat al-Tirmizi (975) Oleh itu, seseorang yang hendak melaksanakan dua ibadah ini (solat dan tawaf) hendaklah memastikan dirinya suci daripada sebarang hadas, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat. Sekatan atau menghadapi halangan Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebut orang yang disekat (المحصر) ialah orang yang dihalang atau tersekat daripada menyempurnakan rukun-rukun haji atau umrah dengan sebab daripada sebab-sebab yang berikut seperti adanya musuh atau sakit atau terpisah daripada rombongan atau lain-lain. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 510) Dalam bahasa mudahnya, halangan yang menyekat seseorang masuk ke Makkah untuk melakukan ibadah haji (atau umrah) seperti seseorang yang telah berihram, kemudian dihalang oleh musuh daripada masuk Makkah atau disekat serta ditutup semua laluan untuk ke sana (Mekah). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175) Mereka yang tersekat atau terhalang daripada menyempurnakan rukun-rukun Haji dan Umrah hendaklah bertahallul dengan menyembelih kambing (atau berkongsi 1/7 bahagian daripada unta atau lembu), kemudian bercukur (atau bergunting dengan sekurang-kurangnya 3 helai rambut), bersama niat tahallul dengan kedua-duanya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 511) Jika ketiadaan binatang untuk membayar dam , nilaikanlah harga seekor kambing, dan sedekahkanlah makanan yang sama dengan nilai tersebut. Jika tidak mampu bersedekah makanan, hendaklah berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan berkenaan. Kemudian, bolehlah bertahallul pada ketika itu juga tanpa menunggu puasanya berakhir. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175) Niat bersyarat Niat bersyarat ini adalah berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha : دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ الزُّبَيْرِ، فَقَالَ لَهَا: أَرَدْتِ الْحَجَّ؟ فَقَالَتْ : وَاللَّهِ لاَ أَجِدُنِى إِلاَّ وَجِعَةً. فَقَالَ : حُجِّي وَاشْتَرِطِي، وَقَولِي : اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي Maksudnya : “Rasulullah SAW menemui Dhuba’ah binti al-Zubair. Baginda bertanya : Adakah engkau hendak mengerjakan haji? Jawab Dhuba’ah : Demi Allah, aku tiada masalah kecuali berasa sakit. Sabda Baginda : Berniatlah mengerjakan haji dengan bersyarat dan ucapkanlah : Ya Allah! Aku akan bertahallul sekiranya ada halangan atas kehendakMu.” Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207) Orang yang mengerjakan haji atau umrah boleh mengenakan syarat bahawa sekiranya dia jatuh sakit atau berlaku sesuatu seumpamanya dia akan bertahallul. Justeru, apabila sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, haruslah baginya bertahallul. Bertahallul dalam keadaan ini perlu kepada niat dan bercukur, dan tidak dikenakan dam kecuali apabila seseorang itu mensyaratkan tahallul dengan dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/176) Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa contoh lafaz niat bersyarat bagi orang yang tersekat atau terhalang disebabkan oleh sakit dan lain-lain. Antaranya : Seorang yang sedang niat berihram meletakkan syarat dengan mengatakan : اللَّهُمَّ مَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي Maksudnya : “Ya Allah, tempat tahallulku adalah di mana aku terhalang atas kehendakMu.” Maka, telah gugur ke atasnya dam, dan dia hanya perlu bertahallul dengan hanya bercukur atau bergunting bersama niat sahaja. Seseorang itu mensyaratkan dengan mengatakan : إن مرضت فإني أتحلل Maksudnya : “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku bertahallul.” Dalam hal ini, dia hanya perlu bertahallul sama ada bercukur atau bergunting bersama niat sahaja. Atau dia mengatakan : إن مرضت فإني أتحلل بالهدي Maksudnya : “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku bertahallul dengan binatang korban.” Sekiranya dia berniat syarat begini, maka dia wajib menyembelih terlebih dahulu binatang korban. Kemudiannya, barulah bercukur atau bergunting bersama dengan niat bagi kedua-duanya. Atau dia mengatakan : إن مرضت فصرت حلالا Maksudnya : “Sekiranya aku jatuh sakit, maka aku menjadi halal.” Sekiranya dia telah berniat syarat begini, maka dia tidak perlu lagi melakukan apa-apa bagi bertahallul untuk keluar daripada ihram (kerana dia telah menjadi halal secara sendirinya). Walau bagaimanapun, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengingatkan bahawa adalah lebih baik dan utama bagi mereka yang menghadapi halangan untuk bersabar pada awalnya dengan mengharapkan halangan tersebut dapat dihilangkan sebelum berakhir tempoh dia berada di Mekah. Bahkan, sekiranya menurut sangkaannya halangan tersebut dapat hilang sebelum berakhir tempoh haji atau sebelum berakhir 3 hari bagi umrah, maka dia tidak boleh untuk bertahallul. (Dan dia mesti menyelesaikan baki rukun yang belum dilaksanakan selepas halangan tersebut tiada). (Lihat al-Taqirat al-Sadidah, hlm. 511-512) Oleh itu, perempuan yang kedatangan haid dan diyakini bahawa haidnya akan berakhir sebelum dia meninggalkan Mekah, maka dia tidak boleh bertahallul dan perlu menunggu sehingga haidnya berhenti. Kemudian, barulah melaksanakan rukun yang berbaki itu. Resolusi Muzakarah Haji mengenai niat bersyarat Di dalam Resolusi Muzakarah Haji kali ke-34 ada menyatakan bahawa[1] : Niat bersyarat bukanlah satu keharusan yang diberikan secara mutlak malah ia adalah pengecualian terhadap keadaan yang sangat mendesak yang menghalang Jemaah menyempurnakan ibadat haji atau umrah. Niat bersyarat yang dibolehkan ialah kerana kesempitan waktu untuk pulang ke tanah air dan Jemaah masih terikat dengan ihram umrah. Niat bersyarat di kalangan Jemaah wanita adalah diutamakan ketika mengerjakan umrah dan dilarang semasa mengerjakan Ibadat haji. Begitu juga, di dalam Resolusi Muzakarah Haji kali ke-26 ada menyebutkan berkenaan keadaan niat ihram bersyarat yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan.[2] Terdapat tiga keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita : Yang dibolehkan : Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.” Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.” Yang tidak dibolehkan : Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram, kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.” Kesimpulannya Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara : Haid atau nifas atau berada dalam junub tidak menghalang seseorang itu untuk berniat ihram sama ada bagi haji atau umrah. Walau bagaimanapun, dia hendaklah berniat ihram dengan menyertakan syarat seperti, “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.” Maka, dia tidak akan dikenakan dam sekiranya tidak sempat menyelesaikan ibadah umrah tersebut sebelum tarikh dia pulang disebabkan oleh halangan yang dihadapi. Niat bersyarat bukanlah satu keharusan yang diberikan secara mutlak malah ia adalah pengecualian terhadap keadaan yang sangat mendesak yang menghalang Jemaah menyempurnakan ibadat haji atau umrah. Kami mengesyorkan kepada wanita yang sedang haid semasa melaksanakan ibadah umrah agar tidak tergesa-gesa untuk bertahallul dan menunggu kepada satu tempoh sehinggalah diyakini bahawa dia tidak sempat menyelesaikan ibadah umrah tersebut. Harus diingat, sepanjang tempoh menunggu tersebut (sebelum tahallul) dia masih terikat dengan pantang larang ihram. Sekiranya diyakini bahawa dia tidak sempat menyelesaikan ibadah umrah sebelum tarikh pulang, maka dia boleh bertahallul dengan bergunting atau bercukur bersama niat. Selepas bertahallul, secara automatiknya dia telah bebas daripada pantang larang ihram. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.   [1] Lihat Resolusi Muzakarah Haji kali ke-34, Kertas kerja keempat bertajuk Niat Bersyarat Satu Kajian Semula Dari Segi Pelaksanaan, pada 19-22 November 2017 bertempat di TH Hotel Penang, hlm. 4. [2] Lihat Resolusi Muzakarah Haji kali ke-26, Kertas kerja kelima bertajuk Permasalahan Pilihan Musim Haji, pada 4 – 7 Mac 2010 bertempat di Dewan KTC (Kelantan Trade Centre).
3,460
Soalan: Assalamualaikum S.S Mufti. Semasa saya menunaikan solat tarawih di Timur Tengah saya mendapati bahawa imam selalu menyebut berkaitan perlaksanaan solat syafa’ berserta witir. Apakah maksudnya ini dan adakah terdapat solat yang dinamakan solat syafa’ ? Jawapan: Alhamdulillah segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Dalam isu ini, terdapat dua perkataan yang perlu diberikan tumpuan iaitu kalimah syafa’ dan kalimah witir itu sendiri. Dari sudut bahasa, syafa’ bermaksud genap atau berpasangan iaitu perkataan yang berlawanan dengan tunggal dan bersendirian. Manakala kalimah witir atau sebutannya وَتْر / وِتْر  watru dan witru dari sudut bahasanya membawa maksud tunggal iaitu kalimah yang berlawanan dengan syafa’. Dari sudut istilah pula, witir bermaksud: Solat tertentu yang dilakukan pada waktu yang tertentu yang menutup solat-solat malam. Sama ada ia dilakukan pada awal malam, pertengahan, atau pengakhiran malam. Bilangan rakaatnya adalah bilangan ganjil kerana itulah ia dinamakan sebagai witir. Perbahasan berkaitan syafa’ dan witir adalah berkaitan dengan kaifiat atau tatacara solat witir itu sendiri. Ini kerana, para ulama menyatakan beberapa bentuk kaifiat untuk dilaksanakan solat witir kepada beberapa cara berikut:   Kaifiat (Tatacara) Solat Witir Berikut merupakan beberapa cara yang disebutkan oleh para ulama berkaitan perlaksanaan solat witir: Pertama: Solat witir satu rakaat. Di sisi majoriti ulama, adalah dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat witir sebanyak satu rakaat sahaja. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:  الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ Maksudnya: Witir adalah satu rakaat di akhir malam (penutup solat malam).‏ Riwayat Muslim (752) Kedua: Solat witir sebanyak tiga rakaat. Dalam kategori ini, solat witir tiga rakaat boleh dilakukan dengan dua cara berikut: Solat tiga rakaat witir dengan satu salam.   Cara seperti ini turut menepati sunnah Nabi S.A.W. Yang membezakan di antara solat tiga rakaat witir dengan satu salam dengan solat maghrib adalah bilangan tasyahhud di dalamnya. Solat tiga rakaat witir dengan satu salam ini cuma mempunyai satu tasyahhud, manakala solat maghrib adalah sebanyak tiga rakaat dan dua tasyahhud.   Solat dua rakaat kemudian beri salam. Kemudian diikuti dengan solat satu rakaat sesudahnya.   Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:  كَانَ يُسَلِّمُ بَيْنَ الرَّكْعَةِ وَالرَّكْعَتَيْنِ فِي الْوِتْرِ، حَتَّى يَأْمُرَ بِبَعْضِ حَاجَتِهِ‏ Maksudnya: Baginda S.A.W memberikan salam di antara satu rakaat dan dua rakaat ketika solat witir, sehingga baginda mengarahkan kepada sebahagian keperluannya.‏ Riwayat al-Bukhari (991) Begitu juga sebuah riwayat yang juga daripada Ibn Umar beliau berkata: أنَّهُ صَلَّى الله عليه وسلم كَانَ يفصلُ بَينَ الشَّفَعِ وَالوِتْر Maksudnya: Sesungguhnya baginda S.A.W pernah memisahkan di antara solat syafa’ dan juga witir. Riwayat Ahmad (2/76) Justeru, cara solat seperti inilah yang dinamakan sebagai solat syafa’ sekalipun ia sebenarnya adalah solat witir yang dilakukan sebanyak tiga rakaat secara dua salam. Kesimpulan Sebagai penutup, yang dimaksudkan dengan perkataan solat syafa’ di situ adalah solat dua rakaat sebelum ditutup dengan witir satu rakaat. Ia sebenarnya sama sahaja maksudnya dengan ucapan para imam di negara kita yang menyebut: ‘’Solat witir tiga rakaat dua salam’’. Hakikatnya, syafa’ bukanlah bermakna ia satu jenis solat. Akan tetapi ia merupakan perkataan yang berlawanan dengan kalimah witir. Ia dinamakan sebagai syafa’ kerana dilakukan sebanyak dua rakaat. Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
3,461
Soalan: Bagaimanakah cara Allah SWT menerima doa kita?   Jawapan : Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:   وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ al-Ghafir:60 Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”   Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang islam. [Lihat: Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24] Berdasarkan kepada soalan di atas, ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa hamba-hamba-Nya sehingga mereka menyangka bahawa Allah SWT tidak menerima doa mereka. Di sana terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini:   Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.” [Riwayat Ahmad (11133)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah baik]   Antara yang boleh difahami daripada hadith ini adalah ada tiga cara Allah SWT menerima doa hamba-Nya iaitu: Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini boleh dibahagikan kepada kedua iaitu terus dimustajabkan permintaan tersebut dan juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu. Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di Akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut memerlukannya di sana. Allah SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.   Tambahan pula, di dalam berdoa ini ada beberapa perkara yang penting sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith Nabi SAW. Antaranya ialah, kita perlu yakin bahawa Allah SWT mendengar setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya. Hal ini berpandukan kepada sebuah hadith: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ Maksudnya: “Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.” [Riwayat al-Tirmizi (3479)][Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif]   Penutup Kesimpulannya, Allah SWT pasti akan memustajabkan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya tetapi dengan cara yang berbeza. Sekiranya kita mengetahui akan hal ini, maka tidak akan timbul lagi sangkaan bahawa Allah SWT tidak menjawab atau mendengar doa-doa hamba-Nya. Tambahan pula, doa bukanlah sekadar untuk meminta, bahkan ia merupakan satu ibadah serta tanda bagi hamba itu dalam menzahirkan sifat khudhu’ (ketaatan), Tazallul (kehinaan) dan juga iftiqar (keberhajatan) kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya mustajab. Amin.   Wallahua’alam
3,464
Soalan: Apakah hukum solat berimamkan individu yang bermazhab Ibadhiah? Islam sangat meraikan kepelbagaian dan perbezaan. Perbezaan mazhab merupakan salah satu bentuk perbezaan yang diraikan oleh Islam sebagai contoh, ulama telah sepakat bahawa hanya empat mazhab imam muktabar yang diterima untuk diamalkan iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Hanbali, Mazhab Maliki dan Mazhab Syafie. Manakala dalam aliran aqidah pula, wujud aliran Asya’irah, Maturidiyyah dan Ahl al-Hadith. Selain daripada aliran-aliran ini, antara aliran mazhab yang hangat dibahaskan oleh para ulama adalah mazhab Ibadhiyyah. Mazhab Ibadhiah Menurut al-Shahrastani, Ibadhiah adalah pecahan daripada kelompok Khawarij yang mengikut ‘Abdullah bin Ibaḍ yang keluar menentang pada zaman Marwan bin Muḥammad. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/134). Asas awal bagi aliran ini dinisbahkan kepada Jabir bin Zaid al-Azdi, seorang tabi’in yang juga merupakan murid kanan kepada Ibn ‘Abbas RA. (Lihat Al Mausu'ah al-Muyassarah fi al-Adyan wal Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asirah, 1/58). Adapun penisbahan kepada ‘Abdullah bin Ibad adalah kerana kenyataan-kenyaatan politik beliau yang cenderung ke arah tersebut yang menjadikan aliran ini dinamakan Ibadhiah. Majoriti pengikut Ibadiah pada masa kini berada di Oman selain daripada, Lembah Mzab di Algeria, pergunungan Nafus di Libya dan kepulauan Jerba di Tunisia. Golongan Ibadiyyah boleh ditemui di Zanjibar dan Timur Afrika. Mereka tidak menyamai kelompok ekstremis Khawarij seperti Azariqah tetapi beberapa pendapat mereka memang selari dengan Khawarij. Antaranya berkenaan isu pendirian Allah tidak mempunyai sifat (ta’til), kemakhlukan al-Qur’an dan keharusan untuk keluar daripada pemerintah yang zalim. (Lihat Al Mausu'ah al-Muyassarah fi al-Adyan wal Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asirah, 1/58). Pada zaman ini, mazhab ini telah berkembang dengan pesat dan mempunyai pengikut yang mana kebanyakkannya datang dari negara Oman. Menurut Muhammad Abu Zahrah dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, hlm. 82-83, antara pegangan Ibadhiah adalah: Golongan yang menentang mereka daripada kalangan umat Islam tidak dikira musyrik dan juga mukmin. Darah yang menentang mereka adalah haram ditumpahkan. Negara mereka dianggap negara tauhid. Tidak halal menjadikan harta orang Islam sebagai rampasan perang yang memerangi kecuali kuda dan senjata Harus menjadikan mereka saksi dan berkahwin. Memandangkan kebanyakan ajaran dan pegangan ahli mazhab Ibadhiah ini menyalahi ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka jelas menunjukkan mazhab ini bukanlah sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Adapun di sisi Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Ibadhiah masih tergolong sebagai umat Islam dan mereka juga mempunyai pandangan-pandangan akidah yang mendekati Mu’tazilah. Maka, walaupun mereka bukan daripada Ahli Sunnah wal Jama’ah, mereka masih sebahagian daripada umat Islam kerana aliran Ibadhiah pada masa kini dari sudut undang-undang dan kaedahnya menyepakati usul Islam secara iktikad dan pensyariatan. Ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan Dr. Muhammad Nu’aim Muhammad Hani Sa’i dalam al-Qanun fi Aqa’id al-Firaq wa al-Mazahib al-Islamiyyah, hlm. 375.   Solat di Belakang Imam Bermazhab Ibadhiah Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Ibadhiyah adalah aliran daripada Khawarij yang paling dekat dengan Ahli Sunnah wa al-Jama’ah yang lebih terbuka dari sisi pemikiran dan manhajnya. Para ulama’ Ibadhiyah yang hebat juga jauh daripada sifat melampau serta mempunyai susur galur tradisi fiqh yang baik.  Malah, undang-undang Mesir pada bab pewarisan harta mengambil pandangan Ibadhiah (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, hlm. 83). Merujuk kepada permasalahan seorang makmum berimamkan kepada seseorang yang berlainan mazhab, kami cenderung bahawa ianya dibolehkan sah solat jika menepati rukun dan syaratnya. Ini kerana, walaupun ianya tidak tergolong daripada Ahli Sunnah wal Jama’ah, fiqh Ibadhiah masih tergolong dalam kalangan 8 mazhab utama yang diterima dalam Islam khususnya al-Azhar al-Syarif. Pun begitu, sekiranya ditemui imam Ahli Sunnah wal Jama’ah di sana, itu lebih utama untuk bersolat di belakang mereka. Wallahua’lam.
3,465
SOALAN Assalamualaikum. Boleh terangkan kaedah fiqh al-hajah tunazzalu manzilat al-dharurah? Apa maksudnya dan bagaimanakah kita boleh mengaplikasikannya? Mohon pencerahan. Terima kasih. RINGKASAN JAWAPAN Maksud kaedah ini ialah sesuatu yang bersifat keperluan (al-hajah) mengambil hukum darurat yang mengubah hukum asal sesuatu perbuatan. Sepertimana sesuatu perbuatan yang haram diharuskan pada situasi darurat bagi mengelakkan kemudaratan, begitu juga diharuskan bagi sesetengah situasi yang bersifat hajah(keperluan). Hal ini sama ada keperluan itu bagi umum iaitu seluruh manusia atau khusus iaitu golongan-golongan yang tertentu. Walau bagaimanapun tidak semua keperluan (al-hajah) tersebut boleh mengambil hukum darurat, maka hendaklah dipastikan ia menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh para ulama. WaAllahu a’lam.  HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Imam al-Suyuti memuatkan kaedah ini di dalam kitab al-Asybah wa al-Nadzair dengan maksud dan lafaz seperti berikut: الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً Maksudnya: Sesuatu yang bersifat keperluan (hajat) mengambil hukum darurat sama ada umum atau khusus.[1] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair, 1:88) Kaedah ini merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan tujuan syarak untuk mengangkat kesulitan dan menghilangkan kemudaratan daripada umat Islam. Hal ini dengan cara memberi ruang untuk menempatkan sesuatu al-hajah pada tempat al-dharurah.[2] Secara umum kaedah ini bermaksud sesuatu keperluan (al-hajah) yang mendesak sama ada bagi umum atau khusus, memberi kesan kepada perubahan hukum sama seperti sesuatu yang bersifat darurat (al-dharurah). Hal itu sepertimana sesuatu perbuatan yang haram diharuskan pada situasi darurat bagi mengelakkan kemudaratan, begitu juga diharuskan bagi sesetengah situasi al-hajah.[3] Perbezaan Antara Al-Hajah Dan Al-Dharurah Terdapat perbezaan yang jelas antara keperluan bersifat hajiyyah dengan keperluan yang bersifat dharuriyyah. Keperluan yang bersifat hajiyyah (al-hajah) tidak sama bahkan lebih kurang kebergantungan terhadapnya berbanding keperluan yang bersifat dharuriyyah. Terdapat tiga peringkat keperluan dan kehendak yang diraikan oleh syarak iaitu pertama dharuriyyah, kedua hajiyyah dan ketiga tahsiniyyah. Dharuriyyah ialah tahap dimana seseorang jika tidak makan atau melakukan sesuatu perkara yang haram, maka ia akan membawa kepada kehilangan nyawa atau hampir kepadanya. Manakala, hajiyyah pula ialah tahap dimana seseorang jika tidak makan atau melakukan sesuatu perkara, dia tidak akan kehilangan nyawa namun dia akan menghadapi situasi yang sangat sukar dan berada dalam kesempitan. Adapun tahsiniyyah ialah tahap dimana seseorang inginkan sesuatu yang berbentuk kehendak dan tambahan bagi kemewahan dan kesenangan kehidupannya. Manakala apa yang selain daripada tiga peringkat ini, maka ia merupakan perhiasan dan lebihan selagimana ia tidak terkeluar daripada keharusan syarak.[4] Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa keperluan seseorang terhadap sesuatu yang bersifat hajiyyah tidaklah sampai seseorang itu kehilangan nyawa sepertimana keperluan dharuriyyah. Namun begitu, jika dia tidak mendapat atau melakukan sesuatu yang bersifat hajiyyah tersebut, ia akan menyebabkan dia berada dalam situasi yang sangat sukar dan berada dalam kesempitan. Maksud ‘Umum’ Dan ‘Khusus’ Dalam Kaedah Selain itu, dapat difahami daripada kaedah ini juga bahawa ia terpakai dalam keadaan umum dan juga khusus. Maksud keadaan ‘umum’ dalam kaedah ini ialah keperluan tersebut meliputi seluruh umat Islam. Manakala yang dimaksudkan dengan keadaan ‘khusus’ pula ialah keperluan tersebut hanya kepada golongan-golongan yang tertentu sahaja. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili bahawa: ومعنى كونها عامة: أن يكون الاحتياج شاملاً جميع الأمة. ومعنى كونها خاصة: أن يكون الاحتياج لطائفة منهم، كأهل بلد، أو حرفة، وليس المراد من كونها خاصة أن تكون فردية إلا نادراً. Maksudnya: Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘umum’ tersebut ialah keperluan itu merangkumi seluruh ummah. Manakala, yang dimaksudkan dengan perkataan ‘khusus’ tersebut ialah keperluan itu hanya kepada sebahagian golongan sahaja seperti penduduk sesuatu negeri atau pekerja bagi sesuatu pekerjaan. Tidak dimaksudkan dengan khusus itu kepada individu tertentu kecuali dalam keadaan yang sangat sedikit.[5] (Rujuk al-Qawaid al-Fiqhiah, 1:288) Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa keperluan yang bersifat hajiyyah yang mengambil hukum dharurah itu, sama ada hukum itu umum meliputi seluruh umat Islam atau hanya terpakai kepada sesetengah golongan yang khusus sahaja. Antara contoh aplikasi kaedah ini ialah sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti sebagai contoh: مِنْ الْأَوْلَى: مَشْرُوعِيَّةُ الْإِجَارَةِ، وَالْجَعَالَةِ، وَالْحَوَالَةِ، وَنَحْوِهَا، جُوِّزَتْ عَلَى خِلَافِ الْقِيَاسِ لِمَا فِي الْأُولَى مِنْ وُرُودِ الْعَقْدِ عَلَى مَنَافِعَ مَعْدُومَةِ، وَفِي الثَّانِيَةِ مِنْ الْجَهَالَةِ، وَفِي الثَّالِثَةِ مِنْ بَيْعِ الدَّيْنِ بِالدَّيْنِ لِعُمُومِ الْحَاجَةِ إلَى ذَلِكَ وَالْحَاجَةُ إذَا عَمَّتْ كَانَتْ كَالضَّرُورَةِ. Maksudnya: Antara contoh yang pertama (bagi umum): Ijarah (sewa), Ja’alah (upah), Hiwalah (pemindahan hutang) dan seumpamanya. Ia diharuskan walaupun ia khilaf dengan qiyas pada contoh yang pertama kerana akad tersebut atas manfaat yang tiada. Manakala contoh kedua kerana ketidaktahuan (barang yang diberikan). Contoh yang ketiga pula kerana ia akad yang mengandungi jual beli hutang dengan hutang. Hal ini kerana ia satu keperluan yang umum bagi manusia kepada akad tersebut dan sesuatu keperluan apabila ia merangkumi semua secara umum, maka hukumnya seperti darurat (al-dharurah).[6] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair, 1:88) Manakala contoh bagi yang bersifat khusus ialah diberikan pengecualian dan rukhsah untuk meninggalkan solat berjemaah kepada seseorang jika dia bimbang kehilangan harta bendanya apabila dia berbuat sedemikian. Hal ini seperti situasi seseorang yang mempunyai haiwan tunggangan dan dia tidak mendapati tempat untuk meninggalkannnya dengan selamat. Jika dia meninggalkannya di tempat yang terbuka maka dikhuatiri akan hilang. Maka dalam situasi ini dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat secara berjemaah. Ini kerana dalam situasi ini keperluan bersifat hajiyyah (menjaga haiwan tunggangannya) mengambil hukum dharurah.[7] Walau bagaimanapun, kaedah ini yang umum seperti ini tidak akan terlepas daripada ia digunakan dengan cara tidak sepatutnya.[8] Ini kerana bukan semua perkara yang bersifat hajiyyah itu boleh mengambil hukum sama seperti dharurah, bahkan ia hendaklah diaplikasikan dengan syarat-syarat tertentu. Oleh yang demikian, para ulama mensyaratkan bagi kaedah ini beberapa syarat dan dhawabith (garis panduan) seperti berikut: Hendaklah keperluan yang bersifat hajiyyah tersebut merupakan satu keperluan yang mendesak sehingga ke tahap kesusahan yang tidak biasa ditanggung oleh seseorang. Hendaklah yang dijadikan kayu ukur dalam perkara ini ialah golongan pertengahan dan sebahagian besar daripada mereka dalam kalangan masyarakat bagi hajat yang bersifat umum. Begitu juga, golongan pertengahan bagi sesuatu golongan yang tertentu yang berkait dengannya bagi hajat yang bersifat khusus. Hendaklah hajat tersebut merupakan sesuatu yang tertentu dengan tiada cara yang lain untuk mencapai kepada tujuan kecuali dengan menyalahi hukum syarak. Hendaklah berpada pada kadar sesuatu hajat tersebut sama halnya seperti dharurah. Hal ini bertepatan dengan apa yang digariskan dengan kaedah ما أبيح للحاجة تقدّر بقدرها (apa yang diharuskan disebabkan oleh sesuatu hajat, maka berpada dengan kadar hajat tersebut). Hendaklah ia tidak menyalahi sesuatu hukum yang disebut secara jelas di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang diturunkan perintah tersebut secara khusus. Hendaklah ia tidak bertentangan dengan qias yang lebih kuat daripadnya. Hendaklah ia termasuk dalam maqasid syariah. Hendaklah ia tidak menyebabkan kehilangan maslahah yang lebih besar.[9] (Rujuk Ma’lamah Zayid, 7:279) WaAllahu a’lam.  RUJUKAN [1] Al-Suyuti, Jalaluddin, 1990, al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 88. [2] هذه القاعدة من قواعد رفع الحرج وإزالة الضرر عن الأمّة حيث تفتح باب إلحاق الحاجة بالضرورة. معلمة زايد للقواعد الفقهيّة والأصوليّة، ج7، ص 276. [3]  ومعنى هذا أنَّ المحظور كما يباح دفعًا للضرر، يباح للحاجة. ، أصول التشريع الإسلامي ص 246. [4] المراد بالحاجة هنا ما كان دون الضرورة، لأن مراتب ما يحرص الشرع على توفيره للإنسان ثلاث: الأولى: الضرورة: وهي بلوغ الإنسان حداً إذا لم يتناول الممنوع عنه هلك أو قارب، وهذا يبيح تناول الحرام، كما فُصِّل في قاعدة سابقة. الثانية: الحاجة: وهي بلوغ الإنسان حداً لو لم يجد ما يأكله لم يهلك غير أه يكون في جهد ومشقة، فهذا لا يبيح الحرام، ولكنه يسوغ الخروج على بعض القواعد العامة ويبيح الفطر في الصوم .الثالثة: الكمالية أو التحسينية: وهي ما يقصد من فعله نوع من الترفه وزيادة في لين العيش. وما عدا ذلك فهو زينة وفضول دون الخروج عن الحد المشروع. [5] Al-Zuhaili, Muhammad, 2006, al-Qawaid al-Fiqhiah wa Tatbiquha fi al-Mazahib al-Arba’ah, Dar al-Fikr, Damsyik, jld. 1, hlmn. 288. [6] Al-Suyuti, Jalaluddin, 1990, al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 88. [7] يرخص للإنسان أن يتخلف عن الجماعة إذا خاف بذهابه إليها أن يسرق ماله، أو يضيع عليه لوجود الحاجة. وضياع المال في حكم الفوات، كأن يكون عنده دابة ولا يجد مكانا يحفظها فيه، فإن أقيمت الصلاة وتركها فإنّها تضيع فحينئذ يجوز له أن يتخلّف عنها. لأنّ الحاجة تنزّل منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة. (معلمة زايد، ج 7، ص 276) [8]  كما نبه إلى ذلك الدكتور علي الندوي حيث قال إنّها أصبحت محل الاستغلال بل حجة في الخروج من الحرمة إلى الإباحة لدى كثير من المتفقهين المسايرين للتيارات المعاصرةـ الواقع أنّها لا تقوم مقام الضرورة إلّا في حالات معيّنة. (معلمة زايد، ج 7، ص 276) [9] أن تكون الشدّة الباعثة على مخالفة الحكم الأصلي بالغة درجة الحرج غير المعتاد. أن يكون الضابط في تقدير تلك الحاجة النظر إلى أواسط الناس ومجموعهم بالنسبة للحاجة العامة، وإلى أواسط الفئة المعيّنة التى تتعلق بها الحاجة إذا كانت خاصة. أن تكون الحاجة متعيّنة بألّا يوجد سبيل آخر للتوصّل إلى الغرض سوى مخالفة الحكم. أن تقدّر الحاجة بقدرها كما هو الحال بالنسبة إلى الضرورات، جريا على ما تقرره قاعدة: ما يبيح للحاجة يقدّر بقدرها. ألّا يخالف الحكم المبني على الحاجة نصًّا من كتاب الله وسنّة رسوله صلى الله عليه وسلّم واردًا في حكم ذلك الأمر بخصوصه. ألّا يعارض قياسا صحيحا أقوى منه. أن يكون مندرجا في مقاصد الشرع. أن لا تفوت معه مصلحة أكبر. (معلمة زايد للقواعد الفقهيّة والأصوليّة، ج 7، ص 279)
3,467
Soalan Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum pemandu e-hailing Grab muslim membawa dan menghantar penumpang ke tokong, kuil, gereja dan lain-lain? Mohon penjelasan daripada pihak tuan. Terima kasih. Ringkasan Jawapan Hukum pemandu e-hailing menghantar penumpang ke rumah ibadat agama lain adalah harus di sisi syarak dan pendapatan daripada Grab adalah sah jika tidak ada sangkaan yang kuat bahawa penumpang tersebut sememangnya menuju ke destinasi yang diminta untuk berbuat maksiat dan kesyirikan. Besar kemungkinan penumpang ke tempat berkenaan atau ke tempat yang berhampiran atas tujuan yang dibenarkan syarak. Dalam masa yang sama, ia juga agak merumitkan bagi pemandu untuk membatalkan permintaan kerana destinasi yang dituju hanya dapat diketahui setelah tiba di Pickup Location. Sekiranya dibatalkan ketika pemandu tiba di Pickup Location, pemandu akan menanggung kerugian dan mungkin dikenakan tindakan penalti oleh pihak Grab. Namun, sekiranya pemandu e-hailing mendapati bahawa perkhidmatan tersebut kebiasaannya dilazimi dengan perkara-perkara yang haram, maka wajib baginya meninggalkan pekerjaan tersebut. Huraian Jawapan Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Perniagaan Pengantaraan (e-hailing) ialah satu perkhidmatan yang disediakan untuk menempah perkhidmatan pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik. Perkhidmatan ini adalah termasuk kenderaan e-hailing dan teksi. Kenderaan e-hailing ialah kenderaan persendirian yang digunakan untuk memberi perkhidmatan pengangkutan awam kepada penumpang yang menempah melalui aplikasi elektronik seperti Grab dan Uber. Pada masa kini, perkhidmatan pemandu e-hailing digunakan secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat setiap kali ingin menuju ke destinasi tertentu. Persoalannya, apakah hukum bagi pemandu kenderaan e-hailing yang beragama Islam membawa pelanggan ke rumah ibadat agama lain dan mengambil upah daripadanya? Agama Islam adalah agama yang penuh rahmah dan menuntut umatnya berkelakuan baik kepada manusia lain termasuk orang bukan Islam, kecuali pada mereka yang jelas mengancam agama Islam. Selain itu, Islam tidak melarang umatnya bermuamalat dengan orang bukan Islam dalam urusan duniawi yang memberi kebaikan kepada kehidupan muslim. Firman Allah SWT: لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ Maksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”. Surah al-Mumtahanah (8) Bagi urusan berkaitan jual beli sesama orang Islam dan orang bukan Islam, ia adalah diharuskan selagi mana tidak ada larangan daripada syarak. Selain itu, diriwayatkan dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara ansuran dan mencagarkan baju baginda sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA: أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda s.a.w”. Riwayat Muslim Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ulama bersepakat atas keharusan bermuamalat dengan orang bukan Islam. Namun begitu, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan[1]. Hukum jual beli dan mengambil upah daripada sesuatu yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran adalah tidak sah dan haram sekiranya diketahui dan wujud sangkaan kuat berkenaan tujuannya yang cenderung kepada perkara yang haram atau memang haram. Perkara ini didasarkan dengan firman Allah SWT: Firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ Maksudnya: “Hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, serta janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan.” Surah al-Ma’idah (2) Justeru, orang Islam diwajibkan untuk menghindarkan diri daripada memberi perkhidmatan kepada perkara yang jelas haram dan dimurkai Allah SWT. Perbuatan ini dianggap sebagai bantu-membantu dalam melakukan dosa. Sekiranya seorang muslim didatangi orang yang meminta bantuan ke arah kemaksiatan, maka wajib baginya untuk mencegah sekadar yang mampu. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان Maksudnya: “Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman”. Riwayat Muslim Walau bagaimanapun, telah  jelas bahawa tujuan asal pemandu e-hailing menyediakan perkhidmatan adalah untuk memudahkan pelanggan tiba ke destinasi yang ingin dituju dan bukanlah secara langsung berniat ingin membantu pelanggan ke arah kemaksiatan dan kesyirikan. Berikutan sistem di aplikasi e-hailing seperti Grab, pemandu tidak mengetahui secara tepat tentang lokasi yang ingin dituju sebelum tiba di pickup location; iaitu lokasi mengambil pelanggan dari tempat semasa. Setelah tiba di lokasi semasa pelanggan, peta laluan dari lokasi semasa ke lokasi yang ingin dituju akan terpapar. Walaupun lokasi tersebut ditanda pada kawasan rumah ibadat agama lain, namun besar kemungkinan pelanggan ingin menuju ke destinasi berhampiran yang dibenarkan syarak dan bukan secara langsung ingin ke rumah ibadat. Justeru, hal ini merupakan sesuatu yang berada di luar kawalan pemandu e-hailing dan sukar untuk dielakkan. Pendapatan yang diperolehi adalah halal sekiranya perkhidmatan yang disediakan tidak jelas menjurus kepada perkara yang haram atau menyokong kepada kemaksiatan. Kesimpulan Berdasarkan pandangan-pandangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa: Hukum pemandu e-hailing menghantar penumpang ke rumah ibadat agama lain adalah harus di sisi syarak dan pendapatan daripada Grab adalah sah jika tidak ada sangkaan yang kuat bahawa penumpang tersebut sememangnya menuju ke destinasi yang diminta untuk berbuat maksiat. Besar kemungkinan penumpang ke tempat berkenaan atau ke tempat yang berhampiran atas tujuan yang dibenarkan syarak. Dalam masa yang sama, ia juga agak merumitkan bagi pemandu untuk membatalkan permintaan kerana destinasi yang dituju hanya dapat diketahui setelah tiba di Pickup Location. Sekiranya dibatalkan ketika pemandu tiba di Pickup Location, pemandu akan menanggung kerugian dan mungkin dikenakan tindakan penalti oleh pihak Grab. Sekiranya pemandu e-hailing mendapati bahawa perkhidmatan tersebut kebiasaannya dilazimi dengan perkara-perkara yang haram, maka wajib baginya meninggalkan pekerjaan tersebut. Jika tujuan pelanggan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk tujuan maksiat atau syirik dengan jelas buktinya seperti pengakuan daripada pelanggan itu sendiri, maka pemandu diharamkan untuk memberikan perkhidmatan tersebut. Dinasihatkan kepada pemandu, jika dapat dilihat dengan jelas melalui aplikasi lokasi yang dihajatkan oleh pelanggan itu tertera dan ternyata ia adalah tempat maksiat, maka setiap pemandu yang beriman dituntut untuk elak daripada menerima tugasan itu. Wallahua’lam   Rujukan:  [1] Mahyuddin Yahya  bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabiy, cetakan 2, 1397H) 40/11 أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يستعينون به في إقامة دينهم ولا بيع مصحف ولا العبد المسلم لكافر مطلقا
3,469
Soalan : Assalamualaikum ustaz. Maaf mengganggu masa ustaz. Baru-baru ini kecoh tentang kenyataan seorang instafamous yang menyebut bahawa rezeki suami atau lelaki datang dari redha isteri.Ini bukan kali pertama ustaz, sebelum ini saya banyak dengar daripada couch bisnes yang sebut benda yang sama. Adakah ini ucapan yang benar?. Saya lihat ramai wanita yang sebut-sebut perkara ini. Mohon pencerahan ustaz? Jawapan ringkas : Pada asasnya, Allah SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak. Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki oleh-Nya, dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi, sekiranya tidak diizinkan oleh-Nya.   Ucapan rezeki suami atau lelaki datang dari redha isteri boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan dengan betul. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga. Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Ia juga sebagai satu motivasi agar para suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Adapun rezeki suami atau lelaki bukanlah terletak pada redha isteri atau wanita secara langsung, namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Wallahu’alam. Huraian jawapan : Perkara asas akidah yang wajib diketahui adalah Allah SWT adalah pemilik sebenar rezeki. Tidak ada yang boleh memberi atau menahan rezeki melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT : قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ قُلِ اللَّـهُ ۖ Maksudnya : “Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah Allah…”[1] Imam Fakhruddin Al-Razi apabila menafsirkan ayat 24 daripada Surah Saba’, beliau menyebut : إِشَارَةً إِلَى أَنَّ جَرَّ النَّفْعِ لَيْسَ إِلَّا بِهِ وَمِنْهُ “ (Ayat tersebut) memberikan isyarat bahawa tiada manfaat melainkan dengan izin Allah dan ianya datang daripada Allah”[2] Setiap makhluk yang hidup termasuk haiwan, Allah telah menetapkan rezekinya. Allah SWT berfirman : وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ Maksudnya : “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”[3] Ayat ini menjelaskan bahawa tiada satu pun makhluk yang diberikan kehidupan oleh Allah, kemudian dibiarkan tanpa ada jaminan rezeki. Al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan : أَخْبَرَ تَعَالَى أَنَّهُ مُتَكَفِّلٌ بِأَرْزَاقِ الْمَخْلُوقَاتِ، مِنْ سَائِرِ دَوَابِّ الْأَرْضِ، صَغِيرِهَا وَكَبِيرِهَا، بَحْرِيِّهَا، وَبَرِّيِّهَا، Maksudnya : “Allah SWT memberitahu bahawa Dia menjamin rezeki kesemua makhluk termasuk kesemua binatang. Yang kecil, besar,di laut mahupun di darat.”[4] Nabi SAW juga pernah menjelaskan berkenaan kejadian manusia. Setelah menjelaskan peringkat kejadian manusia, Nabi SAWw bersabda : ثم يبعث الله ملَكًا فيؤمر بأربع كلماتٍ، ويقال له: اكتُبْ عمله ورزقه وأجله، وشقي أو سعيد، ثم ينفخ فيه الروح Maksudnya : “…Kemudian Allah mengutuskan malaikat, lalu diperintahkan agar ditulis empat kalimah. Dikatakan kepada Malaikat : Tulis lah amalannya, rezekinya, ajalnya dan (pengakhirannya) sama ada duka atau gembira. Kemudian ditiupkan roh ke dalamnya…”[5] Walaupun begitu, manusia dituntut untuk bekerja,berusaha dan beramal. Allah SWT berfirman : فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Maksudnya : “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”[6] Nabi SAW bersabda : إن الرِّزقَ ليطلُب العبدَ أكثرَ مما يطلبه أجله Maksudnya : “Sesungguhnya rezeki mencari seseorang lebih banyak daripada ajal mencari seseorang.”[7] Dalam ayat yang lain, Allah SWT menegaskan bahawa apa yang di langit mahupun di bumi adalah milik mutlak Allah SWT. Sifat tidak percaya bahawa Allah SWT bukan pemilik rezeki adalah sifat orang munafik. Pada ketika Nabi SAW masih hidup, mereka percaya bahawa Allah tidak menurunkan rezeki kepada golongan Muhajirin. Perkara ini ditempelak oleh Allah SWT.Allah berfirman : وَلِلَّـهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ Maksudnya : “…Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).”[8] Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menjelaskan berkenaan ayat ini : أي إن الله هو الرزاق لهؤلاء المهاجرين، وبيده مفاتيح أرزاق العباد، يعطي من يشاء، ويمنع من يشاء، ولكن المنافقين يجهلون أن خزائن الأرزاق بيد الله، فظنوا أن الله لا يوسّع على المؤمنين. “Iaitu sesunggguhnya Allah adalah pemberi rezeki kepada golongan Muhajirin. Dalam kekuasaan-Nya terkandung rezeki hamba-Nya. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan juga menghalang rezeki daripada sesiapa yang Dia kehendaki akan tetapi orang Munafik yang jahil bahawa perbendeharaan harta sebenarnya milik Allah. Mereka menyangka bahawa Allah tidak meluaskan rezeki kepada golongan yang beriman.”[9] Ayat ini seharusnya memberikan kefahaman kepada kita bahawa pemilik mutlak rezeki itu ialah Allah SWT. Tiada siapa yang mampu untuk menandingi Allah SWT. Walaupun tanpa redha sesiapa, jika Allah berkehendak untuk memberikan rezeki kepada hamba-Nya, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitu juga sebaliknya. Bahkan dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman: وَلِلَّـهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ Maksudnya : “Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”[10] Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman : يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ ۚ هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللَّـهِ يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ Maksudnya : “Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembah-Nya)?”[11] Imam Ibn Kathir menjelaskan ayat ini dengan ucapan yang begitu baik sekali. Beliau menyebut : يُنَبِّهُ تَعَالَى عِبَادَهُ وَيُرْشِدُهُمْ إِلَى الِاسْتِدْلَالِ عَلَى تَوْحِيدِهِ فِي إِفْرَادِ الْعِبَادَةَ لَهُ، كَمَا أَنَّهُ الْمُسْتَقِلُّ بِالْخَلْقِ وَالرِّزْقِ “Allah SWT memperingatkan hamba-Nya dan memberikan petunjuk bahawa ayat ini memberikan maksud agar mengesakan Allah dalam beribadat seperti mana juga sifat mencipta dan memberi rezeki adalah khusus bagi Allah.”[12] Tidak mempercayai atau meragui bahawa Allah adalah pemilik rezeki sama sahaja seperti meragukan bahawa Allah adalah Pencipta alam. Ayat-ayat yang disebutkan adalah sebahagian petunjuk dan dalil bahawa Allah SWT adalah pemilik mutlak rezeki. Bukannya manusia. Allah penentu rezeki seseorang. Bukannya manusia. Tidak dapat dinafikan bahawa rezeki adalah sumber kehidupan. Allah SWT menyediakan rezeki sebagai sumber dan bekalan dalam kehidupan seharian manusia. Ini dapat difahami menerusi firman Allah SWT : وَلَقَدْ مَكَّنَّاكُمْ فِي الْأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ ۗ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”[13] Namun, rezeki itu bukan hanya terhad kepada harta. Ketenangan dalam kehidupan adalah rezeki. Memperoleh anak yag soleh dan solehah adalah rezeki. Mendapat sahabat dan jiran yang baik adalah rezeki. Dikurniakan kecerdasan akal dan minda adalah rezeki. Dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan baik adalah rezeki. Dijauhkan daripada bala bencana adalah rezeki. Ringkasnya, rezeki Allah itu luas dan  merangkumi kesemua aspek kehidupan manusia. Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, ucapan seperti rezeki lelaki atau suami datangnya dari redha isteri atau wanita adalah ucapan yang perlu diteliti. Tanpa penjelasan lanjut ianya boleh menimbulkan salah faham. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Nabi SAW bersabda : مَنْ سَرَّهُ أَنْ ‌يُبْسَطَ ‌لَهُ ‌فِي ‌رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ Maksudnya : “Barangsiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan ditambah  hidupnya, maka sambunglah hubungan kekeluargaan.”[14] Oleh kerana itu, Nabi SAW menyifatkan lelaki yang terbaik adalah orang yang melakukan kebaikan kepada ahli keluarganya. Nabi SAW bersabda : خيركم خيركم لأهله Maksudnya : “Orang yang terbaik dari kalangan kalian adalah orang yang melakukan kebaikan kepada ahli keluarganya.”[15] Apa sahaja perkara yang dilakukan yang boleh meregangkan hubungan kekeluargaan boleh menyebabkan rezeki seseorang itu sempit. Termasuklah sifat bakhil atau kedekut dengan ahli keluarga. Oleh itu, Nabi SAW memberikan amaran berkenaan sifat bakhil. Nabi SAW bersabda: ‌إيَّاكم ‌والشُّحَّ، فإنما هَلَكَ مَن كان قَبلَكم بالشُّحِّ: أمرهم بالبُخلِ فبَخِلُوا، وأمرَهم بالقَطيعةِ فقَطَعُوا، وأمرَهم بالفُجُور ففَجَرُوا Maksudnya : “Jauhilah sifat bakhil. Sesungguhnya orang sebelum kalian binasa disebabkan sifat bakhil. Ia membawa kepada sifat kedekut, mereka menjadi kedekut. Ia membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan dan membawa kepada dosa.”[16] Namun, para isteri juga perlu rasional agar tidak meminta sesuatu yang berada di luar kemampuan para suami. Banyak juga cara lain untuk memperoleh dan ditambah rezeki. Antaranya : Beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah.Dosa dan maksiat adalah antara penghalang rezeki. Allah SWT berfirman : فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا Maksudnya : “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”[17] Nabi SAW bersabda : مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ Maksudnya : “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”[18] Bersedekah. Allah SWT berfirman : وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ Maksudnya : “ dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya.”[19] Imam Al-Syaukani menjelaskan bahawa ganti yang Allah berikan itu boleh jadi di dunia ataupun di akhirat. Beliau menyebut وَذَلِكَ الْبَدَلُ إِمَّا فِي الدُّنْيَا وَإِمَّا فِي الْآخِرَةِ “ Begitu juga ganti (Yang Allah janjikan) sama ada di dunia mahupun di akhirat.”[20] Menanamkan sifat ketakwaan dalam diri. Firman Allah SWT : وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ Maksudnya : “dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”[21] Sheikh Tahir Bin ‘Asyur menjelaskan : أَعْلَمَهُمَا اللَّهُ بِأَنَّهُ وَعَدَ الْمُتَّقِينَ الْوَاقِفِينَ عِنْد حُدُوده بِأَن يَجْعَلَ لَهُمْ مَخْرَجًا مِنَ الضَّائِقَاتِ “ Allah memberitahu para suami dan isteri bahawa Dia menjanjikan orang yang bertakwa dan yang teguh berdiri di batasan yang Allah telah tetapkan, bahawa Allah akan memberikan mereka jalan keluar dari setiap kesempitan yang mereka hadapi.”[22] Justeru, ucapan tersebut boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan. Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.. Berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk isteri juga adalah sebab rezeki diluaskan.Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab.Kepada para suami, jalankan tanggungjawab kepada isteri. Seorang suami bukan sahaja bertanggungjawab memberi nafkah atau mencari harta, akan tetapi juga bertanggungjawab mendidik isteri dan keluarga agar menjadi keluarga yang diredhai oleh Allah. Inilah kunci sebenar keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman : وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ Maksudnya : “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”[23] Wallahu’alam.   Nota hujung :  [1] Surah Saba’ : 24 [2] Al-Razi, Muhammad Bin ‘Umar Bin Hasan, Mafatih Al-Ghaib,Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut,j.25 h.205 [3] Surah Hud : 10 [4] Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, j. h.305. [5] Riwayat Muslim no 2643 [6] Surah Al-Jumu’ah : 10 [7] Riwayat Al-Tabarani no 1630 [8] Surah Al-Munafiqun : 7 [9] Al-Zuhaili,Wahbah Bin Mustafa, Tafsir Al-Munir Fi Al-‘Akidah Wa Al-Syari’ah Wa Al-Manhaj, Dar AL-Fikr Al-Mu’asir, Damsyik, j.28 h.225 [10] Surah Al-Maidah : 17 [11] Surah Fatir : 3 [12] Ibn Kathir, Ismail Bin Umar, Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Tahkik : Sami Bin Muhammad Salamah, Cetakan Dar AL-Tayyibah, j.6 h.533 [13] Surah Al-‘Araf : 10 [14] Riwayat Al-Bukhari no 5986 dan Muslim no 2557. [15] Riwayat Al-Tirmizi no 3895 [16] Riwayat Abu Daud no 1698 [17] Surah Nuh : 10-12 [18] Riwayat Abu Daud no 1518, Ibn Majah no 3819 [19] Surah Saba : 39 [20] Al-Syaukani, Muhammad Bin Ali,Fath Al-Qadir,Dar Ibn Kathir,j.4 h.379 [21] Surah Al-Talak : 3 [22] Ibn ‘Asyur, Muhammad Tahir, Tahrir Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid,Cetakan Al-Dar Al-Tunisiyah,j.28 h.311. [23] Surah Al-‘Araf : 96
3,471
SOALAN Assalamualaikum wbt SS Mufti. Sepertimana yang diketahui bahawa kita dilarang sama sekali memberi salam “Assalamualaikum” kepada non muslim. Walaupun begitu, apakah hukum memberi salam kepada satu kumpulan yang bercampur di dalamnya muslim dan non muslim seperti di kedai makan dan tempat awam yang lain? Mohon penjelasan. Terima kasih. JAWAPAN Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat. Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik, bangsa dan agama menjadikan kehidupan rakyat Malaysia adalah unik. Disebabkan itu, penerapan konsep Fiqh al-Ta’ayush serta kefahaman terhadapnya perlulah diusahakan bagi mewujudkan sebuah negara dan tamadun yang dipandang tinggi di mata dunia. Isu berkaitan memberi salam ini telah kami bahaskan dalam artikel seperti berikut: Irsyad al-Hadith Siri ke-53: Ucapan Salam: Hadith dan Feqahnya Bacaan lanjut ke pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1158-irsyad-al-hadith-siri-ke-53-ucapan-salam-hadith-dan-feqahnya Berdasarkan kepada isu di atas, sememangnya telah terdapat satu hadith Nabi SAW berkaitan larangan terhadap umat Islam untuk memberi atau memulakan ucapan salam “Assalamualaikum” kepada bukan Islam. Perkara ini adalah berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda: لَا تَبْدَؤُوا اَلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى بِالسَّلَامِ Maksudnya: “Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani.” Riwayat Muslim (1905) Menjawab kepada isu di atas, hukum memberi salam kepada kumpulan yang terdiri padanya orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam adalah harus dan dibolehkan. Hal ini bertepatan dengan satu peristiwa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW sendiri. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Usamah Bin Zaid R.A, beliau berkata: أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَكِبَ حِمَارًا عَلَيْهِ إِكَافٌ تَحْتَهُ قَطِيفَةٌ فَدَكِيَّةٌ وَأَرْدَفَ وَرَاءَهُ أُسَامَةَ وَهُوَ يَعُودُ سَعْدَ بْنَ عُبَادَةَ فِي بَنِي الْحَارِثِ بْنِ الْخَزْرَجِ وَذَاكَ قَبْلَ وَقْعَةِ بَدْرٍ حَتَّى مَرَّ بِمَجْلِسٍ فِيهِ أَخْلاَطٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُشْرِكِينَ عَبَدَةِ الأَوْثَانِ وَالْيَهُودِ فِيهِمْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَىٍّ وَفِي الْمَجْلِسِ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ رَوَاحَةَ فَلَمَّا غَشِيَتِ الْمَجْلِسَ عَجَاجَةُ الدَّابَّةِ خَمَّرَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَىٍّ أَنْفَهُ بِرِدَائِهِ ثُمَّ قَالَ لاَ تُغَبِّرُوا عَلَيْنَا ‏.‏ فَسَلَّمَ عَلَيْهِمُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ وَقَفَ فَنَزَلَ فَدَعَاهُمْ إِلَى اللَّهِ وَقَرَأَ عَلَيْهِمُ الْقُرْآنَ… Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW menunggang seekor keldai yang mana di bawahnya ada kain dari fadak (sejenis kain yang elok) dan Baginda memboncengkan Usamah di belakangnya untuk menziarahi Sa’ad Bin Ubadah di perkampungan Bani al-Harith Bin Khazraj. Ini berlaku sebelum peperangan Badar. (Di tengah perjalanan) Baginda melewati suatu majlis yang bercampur antara orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin, penyembah berhala dan orang-orang Yahudi. Di kalangan mereka terdapat ‘Abdullah Bin Ubay. Majlis itu juga dihadiri oleh ‘Abdullah Bin Rawahah. Ketika melihat debu bekas dekap langkah kami, maka ‘Abdullah Bin Ubay menutup hidungnya dengan kainnya sambal berkata: “Janganlah kalian bangkitkan debu sehingga mengenai kami”. Maka Nabi SAW memberi salam kepada mereka, kemudian berhenti dan turun dari keldai. Baginda SAW mengajak mereka kepada Allah dengan membacakan ayat-ayat al-Quran kepada mereka…” Riwayat Muslim (1798) Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya dalam satu kumpulan atau majlis itu terdiri daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, maka harus memulakan untuk memberi salam kepada kumpulan tersebut dengan niat untuk memberi salam kepada orang-orang Islam. (Lihat al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 12/157) Menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya (Lihat al-Hawi al-Kabir, 14/148), dengan mengemukan dua pandangan. Iaitu harus dan dibolehkan memberi salam kepada bukan Islam kerana ucapan salam adalah adab dan sunnah. Justeru, sudah tentu orang Islam lebih dituntut untuk melakukannya. Namun, orang Islam hanya perlu menyebut: “Assalamu‘alaika” dengan lafaz tunggal dan jangan menyebut dengan lafaz jama’ “Assalamu ‘alaikum” sepertimana ucapan kepada orang Islam yang lain bagi membezakan orang Islam dan bukan Islam. Dilarang memberi salam kepada bukan Islam sehingga mereka (bukan Islam) yang memulakan terlebih dahulu. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW berikut: إِنِّي رَاكِبٌ غَدًا إِلَى يَهُودَ، فَلاَ تَبْدَأُوهُمْ بِالسَّلاَمِ، فَإِذَا سَلَّمُوا عَلَيْكُمْ فَقُولُوا‏:‏ وَعَلَيْكُمْ‏ Maksudnya: “Sesungguhnya aku akan pergi kepada Yahudi esok, Janganlah kalian memulai memberi salam kepada orang Yahudi, namun sekiranya mereka memulai memberi salam, maka katakanlah: Wa ‘alaikum.” Riwayat al-Bukhari (1102) dalam al-Adab al-Mufrad Sememangnya Rasulullah SAW adalah qudwah dan uswah terbaik yang wajib dicontohi oleh setiap yang mengaku sebagai Islam. Baginda SAW telah menunjukkan cara serta kaedah yang jelas tentang kehidupan masyarakat majmuk (ta’ayush). Dengan mencontohi perbuatan serta amalan yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW, sudah tentu akan menghasilkan suatu suasana kehidupan yang aman dan damai di antara orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam. Dengan itu maka akan terhasillah bentuk negara yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ Maksudnya: “(Negeri kamu ini adalah) Negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.” (Surah Saba: 15) KESIMPULAN Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa dilarang untuk memberikan ucapan salam kepada bukan Islam. Namun begitu, sekiranya terdapat kelompok yang terdiri daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang dinyatakan di atas. Adapun begitu, niat asal pemberi salam tersebut mestilah ditujukan kepada orang-orang Islam yang berada dalam kolompok tersebut. Akhir sekali kami doakan semoga penjelasan yang diberikan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam melayari kehidupan berlandaskan kepada kerangka syariah yang sebenar. Amin.
3,472
Mukadimah Merujuk Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Pertama Mesyuarat Kedua, Datuk Liew Vui Keong selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang & Hal Ehwal Parlimen) telah menyatakan persetujuan kolektif Jemaah Menteri pada 13 November 2018 tentang pemansuhan hukuman mati bagi 33 kesalahan di dalam undang-undang di Malaysia. Antara undang-undang yang terlibat dengan pemansuhan tersebut ialah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh. Rujuk Hukuman mati 32 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan - Liew Keputusan berkenaan dibuat selepas meneliti hasil kajian Jabatan Peguam Negara yang menunjukkan keberkesanan pencegahan jenayah yang rendah dan kemungkinan berlaku kesilapan dalam proses pengadilan. Keputusan itu juga dibuat bagi mengikut Standard Antarabangsa berkaitan Hak Asasi Manusia dan mendapat pujian daripada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rujuk Hukuman mati bukan pencegahan berkesan – Liew, Kajian mansuh hukuman mati di peringkat akhir – Liew, dan Cadangan mansuh hukuman mati dapat maklum balas positif – Liew. Hampir serentak dengan cadangan tersebut, pada 9 November tahun lalu, negara digemparkan dengan kes kematian tragis bayi perempuan berusia 9 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal, dilaporkan meninggal dipercayai didera secara seksual dan fizikal oleh suami pengasuh. Susulan kes ini, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah juga merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengakui bahawa cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori memerlukan penelitian dari segenap aspek kerana ia merupakan isu yang kompleks. Rujuk Tiada hukuman mati pelaku kes bunuh bayi Zara? Tragedi ini mengundang respon orang ramai yang menggesa hukuman mati tidak dimansuhkan. Antaranya, Keluarga kepada mangsa bunuh Datuk Sosilawati Lawiya, Datuk Kevin Morais dan Wong Jing Kui memohon kerajaan agar mempertimbangkan pemansuhan hukuman mati kerana ia tidak memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.Peguam mereka, Christina Teng berkata hukuman mati diperlukan di negara ini sebagai pelindung kepada masyarakat daripada jenayah-jenayah berat seperti pembunuhan, aktiviti keganasan dan dadah. Jika ia dimansuhkan, perbelanjaan menjaga banduan di penjara akan meningkat. Kadar jenayah pula akan meningkat apabila pelaku jenayah semakin berani membuat jenayah kerana hukuman mati sudah tiada. Hanya dijatuhkan hukuman penjara. Rujuk Tidak adil bagi keluarga mangsa jika hukuman mati mandatori dimansuhkan. Anggota Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng berkata keluarga Bill Kayong, yang menjadi mangsa pembunuhan, menyuarakan kekecewaan mereka tentang cadangan untuk memansuhkan hukuman mati, terutama terhadap individu yang disabitkan kesalahan kerana membunuh. Mereka menghantar mesej kepadanya bahawa mereka tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia akan memberi isyarat silap seolah-olah membunuh bukan suatu kesalahan serius di negara ini. Rujuk Keluarga Bill Kayong kecewa dengan cadangan pemansuhan hukuman mati. Pada 19 Mac 2019, pihak kami dijemput dalam suatu perjumpaan meja bulat anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada membincangkan topik penghapusan hukuman mati. Antara kesimpulan perbincangan itu menyatakan bahawa: Hukuman mati mandatori wajar dihapuskan bagi mengelak berlakunya ketidakadilan khususnya dalam kes salah hukum, kelewatan dalam proses mahkamah, bukti tidak mencukupi dan pengakuan palsu. Syariah membenarkan keluarga mangsa bunuh secara sengaja, untuk memaafkan pembunuh atau/dan menerima diyat, menunjukkan bunuh balas itu bukan mandatori. Penekanan perlu diberikan pada aspek pendidikan dan islah, seperti mana yang diajar al-Quran. Justeru, sistem undang-undang perlu menyediakan saluran yang mencukupi untuk sesi pengampunan, rundingan, atau hukuman diyat. Pada 24 April 2019, pihak kami juga telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Penghapusan Hukuman Mati Menurut Fiqh Kontemporari” dalam Wacana Penghapusan Hukuman Mati anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)  dan antara resolusi program berkenaan ialah Melihat semula prinsip punitive dalam hukuman mati kepada restoractive yang mana terkandung nilai Rahmah di dalamnya. Mengkaji semula perkataan mandatori supaya digantikan dengan discretion bagi memberi ruang kepada para hakim untuk menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan. Perlu juga melibatkan tentang kesalahan Al-Qasamah diberi gantirugi diyyah kepada mangsa. Menyeimbangi hak tertuduh dan juga hak waris ditambah baik terutama dalam perkara melibatkan darjah pembuktian. Rujuk Facebook Page Dr. Mujahid Yusof Rawa pada 24 April 2019.   Konsep Hukuman Mati Dalam Kes Bunuh Daripada Perspektif al-Quran Hukuman mati jelas dinyatakan di dalam al-Quran bagi kesalahan membunuh. Firman Allah ﷻ : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ  ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿١٧٨﴾ وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٧٩﴾ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, 2:178-179) Imam al-Baiḍawi Raḥimahullāh (w.685H) berkata tentang tafsir ayat ke-179 tersebut:  “Kalimah al-qisas ditaʿrifkan dan ḥayah dinakirahkan, untuk merujuk kepada hukum yang menjamin suatu bentuk kehidupan yang lebih signifikan. Itu kerana seseorang yang ingin membunuh akan mencegah dirinya daripada membunuh apabila mengetahui hukum tersebut lalu menjadi sebab terjaminnya dua nyawa di situ (mangsa dan pembunuh). Ini juga kerana (pada zaman Jahiliyyah) mereka akan membunuh semua orang (yakni kabilah si pembunuh itu). Dibunuh satu kumpulan atas kesalahan seorang sahaja. Maka ini akan mendatangkan fitnah kekacauan antara pihak-pihak yang terlibat. Justeru, apabila qisas hanya berlaku kepada pembunuh sahaja, maka selamatnya orang lain dan inilah sebab bagi keselamatan nyawa mereka.” Rujuk Anwār al-Tanzīl wa Asrār al-Ta’wīl (1/122)  Firman Allah ﷻ lagi: وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).” (Surah al-Isra’ : 33) Berkata Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur Raḥimahullāh  (w.1393H), salah seorang ahli tafsir yang terkenal zaman ini, berkenaan ayat ini: “Al-Haqq itu bermakna keadilan, atau istihqaq (tuntutan haq), yakni hak untuk bunuh (balas)” Ini selari dengan hadis Rasulullah ﷺ: إِذَا قَالُوهَا (أَيْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ) عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا Maksudnya: “Jika mereka berkata Lailahaillallah maka darah dan harta mereka terperlihara dariku, melainkan orang yang berhak ke atasnya.” Riwayat Muslim (21) Menurut beliau apabila apabila ayat ini diturunkan sebelum Hijrah, maka penentuan haq itu telah berlaku dalam bentuk yang diterima dalam kalangan masyarakat berkabilah ketika itu, dan itulah yang disebut oleh Allah Taala selepas ayat: “dan barangsiapa yang dibunuh secara zalim..sehingga akhir ayat.” Orang Islam pada waktu turun ayat ini hidup bercampur dengan orang Musyrikin di Makkah dan orang Musyrikin itu bukannya mereka yang thiqah (terpercaya) pada melakukan ketaatan dan melaksanakan undang-undang yang adil. Kadang-kadang berlaku penindasan oleh seorang Musyrik ke atas seorang orang Islam dengan suatu pembunuhan yang zalim. Lalu Allah memerintahkan kaum Muslimin bahawa orang yang dizalimi tidak boleh melakukan kezaliman balas dan Allah berfirman bahawa barangsiapa yang dibunuh secara zalim maka ke atas walinya sultan (kuasa), yakni hak tasarruf (menguruskan atau menentukan hukuman) ke atas pembunuh dengan balas bunuh atau diyat (pampasan). Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (15/92-93). Ayat ini juga jelas menerangkan bahawa hukuman mati bagi kes bunuh itu bukanlah bersifat mandatori seperti yang diamalkan hari ini, tetapi bersifat budi bicara pihak waris si mati. Dalam erti kata lain, meletakkan hukuman mati secara mandatori terhadap kesalahan membunuh dengan niat adalah bertentangan dengan prinsip keadilan Syariah yang menjamin hak waris mangsa bunuh selaku pihak yang paling terkesan dengan pembunuhan yang berlaku.  Menurut mazhab Syafie yang menjadi mazhab yang utama di Wilayah Persekutuan, dan mazhab Hanbali, sekiranya seorang Muslim dibunuh maka menjadi hak warisnya untuk menuntut bunuh balas atau dibayar diyat. Adapun di sisi mazhab Hanafi, jika orang bukan Islam yang tidak memerangi Islam dibunuh orang Islam, maka ke atas waris mereka hak qisas dan diyat juga berdasarkan keumuman ayat di atas. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (7/136;21/61). Fakta ini menunjukkan bahawa pelaksanaan diat atau pampasan kepada keluarga mangsa bagi kes bunuh, atau kes-kes lain melibatkan kecedaraan, memiliki peluang untuk dijalankan secara unilateral, atau menyeluruh terhadap semua warganegara tanpa mengambilkira perbezaan agama atau bangsa. Sebenarnya, konsep pembayaran pampasan kepada mangsa ini sudah ada asasnya di dalam undang-undang jenayah di negara kita, di bawah Seksyen 426 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang memperuntukkan kuasa kepada pihak mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, untuk mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa akibat jenayah yang berlaku pada diri mangsa, harta atau pendapatannya. Dalam kes Pendakwa Raya lwn. Low Lu Keng, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan pesalah yang telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, untuk membayar RM10,000.00 kepada balu mangsa bunuh, dengan merujuk kepada peruntukan dalam Seksyen 426 Akta 593. Menariknya dalam kes ini, hakim, pesalah dan mangsa yang terlibat semuanya ialah individu-individu bukan beragama Islam. Ini menunjukkan konsep diyat, wang darah atau pampasan kepada mangsa ini adalah sistem yang bersifat manusiawi yang universal serta sesuai dipraktiskan kerana mudah difahami rasional daripada sudut keadilan, serta hikmah dan manfaat daripada sudut Syarak. Rujuk al-Diyah as Compensation for Homicide & Wounding in Malaysia (hlm. 102) oleh Prof. Madya Dr. Syed Ahmad S.A Alsagoff.   Diat: Sumber dan Kaedah Pembayaran Pada asalnya, pembayaran pampasan diat bagi kes bunuh dengan sengaja mestilah menggunakan harta pesalah sendiri. Ini wajib dibayar serta-merta tanpa tangguh. Bayaran mestilah dengan 100 ekor unta, dengan tiga jenis unta iaitu 30 ekor hiqqah iaitu unta berumur genap tiga tahun, 30 ekor jaza’ah iaitu unta berumur empat tahun dan 40 ekor unta khalifah iaitu unta betina yang bunting. Sekiranya unta tidak diperolehi, pesalah wajib membayar nilai yang sama menurut kesepakatan ulama. Bagi orang yang tidak memiliki unta, Amirul Mukminin Umar al-Khattab pernah menetapkan nilai diatnya adalah 1000 dinar emas bagi negeri yang menggunakan matawang emas, manakala bagi matawang perak, nilai 12,000 dirham digunakan.   Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (3/402). Inilah pendapat qadim oleh Imam al-Shafie tetapi pendapat jadidnya menetapkan bahawa nilai diat itu mestilah mengikut harga pasaran unta. Dalam rajah berikut, kami nyatakan nilai diat mengikut negara-negara yang mempraktikkannya: Negara Nilai Diat Tahun Arab Saudi SR 400,000.00 (RM 442,957.10)[1] bagi kes bunuh dengan sengaja dan SR 300,000.00 (RM 332,217.82) bagi kes bunuh seakan sengaja dan tersilap bunuh 2011 Iran IRR 1,500,000,000 (RM 148,220.70) 2014-2015 Emiriah Arab Bersatu DH 200,000 untuk lelaki dan perempuan (RM 226,137.38) 2014 Pakistan RP 2,055,936.00 (RM 53,422.01) 2018-2019 Rujuk Inequality in Diya (Blood Money) for Girls under Iranian Law (hlm. 2); UAE’s compensation system is more reasonable than those in the West, says expert. Di Arab Saudi, dilaporkan sebelum tahun 2011, nilai diat adalah SR 100,000. Kemudian, Mahkamah Syariah Kerajaan Arab Saudi menetapkan kadar SR 300,000 untuk kes bunuh seakan sengaja dan kes tersalah bunuh, dan SR 400,000 kes bunuh dengan sengaja. Daripada sudut sejarah kadar diat mengikut nilai unta telah mengalami pindaan beberapa kali. Menurut Syeikh Abdullah bin Jibrin, salah seorang anggota Hai`ah Kibar Ulama Saudi, mengatakan dalam kitab Ibhaj al-Mu’minin bi Syarh Manhaj al-Salikin (2/226) yang diterbitkan pada tahun 2001 bahawa 50 tahun dahulu kadar diat adalah 800 frankl (riyal Perancis), berdasarkan nilai 100 ekor unta pada masa itu. Kemudian nilainya meningkat kepada 8,000 riyal Saudi, kemudian 16,000 riyal, dan 24,000 riyal pada tahun 1390 Hijri (tahun 1969 Masehi). Kemudian kira pada tahun 1981 M, ditetapkan kadar nilai diyat pada 100,000 riyal. Rujuk Saudi Arabia triples blood money to SR300,000; Yaqul Inna Mi’ah min al-Ibil La Takfi li Rad` al-Qatil, wa Yas’al `Amman Yutolibun bin Akthar min al-Diyah Manakala di Pakistan, Seksyen 323 (2) Kanun Keseksaan 1860 mereka mewajibkan kerajaan Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan nilai diyat mengikut nilai perak pada bulan Julai setiap tahun. Rujuk Notification. Sebenarnya, pembayaran diat dengan menggunakan unta, dan jenis-jenisnya, atau dengan nilainya, telah menjadi perselisihan ulama semenjak zaman salaf lagi, sekalipun mereka bersepakat mengenai kadar niat standard adalah 100 ekor unta dan keharusan membayar dengan nilai. Selain kerana faktor tiada nas yang qat’ie menentukan ciri-cirinya, penentuan nilai diat tertakluk kepada keadaan sosio-ekonomi masyarakat yang membela unta atau tidak. Ini membuka kepada pintu ijtihad. Menurut Prof. Madya Syed Ahmad Alsagoff, adalah hampir mustahil untuk menggunakan nilai unta untuk menentukan nilai diat pada hari ini kerana Islam telah tersebar ke negara-negara yang tidak didiami oleh unta atau diperdagang unta secara meluas. Dengan hadirnya industri dan ciptaan kenderaan moden seperti motokar, motosikal dan kereta api, fungsi unta sebagai alat pengangkutan umum telah hilang. Begitu juga daripada sudut manfaat unta sebagai sumber makanan pada daging dan susunya adalah asing di Malaysia. Faktor-faktor ini pastinya mempengaruhi nilai unta dan kesesuaiannya sebagai pengukur nilai diyat. Tambahan lagi, sektor perdagangan hari ini menggunakan nilai emas dan perak sebagai nilai standard, bahkan sebahagian negara tidak lagi mengikat mata wang mereka dengan emas dan perak!. Rujuk al-Diyah as Compensation for Homicide & Wounding in Malaysia (hlm. 186-192) & Victim Compensation for Homicide for All Malaysians (hlm. cxxix) Sebenarnya kita sudah berjaya dalam mengaplikasikan Fiqh Nusantara atau Fiqh Malaysia dengan menetapkan kadar bayaran zakat fitrah, fidyah dan kaffarah pada harga beras, berbanding dengan makanan ruji yang popular di negara-negara Arab dengan gandum atau kurma. Justeru, melihat kepada kemungkinan ini, adalah disarankan kepada Kerajaan Malaysia sekiranya bersetuju dengan cadangan ini melaksanakan kaedah pampasan nyawa atau diat untuk menetapkan suatu nilai standard bagi pampasan dengan mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi masyarakat Malaysia, tanpa berdasarkan diskriminasi kaum. Ini boleh dilaksanakan dengan mengadakan konsultasi dengan pihak-pihak berkuasa agama, undang-undang dan agensi masyarakat yang berkaitan dan dibawa untuk dibentangkan pada peringkat Parlimen. Jika ada yang bertanya; seandainya keluarga mangsa memilih pampasan, tetapi si pesalah tidak berkemampuan untuk membayar denda. Apakah dia perlu dihukum mati? Selain daripada membuat sumbangan awam, beberapa pakar undang-undang di Malaysia seperti Prof. Madya Dr. Syed Ahmad Syed Abdurrahman Alsagoff, Prof. Ahmad Ibrahim, dan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Awang mencadangkan perlaksanaan skim insuran sosial menggunakan kaedah takaful. Dana daripada skim itu kemudian akan digunakan untuk membantu keluarga mangsa untuk mendapatkan pampasan. Ini diolah berasal dari amalan ‘Aqilah yang diterima oleh Islam apabila ahli-ahli Qabilah orang yang tertuduh saling bersetuju untuk memberikan sumbangan kewangan bagi tujuan melindungi tertuduh daripada liabiliti kewangan yang timbul yang berpunca daripada kes bunuh syibh al-`amd (tanpa niat) dan al-khata’ (tersilap bunuh). Itu daripada sudut sumber. Rujuk Diyah (Blood Money) as Substitution to Capital Punishment: An Attempt Toward Harmonisation Between Shari’ah and Malaysian Penal Code oleh Abdul Rahman Awang, Victim Compensation for Homicide for All Malaysians (hlm. cxxix) oleh Prof. Madya Dr. Syed Ahmad Syed Abdurrahman Alsagoff. Pelaksanaan kaedah pampasan ini dicadangkan meliputi juga warganegara yang bukan Islam kerana polemik perbezaan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah yang berlaku dikhuatiri menghalang perjalanan mendapatkan keadilan, buat masa sekarang. Ini selari dengan tafsir ayat ke-33 Surah al-Isra seperti mana yang dihuraikan oleh Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur dan mazhab Hanafi. Ini juga merupakan praktik di negara Pakistan, UAE dan Iran. Kami nukilkan apa yang kami telah sebut semasa Persidangan Kebangsaan Mengenai Hukuman Mati di Malaysia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)  : “Falsafah perundangan Islam itu terbina di atas lima keperluan asas yang universal untuk menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta bagi manusia. Umat Islam percaya kelima-lima hak ini jika dipelihara dan dijamin dengan baik akan mewujudkan kehidupan yang baik sama ada di dunia dan di akhirat. Kami percaya bahawa hukuman mati mandatori bagi kesalahan bunuh perlu dikaji semula dengan mengambilkira maslahat keluarga si mati dan peluang kedua bagi pihak pembunuh. Oleh sebab itu, kami menerima baik kenyataan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang bertitah bahawa Majlis Jemaah Pengampunan Negeri akan mengambil kira kaedah diyat dalam pelaksanaan sistem pengampunan dengan merujuk kepada keluarga mangsa sebagai alternatif kepada banduan membuat rayuan untuk mendapat pelepasan daripada hukuman mati, contohnya. Titah baginda lagi pelaksanaan kaedah itu mestilah tidak hanya tertakluk kepada masyarakat Islam tetapi membabitkan semua kaum di negeri ini. Ini merupakan suatu langkah yang sangat penting untuk diwacanakan pada peringkat nasional. Manakala, bagi kesalahan-kesalahan lain yang diperuntukkan hukuman mandatori oleh undang-undang sivil tetapi tidak di dalam Syariah Islam, kami juga menyokong agar perbincangan semula tentang hukuman berkenaan sebagai wajar jika kedapatan data kajian yang dibuat oleh badan-badan yang berautoriti menunjukkan tahap keberkesanan yang lemah dalam perlaksanaan.” Cadangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di atas merupakan suatu langkah awal yang sangat penting untuk diwacanakan pada peringkat nasional. Oleh kerana itu, pihak kami pada 20 Jun 2019 yang lepas telah merafak sembah di hadapan Tuanku Yang di-Pertuan Agong membentangkan kertas kerja ini dalam program Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara bersama 27 peserta menghadiri majlis itu termasuk semua Pengerusi dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri, Mufti-mufti negeri, Ketua- Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri di bawah naungan baginda. Rujuk Death Penalty from Islamic Perspective: Understanding Values, Contexts and Viewpoints (hlm. 63); dan Kerjasama kukuh institusi agama tepis permintaan bertentangan Islam, Perlembagaan – Agong. Kami juga bersetuju bahawa kuasa keluarga juga dalam menentukan hukuman juga mestilah dihadkan bagi mengelakkan salah guna kuasa. Kita tidak mahu ia digunakan untuk memaafkan pembunuh yang diupah oleh keluarga seperti dalam kes honour killing (pembunuhan kerana maruah) yang berlaku di Pakistan. Hakim juga boleh menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah dengan kadar yang munasabah sekalipun pesalah telah dimaafkan oleh waris-waris mangsa. Kriteria atau merit pengampunan bagi banduan-banduan yang layak itu boleh ditentukan oleh Majlis Jemaah Pengampunan Negeri-Negeri berdasarkan rekod berkelakuan baik sebagai contoh. Berkenaan dengan kadar diat yang sesuai di Malaysia, kami mencadangkan nilai RM 100,000.00 munasabah diletakkan sebagai jumlah minimum bagi diat. Ini diambil berdasarkan kadar pampasan akibat kematian yang ditetapkan dalam amalan takaful oleh beberapa syarikat pengendali. Jumlah ini, seperti yang dimaklumkan di atas, adalah tertakluk kepada pindaan daripada masa ke semasa, dan berkemungkinan meningkat jika digabungkan dengan kos-kos ganti rugi yang dapat dibuktikan di mahkamah. Wallahua’lam. Syor Kepada Kerajaan Malaysia PMWP mengesyorkan kepada Kerajaan Malaysia agar cadangan pelaksanaan diat atau pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa diperkenalkan dalam Sistem Keadilan Jenayah di Malaysia demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa selaku pihak yang paling menderita akibat jenayah pembunuhan yang berlaku. Syor ini juga mampu memberikan peluang kedua kepada pesalah yang dijatuhkan hukuman mati sekiranya pihak keluarga mangsa memilih pampasan atau memaafkan. PMWP mengesyorkan agar diwujudkan Skim Insuran Sosial pada Peringkat Negeri-Negeri atau Persekutuan untuk membantu memberikan pampasan kepada keluarga mangsa bunuh bagi meneruskan hidup bagi kes pesalah bunuh tidak mampu memberikan pampasan.   Rujukan: 1 Julai 2018. Notification. Pakistan: Bahagian Kewangan (Sayap Kewangan Dalaman). http://www.finance.gov.pk/circulars/circular_01072018.pdf 11 September 2011. Saudi Arabia triples blood money to SR300,000. Emirates 24/7. https://www.emirates247.com/news/region/saudi-arabia-triples-blood-money-to-sr300-000-2011-09-11-1.417796; 12 Oktober 2018. Hukuman mati paling tepat untuk pengedar dadah. Kosmo! Online. http://www.kosmo.com.my/terkini/hukuman-mati-paling-tepat-untuk-pengedar-dadah-1.765956   13 November 2018. Hukuman mati 32 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan – Liew. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1664320 13 November 2018. Kesesuaian pemansuhan hukuman mati di negara ini masih dijalankan. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1664256     14 November 2018. Hukuman perlu setimpal untuk ganti hukuman mati berkaitan dadah – AADK. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1664893   16 Oktober 2018. Hukuman mati bukan pencegahan berkesan – Liew. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1654208   16 Oktober 2018. Kerajaan diminta tidak tergesa-gesa mansuh hukuman mati. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1654180   16 September 2017. يقول إن مائة من الإبل لا تكفي لردع القاتل ، ويسأل عمن يطالبون بأكثر من الدية. Al-Islam Su’al wa Jawab. https://islamqa.info/ar/answers/258067/يقول-ان-ماىة-من-الابل-لا-تكفي-لردع-القاتل-ويسال-عمن-يطالبون-باكثر-من-الدية 2006. Al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait: Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam. 22 Oktober 2018. Cadangan mansuh hukuman mati dapat maklum balas positif – Liew. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1656761   28 Oktober 2018. Pemansuhan hukuman mati: kajian menyeluruh perlu dilakukan. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1658816   7 Oktober 2018. Kajian mansuh hukuman mati di peringkat akhir – Liew. Bernama. http://bernama.com/bm/news.php?id=1650692   9 November 2018. Keluarga Bill Kayong kecewa dengan cadangan pemansuhan hukuman mati. Bernama. http://bernama.com/bm/news.php?id=1663259   9 November 2018. Tidak adil bagi keluarga mangsa jika hukuman mati mandatori dimansuhkan. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1663303   Abdul Rahman Bin Awang. 18th December, 2012. Diyah (Blood Money) as Substitution to Capital Punishment: An Attempt Toward Harmonisation Between Shari’ah and Malaysian Penal Code. Aust. J. Basic & Appl. Sci. 6(11): 106-112,2012. http://www.ajbasweb.com/ajbas/2012/Special%20oct/106-112.pdf Al Nowais, Shireena. 16 November 2014. UAE’s compensation system is more reasonable than those in the West, says expert. The National. https://www.thenational.ae/uae/uae-s-compensation-system-is-more-reasonable-than-those-in-the-west-says-expert-1.309249 Al-Baiḍāwi, Naṣiruddin Abu Saʿīd. 1418H. Anwār al-Tanzīl wa Asrār al-Ta’wīl. Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turath al-ʿArabī. Al-Naisaburi, Muslim bin al-Hajaj.  1424 H. Sahih Muslim. Beitut: Dar Ihya’ Turath al-Arabiy. Alsagoff, Syed Ahmad S.A. 2006. Al-Diyah  as Compensation for Homicide and Wounding in Malaysia. Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia (IIUM). p.92-93. Alsagoff, Syed Ahmad Shihabuddin Abdurrahman. 2009. Victim compensation for homicide for all Malaysians. Malayan Law Journal, 6. cxx-cxxxii Dr. Mujahid Yusof Rawa. 24 April 2019. Facebook. https://www.facebook.com/DrMujahidYusofRawa/posts/2229805727058248 Ibn Asyur, Muhammad al-Tahir. 1984M. Al-Tahrir wa al-Tanwir. Tunisia: Dar al-Tunisiah li al-Nasyr.  Luqman Arif Abdul Karim. 13 November 2018. Tiada hukuman mati pelaku kes bunuh bayi Zara?. BH Online. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/11/497556/tiada-hukuman-mati-pelaku-kes-bunuh-bayi-zara March, 2015. Inequality in Diya (Blood Money) for Girls under Iranian Law. INSIGHTIRAN. insightiran.org/wp-content/uploads/2015/06/Inequality-in-Diya-for-Girls-Under-Iranian-Law.pdf Nurul Nadira Syaari. 2 Mei 2017. Majlis Jemaah Pengampunan Pahang perkenal kaedah Diyat. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/node/278270 Al-Bakri, Zulkifli bin Mohamad & Umar Mukhtar bin Mohd Noor. 28 Jun 2018. Death Penalty from Islamic Perspective: Understanding Values, Contexts and Viewpoints. Report SUHAKAM’s National Conference on the Death Penalty. Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.  Nota hujung: [1] Nisbah kadar pertukaran matawang ini dibuat secara kasar di laman web https://www.xe.com  pada 26 Jun 2019.
3,473
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada terbaca satu posting tentang kucing di media sosial, kenyataan dalam posting tersebut adalah seperti berikut: “Patutlah nabi suka kucing. Di akhirat kelak akan ada satu level khas untuk haiwan. Mereka sedang beratur menunggu giliran. Dibawahnya ada banyak manusia yang menunggu giliran untuk meniti satu titian. Apa haiwan itu buat? Mereka meminta izin pada Allah untuk menolong manusia-manusia yang pernah menolong mereka semasa hidup didunia.”   Mohon pencerahan daripada pihak mufti terima kasih. Ringkasan Jawapan: Tidak ada nas dan dalil yang khusus tentang kedudukan haiwan seperti kucing di hari akhirat kelak terutama sekali dalam membantu manusia yang menolongnya semasa di dunia. Namun, umat islam dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk seperti mana Allah SWT mewajibkan untuk berbuat baik kepada setiap sesuatu kerana setiap kebaikan yang dikerjakan di atas dunia ini akan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang mungkin akan membantu kita untuk ke syurga di akhirat kelak. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sesungguhnya hari akhirat ini termasuk di dalam perkara sam’iyyat iaitu perkara ghaib dan tidak dapat ditanggapi oleh akal manusia melainkan dengan adanya penerangan tentangnya daripada nas-nas al Quran dan as Sunnah. Begitu juga dengan kisah tentang hari kebangkitan yang akan berlaku nanti, telah dikhabarkan kepada kita bahawasanya setiap makhluk yang pernah hidup di atas dunia ini akan dibangkitkan di akhirat kelak untuk dihisab dan dibicarakan. Firman Allah S.W.T: (1) يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّـهُ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا ۚ أَحْصَاهُ اللَّـهُ وَنَسُوهُ ۚ وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ Maksudnya: “Semasa mereka semuanya dibangkitkan (dihidupkan) semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al Mujadalah: 6) Oleh itu, berdasarkan persoalan dan kenyataan di atas, tidak ada dalil khusus yang menyatakan bahawasanya kucing ataupun haiwan yang lain akan diberikan tempat yang khusus dan keistimewaan untuk membantu manusia di hari akhirat kelak. Sebaliknya, binatang-binatang dibangkitkan untuk memenuhi tuntutan dan hak sesama makhluk seperti mana yang telah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Rasulullah S.A.W bersabda: (2) لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ، مِنَ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ Maksudnya: “Semua hak itu pasti akan dipenuhi pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk.” (Riwayat Muslim: 2582, j4, h1997) Berdasarkan riwayat tersebut, Imam Nawawi menyatakan bahawa haiwan akan dibangkitkan pada hari kiamat seperti mana bangkitnya golongan taklif (diberi anggungjawab) iaitu golongan yang terdiri daripada anak-anak adam dan jin. Namun, beliau menjelaskan lagi bahawa dibangkitkan haiwan bagi memenuhi hak qisas sesama haiwan tersebut seperti mana di dalam syarahnya: (3)     وَأَمَّا الْقِصَاصُ مِنَ الْقَرْنَاءِ لِلْجَلْحَاءِ فَلَيْسَ هُوَ مِنْ قِصَاصِ التكليف إذلا تَكْلِيفَ عَلَيْهَا بَلْ هُوَ قِصَاصُ مُقَابَلَةٍ Maksudnya: “Adapun qisas bagi haiwan bertanduk terhadap haiwan tidak bartanduk bukanlah seperti qisas taklif kerana haiwan tersebut tiada pentaklifan akan tetapi bagi haiwan itu ada qisas muqabalah (balas membalas).” (Syarah Sohih Muslim: 16/136) Walaubagaimanapun, ia bukanlah untuk menafikan kebaikan dan kelebihan dalam berbuat baik kepada binatang kerana agama Islam menuntut umatnya untuk berbuat baik terhadap semua makhluk dan setiap kebaikan yang dilakukan akan di beri ganjaran pahala.  Ini berdasarkan riwayat oleh Syadad Bin ‘Aus:(4) إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan untuk berbuat kepada setiap sesuatu.”  (Riwayat Muslim: 1955) Begitu juga terdapat hadis yang mana diampunkan dosa seorang wanita kerana memberi minum kepada anjing yang haus.Kisah ini dapat kita hayati melalui hadis yang diriwayat oleh Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: (5)  أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ، قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ، فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا Maksudnya: “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”. (Riwayat Muslim: 2245) Berdasarkan dalil dan hujah-hujah di atas, berkelakuan baik sesama makhluk akan diberikan ganjaran pahala pada hari kiamat bahkan dengan rahmat dan reda Allah SWT boleh membawa kita ke syurga melalui ihsan kita terhadap haiwan. Oleh itu, perlulah kita cermati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kelebihan sesuatu perkara supaya tidak bercanggah dengan al Quran dan as Sunnah. Kesimpulannya: Tidak ada nas dan dalil yang khusus tentang kedudukan haiwan seperti kucing di hari akhirat kelak terutama sekali dalam membantu manusia yang menolongnya semasa di dunia. Namun, umat islam dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk seperti mana Allah SWT mewajibkan untuk berbuat baik kepada setiap sesuatu kerana setiap kebaikan yang dikerjakan di atas dunia ini akan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang mungkin akan membantu kita untuk ke syurga di akhirat kelak.  Semoga kita terus istiqamah di dalam mengerjakan amal dan kebaikan serta berbuat baik sesama makhluk di dunia ini. Wallahu a’lam..  Nota Hujung: (1) Surah al Mujadilah (2) Muslim Bin al-Hajaj Abu al-Hasan al-Qusyairi an-Naisaburi, Sohih Muslim, Tahqiq: Muhamad Fuad Abdul Baqi, Dar al-Ihya’ al-Turath: Beirut, J4 H1997, No;2582. (3) Abu Zakaria Muhyiddin Yahya Bin Syaraf an-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sohih Muslim Bin al-Hajaj, Dar al-Ihya’ al-Thaniah, J16, H136. (4) Sohih Muslim: j3, H1548, no: 1955 (5)   Sohih Muslim: no 2245
3,474
SOALAN Apakah hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah bagi seorang muslim? JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Justeru, setiap muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran seperti berikut: وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”  (Surah Ali-Imran: 97) Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853) Seterusnya, Nabi SAW turut menegaskan berkenaan hal tersebut di dalam sabdanya yang berikut: بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hambaNya dan pesuruhNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” Riwayat Muslim (16) Merujuk kepada persoalan di atas, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaaan. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).” Riwayat Al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449) Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan ibadah haji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi SAW telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut. KESIMPULAN Dalam isu ini kami berpandangan bahawa wajib ke atas setiap Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah paling kurang sekali seumur hidup mereka. Namun, bagi mereka yang mempunyai kecukupan dan kemampuan yang lebih, disunatkan bagi mereka untuk mengulangi ibadah haji dan umrah pada tahun-tahun yang berikutnya. Di sini, kami mengambil peluang untuk saling menasihati kepada semua jemaah haji dan umrah agar menanam di dalam jiwa masing-masing niat dan tekad untuk menjadi dhuyuf al-Rahman walaupun sekali seumur hidup mereka. Justeru, berusahalah untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan sebaik mungkin, persiapkanlah bekalan dari segi mental dan fizikal agar kita dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelaksanaan ibadah yang kita kerjakan. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.
3,477
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.   Peristiwa hijrah Nabi SAW ke kota Madinah merupakan satu kisah atau peristiwa yang penting kerana bermula dari situlah agama Islam dapat disebarkan sehingga ke serata dunia. Di dalam al-Qur’an juga ada dihikayatkan oleh Allah SWT berkaitan peristiwa yang agung ini iaitu:   Firman Allah SWT:   إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ Al-Taubah:40   Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”   Di dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq RA menempuh pelbagai ujian dan cubaan ketika ingin berhijrah ke Madinah atau nama sebelumnya adalah Yathrib sehinggakan baginda SAW terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki oleh kaum musyrikin pada waktu. Antara perkara lain yang boleh difahami menerusi ayat di atas adalah perancangan kaum musyrikin Makkah dalam usaha mereka untuk membunuh Nabi SAW. Maka dengan sebab itu, Allah SWT perintahkan Nabi SAW agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya yang tercinta.   Tambahan pula, di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa Ibn Abbas RA mengatakan:   بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ Maksudnya: “Nabi SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.” [Riwayat al-Bukhari (3902)]   Al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan:   وَقَدْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي شَهْرِ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ، سَنَةَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ مِنْ بِعْثَتِهِ عَلَيْهِ السَّلَامُ، وَذَلِكَ فِي يَوْمِ الِاثْنَيْنِ Maksudnya: “Adapun hijrah Nabi SAW adalah pada bulan Rabi’ al-Awwal, tahun ke 13 setelah perutusan baginda SAW sebagai rasul dan ia berlaku pada hari Isnin.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 443/4]   Telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibn Abbas RA berkata:   وُلِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَاسْتُنْبِئَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَخَرَجَ مُهَاجِرًا مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَتُوُفِّيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ وَرَفَعَ الْحَجَرَ الْأَسْوَدَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ Maksudnya: “Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin, diangkat menjadi nabi pada hari Isnin, keluarberhijrah dari Makkah ke Madinah pada hari Isnin, masuk (sampai) ke Madinah pada hari Isnin, wafat juga pada hari Isnin dan Hajar al-Aswad diangkat (diletakkan) pada hari Isnin.” [Riwayat Ahmad (2506)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif disebabkan Abdullah bin Lahi’ah]   Berdasarkan soalan dan kisah di atas, maka telah timbul beberapa persoalan berkaitan peristiwa hijrah Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq ke kota Madinah. Di antaranya adalah sebab pemilihan Madinah sebagai tempat hijrah, kisah sarang labah-labah, kisah dua ekor burung merpati yang menyelamatkan Nabi SAW dan sahabatnya daripada dikesan oleh kaum musyrikin ketika bersembunyi di dalam gua, kisah terbenamnya kaki kuda Suraqah Bin Malik ketika mengejar Nabi SAW, bila Nabi SAW tiba di Madinah, tempoh Nabi di Quba’dan beberapa lagi persoalan yang lain.   Pemilihan Kota Madinah Sebagai Tempat Berhirah Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sebuah hadith yang menceritakan pemilihan kota Madinah sebagai destinasi umat Islam untuk berhijrah. Hadith tersebut adalah:   Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   رَأَيْتُ فِي المَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ، فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا اليَمَامَةُ، أَوْ هَجَرُ، فَإِذَا هِيَ المَدِينَةُ يَثْرِبُ Maksudnya: “Aku telah bermimpi bahawa sesungguhnya aku berhijrah dari kota Makkah menuju ke suatu tempat yang ada pohon kurma padanya. Lalu aku mengira tempat itu ialah adalah al-Yamamah atau Hajr. Akan tetapi, ia sebenarnya adalah Yathrib (Nama lama bagi kota Madinah).” [Riwayat al-Bukhari (3622)]   Selain itu, di dalam hadith yang lain juga ada disebutkan:   إِنِّي أُرِيتُ دَارَ هِجْرَتِكُمْ رَأَيْتُ ذَاتَ نَخْلٍ بَيْنَ لَابَتَيْنِ Maksudnya: “Aku diperlihatkan negeri hijrah kamu, iaitu satu negeri yang memiliki pohon kurma di antara dua yang berbatu.” [Riwayat al-Bukhari (3905)]   Apabila kaum muslimin mendengar sahaja ucapan Rasulullah SAW ini, maka mereka terus bergegas melakukan hijrah ke kota Madinah. Begitu juga dengan sebahagian kaum muslimin yang sedang berada di Habsyah. Mereka juga segera berangkat menuju ke kota Madinah.   Kisah Sarang Labah-Labah Di Pintu Gua Thur Para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menilai akan kesahihan kisah sarang labah-labah ini. Sebelum kami menyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kisah ini, maka ada baiknya jika kami datangkan sumber kisah ini terlebih dahulu. Kisah ini iaitu kisah sarang labah-labah di gua Thur ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam musnadnya:   Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   فَاقْتَصُّوا أَثَرَهُ، فَلَمَّا بَلَغُوا الْجَبَلَ خُلِّطَ عَلَيْهِمْ، فَصَعِدُوا فِي الْجَبَلِ، فَمَرُّوا بِالْغَارِ، فَرَأَوْا عَلَى بَابِهِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ، فَقَالُوا: لَوْ دَخَلَ هَاهُنَا، لَمْ يَكُنْ نَسْجُ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى بَابِهِ، فَمَكَثَ فِيهِ ثَلَاثَ لَيَالٍ Maksudnya: “Mereka (Kaum Musyrikin) menjejaki kesan Nabi SAW. Apabila mereka tiba di sebuah bukit, mereka tercari-cari lalu mereka telah melalui sebuah gua dan mereka terlihat sarang labah-labah di pintu gua. Mereka berkata: Sekiranya dia (Nabi SAW) masuk ke gua melalui pintu ini pasti tiada sarang labah-labah di pintu ini. Maka mereka (kaum musyrikin) berada di gua tersebut selama 3 malam.” [Riwayat Ahmad (3251)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif]   Terdapat sebuah lagi riwayat berkaitan keberadaan Nabi SAW dan Abu Bakar RA di gua Thur. Telah berkata Abu Bakar al-Siddiq RA apabila melihat ada seorang lelaki dihadapan gua:   يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيَرَانَا، فَقَالَ: كَلَّا إِنَّ مَلَائِكَةً تَسْتُرُنَا بِأَجْنِحَتِهَا Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya lelaki tersebut akan melihat kita. Maka Nabi SAW bersabda: Tidak sesekali, kerana sesungguhnya malaikat telah menutup kita dengan sayapnya.” [Riwayat al-Thabarani di Mu’jam al-Kabir (284),  106/24]   Hukum Terhadap Kisah Ini Sebagaimana kami nyatakan di atas, para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan hukum terhadap kisah atau riwayat ini.   Kata al-Hafiz Ibn Kathir di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:   وَهَذَا إِسْنَادٌ حَسَنٌ، وَهُوَ مِنْ أَجْوَدِ مَا رُوِيَ فِي قِصَّةِ نَسْجِ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى فَمِ الْغَارِ Maksudnya: “Sanad hadith ini adalah hasan dan ia merupakan antara yang terbaik diriwayatkan pada kisah sarang labah-labah di pintu gua.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 451/4]   Imam Ibn Kathir mendatang satu riwayat yang mursal (riwayat al-Tabi’in terus kepada Nabi SAW tanpa perantaraan sahabat) daripada al-Hasan al-Basri dan riwayatnya adalah hasan dengan keadaannya untuk dijadikan syahid (penyokong kepada riwayat Ibn Abbas RA):   انْطَلَقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ إِلَى الْغَارِ، وَجَاءَتْ قُرَيْشٌ يَطْلُبُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانُوا إِذَا رَأَوْا عَلَى بَابِ الْغَارِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ قَالُوا: لم يدْخل أحد Maksudnya: “Nabi SAW dan Abu Bakar bertolak ke gua. Manakala, kaum Quraish datang mencari Nabi SAW dan mereka melihat terdapat sarang labah-labah di pintu gua sambal berkata: Tidak ada sesiapa yang memasukinya.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 451/4]   Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari mengatakan:   وَذكر أَحْمد من حَدِيث بن عَبَّاسٍ بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ Maksudnya: “Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada hadith Ibn Abbas dengan sanad yang hasan.” [Lihat: Fath al-Bari, 236/7]   Imam al-Thahawi berkata:   وَقَدْ ذَكَرْنَا فِيمَا تَقَدَّمَ مِنَّا فِي كِتَابِنَا هَذَا حَدِيثُ أَبِي بَلْجٍ، عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ فِي نَوْمِ عَلِيٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ عَلَيْهِ السَّلَامُ لَابِسًا إِيَّاهُ لِبَاسَهُ بُرْدَةً، فَذَلِكَ الْحَدِيثُ شَدَّ مَا فِي هَذَا الْحَدِيثِ Maksudnya: “Kami telah menyebut dulu di dalam kitab kami ini iaitu hadith Abi Balj, daripada ‘Amr bin Maimun, daripada Ibn Abbas pada tidurnya Ali RA di atas katil Rasulullah SAW dengan dipakaikan kepadanya kain burdah. Maka hadith ini menguatkan apa yang terdapat di dalam hadith.” [Lihat: Syarah Musykil al-Athar, 5/15]   Setelah melihat pendapat-pendapat di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan bahawa kisah sarang labah-labah ini thabit sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Ibn Kathir dan juga al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitab mereka dan ia juga dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah walaupun kebanyakan ahli hadith mempertikaikan akan kewujudan kisah ini disebabkan kedhaifan yang ada pada sanad. Tambahan pula, perkara ini melibatkan sirah maka melihat kepada pendapat ahli sirah adalah lebih utama kerana mereka merupakan ahli di dalam bidang tersebut dan kisah ini juga tidak melibatkan isu aqidah atau ibadah. Ini kerana, ia adalah sekadar pengajaran kepada orang-orang yang membacanya sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT selepas penceritaan Nabi Yusuf AS:   Firman Allah SWT:   لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ Yusuf:111   Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.”   Kisah Dua Merpati Di Pintu Gua Adapun kisah burung merpati ini dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah. Beliau menyatakan daripada Anas bin Malik RA:   انْظُرُوا فِي الْغَارِ. فَاسْتَقْدَمَ الْقَوْمَ حَتَّى إِذَا كَانُوا مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْرَ خَمْسِينَ ذِرَاعًا، فَإِذَا الْحَمَامَتَانِ، فَرَجَعَ فَقَالُوا: مَا رَدَّكَ أَنْ تَنْظُرَ فِي الْغَارِ؟ قَالَ: رَأَيْتُ حَمَامَتَيْنِ وَحْشِيَّتَيْنِ بِفَمِ الْغَارِ، فَعَرَفَتْ أَنْ لَيْسَ فِيهِ أَحَدٌ Maksudnya: “Lihatlah kamu ke dalam gua, maka mereka (kaum musyrikin) mendatanginya sehingga jarak antara mereka dengan gua tersebut adalah sebanyak 50 hasta. Tiba-tiba terdapat dua ekor burung merpati lalu mereka kembali sambil berkata: Apa yang menyebabkan kamu tidak melihat dahulu apa yang ada di dalam gua?. Dia menjawab: Aku telah melihat dua ekor burung merpati di pintu gua, maka daripada situ aku mengetahui bahawa tiada orang di dalamnya.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 453/4]   Walaupun Imam Ibn Kathir menukilkan kisah ini di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah tetapi beliau mengatakan setelah mendatangkan kisah ini:   وَهَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ جِدًّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ Maksudnya: “Hadith ini (hadith tentang burung merpati ini) teramat ganjil daripada wajah (riwayat) ini.”   Antara sumber kisah ini yang boleh didapati adalah daripada Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Thabarani:   وَأَمَرَ حَمَامَتَيْنِ وَحْشِيَّتَيْنِ فَوَقَفتَا بِفَمِ الْغَارِ Maksudnya: “Dan Allah memerintahkan dua ekor burung merpati lalu hinggap di pintu gua.” [Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (1082)]   Selain itu, Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid mengatakan setelah menukilkan hadith berkaitan burung merpati ini:    رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي الْكَبِيرِ وَمُصْعَبٌ الْمَكِّيُّ وَالَّذِي رَوَى عَنْهُ، وَهُوَ عُوَيْنُ بْنُ عَمْرٍو الْقَيْسِيُّ لَمْ أَجِدْ مَنْ تَرْجَمَهُمَا، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ Maksudnya: “Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir. Adapun Mus’ab al-Makki yang meriwayatkan daripada ialah ‘Uwain bin ‘Amr al-Qaisiy, aku tidak ketahui sesiapa yang menceritakan tentang biografinya dan perawi-perawi selain daripadanya adalah thiqah (dipercayai).” [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 231/3]   وَفِيهِ جَمَاعَةٌ لَمْ أَعْرِفْهُمْ Maksudnya: “Padanya (riwayat itu) sekumpulan perawi yang tidak aku kenali.” [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 52/6]   Imam al-Zahabi mengatakan salah seorang perawi di dalam rantaian sanad hadith adalah tidak dikenali iaitu Abu Mus’ab atau namanya ‘Aun atau ‘Uwain bin ‘Amr sebagaimana di dalam kitabnya Mizan al-‘Itidal:   أَبُوْ مُصْعَبٍ لَا يُعْرَفُ Maksudnya: “Abu Mus’ab (‘Aun atau ‘Uwain bin ‘Amr) tidak dikenali.” [Lihat: Mizan al-‘Itidal, 307/3]   Setelah melihat beberapa pandangan di atas, kami berpandangan kisah burung merpati ini adalah tidak thabit di dalam peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah.   Kisah Terbenamnya Kaki Kuda Suraqah Bin Malik Berikut adalah kisah Suraqah bin Malik ketika beliau cuba mengejar Nabi SAW dan juga Abu Bakar al-Siddiq dalam perjalanan mereka ke kota Madinah.   Kata Suraqah bin Malik:   “Aku arahkan kuda itu membawa aku sehingga hampir dengan mereka. Tiba-tiba kudaku tergelincir lalu aku terjatuh. Aku bangun semula, lantas menghulurkan tanganku ke dalam sarung anak panah dan aku keluarkan beberapa anak panah dan dengan anak panah itu aku cuba membuat ramalan, adakah aku dapat memudharatkan mereka atau tidak. Tetapi yang terbit ialah yang aku tidak suka. Aku pun terus menunggang kudaku dan aku tidak pedulikan ramalanku. Kudaku membawa aku semakin hampir sehingga aku mendengar bacaan al-Qur’an oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak berpaling sedikit pun tetapi Abu Bakar yang banyak berpaling. Tiba-tiba kaki hadapan kudaku terbenam ke dalam bumi hingga ke paras lutut, lalu aku terjatuh lagi. Aku bangun dan menarik kudaku. Tatkala sudah hampir kakinya mahu keluar dan ia sudah mula berdiri betul. Tiba-tiba kelihatan di hadapannya debu-debu yang berkilauan di langit seperti asap.”   Sumber kisah Suraqah bin Malik yang terjatuh daripada kudanya ini ada dinukilkan di dalam kitab-kitab Sirah Nabawiyyah yang ditulis oleh para ulama’ terdahulu dan juga masa kini. Antaranya: Kisah ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hisyam. [Lihat: Sirah Ibn Hisyam, 459/1] Kisah ini ada diceritakan oleh Imam Ibn Kathir. [Lihat: Al-Bidayah Wa al-Nihayah, 461/4] Kisah ini juga dimuatkan oleh Syeikh Sofiy al-Rahman di dalam kitabnya. [Al-Rahiq al-Makhtum, 167-168] Syeikh Muhammad al-Ghazali juga menyebutkan kisah ini. [Lihat: Fiqh al-Sirah, 176] Syeikh Said Ramadhan al-Bouthi ada menukilkan kisah ini di dalam kitab Fiqh al-Sirahnya. [Lihat: Fiqh al-Sirah, 134]   Bilakah Nabi SAW Tiba Di Madinah Pada hari Isnin 12 Rabi’ul al-Awwal tahun ke-13 selepas perlantikan Nabi SAW sebagai rasul. Orang-orang di Madinah keluar seperti biasa iaitu untuk menunggu kehadiran Nabi SAW. Apabila cuaca mula panas, mereka pulang ke rumah masing-masing. Tiba-tiba salah seorang daripada yahudi naik ke salah satu bukit di Madinah lalu melihat Nabi SAW dan sahabat-sahabat dalam perjalanan. Maka dia memanggil orang ramai dengan suara yang tinggi. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 52/3]   Tambahan pula, terdapat sebuah hadith di dalam musnad Ahmad yang telah kami nyatakan sebelu, daripada ini iaitu Nabi SAW tiba di Madinah pada hari Isnin sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibn Abbas RA berkata:   وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ Maksudnya: “Baginda SAW tiba (sampai) di Madinah pada hari Isnin.” [Riwayat Ahmad (2506)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif disebabkan Abdullah bin Lahi’ah]   Tempoh Menetap Nabi SAW Sebelum Memasuki Madinah Dan Arahan Pembinaan Masjid Quba’ Terdapat sebuah hadith sahih yang panjang menceritakan akan perihal ini: Daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan:   قَدِمَ الْمَدِينَةَ، فَنَزَلَ فِي عُلْوِ الْمَدِينَةِ، فِي حَيٍّ يُقَالُ لَهُمْ بَنُو عَمْرِو بْنُ عَوْفٍ، فَأَقَامَ فِيهِمْ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً Maksudnya: “Apabila Nabi SAW tiba di Madinah maka Nabi SAW singgah di satu kawasan yang tinggi di Madinah iaitu sebuah perkampungan yang dinamakan Bani ‘Amr bin ‘Auf. Nabi SAW menetap di situ selama 14 malam.” [Riwayat al-Bukhari (3932) dan Muslim (524)]   Dalam tempoh ini jugalah, Nabi SAW mengarahkan untuk dibina sebuah masjid. Ini dinukilkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad:   فَأَقَامَ فِي بَنِي عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً، وَأَسَّسَ مَسْجِدَ قُبَاءَ، وَهُوَ أَوَّلُ مَسْجِدٍ أُسِّسَ بَعْدَ النُّبُوَّةِ Maksudnya: “Nabi SAW bermukim di Bani ‘Amr bin ‘Auf selama 14 malam dan Baginda SAW mengasaskan masjid Quba’. Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama diasaskan selepas kenabian.” [Lihat: Zad al-Ma’ad, 52/3]   Akan tetapi terdapat riwayat yang mengatakan bahawa Nabi SAW menetap di Quba’ selama 4 malam sebagaimana yang dinyatakan oleh penulis al-Rahiq al-Makhtum. [Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, 170] dan ini juga merupakan pendapat Ibn Ishaq di dalam Sirah Ibn Hisyam. [Lihat: Sirah Ibn Hisyam, 494/1]   Sejarah Unta Nabi SAW Nabi SAW mempunyai seekor unta betina yang dinamakan dengan al-Qaswa’ (القصواء) dan unta ini telah dibeli oleh Rasulullah SAW daripada Abu Bakar RA. Unta ini dikatakan hujung bahagian telinga atau hidungnya terpotong dan unta ini Allah SWT telah memberi kelebihan kepadanya seperti kekuatan dan kelajuan berbanding unta-unta yang lain. Tambahan pula, Unta inilah yang digunakan oleh Nabi SAW dalam peristiwa Hijrah ke Madinah dan juga beberapa persitiwa yang lain seperti pemilihan tapak Masjid Nabawi. Kisah pembelian unta ini ada diceritakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.   Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   فَخُذْ بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِحْدَى رَاحِلَتَيَّ هَاتَيْنِ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِالثَّمَنِ. قَالَتْ: فَجَهَّزْنَاهُمَا أَحَثَّ الجِهَازِ Maksudnya: “Ambillah dengan nama ayahmu wahai Rasulullah SAW salah satu daripada dua tunggangan (unta) ini. Maka Nabi SAW bersabda: Dengan harga.” [Riwayat al-Bukhari (3905)]   Bilangan Rombongan Bersama Nabi SAW   Telah berkata al-Barra’:   أَوَّلُ مَنْ قَدِمَ عَلَيْنَا مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ، وَابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَكَانَا يُقْرِئَانِ النَّاسَ، فَقَدِمَ بِلاَلٌ وَسَعْدٌ وَعَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ، ثُمَّ قَدِمَ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ فِي عِشْرِينَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ " قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Maksudnya: “Orang yang pertama tiba daripada kalangan sahabat Nabi SAW adalah Mus’ab bin Umair dan juga Ibn Ummi Maktum. Mereka berdua juga mengajar al-Qur’an di sana. Kemudian, datangnya Ammar, Bilal, Sa’ad dan Umar bin al-Khattab serta bersamanya 20 orang. Setelah itu, barulah Rasulullah SAW tiba.” [Riwayat al-Bukhari (3925)]   Tambahan pula, ramai daripada kalangan muhajirin telah menunggu di Quba’ pada satu tempat bernama al-‘Usbah (العصبة) sebelum ketibaan Nabi SAW. [Lihat: al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, 227]   Siapakah Abdullah Ibn ‘Uraiqit Dalam peristiwa Hijrah ini, Rasulullah SAW dan juga Abu Bakar RA telah mengupah seorang bernama Abdullah bin ‘Uraiqit daripada kalangan musyrikin sebagai penunjuk jalan agar tidak dapat dikesan oleh kaum musyrikin Makkah. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan bahawa Imam Abd al-Ghani al-Maqdisi di dalam kitab sirahnya mengatakan bahawa tidak diketahui akan keislamannya dan begitu juga al-Nawawi di dalam Tahzib al-Asma’. [Lihat: al-Isobah, 5/4]   Ucapan Nabi SAW Di Madinah Antara ucapan pertama Nabi SAW apabila tiba di Madinah adalah:   Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:   لَوْلاَ الهِجْرَةُ لَكُنْتُ امْرَأً مِنَ الأَنْصَارِ، وَلَوْ سَلَكَ النَّاسُ وَادِيًا وَسَلَكَتِ الأَنْصَارُ وَادِيًا  أَوْ شِعْبًا  لَسَلَكْتُ وَادِيَ الأَنْصَارِ، أَوْ شِعْبَ الأَنْصَارِ Maksudnya: “Jikalau bukan kerana hijrah, maka aku adalah seorang daripada kaum Ansar. Jikalau manusia mengharungi satu lembah dan kaum Ansar mengharungi satu lembah yang lain atau lereng, nescaya aku akan mengharungi lembah kaum Ansar atau lereng kaum Ansar” [Riwayat al-Bukhari (7244)]   Tempoh Hijrah Nabi SAW Ke Madinah Berkaitan tarikh penghijrahan Nabi SAW telah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama’ maka tempoh hijrah akan bergantung kepada bermulanya hijrah Nabi SAW. Di sini kami sertakan dua pendapat yang dinyatakan oleh dua orang ulama’ kontemporari yang terkenal iaitu Syeikh Said Ramadhan al-Bouthi di dalam Fiqh al-Sirah dan Syeikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam al-Rahiq al-Makhtum.   Menurut Syeikh al-Bouthi Nabi SAW keluar dari Makkah pada 2 Rabi’ul al-Awwal 13 tahun selepas dilantik menjadi rasul dan tiba di Madinah pada 12 Rabi’ul al-Awwal 13 tahun selepas dilantik menjadi rasul. Berdasarkan pendapat ini perjalanan Nabi adalah selama 10 hari.   Adapun menuurut Syeikh al-Mubarakfuri Nabi SAW keluar dari Makkah pada 27 Safar 14 tahun selepas dilantik menjadi rasul dan tiba di Madinah pada 12 Rabi’ul al-Awwal 14 tahun selepas dilantik menjadi rasul. Jika melihat kepada pendapat ini perjalanan Nabi SAW adalah selama sekitar 15 hari.   Melihat kepada kedua pendapat di atas, maka difahami bahawa tempoh hijrah Nabi SAW adalah di antara 10 ke 15 hari termasuklah hari Baginda SAW dan Abu Bakar RA di Gua Thur.   Penutup Kesimpulannya, peristiwa hijrah Nabi SAW ke kota Madinah bersama Abu Bakar al-Siddiq RA telah membuka satu lipatan sejarah yang baru buat dunia Islam. Ini kerana, bermula daripada hijrah ini, agama Islam ini mula berkembang sehingga Islam dapat menakluki dunia. Akhirnya, marilah sama-sama kita mengambil semangat hijrah ini agar menjadi insan yg lebih baik dalam semua aspek dan seterusnya semoga Allah SWT menghimpunkan kita bersama-sama para nabi dan sahabat yang telah banyak berjasa kepada agama ini sehingga kita dapat menikmati dua nikmat yang besar iaitu Iman dan Islam di syurga kelak. Amin.   Wallahua’lam
3,480
FUNGSI UNIT KONSULTASI AKIDAH Melaksanakan perintah Mahkamah melalui MAIWP dalam perkara permohonan pengisytirahan status agama di Wilayah Persekutuan. Berusaha sedaya upaya menyelamatkan akidah pemohon dengan memberi motivasi dan dorongan serta menasihati dalam hal yang berkaitan agama islam. Menjadi pemudahcara interaksi antara kepelbagaian agama di Malaysia khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Memberi Khidmat Penasihatan khususnya berkaitan permasalahan akidah dan hal-hal lain sekiranya perlu. Muat turun Borang Maklumat Diri Khidmat Nasihat Akidah
3,481
MUKADDIMAH Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kesudahan. Wakaf merupakan satu daripada amalan sedekah yang sangat dituntut oleh Islam. Sepertimana juga amalan sedekah yang lain, amalan ini telah dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar oleh Allah SWT kepada pewakafnya. Ganjaran ini berterusan mengalir kepada pewakafnya meskipun setelah meninggal dunia selagi mana harta yang diwakafkan itu dimanfaatkan oleh orang ramai. Wakaf tidak hanya tertumpu setakat keagamaan sahaja, malah ianya meliputi pembangunan prasarana dan perkhidmatan awam. Memandangkan wakaf mempunyai potensi yang luas, kerajaan menubuhkan Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (JAWHAR) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2004 untuk memajukan wakaf di negara ini. Kemudian pada 2008, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) ditubuhkan untuk melaksanakan pembangunan wakaf. Kerajaan akan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) dalam memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap di negara ini dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami telah memilih tajuk WAQAF DEFINISI, KONSEP DAN KEPENTINGANNYA. Semoga perbincangan ini memberikan kefahaman mengenai konsep wakaf dan kepentingan ummah untuk memahami konsep wakaf dengan lebih luas lagi seiring dengan peredaran zaman serta kemajuan. Seterusnya dapat menyuntik semangat dalam diri umat Islam agar memulakan serta mempraktikkan amalan wakaf ini demi kepentingan Islam dan kesejahteraan ummah. DEFINISI WAKAF Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain. Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Rujuk: Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Rujuk: al-Takrifat al-Fiqhiyyah, 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak. Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut: Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235) Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Rujuk: Al-Mughni, 12/175) Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553) Berdasarkan pengertian fuqaha di atas, dapat dirumuskan bahawa wakaf ialah satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf (pemberi) ke atas harta yang diwakafkan. Harta yang hendak diwakafkan perlu jelas pemilikannya dan juga perlulah memberi manfaat dan faedah. Begitu juga harta tersebut perlulah bersifat kekal fizikalnya. DALIL PENSYARIATAN WAKAF DARI AL-QURAN DAN AL-SUNNAH Wakaf merupakan amalan sedekah yang digalakkan oleh Islam terhadap umatnya yang berkemampuan agar kesenangan yang dikurniakan itu dapat dinikmati oleh golongan kurang berkemampuan. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT: لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Surah Ali Imran: 92) Menurut Imam al-Baidawi ketika menafsirkan ayat di atas, menyatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat mencapai hakikat sesebuah kebaikan iaitu kesempurnaan bagi kebaikan atau tidak akan mencapai kebaikan Allah SWT iaitu Rahmat-Nya, keredaan-Nya dan syurga sehinggalah seseorang itu menginfakkan sesuatu yang disayanginya daripada harta-hartanya. (Rujuk: Tafsir al-Baidawi, 2/28) Selain itu, Imam al-Khatib al-Syarbini juga menyatakan mengenai ayat ini bahawa sesungguhnya Abu Talhah ketika mendengar ayat ini, beliau suka (ingin) mewakafkan (kebun) Bairuha’ yang merupakan harta yang paling disayanginya. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Maani Alfaz al-Minhaj, 3/522) Terdapat juga sebuah hadis Nabi SAW menceritakan tentang wakaf saidina Umar RA yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA: ‏أَصَابَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ,‏ ‏فَأَتَى النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَسْتَأْمِرُهُ ‏ ‏فِيهَا, فَقالَ  : يَا رَسُولَ اللَّهِ , إِنِّي ‏ ‏أَصَبْتُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ‏ ‏لَمْ ‏ ‏أُصِبْ ‏ ‏مَالاً قَطُّ هُوَ ‏ ‏أَنْفَسُ ‏ ‏عِنْدِي مِنْهُ, فَقَالَ : ‏ ‏إِنْ شِئْتَ ‏ ‏حَبَسْتَو‏أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا, وَلاَ ‏ ‏يُبْتَاعُ ‏ ‏وَلاَ يُورَثُ وَلاَ يُوهَبُ قَالَ فَتَصَدَّقَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏فِي الْفُقَرَاءِ وَفِي الْقُرْبَى وَفِي الرِّقَابِ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏ ‏وَابْنِ السَّبِيلِ ‏ ‏وَالضَّيْفِ لاَ ‏ ‏جُنَاحَ ‏ ‏عَلَى مَنْ ‏ ‏وَلِيَهَا ‏ ‏أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ أَوْ يُطْعِمَ صَدِيقًا غَيْرَ ‏ ‏مُتَمَوِّلٍ ‏ مَالاً Maksudnya: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang menghadap Nabi S.A.W untuk meminta pendapat berkenaan cara menguruskannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar.  Saya belum pernah memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah tanah itu (wakafkanlah tanah itu) dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah dari hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya. Riwayat Muslim (1632) Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyatakan hadis ini merupakan dalil yang membenarkan amalan wakaf dan amalan ini berlawanan dengan (amalan) tercela masyarakat jahiliyah. Terkandung dalam hadis ini juga mengenai fadilat (kelebihan) amalan berwakaf yang mana kedudukannya sebagai sedekah jariah dan juga fadhilat (kelebihan) menafkahkan sesuatu yang disayangi. (Rujuk: Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/86) RUKUN-RUKUN WAKAF Terdapat empat rukun wakaf yang menjadi asas kepada perlaksanaan wakaf ini iaitu: Al-wakif iaitu pihak yang mewakafkan harta sama ada individu ataupun organisasi. Al-mauquf iaitu harta yang diwakafkan sama ada harta alih atau harta tidak alih. Al-mauquf ‘alaih iaitu pihak yang diwakafkan kepadanya harta atau pihak yang menerima manfaat wakaf tersebut. Sighah iaitu lafaz yang digunakan oleh pewakaf bagi mewakafkan harta tersebut. Apabila lengkap dan sempurna keempat-empat rukun di atas berserta syarat-syaratnya, maka wakaf tersebut adalah sah dan diperakukan oleh syarak. KEPENTINGAN DAN MANFAAT WAKAF KEPADA UMAT ISLAM Ibadah wakaf ini telah diamalkan oleh Rasululullah SAW dan para sahabat sejak sekian lama setelah ia disyariatkan. Diriwayatkan bahawa apabila Abu Talhah mendengar sahaja ayat 92 dari surah Aali Imran (rujuk ayat sebelum ini) maka beliau segera untuk mewakafkan harta yang paling disayanginya iaitu kebun Bairuha’. Kata beliau kepada Rasulullah SAW: إِنَّ رَبَّنَا لَيَسْأَلُنَا مِنْ أَمْوَالِنَا فَأُشْهِدُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنِّي جَعَلْتُ أَرْضِي لِلَّهِ Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kita meminta untuk kita mengeluarkan infak daripada harta kita, maka aku bersaksikan kamu wahai Rasulullah SAW, bahawa aku menjadikan tanah ini milik Allah SWT (untuk diwakafkan).  Riwayat al-Nasaie (3602) Sirah Nabi SAW ada menceritakan kisah Saidina Uthman Ibn ‘Affan RA yang mewakafkan telaga yang disebut sebagai bi’r al-ruumah untuk kegunaan umat Islam ketika itu. Telaga tersebut dibeli oleh beliau daripada seorang Yahudi yang menghalang orang ramai dari menggunakannya dan mengenakan harga yang tinggi bagi sesiapa yang ingin mengambil air daripadanya. Tindakan bijak Saidina Uthman merupakan suatu amalan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam ketika itu, bahkan ada pendapat menyebut bahawa sebab turun surah al-Fajr, ayat 27-30 selepas berlakunya peristiwa ini. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa: وَرَوَى الضَّحَّاكُ إِنَّهَا نَزَلَتْ فِي عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ حِينَ وَقَفَ بِئْرَ رُومَةَ Maksudnya: Al-Dahhak meriwayatkan bahawa ayat ini diturunkan pada Uthman Ibn ‘Affan RA ketika beliau mewakafkan telaga al-ruumah. (Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 20/ 58) Selain itu, antara contoh manfaat wakaf pada masa kini yang berjaya memberi sumbangan dan manfaat yang besar kepada umat Islam, khususnya umat Islam di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ialah wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy. Sebelum akhir hayat beliau, beliau mewakafkan hampir keseluruhan harta beliau termasuklah tanah milik beliau di Jalan Perak, Kuala Lumpur seluas 1.2 hektar. MAIWP selaku pemegang amanah hartanah wakaf berkenaan telah membangunkan tanah wakaf tersebut seterusnya menjadi pelopor kepada pembangunan tanah wakaf bagi tujuan komersial di Malaysia. Hasilnya, dengan kerjasama antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), maka tanah tersebut berjaya dibangunkan. Dalam perkongsian pintar ini, LTH sebagai pemaju menawarkan pembiayaan 100% bagi membangunkan tanah wakaf MAIWP ini dan BIMB sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia menjadi penyewa utama. TH Properties pula memainkan peranan sebagai pengurus projek. Berdasarkan struktur pembiayaan “Build-Operate-Transfer”, MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM56.6 juta sepanjang tanah tersebut dipajakkan kepada LTH iaitu selama 25 tahun. Sumbangan dan manfaat daripada wakaf ini begitu besar terhadap umat Islam di Malaysia dan sehingga hari ini ia masih dapat dirasai dan dinikmati dalam mengukuhkan ekonomi umat Islam di negara ini. Oleh yang demikian, dapat dilihat bagaimana harta yang diwakafkan mampu menyumbangkan sesuatu manfaat yang berterusan kepada ummah secara keseluruhannya dan tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja. Amalan berwakaf ini jika dapat digembelingkan secara lebih tersusun tentunya akan dapat membangunkan ekonomi umat Islam di negara ini. Memahami kepentingan ini YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia dipetik daripada akhbar Sinar Harian, 13 April 2021, menggalakkan penjawat awam berwakaf, khususnya secara berkala melalui potongan gaji. Oleh yang demikian beliau mahu semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan serta agensi di peringkat persekutuan memainkan peranan dalam mengalakkan pegawai dan kakitangan mereka berwakaf. Galakan ini turut sama melibatkan institusi-institusi perbankan dan kewangan Islam bagi membantu mewujudkan pelbagai platform lagi untuk berwakaf. Harapan beliau, dengan adanya peranan institusi-institusi berkaitan wakaf di Malaysia, negara kita boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada negara-negara Islam yang lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf. PENUTUP Ibadah wakaf ini merupakan salah bentuk amal jariah yang diberikan ganjaran pahala yang berlipat-ganda oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana Allah SWT berfirman dalam al-Quran: مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. (Surah al-Baqarah: 261) Selain itu, dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda mengenai amalan wakaf ini diberikan ganjaran pahala yang berterusan meskipun si pewakaf sudah meninggal dunia: إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ ‌صَدَقَةٍ ‌جَارِيَةٍ، ‌أَوْ ‌عِلْمٍ ‌يُنْتَفَعُ ‌بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ Maksudnya: Apabila telah mati seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya. Riwayat Muslim (1631) Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis di atas merujuk kepada wakaf kerana ia memberi manfaat yang berterusan kepada orang ramai, sedangkan sedekah biasa yang lain kebanyakannya hanya terhad manfaatnya kepada individu tertentu yang menerima sedekah sahaja. Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menyebutkan bahawa: وَالصَّدَقَةُ الْجَارِيَةُ مَحْمُولَةٌ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ عَلَى الْوَقْفِ كَمَا قَالَهُ الرَّافِعِيُّ فَإِنَّ غَيْرَهُ مِنْ الصَّدَقَاتِ لَيْسَتْ جَارِيَةً، بَلْ يَمْلِكُ الْمُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ أَعْيَانَهَا وَمَنَافِعَهَا نَاجِزًا Maksudnya: Sedekah jariah yang disebutkan di dalam hadis menurut para ulama ialah merujuk kepada wakaf. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Rafi’e. Ini kerana sedekah selain wakaf bukanlah bersifat jariah (memberi manfaat yang berterusan), bahkan dimiliki oleh orang yang menerima harta dan manfaat sedekah itu sahaja.  (Rujuk: Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3/522) Akhir kalam, semoga dengan sedikit pencerahan mengenai amalan wakaf ini, Allah SWT membuka pintu hati kita agar mula melakukan amalan wakaf yang banyak manfaatnya. Seterusnya dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi ummah dalam skala yang besar. Amin.
3,483
Soalan: Saya mendengar kenyataan “Al-Ghazali kata kalau kamu letakkan kapas pada api, kapas itu terbakar bukan kerana api tetapi kerana Allah mahu ia terbakar”. Beliau menegaskan bahawa hal ini tidak rasional kerana semuanya meletakkan kepada Tuhan semata-mata. Apakah pemahaman sebenar dalam konsep sebab-akibat ini? Jawapan: Pemahaman dalam konsep sebab-akibat ini sangat berkaitan dengan perilaku seharian sebagai seorang manusia yang normal. Isu sebab-akibat ini adalah isu asas dalam akidah Asya’irah. Dalam hal ini, individu berkenaan mungkin merujuk kepada kenyataan Imam al-Ghazali dalam kitabnya Tahafut al-Falasifah yang menegaskan bahawa Allah mampu membuat apa sahaja. Kuda tidak wajib baginya diciptakan daripada air mani, pokok tidak wajib diciptakan daripada biji benih. Kenyataan Imam al-Ghazali ini tidak wajar dibaca dengan meninggalkan perbahasan sepenuhnya dalam Tahafut al-Falasifah. Hal ini juga ada dibahaskan dalam subjek Mekanik Kuantum oleh saintis moden. Perbincangan ini pada asasnya tidak lari daripada hukum adat disisi Asyai`rah sebagaimana dikupas dalam al-Muqaddimat oleh Imam al-Sanusi: Kaitan antara wujud dengan wujud; Seseorang itu kenyang kerana dia makan. Kaitan antara tidak wujud dengan tidak wujud; Seseorang tidak kenyang kerana tidak makan. Kaitan antara wujud dengan tidak wujud; Seseorang itu lapar kerana dia tidak makan. Kaitan antara tidak wujud dengan wujud; Seseorang itu tidak lapar kerana dia makan. Hakikatnya, samada wajib, mustahil dan harus di sisi adat, kesemuanya adalah harus di sisi akal (boleh berlaku) yang juga termasuk dalam perkara yang mumkinat di sisi Allah SWT. Imam al-Ghazali di dalam Tahafut al-Falasifah mengkritik pendapat ahli falsafah yang menyatakan bahawa hubungan sebab-akibat merupakan hubungan yang bersifat tetap dan pasti. Imam al-Ghazali tidak menolak hukum sebab-akibat tetapi beliau meluruskan salahfaham anggapan dikalangan umat Islam bahawa apa yang terjadi di alam ini hanya disebabkan kekuatan kebendaan semata-mata tanpa. Sedangkan, ada sebab lain disebalik keadaan itu iaitu kehendak Allah SWT (al-iradah al-qadimah) dan kekuasaan Allah SWT (al-qudrah al-qadimah).  Sebagai contoh, kaitan antara makan dan kenyang sebenarnya tidak terdapat hubungan yang bersifat kemestian. Ertinya, orang yang makan tidak memestikan dia merasa kenyang. Begitu pula kertas tidak mesti terbakar oleh api, air tidak mesti menyebabkan kain menjadi basah. Semua itu hanya merupakan adat atau kebiasaan alam, bukan suatu kemestian. Terjadinya segala sesuatu di dunia ini kerana kekuasaan dan kehendak Allah semata-mata. Oleh itu, kalau kertas yang terbakar kerana terkena api, orang makan menjadi kenyang, dan kain yang basah kerana terkena air, itu semua semata-mata hanya kerana kekuasaan dan kehendak Allah. Hukum sebab-akibat yang berlaku bukannya daripada kekuatan semulajadi sesuatu benda, tetapi merupakan sunnatullah. Sesuatu sebab tidak semestinya akan membawa sesuatu akibat tertentu. Begitu juga di sana terdapat keadaan yang mana ada hukum sabab dan musabab tetapi berubah keadaannya bagi menunjukkan kekuasaan-Nya melalui kaedah kun fayakun. Ini sebagaimana dalam peristiwa yang jelas disebutkan dalam al-Qur’an seperti kisah unta Nabi Soleh yang keluar daripada batu, perjalanan Isra’ dan Mi’raj, Nabi Ibrahim tidak terbakar di dalam api, 12 mata air Nabi Musa, Maryam melahirkan Nabi ‘Isa, pemuda Kahfi dan lain-lain. Inilah yang dinamakan sebagai mukjizat dan karamah. Dalam membahaskan berkenaan terbakarnya kapas disebabkan api, Imam al-Ghazali membawakan penghujahan yang sangat baik pada kami. Menurutnya, terdapat dua kemungkinan: Boleh jadi api bertemu kapas tanpa terjadi kebakaran Perubahan kapas menjadi abu tanpa pertemuan dengan api Para ahli falsafah sememangnya mengingkari hal ini. Dinyatakan bahawa api hanya pelaku yang membakar kerana sifatnya dan diri api itu sendiri adalah mati dan tidak mempunyai perbuatan dan pilihan. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa boleh sahaja kapas itu menjadi hitam tanpa disentuh api melalui kehendak Allah. Dalam masa yang sama, beliau juga memberi penjelasan bahawa api bukanlah pelaku sebenarnya kerana jika seseorang membunuh orang lain dengan melemparkannya kepada api, tentu yang memerhatikan situasi itu akan menyatakan orang itu yang membunuh, bukannya api kerana api cuma sebab langsung atau musabbab yang membunuhnya. Hukum sebab-akibat yang berlaku bukannya daripada kekuatan semulajadi sesuatu benda, tetapi merupakan sunnatullah. Sesuatu sebab tidak semestinya akan membawa sesuatu akibat tertentu. Sebelum menyatakan bahawa aliran akidah yang wujud sekarang tidak rasional kerana meletakkan sepenuhnya kepada Allah semata-mata, seseorang perlu faham konsep sabab, musabbab dan musabbib al-asbab. Contohnya, ubat dan rawatan adalah sabab, sembuh penyakit yang diubati adalah musabbab. Kehendak, ketentuan dan kekuasaan Allah yang menyembuhkan penyakit itu adalah musabbib al-asbab. Justeru, kehendak Allah menentukan sama ada pilihan manusia tercapai atau tidak, Allah SWT lah yang menentukannya kerana Allah SWT mengetahui kebaikan, kesesuaian dan kesan di sebalik sesuatu pilihan manusia. Jika ia baik, sesuai dan memberi kesan positif, Allah SWT akan memudahkan ianya tercapai. Sebaliknya jika ia buruk, tidak sesuai dan memberi kesan negatif, Allah SWT akan menyukarkan ia dari tercapai. Ini kerana Allah adalah tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana sementara manusia dalam membuat pilihan serba tidak mengetahui dan tidak bijaksana. Hal ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT: وَمَا تَشَاءُونَ إِلاَّ أَن يَشَاءَ اللهٌ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا Maksudnya: “Dan tiadalah kamu berkehendak (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan kehendak Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”(Surah al-Insan : 30) Meletakkan Allah sebagai Penyebab utama bagi semua sebab adalah sah di sisi wahyu samada dalam bentuk hakiki atau adab kepada-Nya. Musibah, kebaikan dan keburukan semuanya adalah datang daripada Allah SWT. Kesemuanya telah tertulis dalam qadha’ dan qadar-Nya. (Rujuk Syarah al-‘Aqidah al-Thahawiyah, 5/51) Firman Allah SWT: قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّـهِ Maksudnya: “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah.” (Surah al-Nisa’: 78) Menurut Imam al-Razi, ia bermaksud keseluruhan qadha’ dan qadar Allah. Pelaksanaannya meliputi hal yang baik, juga kepada yang membuat kekejian, yang beriman dan yang kafir. Berkata Ali bin Abi Talhah, daripada Ibn ‘Abbas berkata (قُلْ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ ) bermaksud “Kebaikan dan kejahatan.” Begitu juga dinyatakan oleh al-Hasan al-Basri. (Rujuk Mafatih al-Ghaib, 2/362). Lihat juga bagaimana ucapan Nabi Ibrahim alaihisssalam ketika berdialog dengan kaumnya sebagaimana dinyatakan dalam al-Qur’an. الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ ﴿٧٨﴾ وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ ﴿٧٩﴾ وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ ﴿٨٠﴾ Maksudnya: “Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum, Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;” (Surah al-Syu’ara’: 78-80) Dalam rangka mengusahakan sebab, hatinya bergantung kepada Allah agar sebab itu menghasilkan musabab yang diharapkan. Selesai mengusahakan sebab, hatinya bergantung kepada Allah dalam menanti musabab yang bakal Allah berikan. Setelah menerima musabab, dia bersyukur, redha atau sabart dalam apa jua yang Allah SWT taqdirkan ke atasnya. Seperti juga tidak menisbahkan perbuatan jahat kepada-Nya, ia adalah satu bentuk adab tanpa menafikan kedua-duanya adalah kembali kepada kehendak dan kekuasaan-Nya. Firman Allah SWT: مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ ۚ Maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.”(Surah al-Nisa’: 79) (مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ) adalah hal yang diciptakan-Nya, (وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ) adalah satu bentuk penisbahan yang beradab kepada-Nya. Allah bukan sahaja mencipta ‘ain makhluk, malah setiap perbuatan makhluk yang pada pandangan zahirnya merupakan ciptaan makhluk itu sendiri juga merupakan ciptaan Allah. (Rujuk al-Iman bi al-Qadha’ wa al-Qadar, m. 90).  Imam al-Ghazali menyatakan: Tidak ada makhluk yang terzahir melalui suatu makhluk lain [termasuk sebab musabab]. Malah, semuanya terzahir melalui kudrat Allah SWT. (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, m. 30) Kesimpulannya, pada hakikatnya manusia mempunyai kekuasaan (qudrah) walaupun ia tidak memberikan sebarang kesan, dan dinamakan kekuasaan atau usaha (kasb) itu sebagai kekuasaan yang baru (al-qudrah al-hadithah).  Dalam persoalan usaha, Imam al-Asy’ari menekankan usaha manusia dalam perbuatan adalah diciptakan (makhluq). Dengan demikian, beliau menegaskan bahawa kekuasaan Allah adalah hakiki manakala usaha manusia hanya bersifat perlambangan (majazi) sahaja. Allah merupakan pencipta kepada perbuatan manusia sama ada baik mahupun jahat, dan manusia pula adalah pelaku (muktasib) kepada perbuatannya itu. Imam al-Asy’ari menekankan konsep kekuasaan Allah yang mana menjelaskan bahawa semua perkara sama ada baik mahupun buruk adalah dikehendaki oleh Allah. Dia menjadikan perbuatan manusia dengan menjadikan dalam diri manusia, kuasa untuk melakukan setiap perbuatan. (Rujuk al-Ibanah, 2/25) Wallahua'lam.
3,484
Soalan Assalamualaikum, saya nak bertanya berkenaan puasa nazar. Contohnya kalau kita bernazar untuk berpuasa selama 5 hari, bolehkah kita berpuasa secara selang seli atau perlu puasa penuh secara berturut-turut. Terima kasih.   Jawapan Ringkas Sekiranya nazar tersebut diniatkan secara mutlak tanpa mengkhususkan sama ada ingin buat secara selang-seli mahupun berterusan, maka seseorang itu bebas untuk memilih mana-mana cara yang diinginkan. Kewajipan nazar tersebut kekal bersifat umum mengikut apa-apa kaedah sekalipun selagimana mencapai tujuan dan hasrat utama iaitu berpuasa sebanyak bilangan 5 hari.    Huraian Jawapan Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Nazar bermaksud mewajibkan suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengikat) dengan suatu perkara.  (Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/501) Setiap nazar yang menepati rukun dan syarat, wajib dipenuhi. Ini bersandarkan hadis Rasulullah SAW, مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلا يَعْصِهِ Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka wajib laksanakannya. Barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat pada-Nya, maka jangan lakukan.” Riwayat Bukhari (6202) Barang siapa yang bernazar untuk berpuasa selama 5 hari secara mutlak tanpa mengikatnya dengan perkara lain seperti puasa secara berturut-turut mahupun secara terpisah-pisah, maka dia mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana kaedah yang disukai. Perkara ini disebutkan oleh Imam Ramli dalam kitabnya, (فَإِنْ قَيَّدَ بِتَفْرِيقٍ أَوْ مُوَالَاةٍ وَجَبَ) مَا قَيَّدَ بِهِ عَمَلًا بِمَا الْتَزَمَهُ، أَمَّا الْمُوَالَاةُ فَظَاهِرٌ، وَأَمَّا التَّفْرِيقُ فَلِأَنَّ الشَّارِعَ نَظَرَ إلَيْهِ فِي صَوْمِ الْمُتَمَتِّعِ، فَإِنْ نَذَرَ عَشَرَةً مُتَفَرِّقَةً فَصَامَهَا وَلَاءً حُسِبَ لَهُ مِنْهَا خَمْسَةٌ (وَإِلَّا) بِأَنْ لَمْ يُقَيِّدْ بِتَفْرِيقٍ وَلَا مُوَالَاةٍ (جَازَ) كُلٌّ مِنْهُمَا وَالْوَلَاءُ أَفْضَلُ. Maksudnya: “Berkenaan isu mengkhususkan (niat puasa) sama ada ingin dilakukan secara terpisah mahupun berturut-turut, maka wajib melaksanakannya mengikut apa yang diniatkan. Adapun secara berturut-turut, maka halnya jelas. Adapun secara terpisah, maka Syarak melihatnya (sepertimana) hal orang yang berpuasa Mutamatti’ (iaitu: denda berpuasa 10 hari secara terpisah yang dikenakan bagi mereka yang mengerjakan Haji Tamattu’). Oleh itu, bagi sesiapa yang bernazar puasa sepuluh hari secara terpisah, tetapi dia melakukannya secara berturut-turut, maka dia dianggap baru berpuasa lima hari. Sebaliknya, jika dia tidak mengkhususkan (nazarnya) sama ada (dilakukan) secara terpisah mahupun berturut-turut, maka diharuskan untuk melakukan mana-mana sahaja. Walaupun begitu, melaksanakan secara berturut-turut adalah lebih afdhal (baik)”. (Lihat: Nihayah al-Muhtaj, 8/225) Berdasarkan teks ulama di atas, boleh difahami bahawa sekiranya niat puasa nazarnya diikat dengan perkara-perkara tertentu, maka wajib mengikut apa yang diniatkan. Jika diniatkan secara mutlak, maka dia bebas beramal dengan keumuman ibadah tersebut selagimana objektif nazar tersebut tercapai. Wallahu a’lam.
3,485
SOALAN Adakah orang yang dihumban ke dalam api neraka itu akan mati pada akhirnya? Bagaimanakah hakikat sebenar orang yang disiksa? Bolehkah dijelaskan kepada saya. Terima Kasih. JAWAPAN Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Sesungguhnya penciptaan manusia itu bukanlah sesuatu pekerjaan yang sia-sia apabila manusia itu bertemu dengan kematian. Sebaliknya, setiap daripada kita akan dihisab dan ditentukan kedudukan sama ada akan ditempatkan di syurga atau neraka berdasarkan apa yang diamalkan sepanjang kehidupan di dunia. Hal ini jelas seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT: وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَـٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا Maksudnya: Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (Surah al-Nisa’:124) Manakala bagi manusia-manusia yang lalai akan hari pembalasan, maka telah dipersiapkan buat mereka neraka sebagai pembalasan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT: وَالَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ Maksudnya: Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.  (Surah al-Baqarah: 39) Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Baghawi menyatakan yang dimaksudkan dengan kekal adalah, penghuni neraka tidak akan dikeluarkan dan tidak akan mati padanya. Lihat Maalim al-Tanzil (1/29). Hal ini lebih jelas sekiranya diperhatikan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: أَمَّا أَهْلُ النَّارِ الَّذِينَ هُمْ أَهْلُهَا فَإِنَّهُمْ لاَ يَمُوتُونَ فِيهَا وَلاَ يَحْيَوْنَ وَلَكِنْ نَاسٌ أَصَابَتْهُمُ النَّارُ بِذُنُوبِهِمْ أَوْ بِخَطَايَاهُمْ فَأَمَاتَتْهُمْ إِمَاتَةً حَتَّى إِذَا كَانُوا فَحْمًا أُذِنَ لَهُمْ فِي الشَّفَاعَةِ فَجِيءَ بِهِمْ ضَبَائِرَ ضَبَائِرَ فَبُثُّوا عَلَى أَنْهَارِ الْجَنَّةِ فَقِيلَ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ أَفِيضُوا عَلَيْهِمْ فَيَنْبُتُونَ نَبَاتَ الْحِبَّةِ تَكُونُ فِي حَمِيلِ السَّيْلِ Maksudnya: adapun penduduk neraka yang sememangnya mereka penghuninya, maka mereka tidak akan mati di dalamnya dan tidak juga hidup (beristirehat daripadai siksa neraka). Tetapi ada manusia yang akan diazab dengan api kerana dosa-dosa mereka atau kesalahan mereka, mereka akan dibunuh sehingga mereka bagaikan menjadi arang, hingga diizinkan kepada mereka syafaat. Kemudian (arang-arang) itu dibawa secara lambakan dan dilemparkan di sungai-sungai syurga, lalu dikatakan “wahai Ahli syurga, curahkan air kepadanya dan ia akan menjadi benih yang dihanyutkan arus” Imam al-Nawawi menukilkan pandangan ulama’ yang menerangkan maksud penduduk neraka yang sememangnya penghuni neraka, ialah golongan kuffar yang tidak akan keluar selamanya daripada neraka. Lihat Fatwa al-Nawawi:104. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ Maksudnya: Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.  (Surah al-Fatir: 36) Maka jelaslah, bahawa Allah SWT tidak mematikan orang-orang yang kufur kepada-Nya sebagai balasan, kerana kematian itu hanya akan menyebabkan sakit yang seketika, berbanding dengan siksaan yang berpanjangan sesuai dengan tempoh masa yang diberikan di dunia untuk setiap manusia beriman kepadanya. Bukan sekadar menyiksa orang-orang yang kufur ini dengan tidak mematikan mereka, malah untuk memastikan mereka berterusan merasa sakit dengan siksaan tersebut, maka Allah SWT berfirman: إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Nisa’: 56) Kesimpulan Berdasarkan apa yang di hujahkan di atas, kami katakan bahawa sememangnya sudah terang lagi bersuluh, penghuni neraka itu sesekali tidak akan mati atau dimatikan di dalam neraka agar mereka boleh terus merasakan azab di atas segala yang mereka lakukan di dunia. Semoga Allah SWT menjauhi kita dan membebaskan kita daripada api neraka-Nya. Amin
3,488
Mukadimah Wanita adalah  makhluk ciptaan Allah SWT yang mempunyai sifat kekuatan dan kasih sayang yang tinggi. Islam mengangkat hak wanita untuk menjalani kehidupan, mempunyai harta, mendapatkan kasih sayang dan hak untuk berkeluarga.[1][2] Menurut World Economic Forum, hari wanita sedunia disambut pada tanggal 8 Mac setiap tahun sebagai tanda menghargai pengorbanan wanita.[3] Sambutan ini menemui titik awal daripada peristiwa tahun 1908-1910 di mana seramai 15,000 wanita pekerja buruh berkumpul untuk bersolidariti menuntut hak waktu bekerja yang lebih singkat, pembayaran gaji yang munasabah dan hak untuk wanita mengundi di dalam pilihanraya. Seorang aktivis wanita bernama Clara Zetkin mencadangkan agar hari wanita sedunia disambut bagi memperingati jasa wanita.[4] Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperjuangkan hak wanita pada waktu dunia menghadapi krisis perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana alam adalah satu cabaran global pada abad ke-21. Wanita dikenal pasti sebagai golongan yang paling mudah terdedah kepada bencana perubahan iklim berbanding lelaki kerana wanita membentuk majoriti orang miskin yang paling ramai. Pada masa yang sama, wanita juga merupakan pemimpin dan ketua yang kompeten serta pembuat perubahan polisi yang penting. Oleh yang demikian, Hari Wanita Sedunia disambut bagi memperkasakan suara, peluang dan hak wanita untuk membina generasi dan pembangunan yang mampan.[5] Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Malaysia pada tahun ini beberapa inisiatif telah dijalankan oleh pihak kerajaan. Parlimen Malaysia contohnya telah menganjurkan forum bual bicara bersama ahli-ahli panel yang terdiri daripada Yang Berhormat dan ahli akademik dari kalangan wanita.[6] Manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pula memilih tema ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan sempena Hari Wanita Sedunia pada tahun ini. Kedudukan Wanita dalam Islam Islam memandang tinggi kemuliaan setiap muslim tanpa mengira jantina serta meletakkan amanah kepada kedua-duanya dalam tanggungjawab beribadah kepada Allah SWT. Begitu juga kemuliaan seseorang bukan dilihat dari jantinanya lelaki mahupun perempuan tetapi pada nilai ketakwaannya kepada Allah. Malahan, proses kejadian semua manusia adalah bermula dari penciptaan diri yang satu iaitu Nabi Adam AS sebagaimana Allah SWT berfirman dalam al-Quran:  ۚيَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai.  Surah al-Nisa’ (1) Kedatangan Islam telah menghapuskan amalan-amalan masyarakat zaman jahiliah yang menindas golongan wanita dengan mengangkat dan mengiktiraf kedudukan wanita serta memberikan kemuliaan dan haknya sepertimana lelaki. Sebagai contoh, Islam telah mengangkat hak pewarisan harta oleh wanita yang sebelum itu terhalang. Allah swt telah menetapkan hak serta bahagian bagi ahli waris wanita dalam pewarisan harta ahli keluarganya yang telah jelas disebutkan dalam al-Quran: وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا Maksudnya: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Surah al-Nisa’ (32) Selain itu, wanita berpeluang melaksanakan tanggungjawabnya dan berhak mendapatkan haknya sebagai seorang rakyat yang merdeka sama seperti lelaki. Pengiktirafan ini telah bermula dari zaman Rasulullah SAW ketika golongan wanita beriman telah berbai’ah kepada Rasulullah dalam peristiwa pembukaan kota Makkah[7]berdasarkan firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰ أَن لَّا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-Mumtahinah (12) Meraikan Keistimewaan dalam Perbezaan antara Lelaki dan Wanita Islam telah memberikan keistimewaan dalam beberapa perkara serta keseimbangan antara peranan lelaki dan wanita yang berbeza dan mempunyai kepentingan masing-masing. Peranan yang berbeza ini bukanlah lambang kehebatan atau kelemahan mana-mana pihak, malahan ia bertujuan meraikan kebolehan dan kemampuan selari dengan fitrah kejadian lelaki dan wanita sama ada dari sudut fizikal, rohani serta emosi tanpa mengira umur mahupun status sosial.  Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:   أَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا، وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ Maksudnya: Sesungguhnya setiap daripada kalian semua ialah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki ialah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang wanita juga pemimpin terhadap rumah suaminya dan anak-anaknya, maka dia bertanggungjawab terhadap mereka semua. Seorang hamba ialah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap harta tersebut. Maka, setiap kalian ialah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap pimpinannya. Riwayat al-Bukhari (7138)[8] Dalam erti kata lain, peranan dan sumbangan wanita dan lelaki adalah seiring dengan kelebihan masing-masing. Bahkan dalam keadaan dunia sekarang, lelaki dan wanita boleh bersaing secara bebas mengikut keupayaan masing-masing tanpa diskriminasi hampir dalam segenap bidang. Peranaan dan Sumbangan Wanita di Lapangan Peranan wanita sering dikaitkan dengan pengurusan hal rumah tangga sehingga muncul gelaran   rabbatul bayt (tuan/pengurus rumah). Namun, sejarah telah membuktikan bahawa muslimah pada zaman salaf terlibat memberi sumbangan dalam aktiviti kemasyarakatan  seperti Asma binti Umais, Ummu Syarik dan  Ummu Sulaim. Asma Umais berhijrah bersama rombongan lelaki ke Habsyah. Sementara itu, Ummu Sulaim aktif menyertai jihad selain merawat tentera-tentera Islam. Ummu Syarik pula aktif membantu kerja-kerja dakwah.[9] Kisah muslimah pada zaman salaf ini jelas menunjukkan bahawa wanita mempunyai peranan dalam aktiviti kemasyarakat dan menyebarkan dakwah. Firman Allah SWT:  ۚوَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya.  Surah al-Taubah: (71) Al-Thabari memberi tafsiran lelaki dan wanita yang beriman ialah mereka yang membenarkan kalamullah serta dakwah Rasullullah SAW.  Lelaki dan wanita menjadi penolong antara satu sama lain.[10]  Oleh itu, berdasarkan firman-Nya, dapat difahami bahawa wanita mempunyai peranan dalam tugasan dakwah dan turut  menjadi pelengkap bagi usaha menyeru manusia kepada Islam.  Usaha dakwah itu sangat meluas mencakupi ilmu agama, bimbingan akhlak, didikan mahupun panduan  amalan syariah serta  penjelasan isu -isu akidah.   PENUTUP Hari Wanita Sedunia adalah simbolik penghargaan kepada wanita. Hakikatnya penghargaan ini tidak dihadkan kepada masa mahupun tarikh tertentu bahkan setiap masa dan keadaan khususnya terhadap mereka yang berada di sekitar kita atau dari kalangan ahli keluarga dan saudara mara kita sendiri. Hal ini kerana peranan wanita ternyata tidak terhad dalam mengurus  hal ehwal rumahtangga, bahkan wanita mempunyai peranan yang besar di lapangan bagi membina dan membangun masyarakat sepertimana kisah-kisah srikandi muslimah pada zaman salaf  yang telah dinyatakan. Perkara ini menunjukkan keseimbangan antara peranan lelaki dan wanita selain setiap individu mempunyai  tanggungjawab masing-masing sebagai khalifah di muka bumi ini.                  [1] Jamal A.Badawi, Gender Equity in Islam, World Assembly of Muslim Youth, diakses pada 9 March 2022 [2] Jamal A.Badawi, Gender Equity in Islam, World Assembly of Muslim Youth, diakses pada 9 March 2022 [3] Kate Whiting, International Women’s Day: What It Is and Why Do We Need It?, World Economic Forum, 7 Mac 2022, https://www.weforum.org/agenda/2022/03/international-women-day-what-why-when/ [4] International Women’s Day 2022: History, Marches, and Celebrations, BBC News, 6 Mac 2022, https://www.bbc.com/news/world-60610678 [5] International Women’s Day 8 March, United Nations, diakses pada 10th Mac 2022, https://www.un.org/en/observances/womens-day [6] Sambutan Hari Wanita Sedunia Curi Tumpuan di Dewan Rakyat, Harian Metro, 8 Mac 2022, https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/818521/sambutan-hari-wanita-sedunia-curi-tumpuan-di-dewan-rakyat [7] Al-Mawardi, ali bin Muhammad. Al-Nakt wa al-‘Uyun (Tafsir al-Mawardi) (Beirut: Dar al-Kutu al-Ilmiyyah, t.t) Jld 5, hlmn 524 [8] Al-Bukhari, Abū ‘Abd Allāh Muḥammad Ibn Ismā‘īl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Zuhayr Ibn Nāṣir al-Nāṣir (Beirūt: Dār Ṭūq al-Najāh, 2001). 9/62 (no. Hadis 7138) [9] Abdul Halim (2002) Tahrir al-Mar’ah fi ‘Asri ar-Risalah.  Cet 6 Kaherah : Dar al-Qalam,  Jld 2 Hlmn 35-45 [10]Al-Thabari, Abu Jaafar. (t.t) al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari  jilid 11. Hlmn 556
3,489
Soalan: Saya pernah mendengar terdapat satu hadith yang ringkas, namun para ulama mampu mengeluarkan sehingga 60 hukum hakam dan faedah daripada hadith tersebut. Boleh SS Mufti nyatakan hadith tersebut dan hukum-hakam yang diistibatkan daripadanya?   Jawapan: Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Hadith yang dimaksudkan ialah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA: كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ "‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏" نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏ Maksudnya: Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang terbaik akhlaknya. Aku mempunyai seorang adik yang dipanggil Abu ‘Umair, yang aku rasa baru sahaja berhenti menyusu dengan ibunya. Setiap kali adikku itu dibawa kepada Baginda akan bertanya kepadanya “wahai Abu ‘Umair, apa yang burung pipit kamu sedang lakukan? (burung pipit belaan yang selalu dia bermain dengannya) Kadang-kala waktu solat tiba sedang Baginda masih di rumah kami, maka Baginda mengarahkan kami untuk menghamparkan tikar dibawahnya, dibersihkan dan direnjis air. Kemudian Baginda berdiri dan kami mengikut Baginda, dan solat di belakang Baginda. Sahih al-Bukhari (6203) Terdapat juga riwayat lain yang menyebut: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدْخُلُ عَلَيْنَا وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ فَمَاتَ فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا فَقَالَ ‏"‏ مَا شَأْنُهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا مَاتَ نُغَرُهُ فَقَالَ ‏"‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ Maksudnya: Nabi Muhammad SAW pernah datang melawat kami. Aku mempunyai seorang adik yang diberi kuniyah (gelaran) Abu ‘Umair yang mempunyai seekor burung pipit yang dia selalu bermain dengannya, namun ia telah mati. Maka suatu hari Baginda SAW datang berjumpa dengannya dan melihatnya bersedih, lalu Baginda SAW bertanya akan hal Abu ‘Umair, lalu dijawab: Burung pipitnya telah mati. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya “Wahai Abu ‘Umair, apa yang telah terjadi kepada burung pipit itu? Sunan Abi Daud (4969) Abu ‘Umair merupakan anak hasil perkahwinan antara Ummu Sulaim dengan Abu Tolhah R.’Anhum, dan beliau meninggal dunia sewaktu masih lagi kecil. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 3/170 dan 10/586) Ibn al-Qaas -seorang faqih mazhab al-Syafi’e- telah menulis satu kitab yang berjudul Fawa’id Hadith Ibnu ‘Umair yang menghimpunkan lebih enam puluh istinbat hukum, hikmah dan sunnah Rasulullah SAW, antaranya kami kemukakan di bawah: 1- Sunnah berjalan menurut Nabi SAW ialah tidak berjalan dengan gaya takabbur dan meninggi diri, dan tidak terlalu lambat dan menunduk. Nabi SAW berjalan dengan sedikit menunduk seolah-olah sedang turun daripada bukit yang curam. 2- Ziarah itu merupakan satu sunnah. 3- Rukhsah untuk menziarahi wanita yang bukan mahram. 4- Ziarah pemimpin kepada rakyatnya. 5- Harus bagi seorang pemimpin untuk mengkhususkan ziarah kepada sebahagian rakyatnya, dan ia tidak boleh dianggap sebagai berat sebelah (bias), meskipun sebahagian ulama memakruhkan perbuatan ini. 6- Menunjukkan sikap tawadhu seorang pemimpin dengan rakyatnya. 7- Hadith ini juga menjadi dalil makruhnya meletakkan penghalang antara pemimpin dengan rakyat. 8- Keharusan seorang pemimpin untuk berjalan seorang diri. 9- Hadith ini menunjukkan kekerapan ziarah Nabi SAW kepada keluarga Anas bin Malik R.A 10- Kekerapan ziarah pada kebiasannya tidak membuahkan kasih-sayang, kecuali apabila disertakan dengan keinginan yang bersungguh-sungguh. Ini berdasarkan kata-kata ‘Aisyah R.Anha:                                           زر غبا تزدد حبا Maksudnya: Ziarahlah dengan kadar yang tidak terlalu kerap, nescaya kasih-sayang antara kamu akan bertambah. 11- Anjuran untuk berinteraksi dengan orang ramai. Adapun hadith yang menyuruh agar kita menjauhi interaksi dan pergaulan dengan dengan orang ramai, maka ia terkecuali jika dengan perbuatan itu kita dapat merapatkan ukhuwwah dan membina kasih-sayang sesama orang Islam. 12- Anjuran untuk bersalam dengan tetamu yang datang berziarah. 13- Dalil keharusan bagi tetamu untuk solat di rumah tuan punya rumah. 14- Hukum asal sesuatu adalah suci sehinggalah diyakini adanya najis, dimana Nabi dan sahabat Baginda SAW menggunakan tikar yang didapati untuk solat tanpa menyucikannya terlebih dahulu. 15- Harus bagi pemilik ilmu untuk mendatangi penimba ilmu, dengan syarat keadaan itu tidak menyebabkan kehinaan kepada ilmu itu sendiri. 16- Solat Nabi SAW di rumah keluarga Abi Tolhah menjadi dalil akan keistimewaan keluarganya tersebut. 17- Keharusan bergurau-senda dengan kanak-kanak. 18- Gurauan Nabi SAW dengan kanak-kanak juga menjadi dalil perintah supaya meninggalkan sifat takabbur dan meninggi diri. 19- Hadith ini juga menjadi dalil akan ketinggian dan kemuliaan akhlak Nabi SAW. 20- Keharusan bagi seorang mu’min untuk memiliki dua personaliti berbeza di ruang awam dan di ruang peribadi, di mana sikap di ruang awam adalah lebih tenang, manakala di rumah pula lebih banyak gurau-senda. 21- Sikap ini pula tidak menafikan perintah untuk kita menjauhi sifat munafiq. 22- Anjuran untuk kita bertanya khabar berkenaan saudara kita apabila kita bertemu dengannya. 23- Hadith ini juga menjadi dalil akan tsabitnya khabar ahad, di mana Nabi SAW bergantung kepada jawapan daripada satu pihak kepada soalan Baginda. 24- Diharuskan untuk memberi kuniyah (gelaran ‘Abu’ atau ‘Ummu’) kepada kanak-kanak yang belum mempunyai anak. 25- Harus untuk membelanjakan harta untuk membeli permainan kanak-kanak, selagimana ia bukan daripada perkara yang diharamkan. 26- Dalil keharusan untuk meletakkan burung di dalam sangkar. 27- Dalil akan keharuskan memberi lafaz ‘tasghir’ dalam penamaan. 28- Seorang yang bijak mestilah bermuamalah dan berinteraksi dengan orang ramai menurut kadar akal dan pemikiran mereka. 29- Dalil akan sunatnya qailulah (tidur sebentar sebelum Zohor). 30- Hadith ini menafikan pandangan sesetengah pihak yang menyatakan perbuatan seorang pemimpin yang tidur di rumah rakyatnya akan menyebabkan jatuhnya maruah pemimpin tersebut. 31- Harus untuk menikmati nikmat pemberian Allah SWT, dan ia tidak menyanggi sunnah. 32- Duduknya Nabi SAW di atas tikar dan tilam menunjukkan penghormatan yang tinggi kepada tetamu yang datang berziarah. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani juga menyatakan bahawa gurauan Nabi SAW bersama Abu ‘Umair ini juga sebagai satu bentuk perbuatan baik Baginda dengan khadam Baginda iaitu Anas bin Malik R.A. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 10/586) Selain itu, hadith ini juga menjadi dalil bagi Imam Abu Hanifah yang berpandangan bahawa berburu di Madinah ketika dalam keadaan ihram tidaklah diharamkan. Namun mazhab yang mengharamkannya memberikan jawapan dengan dua kemungkinan: sama ada hadith ini berlaku sebelum penetapan Madinah sebagai kawasan haram berburu ketika ihram, atau haiwan itu diburu dan ditangkap di luar kawasan haram.  (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 9/134) Kami nukilkan sebahagian sahaja faedah yang didapati daripada hadith ini kerana kekurangan waktu dan kesempatan.   Kesimpulan Tuntasnya, banyaknya faedah dan hikmah yang diperoleh daripada hadith yang ringkas ini membenarkan sabda Baginda SAW: بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ Maksudnya: Aku diutuskan oleh Allah SWT sebagai seorang yang mampu menuturkan makna yang paling luas dengan lafaz yang paling ringkas. Sahih al-Bukhari (2977) dan Sahih Muslim (523) Ia juga menzahirkan kecerdasan akal dan kehebatan para ulama dalam mengambil manfaat dan mengeluarkan hukum-hakam daripada satu hadith. Lantaran itu, wajib bagi kita melahirkan setinggi-tinggi penghormatan ke atas mereka, mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka dan berazam untuk mencontohi usaha mereka dalam berkhidmat kepada ilmu. Wallahu a’lam.
3,490
Soalan: Assalamualaikum SS Datuk. Saya selalu terbaca di media sosial orang mengatakan bahawa jika seseorang berbuat jahat maka dia akan dibalas dengan hukum karma. Benarkah wujud hukum karma dalam Islam?   Ringkasan Jawapan: Konsep karma merupakan kepercayaan dalam agama hindu dan berbeza dengan kepercayaan agama Islam. Setiap muslim perlu meyakini bahawa apa-apa yang berlaku di dunia merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah SWT. Meyakini sebab dan akibat tanpa campur tangan kuasa Allah ialah suatu bentuk kekufuran, maka umat Islam wajib meyakini setiap balasan sama ada yang baik mahupun buruk ialah daripada Allah SWT. Walau bagaimanapun Islam mengiktiraf konsep “setiap perbuatan sama ada baik atau buruk akan dibalas oleh Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat berdasarkan apa yang dia lakukan”. Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain dan menjauhkan diri dari berbuat kejahatan kepada orang lain.   Huraian Jawapan: Karma merupakan suatu konsep yang berasal daripada bahasa sanskrit dan mempunyai asas kepercayaannya dalam Hinduisme, Buddhisme dan Jainisme. Konsep Karma ini mula dijumpai di dalam teks lama Hindu iaitu Rigveda, dan kemudiannya dikembangkan perbincangannya di dalam Upanishad. Secara terminologi, karma bermaksud ‘perbuatan yang memberi kesan kepada hasil atau keputusan’, dan seterusnya difahami sebagai konsep ‘timbal-balik’ atau ‘sebab-akibat’ daripada perbuatan seseorang manusia di atas dunia. Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan perbuatan-perbuatan yang murni seperti menolong orang lain, berlaku adil sesama manusia atau menjaga ibu bapa dengan baik, maka ia akan menghasilkan balasan yang baik di kemudian hari. Konsep ini kemudiannya ia berkembang menjadi falsafah moral dan etika sehingga dianggap sebagai undang-undang universal.[1] Menurut kajian, konsep karma yang berasal daripada falsafah Hinduisme ini menerangkan bahawa wujudnya prinsip kausaliti universal iaitu hukum asas dunia berkaitan sebab dan akibat daripada perbuatan seseorang manusia. Seseorang manusia itu tidak boleh lari daripada melakukan sebarang perbuatan dan tindakan sama ada baik atau buruk dan ia akan menjadi satu kitaran yang berulang. Konsep karma ini memberi kesan kepada beberapa peringkat hidup iaitu Samsara – kitaran kelahiran semula, di mana jika seseorang itu berlaku zalim dia atas dunia maka dia akan dilahirkan semula sebagai makhluk yang hina, dan sebaliknya jika seseorang itu berlaku adil dan mulia, maka dia akan dilahirkan semula sebagai ciptaan yang terpuji.[2] Karma juga mempunyai tiga peringkat pembalasan iaitu sachinta karma (masa yang telah berlalu/karma yang telah berlaku), prarabdha karma (karma yang sedang berlaku/kesan daripada karma yang dahulu) dan agami karma (karma pada masa hadapan yang ditentukan melalui karma yang sedang berlaku). Justeru, karma dilihat sebagai undang-undang pembalasan moral atau undang-undang kosmos yang membalas perbuatan baik dan perbuatan buruk. Kepercayaan dan kesinambungan karma yang merentasi kelahiran dan masa juga boleh bertindak sebagai kawalan terhadap etika kelakuan manusia, serta menawarkan peluang yang tidak berkesudahan untuk penambahbaikan dan harapan kepada manusia untuk berbakti.[3] Karma Menurut Islam Meyakini bahawa ada kuasa lain yang memberi kesan selain dari Allah boleh membawa kepada kekufuran[4]. Akidah Islam menyatakan bahawa semua perkara yang berlaku adalah dengan kuasa dan kehendak Allah SWT.  Setiap yang terjadi di alam ini kesemuanya adalah ketentuan dan kuasa dari Allah SWT. Peredaran bulan dan bintang di atas paksinya adalah dengan kehendak dan  ketentuan Allah SWT. Tidak ada di alam ini yang terjadi dengan sendirinya secara semula jadi.  Konsep Karma yang ada dalam agama hindu jelas bercanggah dengan akidah Islam. Islam meyakini bahawa segala kejahatan yang dilakukan oleh manusia akan dibalas sama ada di dunia mahupun akhirat. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: البِرُّ لا يَبْلَى ، وَالِإثْمُ لَا يُنْسَى ، وَالدَّيَّانُ لَا يَمُوتُ ، فَكُن كَمَا شِئتَ ، كَمَا تَدِينُ تُدَانُ   Maksudnya: “Kebaikan tidak akan pudar, dosa tidak akan dilupa, al-Dayyan(Allah yang Maha Membalas segala amalan hambanya) tidak akan mati, jadilah seperti mana yang kamu ingin, seperti mana yang kamu lakukan kamu akan dibalas.”    Sekalipun status hadis ini adalah daif namun ia boleh diamalkan dalam bab fadhail amal di samping maknanya adalah benar. Ungkapan yang masyhur di sisi ulama الجزاء من جنس العمل  bermaksud: 'Balasan itu sesuai dengan apa yang dilakukan'. Perkataan ini diucapkan oleh ramai ulama antaranya Imam Ibn Kathir[5], Imam Ibn Qayim al-Jauziyah[6] dan Ibn Rajab al-Hambali. Terdapat banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang perkara ini antaranya: المُسلِمُ أَخُو المُسلِمِ لا يَظلِمُهُ وَلا يُسْلِمُه ، مَن كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ ، وَمَن فَرَّجَ عَن مُسلِمٍ كُربَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنهُ بِهَا كُربَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ ، وَمَن سَتَرَ مُسلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَومَ القِيَامَةِ Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari) Ibn Rajab al-Hanbali ketika menerangkan makna hadis ini berkata:  هذا يرجع إلى أن الجزاء من جنس العمل ، وقد تكاثرت النصوص بهذا المعنى  Maksudnya: “Perkara ini merujuk kepada balasan mengikut kepada jenis amal. Terdapat banyak nas-nas yang menunjukkan kepada makna ini[7].”   Kesimpulan Berdasar kepada penjelasan tersebut maka dapat disimpulkan bahawa tidak wujud konsep karma dalam Islam. Setiap orang perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku di dunia ini merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah. Meyakini sebab dan akibat tanpa campur tangan kuasa Allah ialah suatu bentuk kekufuran. Umat Islam wajib meyakini setiap balasan sama ada yang baik mahupun buruk ialah daripada Allah SWT. Wallahua'lam.   [1] Chirayu Takkar, Karma, World History Encyclopedia, 4 Disember 2015, https://www.worldhistory.org/Karma/ [2] Rachana Bhangaokar dan Shagufa Kapadia, At The Interface of ‘Dharma’ and ‘Karma’: Interprating Moral Discourse in India, Psychological Studies (June 2009) 54:00-00, halaman 21. [3] Ibid, halaman 21-22 [4] Imam al-Syarqawi, Hasyiah al-Syarqawi ala Hudhudi, Thailand: Matbaah bin al-Halabi (t.t), hlm. 25.  وحكى بعضهم الإجماع على كفرهم  [5] Imam Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1419H), jld. 3, hlm. 368.  فإن الجزاء من جنس العمل ، فكما تغفر عن المذنب إليك نغفر لك ، وكما تصفح نصفح عنك [6] Ibn Qayim al-Jauziyah, Badai al-Fawaid, Beirut: Dar al-Kutub al-Arabi (t.t), jld. 3, hlm. 528.  لأن الجزاء من جنس العمل ، فكما أحسنوا بأعمالهم أحسن الله إليهم برحمته [7] Ibn Rajab al-hambali, Jami al-Ulum wa al-Hikam, Beirut: Muasasah al-Risalah (2001), jld. 1, hlm. 338.
3,491
Mukadimah Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan. Baru-baru ini, tular isu berkenaan seorang pemuda autisme yang ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan seorang gadis. Isu ini menimbulkan polemik berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan untuk menahannya adalah mengikut SOP biasa, sedangkan beliau mempunyai kapasiti umur mental yang tidak sama dengan pemuda normal yang lain. Hal ini sekaligus membuka mata segenap peringkat anggota masyarakat terutama dalam aspek berkenaan SOP khusus untuk menangani golongan seumpama ini. Kami mengambil cakna dan prihatin berkaitan isu ini dan sedaya upaya cuba memberikan ulasan menurut perspektif Syarak. Justeru kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan Autisme: Fiqh Dan Penyelesaian Isunya. Semoga pencerahan ini memberi manfaat serta membantu membuka ruang yang lebih luas dalam memahami dan menangani golongan seperti ini. Definisi Dalam Bahasa Arab, ia dikenali sebagai al-tawahhud (التوحد) atau al-zatawiyyah (الذاتوية). Perkataan autism berasal daripada perkataan Autismus dalam bahasa Jerman, dicetuskan pada 1912 oleh seorang pakar psikiatri, Paul Bleuler daripada perkataan Greek iaitu autos (sendiri) +ismos (pengakhiran bagi tindakan atau kondisi). Secara umumnya, ia berkenaan seseorang yang mempunyai minat, kecenderungan dan fokus yang melampau kepada aktiviti-aktiviti individu semata-mata.[1] Autisme menurut garis panduan Pendaftaran Orang Kurang Upaya masalah pembelajaran sehingga memberi kesan terhadap hubungan sosial dan komunikasi serta menunjukkan tingkah laku yang tidak normal. Terdapat pelbagai ciri yang boleh dikenalpasti bagi menentukan individu autisme, akan tetapi kriteria utama adalah masalah berkomunikasi, masalah dalam bersosial serta keterbatasan dalam aktiviti dan minat. Jenis-Jenis Autisme Terdapat beberapa jenis autisme yang perlu difahami: Autistic Disorder Individu dengan masalah autistik kebiasaannya mengalami masalah lambat dalam kemampuan berbahasa, sosial dan komunikasi, begitu juga sikap dan kecenderungan yang berbeza. Kebanyakan individu autistik juga mengalami ketakdayaan intelektual. Asperger Syndrome Mereka yang menghidap sindrom Asperger kebiasaannya mempunyai simptom autistic disorder yang sederhana. Mereka mungkin menghadapi masalah sosial dan perilaku serta kecenderungan yang tidak normal. Pun begitu, secara tipikalnya mereka tidak mempunyai masalah dengan bahasa dan ketakdayaan intelektual. Pervasive Developmental Disorder – Not Otherwise Specified (PDD-NOS; juga dikenali sebagai atypical autism) Mereka yang menyamai kriteria bagi autistic disorder atau sindrom Asperger, tetapi tidak kesemuanya, mungkin menghidap PDD-NOS. Mereka yang menghidap PDD-NOS biasanya mempunyai simptom yang sederhana ataupun lebih sedikit daripada yang menghidap autistic disorder. Simptom-simptom ini mungkin menyebabkan masalah dalam komunikasi dan sosial sahaja. Menurut Durham Region Autism Services, individu yang menghidap ASD mungkin mempunyai pelbagai obsesi seperti rancangan TV tertentu tetapi kebiasaannya mereka tertumpu kepada perkara teknikal, akademik, set kemahiran mekanik seperti computer, keretapi, tarikh dan peristiwa sejarah atau sains. Ada juga yang obsess dengan nombor atau bentuk tertentu seperti no plat kereta, jadual perjalanan bas / keretapi,dan juga bentuk anggota tubuh atau batu-batu. Terdapat tiga item yang menjadi pengukur dalam menentukan seseorang anak itu autisme iaitu ketidakupayaan dalam interaksi sosial, ketidakupayaan dalam komunikasi dan ketidakupayaan dalam tingkah laku (Lihat Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders). Ketidakupayaan ini membuatkan mereka tidak mampu untuk melakukan sebarang aktiviti dengan baik. Ketidakupayaan dalam interaksi sosial adalah seperti tidak mahu bertentang mata, tidak pandai menunjukkan ekspresi muka, tiada kemahuan spontan untuk berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan serta gagal dalam mewujudkan hubungan rakan sebaya. Autisme juga adalah sejenis kecelaruan neurologi yang mendatangkan kesan kepada perkembangan otak. Menurut Dr. Hasnah Toran dalam Autisme: Panduan Ibu Bapa, antara faktor-faktor persekitaran yang boleh meningkatkan risiko autism adalah: Usia tua ibu bapa pada masa anak dilahirkan. Ibu yang mengalami penyakit seperti jangkitan kuman tertentu ketika mengandung. Kelahiran tidak cukup bulan. Berat yang terlalu rendah ketika kelahiran. Proses bersalin yang sukar. Bayi kekurangan oksigen semasa proses kelahiran. Ibu terdedah kepada toksin seperti racun serangga. Pencemaran udara. Terdedah kepada logam berat: raksa, cadmium, atau timah.   Individu Autistik dan Tanggungan Hukum Berdasarkan definisi di atas, kami melihat ada sebahagian daripada kelompok autisme yang boleh dikategorikan dalam masalah lembam (al-‘atah). Al-Jurjani mendefinisikan lembam (al-‘atah) sebagai kekurangan pada akal yang tidak sama dengan gila atau fikiran yang berkecamuk/keliru. Individu yang lembam adalah yang kurang akalnya. Bezanya dengan bodoh (al-safah) adalah ia merupakan penyakit kanak-kanak (yang cenderung) terhadap diri sendiri yang menyebabkan akalnya tidak berfungsi [dengan baik]. Maka, pesakit menjadi berkecamuk akalnya. Sebahagian perkataannya adalah perkataan orang-orang yang berakal dan sebahagiannya adalah kata-kata orang gila. Ini berbeza dengan bodoh (al-safah) kerana ianya kecuaian yang sifatnya mendatangi bagi manusia dan bukan bodoh pada asalnya. (al-Ta’rifat, hlm. 119) Berkenaan isu lembam, Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah ada menyatakan bahawa individu yang lembam adalah sesiapa yang tahap pemahamannya kurang, pertuturan yang bercampur aduk, pengurusan yang tidak efisien samada ianya lembam secara semulajadi atau kerana penyakit yang dihidapinya. Dapat difahami daripada definisi tersebut bahawa lembam adalah tidak mencapai tahap gila. Ada pandangan yang menyatakan bahawa gila membawa kepada hilangnya akal atau kecelaruan akal. Adapun lembam membawa kepada kelemahan akal yang berbeza tahapnya. Walaubagaimanapun, tahap kematangan individu yang lembam tidak mencapai kepada tahap kematangan golongan akil baligh yang normal. Ulama’ berbeza pandangan dalam pembahagian bagi kategori lembam: Kebanyakan fuqaha’ mengkategorikan lembam sebagai satu jenis daripada penyakit mental kerana tahap kematangan yang berbeza-beza bagi golongan yang lembam. Tetapi, ianya tidak keluar daripada kondisi anak kecil yang sudah mumayyiz. Sebahagian fuqaha’ berpandangan bahawa tahap kematangan sebahagian golongan yang lembam adalah seperti kanak-kanak yang belum mumayyiz dan sebahagiannya pula seperti yang sudah mumayyiz. Ulama’ yang memegang pandangan (ii) tidak membezakan antara penyakit mental dan lembam sekiranya individu yang lembam itu kurang dari tahap tamyiz (boleh membezakan sesuatu yg baik dgn yg buruk). Oleh itu, mereka membahagikan antara penyakit mental dan lembam di mana penyakit mental, fikiran pesakitnya terganggu dan bercelaru manakala lembam pula pesakitnya lazim dalam keadaan tenang. Akan tetapi, hakikatnya kedua-duanya dikategorikan di bawah penyakit mental. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, Jumhur fuqaha’ berpandangan bahawa lembam itu mengangkat hukum taklifi kepada individu terbabit kerana ianya berkaitan dengan masalah mental atau secara tepatnya, kecacatan neurologi. Apa yang dihukumkan kepada individu lembam, dihukumkan juga kepada individu yang bermasalah mental samada dari sudut ibadah, kewangan dan yang berkaitan, serta akad-akad lain seperti akad nikah, talak dan selainnya. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/276. Adapun bagi kewajipan solat, puasa dan lain-lain, kami berpandangan bahawa ianya satu disiplin yang amat wajir dilatih kepada anak-anak autism yang beragama Islam. Psikoterapi Islam yang dijalankan di PERMATA Kurnia membuktikan bahawa terapi kerohanian mampu mengurangkan dan mengawal masalah tersebut Konsep al-Ma’tuh (المَعْتُوهِ) Dalam Hadis Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” [Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)]   Berkaitan dengan status hadith ini, ia juga diriwayatkan oleh sahabat yang lain seperti Aisyah R.anha dan Abu Qatadah. Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib di dalam Sunannya. Selain itu, Imam al-Hakim menghukum sanad hadith ini sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Adapun, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi dan perawi-perawinyanya adalah boleh dipercayai (thiqah) kerana perawi-perawinya adalah perawi al-Bukhari dan Muslim. Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 570/4). Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). [Lihat: Hasyiah Ibn Abidin, 426/2] Tarjih Berdasarkan pengamatan kami berkenaan autisme, kami cenderung untuk menyatakan bahawa autisme adalah hampir kepada penyakit mental dalam fiqh. Perbuatan mereka yang mungkin diluar tindakan manusia normal adalah dimaafkan dan terlepas daripada bebanan taklif. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada al-Janbi, beliau berkata: Dibawa kepada Umar seorang perempuan yang melakukan perzinaan. Lantas Saidina Umar memerintahnya untuk direjamnya. Kemudian Ali melalui kawasan tersebut dan mengambil perempuan tersebut, kemudian membebaskannya. Hal ini dikhabarkan kepada Umar, maka katanya, “Panggillah Ali untuk berjumpa denganku.” Kemudian, Ali datang dan berkata: “Hai Amir al-Mukminin, sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:  رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ. Maksudnya: “Diangkat qalam (dimaafkan) dari tiga golongan: Kanak-kanak sehingga dia akil baligh, orang yang tidur sehingga dia terjaga dan orang yang kecacatan mental sehingga dia sembuh.” Ini kerana wanita yang ma’tuh ini daripada Bani Fulan. Boleh jadi yang menyetubuhinya itu, menyetubuhi perempuan tersebut dalam kondisi perempuan tersebut tidak sempurna akalnya. Jawab Umar: “Aku tidak tahu.” Maka jawab Ali: “Dan aku tidak tahu.” Riwayat Abu Daud (4402), Ibnu Majah (4402), dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17672) Dalam 'Aun al-Ma'bud menyebut perkataan ma'tuh ialah gila yang membawa hilangnya akal. Inilah yang dinyatakan dalam al-Majma'.  Boleh jadi yang mendatanginya itu orang yang berkeadaan tidak sempurna akal. Adapun jawapan Saidina Umar, “aku tidak mengetahuinya,” bermaksud, beliau tidak mengetahui perbuatan zina tersebut berlaku ketika perempuan tersebut berada dalam keadaan tidak sempurna akalnya. Saidina Ali berkata, “dan aku tidak mengetahuinya,” bermaksud beliau tidak mengetahui ketika berzina, perempuan tersebut dalam keadaan sempurna akalnya. Boleh jadi, perempuan tersebut gila yang mana sifat gilanya tidaklah berterusan tetapi sekali gila dan sekali yang lain sedar. Dengan sebab itulah Saidina Umar berkata demikian dan dijawab oleh Saidina Ali dengan berkata demikian. Justeru, ia berada dalam keadaan syubhah. Oleh itu, hukuman hudud terlepas dan ditolak ketika wujudnya sebarang syubhah. (Lihat Aun al-Ma'bud, 12/51)   Kenyataan Mufti Wilayah Kami mengucapkan penghargaan kepada Dr. Sazlina Kamaralzaman dan warga PERMATA Kurnia atas sambutan dan layanan semasa lawatan kami ke PERMATA Kurnia tempohari. Usaha pendekatan psikoterapi kerohanian dan moral yang dipraktikkan di PERMATA Kurnia amat menarik perhatian Autisme adalah keadaan yang sering disalah anggap masyarakat. Ini kerana, dari sudut fizikalnya mungkin berkembang seiring dengan umur tetapi akal mereka sama seperti kanak-kanak. Kelakuan mereka sering disalahtafsir, di samping sikap segelintir ibu bapa yang kurang cakna akan masalah ini dan tidak menyediakan pendidikan serta terapi yang khusus bagi menangani masalah tersebut. Kami ingin mencadangkan beberapa perkara yang boleh diambil perhatian oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak berwajib: Anak-anak autisme wajib diberi pendidikan fardhu ‘ain, al-Qur’an dan pengurusan emosi. Kerajaan sama ada persekutuan atau negeri menubuhkan pusat autisme sekurang-kurangnya sebuah di setiap negeri dan lebih baik sebuah di setiap daerah. Ini kerana, anak-anak autisme ini adalah anak-anak istimewa yang memerlukan pendidikan khas dan kecaknaan serta keprihatinan yang amat tinggi. Pemerkasaan pusat-pusat The National Autism Society of Malaysia (NASOM), Institut Masalah Pembelajaran dan Autisme (The IMPIAN Institute), Autism Link Malaysia, dan lain-lain lagi seluruh Malaysia. Anak-anak autisme yang mungkin bersifat agresif hendaklah dikawal dengan sebaiknya oleh penjaga dan mungkin boleh dipakaikan satu lencana khas pada bajunya supaya mendapat makluman masyarakat. Wujud satu prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi kes-kes jenayah melibatkan individu autistik sepertimana terdapat prosedur khas menangani kes-kes juvana. Penglibatan serius ibu bapa, keluarga dan masyarakat melalui kempen-kempen yang lebih agresif oleh pihak berwajib. Sudah sampai masanya semua pihak berganding bahu bagi membina masyarakat yang cakna akan autisme, ibu bapa yang bertanggungjawab dan satu standard prosedur yang terperinci bagi mengendalikan isu-isu berkaitan individu autistik. Kami tidak berhasrat untuk menuding jari kepada sesiapa melainkan cuma mengharapkan kerjasama yang jitu dari semua pihak bagi sama-sama berganding bahu bagi membina masyarakat yang mesra autisme. Dengan ini kami nyatakan beberapa perkara berdasarkan pengamatan kami dan maklumat yang didapati iaitu: Isu autisme perlu difahami dengan sebaiknya kerana ia termasuk dalam OKU yang mempunyai banyak kategori. Sebahagiannya adalah lembam yang tidak mungkin kita menghukum mereka seperti orang biasa. Dalam isu yang telah berlaku baru-baru ini, sekali lagi kami nyatakan bahawa autisme mempunyai hukum yang khusus dan feqah yang tersendiri yang perlu difahami dengan menyelami kehidupan mereka dan memahami realiti sebenar mereka itu sendiri. Kerjasama dari semua pihak untuk golongan seperti ini adalah amat penting terutamanya ibubapa, guru-guru, masyarakat dan juga kerajaan. Mengubah persepsi dan pandangan masyarakat berkenaan dengan autisme sebagai satu tanggungjawab bersama dan bukan sebagai bebanan adalah amat penting. Sejarah telah membuktikan ramai autism daripada jenis-jenis tertentu yang menjadi cendekiawan[2] atau tokoh yang cukup berwibawa di dunia ini. Perlu diketahui, umur biologi bagi anak-anak autisme berbeza dari segi umur mental yang kadang-kadang masih lagi bersifat kanak-kanak kecil. Inilah yang difahami dari segi realiti sebenar kanak-kanak autisme ini. Penutup Sebagai penutup, kami ingin menegaskan bahawa memahami anak-anak daripada golongan seumpama ini adalah amat penting. Mereka tidak harus disisihkan daripada masyarakat, malah seharusnya mereka patut mendapat layanan yang lebih istimewa sesuai dengan keadaan mereka tersebut. Kegagalan memahami golongan ini akan membawa kepada ketidakadilan seterusnya membawa kepada kepincangan dalam masyarakat. Kami mengucapkan syabas kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme yang kami anggap anak-anak istimewa anugerah Allah. Antara yang dapat kami kesani, kebanyakan ibubapa yang mempunyai anak-anak autisme mempunyai ketabahan dan kesabaran yang amat tinggi. Inilah yang kami kagumkannya. Semoga sifat tersebut sentiasa subur dan mekar dalam kehidupan ibubapa. Marilah sama-sama kita berganding bahu dalam usaha memahami serta menyantuni mereka dengan sebaik mungkin sebagai salah satu golongan istimewa yang turut terbabit dalam membentuk komposisi masyarakat yang pelbagai. Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi satu pencerahan berkaitan golongan ini khususnya dalam menjelaskan kedudukan mereka daripada perspektif Syarak serta hukum-hukum yang berkaitan dengannya. Akhukum fillah, SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan _______________________________________________ [1] https://www.etymonline.com/word/autism [2] Antara mereka seperti: Albert Einstein (saintis) Charles Darwin (ahli biologi) Nikola Tesla (perekacipta) Michelangelo (arkitek) Wolfgang Amadeus Mozart (komposer) Isaac Newton (ahli fizik) Bill Gates (pengasas Microsoft) Steve Jobs (bekas CEO Apple) Jerry Seinfield (pelawak)
3,492
SALAH FAHAM Terdapat sesetengah pihak yang berpandangan bahawa menjadi satu kewajipan bagi setiap individu Muslim untuk keluar berperang dari negara mereka ke negara-negara yang didakwa diserang oleh musuh-musuh Islam seperti di Iraq, Syria, Yaman, Filipina dan lain-lain. Oleh yang demikian, wajib seseorang itu meninggalkan ibu bapanya, anak isteri dan semua tanggungjawabnya yang lain untuk menuju ke kawasan perang tersebut dengan tujuan berjihad fi sabilillah. Persoalannya, adakah tindakan ini menepati syariat Islam?   PENCERAHAN Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui terlebih dahulu bahawa menurut syarak terdapat dua jenis jihad iaitu jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’) dan jihad menyerang (jihad al-hujum). Secara ringkasnya, jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’) bermakna musuh datang dan masuk menyerang sesebuah negara Islam. Maka, jihad jenis ini tiada perselisihan ulama’ mengenai kewajipan berjihad demi mempertahankan negara. Jihad jenis menyerang (jihad al-hujum) pula bermakna individu Muslim tersebut keluar dari negaranya ke negara-negara yang mengalami peperangan. Ini bererti apa yang dimaksudkan dalam persoalan di atas ialah jihad jenis menyerang (jihad al-hujum). Bagi kategori jihad jenis ini, selain daripada syarat Islam, baligh, berakal, lelaki, sempurna fizikal dan niat yang ikhlas, terdapat syarat-syarat lain yang sering diabaikan oleh pihak yang berkenaan. Ia adalah seperti berikut:   Pertama: Matlamat yang jelas (wudhuh al-hadaf) Berbeza dengan jihad mempertahankan diri (jihad al-daf’), jihad menyerang (jihad al-hujum) memerlukan matlamat yang jelas di dalam melaksanakannya. Adalah tidak tepat bagi seseorang individu itu meletakkan bahawa matlamat jihad adalah semata-mata untuk meraih mati syahid, menunjukkan keberanian, membunuh musuh dan seumpamanya. Hal ini kerana, asas pensyari’atan jihad adalah bermatlamatkan untuk meninggikan syiar agama Allah (i’la’ kalimah Allah). Ini sebagaimana yang terkandung dalam nas-nas syarak seperti hadith Abu Musa al-Asy’ari yang berkata:   قَالَ أَعْرَابِيٌّ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ، وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ، مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ: «مَنْ قَاتَلَ، لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ “Seorang A’rabi telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang perang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang, dan orang yang berperang kerana mahu namanya dikenang, dan orang yang berperang kerana ingin diangkat kedudukannya. Siapakah antara mereka yang berperang pada jalan Allah? Jawab baginda: Siapa yang berperang semata-mata untuk menegakkan kalimatullah (agama Allah), maka itulah fisabilillah.” (Sahih al-Bukhari, no. 3126)   Persoalannya, adakah peperangan yang disertai oleh mereka yang pergi keluar negara itu benar-benar akhirnya berjaya meninggikan syiar agama Allah SWT? Bagaimana mungkin dikatakan ia meninggikan agama Allah SWT jika apa yang berlaku adalah membunuh sesama umat Islam dan melakukan serangan di tempat awam sehingga membunuh mereka yang tidak berdosa? Perbuatan seumpama ini bukan sahaja tidak meninggikan syiar agama Allah, sebaliknya ia menyebabkan imej agama Islam semakin tercalar, dipandang negatif bahkan meruntuhkan lagi syiar agama Allah SWT di mata bukan Islam.   Kedua: Keizinan pemerintah (izn al-hakim) Amat penting untuk difahami bahawa jihad bukan merupakan pekerjaan individu. Ia adalah pekerjaan yang perlu dilakukan secara berjamaah. Dalam hal ini, tanggungjawab melaksanakan jihad terletak pada bahu imam iaitu pemerintah. Ini kerana, pemerintah memiliki segala kemampuan untuk melaksanakannya meliputi kepakaran, strategi perang, pasukan tentera, logistik persenjataan dan lain-lain. Lantaran itu, jihad diletakkan di bawah tanggungjawab asal pemerintah. Ia berdasarkan hadith Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:  إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ، وَيُتَّقَى بِهِ “Sesungguhnya pemerintah itu adalah perisai, (orang-orang) akan berperang daripada belakangnya, dan berlindung (daripada musuh) dengan (kekuasaan)nya.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1841)   Dalam hadith yang lain, Nabi SAW bersabda: لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ، وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا “Tidak ada hijrah setelah penaklukan kota Mekah, akan tetapi jihad dan niat, dan jika kalian diminta (oleh pemerintah) untuk pergi berjihad maka pergilah.”   Justeru, keizinan pemerintah untuk keluar berjihad tidak seharusnya dipandang ringan. Jihad al-hujum memerlukan individu tersebut mendapatkan keizinan daripada pemerintah bagi meneruskannya. Halangan daripada pemerintah boleh menyebabkan sesuatu perjalanan untuk berperang itu dibatalkan pada bila-bila masa. Ia dikira sebagai salah satu penghalang kepada tuntutan berjihad. Ibn Qayyim mengatakan jihad al-hujum itu fardhu kifayah (Zaad al-Ma’ad: 3/64), maka halangan pemerintah terhadap sebahagian orang boleh menjadi sebab pembatalan kefardhuan jihad ke atas orang tersebut.   Ketiga: Keizinan kedua ibu bapa (izn al-waalidayn) Keizinan ibu bapa sangatlah penting di dalam jihad al-hujum. Ini sepertimana yang direkodkan menerusi hadith Abdullah bin Amru:   جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ، فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟ " قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: " فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ “Telah datang seorang lelaki kepada baginda Nabi s.a.w maka dia telah meminta izin daripada baginda untuk keluar berjihad. Maka Nabi bersabda: Adakah masih hidup kedua ibu bapamu? Dia menjawab, Ya. Maka baginda bersabda lagi: Maka ke atas mereka berdua, berjihadlah (berbakti lah kepada kedua ibu bapamu terlebih dahulu selama mana mereka masih hidup).” (Hadis riwayat Sahih al-Bukhari, no 3004)  Hadith ini jelas menunjukkan bahawa jihad al-hujum itu perlu kepada keizinan kedua ibu bapa. Hal ini kerana, seseorang individu itu bertanggungjawab secara fadhu ain untuk menjaga kebajikan kedua ibu bapanya berbanding jihad al-hujum yang merupakan fardhu kifayah dan memadai ia dilakukan oleh sebahagian Mukmin yang lain.   Keempat: Keizinan orang yang memberi hutang (izn al-madin) Ibn Qudamah mengatakan tidak dibolehkan bagi seseorang yang berhutang untuk keluar berperang tanpa keizinan pemiutang kecuali jika dia meninggalkan cagaran, penjamin atau apa yang bersamaan dengannya. Beliau juga menjadikan perbahasan isu ini di dalam satu bab yang khusus (al-Mughni: 8/359). Begitu juga dipegang oleh al-Syafie (Raudhah al-Talibin: 10/210). Hal ini kerana, keluar berjihad akan menyebabkan kemungkinan untuk kehilangan nyawa. Maka, kehilangan nyawa bakal mengakibatkan kehilangan hak orang lain yang terdapatdi dalamnya. Disebutkan di dalam hadith:   جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ. إِنْ قُتِلْتُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا مُقْبِلًا غَيْرَ مُدْبِرٍ أَيُكَفِّرُ اللَّهُ عَنِّي خَطَايَايَ؟ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَعَمْ إِلَّا الدَّيْنَ، كَذَلِكَ قَالَ لِي جِبْرِيلُ "Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu dia berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya aku berperang di jalan Allah dalam keadaan sabar dan tulus mengharapkan pahala, adakah akan dihapuskan segala dosa-dosaku? Baginda pun bersabda: Ya kecuali (jika kamu ada) hutang. Sesungguhnya Jibril yang mengatakan kepadaku sebegitu” (Riwayat Muslim, no. 1885)   Di dalam hal ini, seseorang yang berhutang walaupun dengan sesebuah institusi tidak boleh berlepas tangan hanya dengan alasan untuk pergi berjihad dengan jihad menyerang (jihad al-hujum). Hal ini kerana, seseorang yang berhutang kepada institusi akan membebankan ahli keluarga atau penjaminnya dan juga negara untuk melangsaikan hutangnya jika dia terbunuh dalam peperangan tersebut.   Kelima: Persediaan kekuatan (i’daad al-quwwah) Dalam konteks peperangan, persediaan ketenteraan adalah amat penting. Hal ini sememangnya termasuk dalam perkara yang dituntut oleh syariat. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60:   وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu...”   Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi persediaan ketenteraan pada zaman ini perlu disesuaikan dengan peredaran zaman. Bagi zaman kini, persediaan ketenteraan  termasuklah kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, kapal selam, satelit, roket bahkan senjata nuklear. Walaupun secara prinsipnya, al-Qaradawi tidak bersetuju dengan penggunaan senjata nuklear kerana ia boleh menyebabkan kematian jutaan manusia, namun begitu umat Islam perlu memilikinya sebagai jaminan keselamatan terutamanya bagi mencegah ancaman kuasa besar yang sentiasa bersikap memusuhi umat Islam. (Ringkasan Fiqh Jihad: 131-132))   Manakala, persediaan ketenteraan bagi diri pejuang pula bermaksud persediaan individu tersebut terhadap peperangan seperti latihan peperangan dan kemahiran menggunakan senjata dengan cara yang betul. Diambil petikan kata-kata Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitab Fiqh al-Jihad:  Disebabkan itulah, Rasullah s.a.w telah menyuruh sekalian umatnya untuk melatih diri mereka sendiri dengan cara menggunakan senjata, hingga mereka mendapat kemahiran menggunakannya. Sekiranya tidak, maka senjata-senjata itu akan kehilangan nilainya. (Fiqh al-Jihad: 1/533-542)  Jika kita melihat kepada kata-kata ini, jelaslah bahawa jihad memerlukan persediaan dari segi ketenteraan dan persenjataan. Oleh itu, perbuatan keluar berperang secara sembarangan tanpa mengambil kira persediaan-persediaan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Walaupun kedudukan orang yang mati syahid itu tinggi di dalam Islam, Islam tetap tidak mengiktiraf perbuatan keluar begitu sahaja tanpa persediaan dengan niat semata-mata mengorbankan diri sendiri.   Keenam: Bekalan jihad (mu’nah al-jihad) Antara syarat jihad al-hujum adalah memiliki bekalan jihad. Ia termasuk perbelanjaan atau nafkah kepada tanggungannya sepanjang ketiadaannya. Imam al-Syafie mengatakan, walaupun seseorang itu sejahtera tubuhnya (daripada kecacatan) dan kuat, namun dia tidak memiliki bekalan untuk keluar berjihad, tidak juga meninggalkan perbelanjaan untuk orang di bawah tanggungannya sepanjang tempoh ketiadaannya, maka dia tidak boleh menawarkan diri untuk berjihad lalu meninggalkan kewajipan terhadap tanggungan di bawahnya (Mukhtasar al-Muzani: 8/376). Al-Nawawi pula menegaskan bekalan jihad hendaklah lebihan daripada nafkah yang wajib ditunaikan buat tanggungan di bawahnya (Raudhah al-Talibin: 10/210). Bekalan jihad atau disebut juga sebagai mu’nah al-jihad ini berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Taubah ayat 91:   لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَى وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ “Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”   Di dalam ibadah haji, seseorang itu disyaratkan dengan berkemampuan untuk pergi melaksanakannya. Kemampuan ini bermaksud kemampuan menyediakan perbelanjaan diri sendiri sebelum, semasa dan setelah mengerjakan haji juga perbelanjaan buat keluarga yang ditinggalkan di tanah air. Haram bagi seseorang individu untuk pergi ke tanah suci bagi melaksanakan ibadah haji dalam keadaan meninggalkan keluarganya di dalam keadaan papa kedana. Begitu juga keadaannya bagi mereka yang keluar berperang dengan jihad al-hujum. Dia perlu menyediakan bekalan yangsecukupnya buat dirinya juga keluarga yang ditinggalkan kerana nafkah masih di bawah tanggungjawabnya.   Kesimpulannya Berjihad ke luar negara termasuk dalam kategori jihad al-talab atau al-hujum. Ia memiliki beberapa syarat yang wajib dipenuhi dan tidak boleh dilaksanakan secara semberono. Semangat, sentimen dan keberanian semata-mata tidak boleh menjadi dalil untuk menghalalkan perbuatan seseorang untuk berjihad di luar negara. Jihad sebagaimana amal ibadat yang lain, turut mempunyai tatacara dan hukum hakamnya yang tersendiri. Setiap orang yang ingin melaksanakannya perlu mempelajari dan mengetahui perihal yang berkaitan dengannya supaya apa yang dilakukan selari dengan hukum syarak dan lebih penting daripada itu, perbuatan tersebut diterima sebagai ibadat oleh Allah SWT di akhirat kelak.
3,493
SOALAN 27 (24/06/2015 BERSAMAAN 07 RAMADAN 1436H) Apakah maksud Rayyan dalam hadis?   JAWAPAN Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: إِنَّ في الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانِ يَدخُلُ مِنهُ الصَّائِمُونَ يَومَ القِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مِنهُ أَحَدٌ غَيْرُهُم Maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim)               Imam al-Nawawi Rahi,ahullah dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.             Al-Rayyan bermaksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.             Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir, bunga dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”             Berkata Izzuddin bin Abd al-Salam dalam kitab fawaid al-Saum: “Adapun dikhususkan kepada mereka memasuki syurga dari pintu al-Rayyan kerana keistimewaan ibadat mereka dan kemuliaannya.”             Itulah suatu gambaran yang sebenarnya tentang makna yang didapati pada kalimah al-Rayyan dan ianya buat selama-lamanya bagi penghuni syurga yang menjalankan segala urusan Allah SWT.
3,495
Soalan : Assalamu’alaikum S.S Mufti, bagaimanakah usul fiqh berperanan dalam mendepani wabak dan juga penyakit ? Mohon penjelasan. Jawapan : Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Seperti yang kita tahu ilmu usul fiqh merupakan suatu ilmu yang melibatkan dalil-dalil serta kaedah-kaedah fiqh. Justeru, ilmu usul fiqh membantu seorang mufti atau faqih dalam proses pengeluaran hukum terhadap isu-isu yang melibatkan mukallaf. Secara umumnya, dalam berhadapan dengan penyakit-penyakit berjangkit seperti taun atau penyakit-penyakit yang lain, Islam amat menitik beratkan soal pencegahan dan mengambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu. Antara dalil yang menjelaskan akan hal ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :  إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا ‏ Maksudnya : Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya. Riwayat Al-Bukhari (5728) Hadis di atas ini jelas menunjukkan langkah pencegahan yang disyorkan oleh Rasulullah S.A.W sebelum dan juga selepas seseorang itu terlibat dengan penyakit berjangkit. Dari sudut sekiranya seseorang itu mengetahui akan penularan sesuatu wabak di tempat tertentu, janganlah dia pergi ke tempat tersebut bagi mengelakkan dirinya dari dijangkiti penyakit tersebut. Manakala jika seseorang itu telah berada dalam kawasan yang merebak padanya wabak, tindakan pencegahan yang diambil bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut adalah dengan cara tidak keluar dari kawasan tersebut. Ini dilakukan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar seperti yang disebutkan dalam sebuah kaedah fekah yang masyhur : إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا Maksudnya : Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan. Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim (Hlm. 76) Syeikh Mustafa Al-Zarqa berkata: (Yang dimaksudkan dengan) meraikan yang paling berat dari keduanya adalah dengan cara membuangnya (meninggalkannya). Ini kerana, mafsadah-mafsadah diraikan dengan dinafikan seperti mana maslahah-maslahah diraikan dengan mengisbatkan (melakukannya). Rujuk Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, Syeikh Mustafa Al-Zarqa (Hlm. 201). Secara asasnya, kaedah ini ada sandarannya daripada nas syarak iaitu berdasarkan firman Allah S.W.T: أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا Maksudnya: Adapun perahu itu merupakan milik orang-orang miskin yang berkerja di laut. Maka aku bertujuan merosakkannya kerana terdapat seorang raja yang ingin merampas kesemua perahu. Surah Al-Kahf (79) Berdasarkan ayat di atas, kita dapat melihat beberapa perkara penting yang kami ringkaskan dalam bentuk poin seperti berikut: Perahu atau sampan tersebut dimiliki oleh orang miskin dan bukannya orang kaya. Orang miskin tersebut pula berkerja di lautan dan bukannya di daratan. Justeru, keadaan ini menggambarkan betapa penting peranan sampan untuk digunakan dalam pekerjaan menampung kehidupan seharian. Ia dirosakkan kerana terdapatnya seorang raja yang mahu merampas perahu-perahu yang berada dalam keadaan baik dan elok. Justeru, apabila dilihat perahu-perahu yang rosak, maka ia ditinggalkan dan tidak dirampas. Merosakkan perahu adalah satu keburukan. Namun dirampasnya perahu mendatangkan keburukan yang lebih berat. Rosaknya perahu boleh dibaiki, manakala dirampasnya perahu mendatangkan masalah besar kepada golongan miskin untuk membeli perahu yang baharu. Justeru ini adalah contoh pertembungan antara dua keburukan, lalu dipilih keburukan yang lebih ringan. Oleh yang demikian, apabila kita berbalik kepada isu mencegah penularan wabak atau penyakit yang berjangkit ini, kaedah menghalang mereka yang berada di tempat-tempat tersebarnya penyakit berjangkit atau disebut sebagai kuarantin merupakan antara langkah terbaik bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar. Maka para pemerintah atau badan-badan berautoriti hendaklah bertindak dalam menangani isu-isu penularan wabak dengan melihat kepada maslahah-maslahah kepada masyarakat setempat disampil mengambil kira faktor suasana setempat dan juga keadaan masyarakat. Hal ini adalah bertepatan dengan sebuah kaedah fekah yang menyebutkan : تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة Maksudnya : Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah. Bahkan kaedah fekah di atas inilah yang menjadi asas pedoman kepada Amirul Mu’minin Umar Ibn al-Khattab R.A dalam melakukan keputusan sebaik sahaja beliau mendengar khabar berlakunya wabak penyakit di tanah Syam. Ada sebuah riwayat yang menyebutkan bahawa Saidina Umar keluar menuju ke Syam sehingga beliau sampai ke kawasan Sargh (satu kawasan yang berdekatan dengan Syam yang terletak di antara Al-Mughitsah dengan Tabuk). Sesampai di sana beliau bertemu dengan panglima angkatan tentera iaitu Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A dan juga para sahabat beliau. Mereka memberitahu kepada Umar bahawa wabak telah berlaku di tanah Syam. Lalu Saidina Umar berkata : ‘’Panggilkan golongan muhajirin al-awwalin untuk bertemu dengan aku’’. Kemudian sebaik mereka sampai, Saidina Umar berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berlaku di tanah Syam. Golongan muhajirin berbeza pendapat dalam isu ini. Sebahagian mereka berpendapat, kamu telah keluar disebabkan ada urusan, maka kami tidak merasakan yang kamu perlu pulang meninggalkan urusan tersebut. Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan : ‘’Kamu membawa bersama kamu orang ramai dan para sahabat Rasulullah S.A.W, maka kami tidak berpendapat yang kamu patut membawa mereka ke arah wabak ini’’. Kemudian Saidina Umar memanggil golongan Ansar bagi berbincang isu ini, maka golongan Ansar pun berpendirian yang sama seperti yang disebutkan oleh golongan Al-Muhajirin. Kemudian tidak lama selepas itu Saidina Umar pun memberi arahan kepada orang ramai untuk berpatah semula. Lalu Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah R.A berkata : أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ Maksudnya : Adakah perbuatan ini termasuk melarikan diri dari takdir Allah ? Maka Saidina Umar menjawab : نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَتْ لَكَ إِبِلٌ فَهَبَطْتَ وَادِيًا لَهُ عِدْوَتَانِ إِحْدَاهُمَا خَصْبَةٌ وَالأُخْرَى جَدْبَةٌ أَلَيْسَ إِنْ رَعَيْتَ الْخَصْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ وَإِنْ رَعَيْتَ الْجَدْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ Maksudnya : Alangkah baik jika selain kamu yang mengungkapkan kenyataan ini wahai Abu ‘Ubaidah. Ya betul, kami lari dari takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain. Tidakkah kamu melihat sekiranya kamu memiliki seekor unta, kemudian kamu turun kepada satu lembah yang mempunyai dua sudut. Salah satunya merupakan kawasan yang subur dan satu yang lagi merupakan kawasan yang tandus. Bukankah jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang subur maka kamu menjaganya dengan taqdir Allah. Dan jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang tandus maka kamu juga menjaganya dengan taqdir Allah ? Kemudian datang Abdul Rahman bin ‘Auf R.A yang sebelum ini tidak berada bersama kerana menyelesaikan beberapa urusan lalu beliau berkata : إِنَّ عِنْدِي مِنْ هَذَا عِلْمًا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ Maksudnya : Sesungguhnya aku mempunyai ilmu berkenaan perkara ini. Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila kamu mendengar ia (wabak) berlaku di sesuatu tempat maka janganlah kamu pergi kepadanya. Dan apabila ia berlaku di tempat yang kamu berada di dalamnya maka janganlah kamu keluar daripadanya. Riwayat Muslim (2219) Maka berdasarkan hadis di atas kita dapat melihat bahawa Saidina Umar yang berada atas kapasiti sebagai seorang pemerintah membuat satu keputusan yang meraikan maslahah setiap individu yang berada di bawah jagaan beliau dengan cara menjauhkan diri dari tempat yang diketahui terkena padanya wabak. Inilah juga pedoman yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda diberitahu oleh Farwah bin Musaik bahawa terdapat suatu kawasan yang bernama Abyan yang telah berlaku wabak yang buruk padanya. Maka Rasulullah S.A.W bersabda : دَعْهَا عَنْكَ فَإِنَّ مِنَ الْقَرَفِ التَّلَفَ Maksudnya : Tinggalkan ia (kawasan tersebut). Sesungguhnya perbuatan mendekatkan diri dengan keburukan  (wabak dan penyakit) akan membawa kepada kebinasaan. Riwayat Abu Daud (3923) Maka ilmu usul fiqh membawa para ulama untuk mengeluarkan larangan dari umat Islam mendekatkan diri dari tempat-tempat yang merebak padanya penyakit-penyakit yang berjangkit. Ini turut bertepatan dengan larangan yang disebutkan oleh Al-Quran menerusi firman Allah S.W.T : وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ Maksudnya : Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan. Surah Al-Baqarah (195) Selain daripada itu, kita dapat melihat bahawa Islam turut mengambil langkah berikutnya iaitu sesudah berlakunya sesuatu wabak atau penyakit dengan anjuran supaya ianya dirawat. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa dalil dan juga kaedah-kaedah fekah yang berkaitan dengan hal ini. Antaranya adalah seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ Maksudnya : Berubatlah kamu, sesungguhnya Allah S.W.T tidak menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkan juga ubatnya melainkan satu penyakit sahaja, iaitu ketuaan. Riwayat Abu Daud (3855) Maka jelas dari hadis di atas arahan dari Nabi S.A.W untuk seseorang yang ditimpa penyakit supaya berubat. Secara umumnya, perintah yang terdapat di dalam hadis ini menujukkan bahawa berubat ini suatu yang disyariatkan dan hukumnya adalah mustahab (dituntut). Meskipun begitu, dalam beberapa keadaan tertentu hukum berubat boleh menjadi wajib sekiranya diketahui yang ia akan memberikan kebaikan dan jika diabaikan akan mendatangkan kemudharatan kepada pesakit. Demikian juga penyakit termasuk dalam perkara mudharat yang perlu dielakkan demi menjaga nyawa seseorang manusia. Ini bertepatan dengan sebuah kaedah fekah menyebut : الضَّرَرُ يُزَال Maksudnya : Kemudharatan itu dihilangkan. Penutup Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa ilmu usul fiqh memainkan peranan penting khususnya kepada para fuqaha’ dalam menyediakan penyelesaian yang bersifat syar’ie melalui pengeluaran hukum-hakam yang melibatkan isu wabak dan juga penyakit sama ada menerusi langkah-langkah pencegahan demikian juga langkah-langkah rawatan terhadap perkara tersebut. Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
3,496
SOALAN Assalamualaikum ust. Apakah hukum mereka yang mencarut dalam media sosial dalam keadaan sedang berpuasa? Adakah membatalkan puasa atau tidak? Atau memberi kesan kepada pahalanya?   RINGKASAN JAWAPAN Tidak batal puasa seseorang yang mengeluarkan kata-kata tidak baik seperti berbohong, mengumpat, mencarut, perkataan lucah dan seumpamanya, sama ada di alam maya atau di alam nyata. Namun, perbuatan tersebut menghilangkan pahala puasa dan tidak tercapai maksud puasa dalam erti kata yang sebenar.   HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.   Hakikat ibadah puasa yang dilaksanakan adalah untuk mencapai matlamat ketakwaan dalam diri setiap hamba. Allah SWT berfirman: يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. Surah al-Baqarah (183)   Imam al-Maraghi menjelaskan bahawa  ayat di atas merupakan perintah Allah SWT tentang kewajipan berpuasa bagi umat Nabi SAW.  Segala amal ibadah digandakan pada bulan ramadan. Oleh itu, umat Islam sepatutnya meningkatkan segala amal ibadah dan mengawal hawa nafsu bagi meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. (Rujuk: Tafsir al-Maraghi, 2/68)   Ramadan bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi  kita juga perlu menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa.  Ini adalah salah satu wasilah (jalan) bagi mencapai ketakwaan. Seorang muslim bukan sahaja perlu menjaga unsur rohani dan jasmani diri yang mana meliputi proses pengislahan dan pembersihan jiwa dengan melaksanakan perintah Allah SWT, tetapi perlu juga menjaga hubungan  sosial sesama manusia.   Setiap muslim yang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan tentu berharap mendapat pahala dari Allah SWT. Namun, hanya sebahagian sahaja yang mendapat pahala puasa, manakala sebahagian lagi hanya mendapat lapar dan dahaga dari ibadah tersebut disebabkan perbuatan mereka. Baginda SAW memberi amaran dalam hal ini dengan sabdanya: ‌رُبَّ ‌صَائِمٍ ‌حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga”. Riwayat Ahmad (8856)   Nabi SAW juga memberi amaran yang sama sekiranya seseorang itu mengeluarkan kata-kata keji ketika berpuasa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda: ‌مَنْ ‌لَمْ ‌يَدَعْ ‌قَوْلَ ‌الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji dan amalannya, maka Allah tidak berhajat pada seseorang yang meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat al-Bukhari (1903), Abu Daud (2362), al-Tarmizi (716), Ibnu Majah (1689)   Hadis ini menjelaskan tentang kesempurnaan puasa yang mana jika seseorang berkata dengan perkataan keji dan melakukan amalan dosa, maka puasanya tidak batal, namun ia meluputkan pahala puasanya. Perkara ini dijelaskan oleh syeikh Abu  Bakar Syato di dalam karya beliau: والمراد أن كمال الصوم إنما يكون بصيانته عن اللغو والكلام الرديء، لا أن الصوم يبطل بهما Maksudnya: “Maksudnya kesempurnaan puasa seseorang ialah dengan memelihara daripada perbuatan yang melalaikan dan kata-kata yang keji, sesungguhnya tidak batal puasa seseorang itu dengan sebab perbuatan tersebut”. (Rujuk: Hasyiah Ia’nah al-Talibin, 2/416)   Manakala, al-Imam al-Suyuti R.H mensyarahkan perkataan al-Zur dalam hadis tersebut yang bermaksud: هُوَ الْكَذِب والبهتان وَالْعَمَل بِهِ أَي الْعَمَل بِمُقْتَضَاهُ من الْفَوَاحِش وَمَا نهى الله تَعَالَى عَنهُ Maksudnya: “al-Zur ialah berkata bohong dan dusta serta beramal dengannya, iaitu amalan yang termasuk dalam perbuatan-perbuatan keji yang dilarang oleh Allah SWT”. (Rujuk: Syarah Ibnu Majah li al-Suyuti, 1/121)   Selain itu, Rasulullah SAW telah mengingatkan tentang pentingnya seseorang menjaga mulut dan tingkah lakunya ketika berpuasa, sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A: ‌لَيْسَ ‌الصِّيَامُ ‌مِنَ ‌الْأَكْلِ ‌وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan perkataan keji”. Riwayat al-Baihaqi (8312)   Hadis ini merupakan dalil bahawa orang yang melaksanakan ibadah puasa wajib menahan diri dari perkataan kotor dan perkataan dusta sebagaimana ia menahan diri dari makan dan minum. Imam Ibnu Hajar menyebut di dalam kitabnya Fath al-Bari berkenaan maksud al-Laghwu ialah: ‌اللَّغْوُ ‌الْكَلَامُ ‌الَّذِي لَا أَصْلَ لَهُ من الْبَاطِل وَشبهه Maksudnya: “al-Laqhwu ialah perkataan yang tidak ada manfaat daripada perkara-perkara yang batil dan seumpamanya”. (Rujuk: Fath al-Bari Syarah Sahil al-Bukhari, 2/414)   Sehubungan dengan itu, menurut syeikh Zainuddin al-Malibari di dalam karyanya bahawa seseorang itu wajib memelihara lidah dari sesuatu yang haram kerana ia boleh menghilangkan pahala puasa dan berdosa: ومما يتأكد للصائم : كف اللسان عن كل محرم ككذب وغيبة ومشاتمة لأنه محبط لأجر Maksudnya: “Apa yang perlu ditekankan oleh orang yang berpuasa  ialah memelihara lidah dari perkara-perkara yang haram seperti kata-kata dusta, mengumpat, mencaci, menghina, memaki, kerana ia menghapuskan pahala puasa”. (Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 274)   Menurut kenyataan di atas, jelaslah bahawa perkataan keji yang diucapkan ketika sedang berpuasa tidak membatalkan puasa. Namun, boleh menyebabkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. WaAllahua’lam
3,497
SOALAN Assalamualaikum admin, adakah terdapat hadis berkenaan larangan marah? Mohon penjelasan. RINGKASAN JAWAPAN Tidak dinafikan bahawa memang terdapat hadis-hadis yang menyebutkan tentang larangan marah. Manusia tidak dapat lari daripada sifat marah kerana ianya merupakan salah satu emosi yang wujud dalam diri manusia. Namun, sebagai seorang mukmin sifat ini perlu diurus dengan baik dan penuh sabar. Hal ini kerana, Allah SWT amat menyukai orang-orang yang bersabar. HURAIAN JAWAPAN Berdasarkan kepada persoalan di atas, terdapat beberapa hadis yang menyebutkan tentang larangan marah, antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah RA: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ» Maksudnya: Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. [1] Riwayat al-Bukhārī (6114) Selain itu, Abū Hurayrah RA juga meriwayatkan bahawa: أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْصِنِي، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ» فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ» Maksudnya: Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku”, Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.” [2] Riwayat al-Bukhārī (6116) Imam Ibn Ḥajar al-ʻAsqalānī ketika mensyarahkan hadis ini berkenaan maksud “lā taghḍab” (jangan marah) di dalam hadis, maksud perkataan “lā taghḍab” (jangan marah) adalah menjauhi perkara-perkara serta segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan. [3]  Dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada ʻAṭiyyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ، وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ، فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ Maksudnya: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk. [4] Riwayat Abū Dāwud (4784) Walaupun begitu, terdapat marah yang dibenarkan oleh syarak. Marah yang dibenarkan oleh syarak disebut sebagai al-Ghadab al-Mahmud (marah yang terpuji). Dibolehkan untuk merasa marah apabila terdapat sentimen mempersendakan agama Islam oleh pihak musuh daripada kalangan orang kafir, munafik dan lain-lain. Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ Maksudnya: Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Surah al-Taubah (73) Cara-cara mengawal kemarahan: [6] Marah juga dapat dikawal dengan sentiasa mempraktikkan sifat sabar dalam menghadapi sesuatu perkara. Menahan kemarahan dengan mengalihkannya kepada perkara lain seperti tidak memikirkan perkara berkaitan dan sentiasa berfikir positif terhadap hal lain. Meluahkan perasaan marah secara wajar (tegas, yakin dan terkawal). Apabila berasa marah seseorang perlu menenangkan dirinya dengan berzikir kepada Allah SWT, mengawal perilaku luaran dan tindak balas dalaman. Selain itu, terdapat saranan daripada hadis Nabi SAW untuk mengawal sifat marah iaitu dengan sentiasa berwuduk jika berasa hendak marah. (Rujuk Sunan Abi Daud 4/249) KESIMPULAN Hadis-hadis yang menyebutkan tentang larangan marah memang benar terdapat dalam kitab-kitab himpunan hadis. Manusia tidak dapat lari daripada sifat marah kerana ianya merupakan salah satu emosi yang ada pada manusia. Namun begitu, sebagai seorang muslim yang baik, hendaklah kita mengawal kemarahan kita agar sifat tersebut tidak menjadi punca kepada masalah ataupun pergaduhan. Jadilah orang yang bersabar kerana ganjaran sabar itu sangat besar. Wallahuallam. RUJUKAN [1] Muḥammad bin Ismāʻīl al-Bukhārī, al-Jāmiʻ al-Musnad al-Ṣaḥīḥ al-Mukhtaṣar min Umūr Rasūlillāh SAW wa Sunanihi wa Ayyāmihi, ed. Muḥammad Zuhayr bin Nāṣir al-Nāṣir (Dār Ṭūq al-Najāh, 1422), 8: 28. [2] Ibid. [3] Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajar al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī (Bayrūt: Dār al-Maʻrifah, 1379), 10: 520. [4] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Asyʻat, Sunan Abī Dāwud, ed. Muḥammad Muḥy al-Dīn ʻAbd al-Ḥamīd (Bayrūt: Maktabah al-ʻAṣriyyah, t.t), 4: 249. [5] Alvin Ng Lai Oon, “Menangani Kemarahan”, laman sesawang MyHEALTH, dicapai pada 10 Mac 2021, http://www.myhealth.gov.my/menangani-kemarahan/. [6] Ibid. [7] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Asyʻat, Sunan Abī Dāwud, ed. Muḥammad Muḥy al-Dīn ʻAbd al-Ḥamīd, 4: 249.
3,498
SOALAN 46 (29/06/2015 BERSAMAAN 12 RAMADAN 1436H) Apakah hukum orang yang berpuasa tetapi tidak sembahyang?    JAWAPAN Untuk menjawab soalan ini, sebagai muqaddimah saya nukilkan pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya, Fatawa Muasirah: “Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat, iaitu mendirikan sembahyang, membayar zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”             Ulama Islam telah mengeluarkan berbagai-bagai pendapat, sesetengahnya berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat ini. Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dan enggan membayar zakat. Sebahagian berpendapat yang lain pula hanya orang yang meninggalkan sembahyang sahaja menjadi kufur kerana kedudukan sembahyang yang tinggi di dalam Islam.             Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan: “Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.”             Ulama yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dengan sendirinya berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.             Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW. Mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik.             Mudah-mudahan pendapat ini lebih benar dan adil. Jika dia mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu, tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan dia juga melakukan ibadat-ibadat yang lain, dia dikira Muslim yang tidak sempurna, imannya lemah dan dan jika berterusan meninggalkannya, Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.             Pahala terhadap apa yang telah dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya. Allah SWT berfirman: وَكُلُّ صَغِيرٍ وَكَبِيرٍ مُّسْتَطَرٌ Maksudnya: “Dan segala urusan yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis.” (Surah al-Qamar: 53) Firman-Nya lagi: فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿۷﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرَّا يَرَهُ Maksudnya: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat  zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula.” (Surah al-Zalzalah: 7-8)   Dalam hal ini saya cuba merumuskan pendapat ulama berkenaan dengan orang yang puasa tetapi tidak solat, antaranya: Pendapat pertama: Mereka dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasa mereka. Hendaklah mereka bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Inilah pendapat mazhab Hambali dan sebahagian ulama masa kini. Pendapat kedua: Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Inilah pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain. Hal ini kerana Rasulullah S.A.W bersabda mafhumnya: “Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya”. Riwayat Bukhari & Muslim   Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan puasa sah tetapi tidak dipahalakan kerana menafikan rukun Islam yang sangat penting iaitu solat.   Inilah sebahagian daripada Ahkam al-Siyam yang ingin dibentangkan kepada masyarakat Islam agar difahami dengan jelas untuk menjadikan puasa benar-benar menepati syariat.
3,499
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Bolehkah berbuka puasa di rumah rakan bukan Islam kerana dia menjemput? Kalau tidak pergi takut terasa pula. Mohon penjelasan.   Jawapan: Waalaikumussalam wbt, Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. Kami pernah menjawab isu solat di dalam gereja dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-238 : Hukum Solat Di Gereja Dan Biara. Kesimpulannya, dimakruhkan untuk bersolat di dalam gereja tetapi tidak diharamkan. Kami berpendapat bahawa berbuka puasa di rumah orang bukan Islam juga dibenarkan berdasarkan qias dan tidak terdapat nas-nas Syarak yang melarang perbuatan tersebut. Justeru ia kembali kepada kaedah: الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدليلُ عَلَى التَّحْرِيِْم Maksudnya: “Hukum asal pada setiap sesuatu adalah diharuskan sehingga datangnya dalil yang mengharamkannya.” Rujuk al-Asybah wa al-Naza’ir (hlm. 133) Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj (4/405): “Antara (syarat-syarat wajib menjawab jemputan makan) ialah hendaklah yang menjemput itu seorang muslim. Maka jika dia seorang yang kafir maka tidak wajib untuk menjawab jemputannya kerana tidak ada tuntutan untuk berkasih sayang dengan mereka, dan kerana makanan yang dihidang oleh mereka agak menjijikkan jika terdapat kemungkinan ia adalah najis dan buruk cara penyiapannya. Oleh itu, tidak disunatkan untuk menjawab jemputan seorang dzimmi seperti mana sunatnya menjawab jemputan orang Muslim pada apa yang disunatkan untuk menjawabnya. Dan diambil daripada ini, bahawa disunatkan untuk menjawab jemputan dzimmi walaupun dimakruhkan untuk bercampur gaul dengan mereka.” Daripada keterangan di atas dapat kita fahami bahawa: Hukum menjawab jemputan makan orang bukan Islam tidak sama dengan hukum menjawab jemputan orang Islam. Perbezaannya ialah kerana dikhuatiri makanan yang disediakan tidak mematuhi piawai halal dan haram dalam Hukum Syarak, atau dicemari dengan najis. Namun jika jika aman daripada kekhuatiran tersebut, maka kekallah hukum sebagai harus. Sunat menjawab jemputan orang bukan Islam yang bertaraf dzimmi yakni mereka yang memiliki perjanjian aman dan pemeliharaan daripada pemerintah Muslim. Dimakruhkan bercampur gaul dengan mereka jika terdapat bahaya yang boleh mempengaruhi akidah orang Islam. Namun jika tiada bahaya tersebut dan digunakan peluang untuk menyampaikan kebaikan Islam dan mendekatkan mereka kepada Islam dengan hubungan kemanusiaan yang baik, maka diharuskan. Rujuk juga al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/77 & 5/98) oleh Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili. Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum berbuka puasa di rumah rakan yang bukan Islam atas jemputan, adalah diharuskan bahkan disunatkan untuk menjawabnya. Ini disyaratkan apabila jamuan itu selamat daripada makanan dan minuman yang haram seperti khinzir, arak dan bahan-bahan bernajis yang lain. Pesanan kami, gunakanlah peluang ini untuk menunjukkan akhlak Muslim yang baik dan sampaikan seberapa mampu mesej-mesej Islam di samping bersama-sama menikmati rezeki yang Allah SWT kurniakan dalam bentuk makanan dan minuman. Wallahua’lam.
3,501
Mukadimah Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat. Islam memberi penekanan kepada umatnya agar seimbang dalam setiap perkara dengan meraikan setiap hak yang menjadi kewajipan ke atas dirinya untuk ditunaikan. Antaranya termasuklah hak seseorang terhadap Tuhannya, pada dirinya sendiri dan pada orang lain. Islam sama sekali tidak memisahkan antara kehidupan dunia yang sedang dijalani seseorang dengan kehidupan akhirat bahkan ia dilihat saling melengkapi. Justeru, dalam Bayan Linnas siri kali ini, kami mengetengahkan isu dengan tajuk Seimbang Antara Materialistik Dan Kerohanian. Semoga ia memberi manfaat kepada semua dalam menjalani kehidupan seharian. Amin.   Takrifan Kami mulakan dengan takrif kepada tajuk yang dikemukakan seperti berikut: Seimbang Menurut Kamus Dewan, ia bermaksud setimbang, sama berat dan tidak berat sebelah. Materialistik Menurut Kamus Dewan Bahasa, materialistik adalah berkaitan dgn kebendaan, bersifat kebendaan, mengutamakan atau mementingkan kebendaan. Kerohanian Kerohanian menurut Kamus Dewan adalah perihal rohani, sifat-sifat rohani, rohaniah.   Seimbang Antara Materialistik dan Kerohanian Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya Syariah Islam: Ciri-Ciri dan Keunggulan menyebut: Antara keagungan syariat Islam ialah sifatnya yang tidak memisahkan antara tuntutan material dengan kerohanian dan antara dunia dengan akhirat. Malah Islam melihatnya dalam satu kesatuan yang saling melengkapi antara hak manusia terhadap Tuhannya, diri sendiri dan terhadap orang lain. Dengan demikian, seseorang itu dapat menjalani kehidupan seharian bergantung kepada kemampuan serta keinginannya berdasarkan kepada asas Islam yang bersesuaian dan bertepatan dengan fitrah dan realiti kehidupan. Syariat Islam yang lengkap tidak mensyariatkan sesuatu tegahan secara mutlak, umpamanya menjalani kehidupan seperti paderi atau memencilkan diri dari masyarakat. Dalam waktu yang sama, Islam tidak mengizinkan manusia tenggelam dalam kehidupan materialistik dan melupakan Tuhannya serta kehidupan akhirat. Bahkan seseorang itu hendaklah seimbang dalam setiap perkara, menunaikan hak-hak Allah, hak dirinya dan hak orang lain tanpa mengabaikan mana-mana satu kewajipan dengan hanya melakukan kewajipan yang lain. Al-Quran menyeru kearah perseimbangan antara kebendaan dan kerohanian dalam ayat-ayat yang menyentuh perasaan serta hati sebelum membicarakan tentang akal manusia. Dalam peringatannya tentang kewajiban melaksanakan hak Allah untuk beribadah ketika tenggelam dalam kemelut pekerjaan duniawi dan tuntutan perniagaan, Allah SWT berfirman: رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ Maksudnya: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah al-Nur: 37) Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman bahawa mereka tidak disibukkan dengan dunia, gemerlapannya, perhiasannya, kelazatan jual beli dan keuntungannya daripada mengingati Allah yang telah menciptakan mereka dan memberi rezeki. Mereka tahu bahawa apa yang tersedia di sisi-Nya pasti kekal abadi. Ibn Abbas R.A menyebut, "لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ" (tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah), yakni dari mengerjakan solat fardhu. Demikian juga Muqatil bin Hayyan dan al-Rabi' bin Anas berpendapat yang sama. Al-Suddi pula menyebut: “Yakni daripada mengerjakan solat berjemaah.” Muqatil bin Hayyan berkata: "Tidak dilalaikan oleh hal itu daripada menghadiri solat dan menegakkannya seperti yang diperintahkan oleh Allah, menjaga waktu-waktunya yang telah Allah SWT perintahkan untuk dijaga.” (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 6/55) Sayyid Qutb berkata: Kegiatan perniagaan dan jual beli ialah untuk menghasilkan pendapatan dan kekayaan. Walaupun mereka sibuk dengan kegiatan itu, namun mereka tidak lalai dari menunaikan hak Allah dalam ibadat solat dan hak manusia dalam ibadat zakat. Hati-hati itu terus bergoyang dan berbalik-balik tidak pernah tetap dan tenang kerana malapetaka hari itu terlalu hebat, sengsara dan huru-hara. Oleh sebab mereka amat takut kepada hari Kiamat, maka hati mereka tidak pernah dilalaikan oleh kesibukan perniagaan dan jual beli dari menyebut Allah. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/284) Manakala dalam peringatannya tentang perlunya menunaikan hak jiwa untuk berusaha dan mencari rezeki ketika tenggelam dalam keasyikan bermunajat kepada Tuhan dan keharuman tempat beribadah, Allah SWT berfirman: فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah.” (Surah al-Jumu’ah: 10) Imam al-Qurtubi berkata: Ayat “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi,” ini merupakan perintah yang menunjukkan hukum harus. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/108) Sayyid Qutb berkata: Inilah imbangan yang menjadi ciri sistem hidup Islam, iaitu memelihara imbangan di antara keperluan kehidupan seperti bekerja, membanting tulang, bergiat dan berusaha dengan keperluan jiwa yang memerlukan uzlah atau pemencilan diri sebentar dari suasana yang sibuk itu untuk menumpukan ingatannya kepada Allah. Zikrullah atau mengingati Allah adalah perlu dalam masa mencari kehidupan, kerana perasaan dan kesedaran kepada Allah dalam masa inilah yang mengubahkan kegiatan mencari kehidupan itu kepada ibadat. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/284) Al-Sobuni berkata: Maksudnya hai orang yang beriman membenarkan Allah SWT dan Rasulnya. Jika kamu mendengar azan yang diseru untuk solat, maka tinggallah segala amalan dan urusanmu dan tinggallah berjual beli seterusnya segera menuju dan mengingati untuk beribadat kepada Allah khususnya solat jumaat bersama saudara seIslam yang demikian jauh lebih baik daripada apa yang kamu niagakan jika kamu mempunyai kefahaman dan ilmu yang baik. Selepas itu, carilah rezeki Allah SWT di seluruh dunia kerana rezeki adalah miliknya. Dialah pengurnia hakiki, dan tidak mengabaikan sebarang cita-cita orang yang berdoa dan yang beramal kerana kelebihan kurnianya. Justeru hendaklah kamu mengingati Allah SWT dengan sebanyak-banyaknya. Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang berjaya. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/73) Antara dasar yang digariskan oleh al-Quran terhadap perseimbangan ini ialah: Mencari kehidupan akhirat dan di samping sama-sama mengambil bahagian keduniaan. Firman Allah SWT: وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّـهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا Maksudnya: “Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi”. (Surah al-Qasas: 77) Ibn Kathir berkata: Ayat ini bermaksud gunakanlah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu berupa harta yang melimpah dan kenikmatan yang panjang dalam berbuat taat kepada Rabbmu serta bertaqarrub kepada-Nya dengan pelbagai amal yang dapat menghasilkan pahala di dunia dan di akhirat. Kita juga tidak boleh melupakan bahagian kita di dunia iaitu apa-apa yang dibolehkan oleh Allah di dalamnya berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan pernikahan. Sesungguhnya Tuhan memiliki hak, dirimu memiliki hak, keluargamu memiliki hak serta orang yang berziarah kepadamu pun memiliki hak. Maka berikanlah setiap sesuatu dengan haknya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/228) Syeikh al-Maraghi dalam Tafsir al-Maraghi (10/5185) berkata: “Gunakanlah nikmat-Nya yang melimpah ruah dalam bentuk harta yang diberikan oleh Allah SWT kepadamu sebagai jalan ketaatan dan mendekatkan diri kepada-Nya bagi mendapatkan pahala di akhirat kelak. Hal ini telah ditegaskan menerusi sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هِرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ Maksudnya: “Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.” Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7/3319) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, 4/306 (7846). Ibn al-Athir dalam kitabnya Jami’ al-Ushul fi Ahadith al-Rasul (1/392) mengatakan: “Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Hakim dan ia menilainya sebagai Hadith Sahih sesuai dengan syarat Imam Bukhari dan Muslim. Imam al-Zahabi juga menilainya sama dengan Imam Hakim. Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari mengatakan: “Sanad hadith ini hasan”. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak dalam kitabnya, al-Zuhd. Kalau Allah telah menyatakan bahawa dia tidak menyukai orang yang suka merosakkan di atas muka bumi, maka balasan Tuhan pasti akan datang, cepat atau pun lambat kepada orang yang demikian. Dan jika hukuman Tuhan datang, seorang pun tidak ada yang mempunyai kekuatan dan daya upaya untuk menangkisnya. Menempelak orang yang tidak mahu menggunakan perhiasan dan perkara-perkara yang baik. Firman Allah SWT: قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ Maksudnya: Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat. (Surah al-A’raf: 32) Ibn Kathir berkata: Ayat ini menunjukkan Allah SWT menyanggah pendapat orang yang mengharamkan sesuatu dari makanan atau minuman atau pakaian menurut kehendak hatinya tanpa ada dasar syariat dari Allah. Ia adalah sesuatu yang diciptakan Allah untuk orang-orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul dalam kehidupan dunia ini, sekalipun ikut memanfaatkannya bersama mereka secara lahiriah di dunia ini orang-orang kafir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/367) Imam Fakhr al-Din al-Razi berkata: “Perkataan ziinah (perhiasan) meliputi semua perhiasan di antaranya ialah membersihkan badan, di antaranya pula ialah tunggangan yang baik, dan di antaranya pula perhiasan kaum perempuan. Dan termasuk pula dalam lingkungan Thayyibaat (yang baik-baik daripada rezeki) tiap-tiap yang enak rasanya dan menimbulkan selera dari makan makanan dan minum minuman. Bahkan Nabi Muhammad SAW telah menolak fahaman Uthman bin Mazh’un yang pernah bermaksud bahawa beliau hendak memotong kemaluannya dan hidup sebagai seorang pendeta.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 14/230) Demikianlah anjuran Islam supaya manusia dapat memperimbangkan antara agama dengan kebendaan, dunia dengan akhirat. Jika diamati beberapa sikap Rasulullah SAW ketika melakukan perseimbangan, menyelesaikan konsep mengasingkan diri, menyembunyikan diri dan tidak ingin kepada dunia, kita berkeyakinan bahawa sikap tersebut sesuai dengan fitrah semula jadi manusia dan tidak bertentangan dengan keinginan nafsu. Bahkan ia sesuai dengan kaedah yang telah digariskan oleh Islam sebagai satu perjalanan semula jadi yang seimbang serta sederhana. (Lihat Syariah Islam: Ciri-Ciri dan Keunggulan (terj.) oleh Abdullah Nasih Ulwan, hlm. 25) Antara contoh dari beberapa pendirian ini, dapat dipetik melalui hadis-hadis berikut: Hadith Riwayat Anas R.A Daripada Anas R.A, beliau menyebut bahawa tiga orang lelaki telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW bertanyakan tentang ibadah Baginda SAW. Apabila mereka diberitahu, seolah-olahnya mereka menganggap ibadah mereka itu sedikit. Lantas mereka berkata, di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Nabi SAW. Baginda telah diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu dan akan datang. Salah seorang dari mereka berkata, “Adapun aku, aku akan mengerjakan sembahyang malam selama-lamanya.” Lelaki kedua berkata, “Aku akan berpuasa selama-lamanya dan tidak berbuka.” Lelaki ketiga pula berkata, “Aku akan mengasingkan diri dari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Kemudian Rasulullah SAW datang berjumpa mereka dan bersabda:   أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي Maksudnya: “Kamukah yang berkata begitu dan begini? Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, ia bukan daripada kalanganku.” Riwayat al-Bukhari (6063) dan Muslim (1401) Apa yang dimaksudkan oleh Baginda SAW dengan katanya itu ialah walaupun baginda sudah diampunkan namun takut kepada Allah mendorong baginda kepada berijtihad dan sentiasa beribadat. Tetapi jalan ibadat hendaklah berdasarkan kepada apa yang dipraktikkan oleh baginda. Sesiapa yang tidak menyukai jalan ini maka ia bukan mengikuti sunnah Rasul yang merupakan syarat kepada keredaan Allah. (Lihat al-Mufhim li ma Ashkala min Talkhis Muslim oleh al-Qurtubi, 4/86) Hadith Abdullah bin Amr R.A Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abdullah, benarkah aku diberitahu bahawa kamu berpuasa pada siang hari dan mendirikan sembahyang pada malamnya.” Saya menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda lalu bersabda: فَلَا تَفْعَلْ صُمْ وَأَفْطِرْ وَقُمْ وَنَمْ فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا Maksudnya: “Kalau begitu, jangan kamu lakukan demikian, tetapi puasalah dan berbukalah, sembahyanglah dan tidurlah, kerana sesungguhnya, kamu mempunyai kewajipan terhadap tubuh kamu, kamu mempunyai kewajipan terhadap terhadap kedua-dua mata kamu dan kamu mempunyai kewajipan terhadap isteri kamu.” Riwayat al-Bukhari (5199) dan Muslim (1159) Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Battal, katanya: وَأَنَّهُ لَا يَنْبَغِي لَهُ أَنْ يُجْهِد بِنَفْسِهِ فِي الْعِبَادَة حَتَّى يَضْعُف عَنْ الْقِيَام بِحَقِّهَا مِنْ جِمَاع وَاكْتِسَاب Hendaklah suami tidak terlalu menyusahkan dirinya dalam ibadah sehingga menjadikannya lemah untuk menunaikan hak isterinya iaitu keperluan seks dan bekerja untuk keluarga. (Lihat Fath al-Bari, 9/299) Pendirian Rasulullah SAW tersebut merupakan bukti paling kukuh yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama fitrah, seimbang, bersifat pertengahan dan sederhana. Islam meletakkan beberapa asas kukuh serta dasar yang wujud untuk membina kesempurnaan peribadi manusia agar mereka bangkit bersama-sama risalah dan tugasnya dalam menjalani kehidupan berlandaskan kaedah yang paling sempurna.   Syariat Islam yang Bersifat Wasatiyyah Suka dinyatakan di sini pandangan ulama’ berkenaan dengan syariat Islam yang bersifat wasatiah. Antaranya: Syeikh Muhammad Rashid dalam Tafsir al-Manar berkata: Sesungguhnya wasat merupakan keadilan dan yang terbaik. Ini kerana lebih daripada tuntutan merupakan melampau. Sedangkan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Setiap yang melampau dan cuai cenderung daripada hakikat yang sebenarnya, sudah tentu membawa kepada kejahatan dan dicela. Justeru, yang terbaik ialah pertengahan antara dua perkara supaya kamu dapat menjadi penyaksi dengan kebenaran atas sekalian manusia secara jasmaninya dengan apa yang mereka abaikan pada hak Allah dan secara rohaninya dengan apa yang mereka melampau sehingga jadilah mereka golongan yang sesat. (Lihat Tafsir al-Manar, 2/4) Syeikh Muhammad Tahir Ibn `Asyur dalam kitabnya al-Tahrir wa al-Tanwir berkata: Ayat 143 daripada surah al-Baqarah menunjukkan pujian Allah terhadap orang Islam kerana Allah mengurniakan mereka kelebihan, menjadikan mereka pertengahan yang memungkinkan mereka dari sebab-sebabnya menjelaskan hakikat syariat. Kemudian menjadikan pemikiran pengikutnya selamat daripada campuraduk dengan segala kesesatan yang telah menyerap kepada umat lain. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/123) Syeikh Muhammad Abduh menafsirkan perkataan Tawassut Islami dengan menyebut, sesungguhnya telah nyata bahawa Islam itu bukan semata-mata ruhi dan juga jasadi yang jamid tetapi insani yang pertengahan antara itu mengambil setiap bahagian sehingga berbetulan dan menepati kehendak fitrah manusia yang tiada pada yang lain. Benarlah kata-kata Ibn Qayyim: Syariat adil kesemuanya, rahmat kesemuanya dan maslahah kesemuanya. Maka setiap masalah keluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada lawannya, daripada maslahah kepada mafsadah dan daripada hikmah kepada mainan dan sia-sia maka ia bukan daripada syariat sekalipun dimasukkan kepadanya dengan takwilan. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 3/149) Justeru, dapat disimpulkan hakikat wasatiyyah seperti berikut: Bersederhana atau iqtisad dalam kehidupan boleh membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Manhaj Nabawi amat sesuai untuk semua lapisan manusia samada pada tempat dan keadaan. Melampau boleh menatijahkan kebinasaan samada dalam agama atau kehidupan. Maqasid al-Syariah dengan meraikan sifat keinsanan yang difitrahkan Allah sebagai pemegang amanah dan khalifah di bumi ini. Kesinambungan antara semua aspek merupakan kemuncak kehidupan dan hakikat kehidupan.   Penutup Sebenarnya keistimewaan Islam jelas terbukti melalui pensyariatannya serta dasar-dasarnya. Ini kerana antara dasar sifat Ilahi itu adalah seimbang antara material dan kerohanian, begitu juga dengan meraikan maslahah sama ada untuk individu atau ummah. Al-Syahid Imam Hasan al-Banna berkata: Dakwah ini selain bersifat rabbani yang bererti menolak, menentang dan menyekat segala fahaman kebendaan di samping pasrah, beriman, bergantung dan merasakan kehadiran Allah SWT dalam semua amalan. Dakwah ini juga bersifat kemanusiaan yang bererti mewujudkan hubungan persaudaraan sesama manusia dan menjadikan kesejahteraan seluruh manusia sebagai matlamatnya kerana ia bercirikan Islam. Islam adalah untuk semua manusia bukan ras tertentu dan bukan bangsa tertentu. (Lihat Risalah Da’watuna fi Taur Jadid, hlm. 10) Semoga Allah SWT mengurniakan kita ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya. Amin.
3,503
SOALAN Assalamualaikum.  Apakah status hukum daging melalui proses penyembelihan halal tetapi melalui proses “ageing meat”? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti. Ringkasan Jawapan: Daging yang melalui proses “ageing meat” (penuaan kering) hendaklah diteliti dari aspek kebersihan dan penyembelihan. Oleh itu, status halal daging tersebut sekiranya memenuhi syarat -syarat  berikut: Penyembelihan mengikut hukum syarak. Setiap proses pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan pemprosesan, pembungkusan sehinggalah penghantaran produk tidak tercemar daripada bahan bernajis. Hendaklah dipastikan dari sudut keselamatan penggunaannya tidak mendatangkan kemudaratan Justeru, proses penuaan kering “ageing meat” yang dijalankan ke atas daging lembu tidak mengubah status halal selagi ia bebas daripada unsur haram serta memenuhi piawaian sembelihan mengikut kehendak syarak. Huraian Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat Proses “Ageing Meat” Penghasilan daging “ageing meat” melalui proses penuaan sama ada penuaan kering atau penuaan lembap. Dalam proses penuaan daging ini dasarnya bertujuan untuk melembutkan daging dan memberi rasa lebih enak serta kelainan pada tekstur daging tersebut. Bahagian daging yang dipilih akan dipotong, kemudian dikeringkan selama tempoh tertentu dan pada suhu yang rendah serta dikawal kelembapan udara dalam kawasan tersebut. Tempoh, suhu dan kelembapan udara memberi kesan berbeza kepada daging yang melalui proses penuaan.[1] Dalam proses penuaan, daging menjadi lembut apabila enzim yang berada dalam daging akan mencerna protein dan tisu daging. Proses ini juga menggalakkan pertumbuhan spesies kulat (acuan) tertentu pada permukaan luar daging. Spesies kulat ini melengkapkan enzim semula jadi dengan membantu melembutkan dalam daging lembu. Ini tidak menyebabkan kerosakan, sebaliknya membentuk ‘kerak’ luaran pada permukaan daging.[2] Kerak ini kemudiannya dikeluarkan sebelum daging boleh disediakan dengan selamat dan dihidangkan kepada pelanggan.[3] Hujah dan Analisis Dalam Islam, haiwan yang halal dimakan seperti lembu, kambing dan seumpamanya perlu melalui proses sembelihan yang disembelih dengan nama Allah. Firman Allah SWT: فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كُنتُم بِآيَاتِهِ مُؤْمِنِينَ ‎‏ Maksudnya: “Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya” Surah al-An’am (118) Sembelihan haiwan perlulah mengikut kehendak syarak seperti yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW: مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ، لَيْسَ الظُّفُرَ وَالسِّنَّ Maksudnya: “(Sembelihlah haiwan) dengan alat yang boleh mengalirkan darah dan disebutkan nama Allah, justeru makanlah haiwan itu. Tidaklah sembelih menggunakan kuku dan gigi (haiwan)." Riwayat al-Bukhari (5498) Oleh itu, alatan sembelihan itu hendaklah ditajamkan sebelum menyembelih haiwan dengan memotong urat halkum dan mari’ iaitu saluran pernafasan dan saluran pemakanan. Imam al-Nawawi menyebut tentang kaedah sembelihan syar’ie: ذَكَاةُ كُلِّ حَيَوَانٍ قُدِرَ عَلَيْهِ بِقَطْعِ كُلِّ الْحُلْقُومِ، وَهُوَ مَخْرَجُ النَّفَسِ وَالْمَرِيءِ وَهُوَ مَجْرَى الطَّعَامِ، وَيُسْتَحَبُّ قَطْعُ الْوَدَجَيْنِ، وَهُمَا عِرْقَانِ فِي صَفْحَتَيْ الْعُنُقِ Maksudnya: Sembelih setiap haiwan itu dengan memotong kedua urat halkum (saluran pernafasan) dan urat mari’ (saluran pemakanan). Dan disunatkan memotong al-wadajain iaitu dua urat di tengkuk (berdekatan dengan urat halkum).[4] Justeru itu, sebarang daging yang disembelih mengikut kaedah syarak adalah halal walaupun selepas itu daging tersebut melalui proses-proses untuk mengekalkan ketahanan daging atau melembutkan daging seperti proses penuaan. Seterusnya, menurut syarak, konsep makanan yang halal mestilah memenuhi kriteria baik lagi suci. Ini berpandukan firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” Surah al-Baqarah (168) Imam al-Tobari menyatakan definisi toyyiban (baik) iaitu suci dan bersih dari najis dan halal.[5] Oleh itu, dapat difahami bahawa lafaz al-ṭoyyib iaitu suci sebagai sifat makanan yang halal. Begitu juga, makanan tersebut hendaklah dipastikan dari sudut kesihatan dan keselamatan serta tidak mendatangkan kemudaratan. Hal ini juga merupakan perkara yang telah ditetapkan oleh syarak bertujuan untuk menjaga nyawa seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit RA, bahawa Nabi SAW memerintahkan bahawa: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ Maksudnya: Tidak boleh mendatangkan kemudaratan dan memberi kemudaratan Riwayat Ibnu Majah (2340) Dalam proses penuaan, kulat yang tumbuh di atas permukaan daging terutamanya kulat jenis Thamnidium adalah kulat yang sangat diinginkan sepanjang proses. Walaupun kebiasaannya kulat sinonim dengan punca kerosakan, namun dalam proses penuaan, enzim daripada kulat ini akan membantu untuk melembutkan daging.[6] Bahkan permukaan daging yang keras dan berkulat akan dibuang sebelum daging dimasak. Berdasarkan perkara tersebut, daging yang melalui proses penuaan adalah selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada pengguna namun perlu juga dipastikan daging tersebut tidak rosak semasa proses penuaan. Oleh yang demikian, jika daging tersebut tidak mencapai tujuan asal proses penuaan itu, maka adalah lebih baik untuk dielakkan kerana tidak lagi dianggap baik dan selamat.   Penutup   Berdasarkan fakta pemprosesan daging penuaan kering yang hanya bertujuan sebagai kaedah pelembutan daging supaya rasanya lebih enak dimakan, maka tiada  proses yang melanggar syariah selagi tidak terjejas dengan najis mahupun tidak mengikuti cara penyembelihan mengikut kehendak syarak. Justeru itu, halal makan daging yang melalui  proses“ageing meat” selagi ia bebas daripada unsur haram. Wallahu A'lam   Rujukan:  [1] Dashdorj, D., Tripathi, V.K., Cho, S. et al. Dry aging of beef; Review. J Anim Sci Technol 58, 20 (2016). https://doi.org/10.1186/s40781-016-0101-9 [2] https://www.australianbutchersguild.com.au/butchery/ageing-meat [3] https://www.lambandbeef.com/foodservice/production/preparation/ageing [4] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya Ad-Din. Minhaj al-Talibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh, (Dar al-Fikr, 2005) hlm. 318) [5]  Ibn Jarir al-Thabarir. Tafsir al-Thabari, Muasasah, (al-Risalah, 2002) 3/301. "طيبًا" فإنه يعني به طاهرًا غير نَجس ولا محرَّم [6] Ibid. Dashdorj, D., Tripathi, V.K., Cho, S. et al. Dry aging of beef; Review.
3,504
Soalan: Assalamualaikum wbt, ‘Period” saya dah habis, dah mandi wajib, dah solat dan berpuasa, tiba-tiba pukul 5 petang tengok masih ada berbaki sedikit darah. Adakah sah puasa saya?   Jawapan: Waalaikumussalam wbt, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Antara salah satu syarat sah puasa ialah suci daripada haid dan nifas. Fakta ini disebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/81) : “Syarat-syarat sah puasa ialah: … 3) Tiada sebarang keuzuran yang menghalang puasa. Pitam dan gila yang berterusan sepanjang hari serta haidh dan nifas.” Syeikh Sa`id Ba I`syn menghuraikan syarat ini dalam kitab Busyra al-Karim (hlm.554) : “Maka jika seseorang itu murtad, keluar haid, nifas, atau gila sekalipun satu lahzah (sebentar sahaja)… maka batal puasanya seperti (hukum dalam) solat.” Darah yang keluar dari rahim wanita sekalipun selepas mandi dan berpuasa, adalah darah hadi. Darah itu bukan darah fasad atau istihadah kerana ia masih keluar dalam tempoh 15 hari maksimum haid. Manakala tempoh berhenti yang sebentar itu, sekalipun lebih sehari, disebut sebagai fatrah naqa’ yang masih dianggap sebagai tempoh haid apabila ia menyelangi antara dua darah selagi mana dalam tempoh 15 hari. Kami menghuraikan isu fatrah naqa ini dalam artikel Al-Kafi #690 : Melewatkan Mandi Wajib Kerana Menunggu Darah Haid Habis Keluar.[1] Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, nyatakah bahawa ‘period’ atau darah haid itu masih belum habis dan darah yang keluar pada jam 5 petang itu adalah darah selepas berlakunya fatrah naqo’, selagi mana dalam tempoh sehari semalam. Oleh itu, puasa yang dilakukan pada hari itu adalah terbatal dan wajiblah digantikan kemudian hari. Wallahua’lam.   Rujukan:  [1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2213-al-kafi-690-melewatkan-mandi-wajib-kerana-menunggu-darah-haid-habis-keluar
3,506
SOALAN Assalamualaikum WBT. Sepertimana yang sedia maklum, bagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masjid di zon hijau sudah dibenarkan untuk menerima jemaah dengan jumlah 1/3 daripada kapasiti masjid. Soalan saya, adakah diwajibkan ke atas saya yang berada di zon hijau untuk beratur mendapatkan tempat bagi solat Jumaat tersebut? Mohon pandangan SS Mufti. Terimakasih. RINGKASAN JAWAPAN Dalam musim PKPP ini, terdapat kelonggaran yang telah diberikan oleh pihak kerajaan bagi menunaikan solat Jumaat dengan jumlah dan Standard Operating Procedure (SOP) tertentu. Dalam hal ini, adalah digalakkan untuk berusaha mendapat tempat bagi solat Jumaat dengan mengikut SOP yang telah disediakan oleh pihak masjid seperti mengisi borang sekiranya ada dan hadir awal ke masjid untuk beratur. Walaubagaimanapun, pada masa yang sama, perkara asas yang perlu difahami ialah pematuhan kepada jumlah dan SOP yang telah ditetapkan dan ini memerlukan kepada kerjasama setiap ahli kariah untuk memastikan ianya berjalan dengan teratur dan sempurna.  Oleh itu, jika sekiranya kelihatan dengan sangkaan yang kuat (ghalabat al-dzann) bahawa bilangan jemaah di masjid sudah penuh dan mencukupi, maka sebagai mematuhi arahan pihak berkuasa tidak perlu untuk seseorang beratur bagi mengelakkan perkumpulan beramai-ramai. WaAllahua’lam.
3,507
Soalan Assalamualaikum SS Mufti, saya ada terbaca satu buku agama dan dalam buku tersebut penulis ada berhujah dengan hadis yang menyebutkan apabila ditimpa urusan yang payah maka hendaklah datang ke penghuni kubur. Jadi adakah benar status hadis tersebut adalah daif sebagaimana yang disebutkan? Sebab nampak pelik. Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih. Ringkasan Jawapan Riwayat yang menyebut berkenaan “Apabila kamu ditimpa urusan yang rumit maka hendaklah kamu memohon pertolongan dengan penghuni kubur” merupakan riwayat yang palsu menurut ulama hadis. Tambahan pula, tidak ada seorang pun dalam kalangan ulama hadis yang meriwayatkannya bahkan tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Justeru, riwayat ini tidak boleh disebar dan diamalkan oleh umat Islam kerana ia adalah pendustaan menggunakan nama Nabi SAW dan tidak mempunyai asas. Huraian Jawapan Setelah melakukan penelitian, riwayat ini tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Namun, Imam Ibn Taimiyyah menyebutkan riwayat ini dalam kitabnya Majmuʻ al-Fatawa dan beliau mengkritik riwayat ini. Lafaz riwayat yang dimaksudkan ialah seperti berikut: إذَا أَعْيَتْكُمْ الْأُمُورُ فَعَلَيْكُمْ بِأَهْلِ الْقُبُورِ Maksudnya: “Apabila kamu ditimpa urusan yang rumit maka hendaklah kamu memohon pertolongan dengan penghuni kubur.”[1] Menurut Imam Ibn Taimiyyah, hadis ini merupakan satu pendustaan yang dibuat ke atas Nabi Muhammad SAW. Selain itu, riwayat ini dihukumkan palsu oleh ramai ulama hadis dan tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang meriwayatkannya bahkan tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis yang muktabar.[2] Setiap penulis buku agama tidak sepatutnya memuatkan hadis-hadis yang palsu apatah lagi menjadikannya sebagai hujah dalam perkara agama. Hal ini kerana apabila pembaca yang tidak mempunyai teras agama yang kukuh akan mempercayainya bahawa ia merupakan sabdaan Nabi SAW. Sedangkan, ia merupakan rekaan pihak tidak bertanggungjawab bagi membenarkan pandangan dan kelompok mereka. Dalam hal ini, umat Islam perlu lebih mengambil perhatian dan berhati-hati agar tidak menempah tempatnya dalam neraka. Oleh itu, Nabi SAW pernah bersabda: مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ Maksudnya: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”[3] Riwayat al-Bukhari Kesimpulan Riwayat yang menyebut berkenaan “Apabila kamu ditimpa urusan yang rumit maka hendaklah kamu memohon pertolongan dengan penghuni kubur” merupakan riwayat yang palsu menurut ulama hadis. Tambahan pula, tidak ada seorang pun dalam kalangan ulama hadis yang meriwayatkannya bahkan tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis yang muktabar. Justeru, riwayat ini tidak boleh disebar dan diamalkan oleh umat Islam kerana ia adalah pendustaan menggunakan nama Nabi SAW dan tidak mempunyai asas. Wallahuaʻlam. Rujukan: [1] Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmuʻ al-Fatawa, ed. Abd al-Rahman Muhammad (Madinah: Majmaʻ al-Malik Fahd, 1995), jld. 1: hlm. 356. [2] Ibid. فَهَذَا الْحَدِيثُ كَذِبٌ مُفْتَرًى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِجْمَاعِ الْعَارِفِينَ بِحَدِيثِهِ لَمْ يَرْوِهِ أَحَدٌ مِنْ الْعُلَمَاءِ بِذَلِكَ وَلَا يُوجَدُ فِي شَيْءٍ مِنْ كُتُبِ الْحَدِيثِ الْمُعْتَمَدَةِ. [3] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi, ed. Muhammad Zuhayr Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 107, 1: 33.
3,509
"Irsyad Fatwa merupakan kenyataan berhubung isu-isu agama bersifat semasa" Umum Edisi Ramadhan Edisi Haji & Korban IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-792: BOLEHKAH MENGHENTIKAN BACAAN AL-QURAN KERANA INGIN MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM? IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-791: HUKUM PEMANDU E-HAILING MUSLIM MENGHANTAR PENUMPANG KE RUMAH IBADAT AGAMA LAIN IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-790: PENJELASAN BERKENAAN TRADISI MEMASAK BUBUR ASYURA DALAM KALANGAN MASYARAKAT ISLAM NUSANTARA IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-789: HUKUM PEKERJA MENGAMBIL DUIT GAJI SECARA SEMBUNYI KERANA TIDAK DIBAYAR MAJIKAN IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 788: ADAKAH SEDEKAH SECARA TERANG-TERANGAN ATAU SEMBUNYI? IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-787: HUKUM SYAK SAMA ADA BERHADAS SEBELUM ATAU SELEPAS BERWUDUK IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-786: MEMBUKA AIB YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-785: HALAL ATAU HARAMKAH MEMAKAN KETAM BATU IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-784: BERDIRI TANDA HORMAT KEPADA GURU ADALAH DILARANG? IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-783: HUKUM WANITA ISTIHADAH MEMAKAI MENSTRUAL CUP KETIKA SOLAT TANPA MEMBERSIHKANNYA Lihat Sepenuhnya IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 246: HUKUM SOLAT SUNAT HARI RAYA SECARA BERSENDIRIAN IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 245: ADAKAH SAH SOLAT SUNAT HARI RAYA SEKIRANYA TIDAK MENDENGAR KHUTBAH RAYA? IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 244: HUKUM WANITA HAID MENGHADIRI SOLAT SUNAT HARI RAYA   IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 243: ADAKAH DITUNTUT UNTUK MAKAN TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENUNAIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 242: ADAKAH BOLEH BERBUKA PUASA DI RUMAH SEBELUM BERMUSAFIR DALAM BULAN RAMADAN? IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 241: ADAKAH BAYI YANG DILAHIRKAN PADA PAGI RAYA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT KE ATASNYA? IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 240: ADAKAH ORANG YANG DIISYTIHAR MUFLIS WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 239: HUKUM MAKAN PIL PENCEGAH HAID UNTUK PUASA SEBULAN IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 238: ADAKAH WANITA HAID BOLEH MEMBACA AL-QURAN KETIKA BULAN RAMADAN KERANA BULAN YANG DITURUNKAN AL-QURAN IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 237: SEBAIK-BAIK SAF WANITA DI DALAM SOLAT Lihat Sepenuhnya IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 78: ADAKAH MEMAKAI HAND SANITIZER DIANGGAP MEMAKAI WANGIAN BAGI ORANG YANG SEDANG BERIHRAM? IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 77: HUKUM BERHUTANG BAGI MENGERJAKAN IBADAH KORBAN IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 76: BOLEHKAH DISEDEKAHKAN BAHAGIAN KORBAN YANG TIDAK MEMPUNYAI PENAMA IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 75: HUKUM IBU BAPA MELAKSANAKAN KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 74: JANTINA HAIWAN KORBAN YANG UTAMA IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 73: HUKUM MENGERJAKAN IBADAH KORBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN TANPA KEIZINANNYA IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 72: ADAKAH ORANG YANG BANKRAP BOLEH MELAKSANAKAN HAJI IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 71: ADAKAH HAJI MABRUR MENGGUGURKAN DOSA-DOSA BERKAITAN KEWAJIPAN DAN HAK KE ATAS SESEORANG? IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-70: ADAKAH WAJIB MENYIMPAN DUIT UNTUK MENGERJAKAN HAJI IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-69: BENARKAH KISAH BUKIT SAFA DAN MARWAH BERASAL DARIPADA SUMPAHAN NAILA DAN ISAF YANG BERZINA Lihat Sepenuhnya
3,511
SOALAN Assalamualaikum. Saya bangun dalam keadaan berjunub dan waktu solat telah hampir tamat, bolehkah saya hanya mengambil wuduk untuk mendirikan solat kerana kesuntukan masa untuk mandi wajib? Mohon penjelasan. Terima kasih. RINGKASAN JAWAPAN Tidak sah solat bagi orang yang berjunub dengan hanya berwuduk dan tidak mandi wajib. Oleh itu, seseorang hendaklah mandi wajib terlebih dahulu kerana ia merupakan syarat sah solat dan tidak boleh hanya berwuduk untuk mendirikan solat. Jika dia terlepas waktu kerana melaksanakan mandi wajib dan wuduk, maka hendaklah dia mendirikan solat yang ditinggalkannya tersebut secara qada. WaAllahu a’lam. HURAIAN JAWAPAN Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat. Antara syarat sah solat ialah mestilah suci daripad hadas kecil dan besar bagi yang mampu untuk melakukannya. Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan hal ini bahawa: (طَهَارَةُ الْأَعْضَاءِ مِنْ الْحَدَثِ) الْأَصْغَرُ وَغَيْرُهُ فَلَوْ لَمْ يَكُنْ مُتَطَهِّرًا عِنْدَ إحْرَامِهِ مَعَ الْقُدْرَةِ عَلَى الطَّهَارَةِ لَمْ تَنْعَقِدْ صَلَاتُهُ Maksudnya: Suci anggota badan daripada hadas kecil dan besar. Jika seseorang tidak suci daripada hadas ketika takbiratul ihram dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya, maka tidak sah solatnya.[1] (Rujuk al-Iqna’, 1:179) Begitu juga, jika seseorang itu sengaja atau terlupa mendirikan solat tanpa suci daripada kedua-dua hadas tersebut, maka solatnya tidak sah. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani bahawa: (طهارة الحدثين) أي عند قدرته فلو صلى بدونها ولو ناسياً لم تصح صلاته Maksudnya: Antara syarat sah solat ialah suci daripada dua hadas bagi orang yang mampu untuk melakukannya. Jika seseorang mendirikan solat tanpa suci daripada hadas walaupun dalam keadaan terlupa, maka tidak sah solatnya.[2] (Rujuk Kasyifat al-Saja, 49) Oleh yang demikian seseorang hendaklah mandi wajib terlebih dahulu sebelum mendirikan solat dan tidak boleh hanya mengambil wuduk sahaja walaupun akan terlepas waktu solat. Oleh itu, jika terlepas waktu solat maka hendaklah dia mendirikan solat yang ditinggalkannya tersebut secara qada. WaAllahu a’lam.  RUJUKAN [1] Al-Syirbini, al-Khatib, t.t, al-Iqna’ Fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 179. [2] Al-Bantani, Nawawi, 2008, Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja, Dar al-Fikr, Beirut, hlmn. 49.
3,513
Soalan: Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Saya dapati bahawa mata wang merupakan item ribawi dan antara syarat-syarat pertukaran item ribawi mestilah sama kuantiti dan nilainya. Jadi, apakah hukum pihak money changer mengambil keuntungan daripada pertukaran mata wang?  Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih. Jawapan Ringkas Pertukaran mata wang di money changer seperti Ringgit Malaysia kepada Dolar Singapura dikira sebagai jual beli item ribawi yang sama kategori tetapi berlainan jenis. Walaupun ditukar dengan nilai yang tidak sama, ia tidak tergolong dalam riba yang diharamkan syarak selagimana jual beli tersebut dilakukan secara lani/on the spot. Huraian Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Money changer bermaksud pengurup wang; iaitu sebuah agensi atau tempat yang menerima pertukaran mata wang melalui jual beli secara tunai. Kebiasaannya, pihak money changer akan meletakkan nilai jualan mata wang (we sell) dengan kadar yang lebih tinggi daripada nilai mata wang semasa, manakala nilai belian mata wang (we buy) dengan kadar yang lebih rendah berbanding nilai mata wang semasa. Natijahnya, nilai wang yang diterima pelanggan tidak sama kadarnya dengan nilai mata wang semasa. Sebagai contoh, kadar mata wang semasa bagi Ringgit dan Dolar Singapura ialah S$ 1 = RM 3 atau RM 1 = S$ 0.33. Pihak money changer akan mengambil keuntungan daripada nilai tersebut. Sekiranya mereka mengambil keuntungan sebanyak 2% daripada setiap pertukaran, kadar jualan yang diterbitkan untuk Dolar Singapura ialah RM 1 = S$ 0.32 dan kadar belian untuk Dolar Singapura ialah RM 1 = S$ 0.34. Mereka akan memperoleh RM 6 bagi setiap transaksi sebanyak RM 300. Persoalannya, adakah tindakan ini termasuk dalam kategori riba yang diharamkan oleh syarak? Transaksi di money changer ini termasuk dalam bay’ al-sarf; iaitu jual beli mata wang yang sama jenis atau berlainan jenis seperti jual beli emas dengan emas, emas dengan perak, dinar dengan dinar, dan dirham dengan dirham. ‘Ubadah bin al-Somit RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: الذّهَبُ بِالذّهَبِ، وَالفِضّةُ بِالفِضّةِ، وَالبُرّ بِالبُرّ، وَالشّعِيرُ بِالشّعِيرِ، وَالتّمْرُ بِالتّمْرِ، وَالمِلحُ بِالمِلحِ، مِثْلاً بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَداً بِيَدٍ، فَإذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إذَا كَانَ يَداً بِيَدٍ Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara tunai (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara tunai”. Riwayat Muslim Menurut mazhab al-Syafi’i, terdapat dua ‘illah (sebab) berlaku riba dalam urusan jual beli iaitu nilai mata wang dan makanan[1]. Jadi, segala jenis barangan sama ada berbentuk nilai mata wang seperti emas, perak, Ringgit Malaysia (RM), Dolar Amerika Syarikat (USD) ataupun makanan seperti beras, tepung gandum, dan lain-lain yang berkaitan disebut sebagai item ribawi. Item ribawi adalah barang yang memerlukan kaedah urus niaga khas untuk mengelakkan berlakunya riba. Riba menurut mazhab al-Syafi’i terbahagi kepada tiga kategori[2]: Riba al-Fadhl:  Riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantiti sedangkan kedua-duanya daripada jenis item yang sama[3]. Contohnya: Menukar 5 gram emas jenis 999 dengan 6 gram emas jenis 916. Ia adalah haram kerana sepatutnya kedua-dua ditukar dengan kadar yang sama. Menukar atau menjual 5 kilogram beras Basmathi dengan bayarannya 10 kilogram beras putih tempatan. Riba al-Nasi’ah: Riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan cas tambahan[4]. Contohnya: Menjual 5 gram emas dengan harga RM 2000 secara tangguh Menukar 5 kilogram beras dengan 10 kilogram gandum secara tangguh Riba al-Yad: Riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan item ribawi walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan[5]. Syarat-Syarat Jual Beli Item Ribawi yang Sama Kategori dan Jenis Menjual item ribawi yang sama kategori (makanan atau mata wang) dan sama jenisnya seperti menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam atau lain-lainnya akan menjadi sah apabila memenuhi dua syarat berikut: Mestilah sama kadar (سَواءً بسَواءٍ) Mestilah dilakukan dalam satu sesi (on the spot) dan bukan bertangguh (يَدًا بيَدٍ) Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku jual beli antara dua item ribawi yang sama kategori tetapi berlainan jenis seperti pertukaran emas dengan perak atau gandum dengan barli, maka ia dibolehkan jika tidak sama nilai dan kuantiti dengan syarat jual beli tersebut mesti dilakukan secara lani/on the spot[6]. Misalnya, menukar 1 gram emas dengan 5 gram perak secara lani atau membeli emas menggunakan wang ringgit secara lani. Menurut garis panduan syariah yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI), pertukaran mata wang adalah dibenarkan, tertakluk kepada perkara berikut[7]: Pertukaran mata wang mestilah dilakukan secara lani/on the spot; iaitu transaksi selesai sebelum kedua-dua pihak berpisah. Jumlah pertukaran mestilah sama sekiranya mata wang tersebut daripada jenis yang sama, walaupun berbeza dari segi wang kertas dan syiling. Tidak meletakkan khiyar syart atau menangguhkan penyerahan mata wang. Perniagaan tersebut mestilah tidak bertujuan monopoli atau memudaratkan individu atau masyarakat. Kesimpulan Pertukaran mata wang di money changer seperti Ringgit Malaysia kepada Dolar Singapura dikira sebagai jual beli item ribawi yang sama kategori tetapi berlainan jenisnya. Walaupun ditukar dengan nilai yang tidak sama, ia tidak tergolong dalam riba yang diharamkan syarak selagimana jual beli tersebut dilakukan secara lani/on the spot. Sekiranya ia dilakukan secara tangguh, maka ia termasuk dalam kategori riba al-nasi’ah. Dalam masalah pertukaran mata wang ini, yang diharamkan adalah menukar satu mata wang yang sama jenis. Contohnya mengambil keuntungan daripada hasil pertukaran duit kertas Ringgit Malaysia kepada duit syiling Ringgit Malaysia. Wallahu’alam Rujukan: [1] Abu Muhammad al-Husain bin Muhammad bin al-Farra’ al-Baghawi, Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, Tahqiq: ‘Adil Ahmad Abd al-Maujud (Dar al-Kutub al-Ilmiah, cetakan 1, 1418H – 1998M) 3/334-335 فذهب الشافعي - رضي الله عنه -إلى أن العلة في الدراهم والدنانير النقدية العامة، وكونهما ثمنين للأشياء غالبا، ولا يقاس غيرهما عليهما؛ كما اختص بهما تقويم المتلفات. والعلة في الأشياء الأربعة الطعم؛ فأثبت الربا في جميع المطعومات [2] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, (Dar al-Kutub al-Ilmiah, cetakan 1, 1415H – 1994M) 2/363 وهو ثلاثة أنواع: ربا الفضل وهو البيع مع زيادة أحد العوضين عن الآخر، وربا اليد، وهو البيع مع تأخير قبضهما أو قبض أحدهما، وربا النسا وهو البيع لأجل [3] ربا الفضل: وهو البيع مع زيادة أحد العوضين عن الآخر أي أن الزيادة مجردة عن التأخير. وهو لا يكون إلا في بدلين متحدي الجنس Lihat: Wahbah bin Mustofa al-Zuhaili, Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-4, t.t) 5/703 [4] ربا النسيئة: وهو البيع لأجل أي البيع نسيئة إلى أجل ثم الزيادة عند حلول الأجل، وعدم قضاء الثمن في مقابلة الأجل، أي أن الزيادة في أحد البدلين من غير عوض في مقابلة تأخير الدفع، سواء من جنس واحد أم جنسين مختلفين، وسواء أكانا متساويين أم متفاضلين Ibid, 5/704 [5] ربا اليد: وهو البيع مع تأخير قبض العوضين أو قبض أحدهما من غير ذكر أجل، أي أن يتم بيع مختلفي الجنس كالقمح بالشعير من غير تقابض في مجلس العقد [6] Muhammad bin Idris al-Syafi’i, Al-Umm (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan ke-2, 1403H – 1983M) 3/18  (قال): وهكذا كل ما اختلفت أسماؤه وأصنافه من الطعام فلا بأس بالفضل في بعضه على بعض يدا بيد ولا خير فيه نسيئة كالدنانير بالدراهم لا يختلف هو، وهي وكذلك زبيب بتمر وحنطة بشعير وشعير بسلت وذرة بأرز وما اختلف أصنافه من المأكول أو المشروب، هكذا كله وفي حديثه عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم دلائل منها أنه سأل أهل العلم بالرطب عن نقصانه... [7] Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Shari’ah Standards, (Manama: Dar al-Maiman, 2015M) 52-53
3,514
Secara umumnya, kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah SWT: وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’: 23) Imam al-Baidhawi berkata: “Maksud di sisimu (عِندَكَ) ialah hendaklah kedua-dua ibubapa dalam pemeliharaan kamu.” Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932) Perintah supaya melakukan kebaikan terhadap ibubapa juga dapat dilihat dalam firman Allah SWT: وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa” (Surah al-Nisa’: 36) Rasulullah SAW juga telah menyebut berkenaan kelebihan dan keutamaan dalam menjaga dan berbakti kepada kedua orang tua. Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا ‏"‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‏ ‏ Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibubapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.” Riwayat al-Bukhari (85) Rasulullah SAW menyebut berbakti kepada ibu bapa sebagai amalan kedua yang dicintai oleh Allah. Ini kerana kedua ibu bapa merupakan sebab kewujudan anak-anak dan hak mentaati mereka berada selepas hak Allah SWT. Manfaat berbakti kepada ibu bapa ini akan dirasai oleh dua belah pihak. Dari pihak anak yang berbakti, mereka akan mendapat ganjaran pahala dari Allah manakala manfaat yang dinikmati oleh kedua ibubapa yang dipelihara oleh anak-anak ialah masa tua mereka terpelihara. Berbakti kepada ibubapa hukumnya wajib ke atas semua yang bergelar anak. Allah SWT mewajibkannya sebagaimana Allah mewajibkan solat dan puasa walaupun kedua ibu bapa itu kafir. Ini sebagaimana firman Allah SWT: وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15) Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kepada agamanya, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam saat yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia secara ma’ruf (baik). Ambillah iktibar dari kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh hikmah sehingga akhirnya menjadikan ibunya boleh menerimanya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/402) Sayyid Qutb berkata: “Sampai di sini gugurlah kewajipan ta’at kepada dua ibubapa, dan di sinilah meningkatnya hubungan akidah mengatasi segala hubungan yang lain. Walaubagaimana hebat usaha, perjuangan, desakan dan penerangan yang dikemukakan oleh ibubapa dengan tujuan memujuk si anak supaya mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diketahui ketuhanannya, maka dia diperintah supaya jangan taat kepada kehendak dua ibubapa itu. Itulah perintah dari Allah selaku tuan punya hati yang pertama yang pasti ditaati. Tetapi perbezaan akidah di antara anak dan ibubapa, juga perintah supaya mentaati ibubapa dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah, tidaklah menggugurkan hak ibubapa dari mendapat layanan yang baik dan persahabatan yang mesra dari anak-anaknya.” (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 12/526) Terdapat sebuah kisah menarik berkenaan keutamaan serta besarnya ganjaran pahala bagi mereka yang menjaga kedua ibubapa. Ia dicatatkan di dalam hadis sepertimana berikut: وأَقْبَلَ رَجُلٌ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَالْجِهَادِ أَبْتَغِي الْأَجْرَ مِنْ اللَّهِ. قَالَ: فَهَلْ مِنْ وَالِدَيْكَ أَحَدٌ حَيٌّ؟ قَالَ: نَعَمْ بَلْ كِلَاهُمَا. قَالَ: فَتَبْتَغِي الْأَجْرَ مِنْ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَارْجِعْ إِلَى وَالِدَيْكَ فَأَحْسِنْ صُحْبَتَهُمَا Maksudnya: “Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW seraya berkata: Aku berbai’ah kepada kamu untuk berhijrah dan jihad bagi mencari pahala daripada Allah. Sabda Baginda SAW: “Adakah salah seorang ibu bapa kamu masih hidup? Jawab beliau: “Ya, bahkan kedua-duanya.” Sabda Baginda: “Adakah kamu ingin mencari pahala daripada Allah? Jawabnya: “Ya.” Lantas sabda Baginda SAW: “Pulanglah kepada ibubapa kamu dan berihsanlah dalam melayani kedua-duanya.” Riwayat al-Bukhari (3004), Muslim (2549) dan Abu Daud (2528) Lafaz adalah mengikut Muslim. Di dalam sebuah hadis yang lain, diceritakan berkenaan Asma’ bint Abu Bakar R.Anhuma yang bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah dia boleh berhubung dengan ibunya yang masih seorang musyrik. Kisahnya adalah sebagaimana berikut: قَدِمَتْ عَلَىَّ أُمِّي وَهْىَ مُشْرِكَةٌ فِي عَهْدِ قُرَيْشٍ، إِذْ عَاهَدُوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَمُدَّتِهِمْ، مَعَ أَبِيهَا، فَاسْتَفْتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ عَلَىَّ، وَهْىَ رَاغِبَةٌ، أَفَأَصِلُهَا قَالَ ‏ "‏ نَعَمْ، صِلِيهَا ‏"‏‏.‏ Maksudnya: “Ibuku menemuiku saat itu dia masih Musyrik ketika Quraisy muslimin mengikat perjanjian dengan Rasulullah SAW dan ayahnya, lalu aku meminta pendapat kepada Rasulullah SAW. Aku katakan; "Wahai Rasulullah, Ibuku (yang musyrik) datang kepadaku dan dia sangat ingin (aku berbuat baik padanya), apakah aku harus tetap menjalin hubungan dengan ibuku?". Baginda menjawab: "Ya, sambunglah silaturrahim dengannya". Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim (1003) Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, iaitu isu menempatkan ibu atau bapa di Rumah Orang Tua, kami berpandangan bahawa ianya adalah harus dan dibolehkan jika sekiranya mereka menyukainya. Begitu juga jika layanan yang diberikan adalah baik dan tiada unsur penganiayaan terhadap mereka. Kami nyatakan di sini beberapa dhawabit, antaranya: Hendaklah mendapat persetujuan daripada kedua ibu bapa dengan kesukaan dan kerelaannya. Tempat yang dikhaskan untuk kedua ibubapa mestilah begitu selesa dan juga menenangkan perasaannya. Makan minum yang disediakan hendaklah mencukupi dan bersesuaian dengan seleranya. Begitu juga penjagaan kesihatannya. Wujud layanan yang baik dan memuaskan dari pihak penempatan Rumah Orang Tua terhadap ibubapa. Sifat Rumah Orang Tua mestilah mesra kepada ibubapa. Adanya privacy serta penjagaan aurat yang baik. Semua keperluan daripada orang tua mencukupi termasuklah disediakan tempat ibadat yang selesa. Adanya tempat pengajaran dalam menambahkan ilmu. Para anak sentiasa menziarahi dan menyantuni orang tua dengan kerap. Semua tanggungan akan diselesaikan oleh anak-anak jika keadaan orang tua tidak mampu. Mempunyai khidmat rawatan kesihatan yang baik dan mesra kepada orang tua. Jika terdapat keperluan untuk menempatkan kedua ibubapa di Rumah Orang Tua dengan sebab terpaksa bermusafir dan tiada orang yang dapat mengendalikannya, maka ketika itu sebahagian ulama’ berfatwa adalah harus dengan syarat ibubapa tersebut menyukainya. Namun sebaliknya jika kedua orang tua tidak redha dan tidak menyukai akan tindakan menghantar mereka ke Rumah Orang Tua, bahkan berlaku penganiayaan ke atas mereka, maka hukumnya adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali. Apatah lagi jika anak hanya ingin melepaskan tangan dan tanggungjawab tanpa menziarahi serta memberi nafkah kepada orang tuanya. Hal ini adalah berdosa apabila perasaan orang tua tidak dijaga. Hal ini adalah jelas berdasarkan apa yang telah kami kemukakan sebelum ini daripada nas-nas yang menunjukkan kepada kewajipan melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa serta tidak mengabaikan mereka. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW kepada kita sebagai renungan: مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنْ النَّارِ وَيُدْخَلَ الْجَنَّةَ فَلْتَأْتِهِ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِي يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى Maksudnya: “Sesiapa yang suka diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah datang kematiannya dalam keadaan dia beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Dia juga memperlakukan manusia sebagaimana dia suka manusia perlakukan kepadanya.” Riwayat Muslim (1844) Imam Nawawi berkata: “Ucapan Nabi “Dia lakukan kepada manusia sebagaimana dia suka manusia lakukan kepadanya” ini merupakan tanda jawami’ al-kalim bagi Rasulullah SAW dan betapa dalam serta indahnya hikmah-hikmahnya. Ini merupakan kaedah yang penting yang sepatutnya diberi perhatian dengannya. Justeru, seseorang hendaklah tidak berinteraksi dan memperlakukan kepada manusia kecuali apa yang dia suka mereka perlakukan kepadanya.” Sebagai penutup, kami ingin menasihati mereka yang masih mempunyai kedua orang tua, berbaktilah kepada mereka sehingga sampai ke penghujung usia mereka. Kumpullah pahala sebanyak mungkin dengan cara melakukan perkara-perkara kebaikan terhadap mereka. Seeloknya anak-anak sentiasa berpakat untuk menjaga orang tua mereka dan yang paling baik adanya giliran anak-anak serta saling berlumba-lumba untuk berbakti kepada orang tua. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ‏"‏ ‏.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏"‏ Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” Riwayat Muslim (2551) Begitu juga sabda Rasulullah SAW: كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” Riwayat al-Hakim (7263) dan al-Munziri (3/302) Jelas daripada hadis-hadis ini betapa kita perlu merebut peluang dengan berbakti dan melakukan kebaikan jika masih memiliki ibubapa yang sudah lanjut usia. Betapa ruginya kita sekiranya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh berbakti sedangkan mereka masih berada di sisi kita. Sebaliknya menderhaka kepadanya adalah jalan pintas untuk menuju kepada kecelakaan dalam kehidupan. Ingatlah sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma: رِضَاءُ اللَّهِ فِي رِضَاءِ الْوَالِدِ ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.” Riwayat al-Tirmizi (1899), Ibn Hibban (429)  dan al-Hakim (7249) Antara bentuk mencari keredaan kedua ibubapa ialah dengan mentaatinya, melayaninya, menyukainya, merahmatinya, memberi hadiah, memberi nafkah jika perlu dan juga melakukan apa-apa yang menjadi idaman dan kehendaknya. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh dalam mentaati kedua ibubapa. Banyak buku berkaitan birrul walidain telah ditulis oleh para ulama’ yang mungkin kita dapat ambil manfaat serta iktibar dalam melayari kehidupan kita. Jarakkanlah diri kita daripada menjadi ‘tanggang moden’. Membaca sejarah Alqamah dengan ibunya amat menginsafkan kita.[1] Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengesyorkan kepada pihak berkuasa dan juga NGO dan mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan Rumah Orang Tua agar dipertingkatkan prasarana dan kemudahan yang bersifat “mesra orang tua” di samping segala bentuk layanan hendaklah sebagai layanan yang terbaik. Ingatlah tanpa mereka tiadalah kita dan generasi kemudian. Justeru, mengakhiri dalam usia yang sudah dimamah, kita tinggallah sifat ihsan dan bir kebajikan kita kepada mereka sebagaimana yang disarankan oleh nas Ilahi. Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada pemilik rumah orang-orang tua yang bersifat world class dan sangat prihatin dari segi layanan kepada warga emas ini. Ini merupakan satu tanggungjawab sosial yang menjadi fardhu kifayah untuk warga emas yang kadang-kadang sudah kehilangan tempat bergantung dan tiada mempunyai anak-anak. Akhir sekali, mudah-mudahan kita diberi kekuatan dan pertolongan oleh Allah SWT di dalam berbuat baik kepada kedua ibubapa kita sehinggalah mereka kembali ke pangkuan-Nya. Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak kita semua untuk sama-sama mendoakan kerahmatan dan juga keampunan kepada kedua ibubapa kita. رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra’: 24) Wallahua’lam. Akhukum fillah, SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan     [1] Walaupun kisah ini wujud di dalam Musnad Ahmad, tetapi sebenarnya Imam Ahmad sendiri tidak menerima kesahihan hadis ini. Bahkan, beliau memadamkan hadis ini dari kitabnya.   Antara sumber lain yang menyebut kisah ini ialah: - Al-Dhuafa al-Kabir oleh al-Uqaili - Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jauzi - Masawi al-Akhlaq oleh al-Kharaiti - Syu’ab al-Iman oleh al-Baihaqi - Dalail al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi - Al-Tadwin fi Tarikh Qazwin oleh al-Qazwini   Sebahagian ulama menganggap kisah ini dho’if.